Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Usah keterlaluan!

Posted: 20 Apr 2014 01:04 PM PDT

"Kalau tak boleh kawal perasaan, tiada semangat kesukanan dan tidak boleh hormati undang-undang, lebih baik jangan terbabit dalam bola sepak! Itu kenyataan disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Astaman Abd Aziz yang kecewa dengan tindakan pengurus Johor Darul Ta'zim II On Jabbar@Jaafar menumbuk pengadil Sukri Abd Rahman selepas perlawanan menentang UiTM FC di Pasir Gudang, kelmarin.

Beliau berkata, sebagai seorang pengurus, On tidak boleh bertindak melampaui batas ke atas pengadil tidak kira dalam apa situasi sekali pun kerana ia menyalahi undang-undang.

"Walau apa punca sekali pun, beliau tidak boleh mengasari pengadil apatah lagi menumbuk.

Kita ada peraturan, jangan bertindak keterlaluan kerana kita ada saluran yang betul kalau tidak puas hati," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Insiden kekecohan itu berlaku apabila On yang tidak puas hati dengan beberapa keputusan Sukri bertindak menumbuk pengadil itu selepas tamat perlawanan Liga Perdana antara pasukan tuan rumah Johor DT II di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang yang berakhir seri 2-2.

Astaman berkata, beliau belum menerima laporan rasmi mengenai insiden itu, namun menerusi rakaman yang disiarkan di televisyen jelas menunjukkan On melakukan kesalahan itu.

"Dalam TV kita sudah nampak," katanya yang tidak dapat mengesahkan tahap kecederaan dialami Sukri namun dimaklumkan pengadil itu sudah membuat ujian imbasan dan akan membuat laporan polis.

Sementara itu Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya akan meneliti laporan perlawanan dan akan mengambil tindakan seadil-adilnya berhubung insiden itu.

"Pengadil tidak boleh dijadikan mangsa kemarahan kerana kita ada peraturan.

Jika pengurus bertindak seperti ini, ini akan membangkitkan kemarahan penyokong dan kita bimbang insiden lebih buruk boleh terjadi.

Foto
Foto


Saya nasihatkan kepada semua pihak supaya jangan bertindak keterlaluan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

Perhitungan final Federer, Wawrinka

Posted: 20 Apr 2014 10:46 AM PDT

Monte Carlo, Monaco: Roger Federer dan Stanislas Wawrinka mara mudah ke perlawanan akhir Masters Monte Carlo, kelmarin sekali gus mencetus pertembungan final dua pemain Switzerland kali pertama dalam tempoh 14 tahun.

Federer yang tidak pernah menang kejohanan itu, menundukkan Novak Djokovic 7-5, 6-2 apabila juara bertahan dan pemain nombor dua dunia dari Serbia itu bergelut dengan kecederaan pergelangan tangan kanan yang mengehadkan kelajuan servisnya sekitar 150 kilometer sejam saja.

Wawrinka, juara Terbuka Australia mengatasi David Ferrer 6-1, 7-6 (7/3), sehari selepas pemain Sepanyol itu mengejutkan juara lapan kali dan rakan senegara Rafael Nadal pada suku akhir.

Federer tampil pada final terakhir membabitkan dua pemain Switzerland apabila dia kecundang kepada Marc Rosset pada final di Marseille pada 2000, ketika juara 17 gelaran Grand Slam itu masih berstatus pemain remaja.

Federer yang tumpas dalam tiga final Monte Carlo di tangan Nadal, akan membida kejuaraan pertamanya pada kejohanan itu sejak 2008.

"Agak mengejutkan saya layak ke final terutama sekali di gelanggang tanah liat," ujar Federer.

"Namun sudah tentu saya akan menghadapinya.

"Saya sudah berusaha keras untuk berada di final sekali gus berpeluang menang minggu ini.

Saya amat gembira dengan permainan saya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

HATRIK HAMILTON

Posted: 20 Apr 2014 10:45 AM PDT

Lewis Hamilton (gambar) melakar kemenangan hatrik selepas memacu pantas sejak dari awal saingan untuk mendominasi perlumbaan Grand Prix China, semalam.

Rakan sepasukan dari Jerman Nico Rosberg melengkapkan kemenangan satu dua dengan podium kedua, 18 saat di belakang pemandu Britain itu buat kali ketiga berturut-turut, tetapi masih muncul pendahulu kejuaraan pemandu dengan kelebihan empat mata berbanding Hamilton.

"Jentera ini amat menakjubkan.

"Saya seronok dengan perlumbaan ini.

Prestasi pasukan semakin meningkat," kata Hamilton yang bermula dari petak pertama.

Fernando Alonso yang memandu jentera Ferrari dan pemenang di Shanghai tahun lalu, menamatkan saingan di tempat ketiga yang juga podium pertama buatnya pada tahun ini di depan pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo.

Kemenangan itu yang ke-25 buat Hamilton sekali gus menyamai rekod Niki Lauda dan Jim Clark serta tiga kemenangan berturut-turut buat kali pertama sejak muncul juara dunia pada 2008.

Rosberg, pemenang pada aksi pembuka tirai di Australia kini mengumpul 79 mata selepas empat pusingan.

Hamilton kedua dengan 75 mata sementara Alonso 41 mata di tempat ketiga.

Mercedes mengungguli kategori pasukan dengan 154 mata berbanding 57 yang diraih Red Bull.

Juara dunia empat kali, Sebastian Vettel yang diminta memberi laluan untuk Ricciardo di tangga kelima.

Pemandu Jerman, Nico Hulkenberg keenam bersama jentera Force India sementara Valtteri Bottas ketujuh bersama jentera Williams.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

Pellegrini harap tuah iringi City

Posted: 20 Apr 2014 10:45 AM PDT

Manchester: Manuel Pellegrini (gambar) menegaskan Manchester City mampu merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris kerana Liverpool dan Chelsea mungkin keciciran mata ketika saingan menuju ke penghujung.

City dilihat tidak mampu menjadi pencabar kejuaraan selepas tewas 2-3 kepada pendahulu liga Liverpool dan kemudian seri 2-2 dengan Sunderland pada pertengahan minggu lalu sekali gus menyaksikan mereka ketinggalan enam mata berbanding Liverpool.

Anak buah Pellegrini bertemu West Brom awal pagi esok dan dia yakin City masih berpeluang merampas kedudukan pendahulu kerana Liverpool dan Chelsea kemungkinan besar akan mencicirkan mata.

Penilaian itu dibuat sebelum Chelsea tewas 1-2 kepada Sunderland awal pagi semalam, satu keputusan yang cukup mengejutkan.

Keputusan itu juga membuka ruang kembali untuk City menghampiri tempat kedua di belakang Blues yang kini lebih empat mata berbanding seteru utama mereka itu.

"Saya pasti pasukan lain akan mencicirkan mata seperti kami pada perlawanan terakhir.

Kami masih berpeluang mengutip 15 mata lagi dan akan cuba menang baki perlawanan selepas ini.

"Kemudian pada hujung musim, kita akan saksikan siapa yang akan merangkul kejuaraan.

Kami mahu menang sebanyak yang mungkin.

"Kami perlu menamatkan saingan musim ini di tempat terbaik.

"Perlawanan bertemu Sunderland sangat mengecewakan kerana kami sentiasa mahukan kemenangan, tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, berdepan pasukan yang tidak mahu tersingkir ke liga bawahan tidak semudah disangka," katanya.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

Swansea kerja keras elak zon bahaya

Posted: 20 Apr 2014 10:41 AM PDT

Swansea, Wales: Pengurus Swansea City Garry Monk berpendapat pasukan bimbingannya itu perlu bekerja keras sebelum boleh berasa selamat daripada tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris di sebalik kemenangan 2-1 ke atas Newcastle United, kelmarin.

Jaringan kedua Wilfried Bony menerusi sepakan penalti pada minit ke-92 menyaksikan mereka mengumpul 36 mata ketika saingan berbaki tiga perlawanan.

"Agak lega dapat meraih tiga mata," kata Monk yang mengambil alih tugas pengurus dari Michael Laudrup yang dipecat Februari lalu.

"Sama ada ia mencukupi atau tidak, saya tidak pasti.

Tapi saya tidak mahu memikirkan soal penyingkiran.

"Kami masih berbaki tiga perlawanan dan berpeluang mengutip sembilan mata dan kami mahu menang semuanya.

"Kami beraksi dengan baik sebelum ini, tapi tidak sama seperti ketika ini.

Kami perlu selesaikan baki tugas pada musim ini." Kemenangan itu menyaksikan Swansea menduduki tangga ke-13 liga sebelum bertemu Aston Villa, Southampton dan Sunderland.

Monk memuji penyerang Ivory Coast, Bony yang sudah meledak 22 gol musim ini.

"Dia amat bagus.


Tanpa Michu yang sering mengalami kecederaan, Bony berjaya menggalas tanggungjawab itu dengan baik," jelasnya.


- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

Mourinho naik angin

Posted: 20 Apr 2014 10:40 AM PDT

Pengurus Chelsea Jose Mourinho berang dengan pegawai perlawanan selepas pasukannya tewas buat kali pertama di tempat sendiri, di tangan Sunderland 1-2 pada saingan Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Kekalahan Chelsea itu yang menyaksikan mereka ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga, Liverpool yang pertama dialami Mourinho sepanjang 78 perlawanan liga di Stamford Bridge.

"Saya hanya mahu katakan empat perkara.

Pertama saya minta maaf kerana jika anda mahu tanya banyak soalan, saya akan memberi jawapan yang sama.

"Tahniah kepada setiap pemain kerana memberikan aksi terbaik.

Tahniah juga kepada Sunderland kerana mereka melakar kemenangan," kata Mourhinho selepas tamat perlawanan.

Merujuk kepada pengadil perlawanan Mike Dean yang menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-82 yang disempurnakan Fabio Borini sekali gus gol kemenangan untuk Sunderland, beliau menjelaskan: "Tahniah kepada Mike Dean kerana beliau melakukan tugas dengan 'cemerlang'.

"Tahniah juga kepada Mike Riley (Ketua Badan Pengadilan Pegawai Profesional) kerana apa yang dilakukan sepanjang musim ini adalah amat 'hebat'.

"Tahniah kepada mereka dan tiada apa lagi yang saya mahu katakan.


Saya minta maaf." Samuel Eto'o meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-12, tetapi Sunderland yang bergelut pantas menyamakan kedudukan menerusi Connor Wickham sebelum mengesahkan kemenangan hasil jaringan bekas penyerang Chelsea, Borini, yang dipinjamkan dari Liverpool.

Insiden pertengkaran turut berlaku selepas sepakan penalti itu yang menyaksikan Mourinho cuba menghalang pembantunya Rui Faria daripada terus menyerang Dean.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

Bayern akhiri derita

Posted: 20 Apr 2014 10:38 AM PDT

Berlin: Bayern Munich menamatkan rentetan tiga perlawanan Bundesliga tanpa menang apabila menewaskan kelab tercorot Eintracht Braunschweig 2-0, kelmarin, empat hari sebelum pertembungan separuh akhir Liga Juara-Juara dengan Real Madrid.

Pemain veteran, Claudio Pizarro, 35 dan penyerang Croatia, Mario Mandzukic (gambar) masing-masing menghasilkan gol pada lewat permainan untuk membolehkan Bayern meraih kemenangan ketiga dalam tujuh perlawanan terakhir.

Meskipun menguasai 65 peratus permainan dan membariskan hampir semua pemain utama, Bayern memerlukan 76 minit untuk memecah kekebalan pertahanan Braunschweig dengan pasukan tuan rumah berjuang untuk terus kekal dalam liga musim depan.

Jaringan pembuka tirai berpunca daripada hantaran Mario Goetze kepada Pizzaro yang tidak mensia-siakan peluang untuk menyumbat gol pertama Bayern dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

Ketika pertahanan Braunschweig sudah mula keletihan, Mandzukic menjaringkan gol kedua, tiga minit sebelum tamat untuk Bayern melakar kemenangan pertama liga sejak merangkul gelaran itu.

empat minggu lalu dengan kempen liga masih berbaki tujuh perlawanan.

Jurulatih Pep Guardiola mengharapkan perlawanan itu sebagai pemanas badan sebelum bertemu Real.

"Bukan mudah buat kami selepas muncul juara liga Jerman namun kami berusaha keras untuk mengatasinya," kata Guardiola.

"Kami tidak akan layak ke final Liga Juara-Juara andai tidak mempamerkan permainan terbaik menentang Real." katanya lagi.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

Dominasi Juventus

Posted: 20 Apr 2014 10:38 AM PDT

Juventus kekal pada landasan terbaik untuk mencatat rekod mata terbanyak apabila semakin menghampiri kejuaraan Serie A hasil kemenangan 1-0 ke atas pasukan bawahan liga, Bologna awal pagi semalam.

Gol pada minit ke-64 menerusi bintang muda Perancis, Paul Pogba sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat kelab gergasi Turin itu sekali gus mengumpul 90 mata musim ini.

Dengan baki empat perlawanan dan hanya kalah dua kali dalam kempen liga musim ini, Juventus dijangka mampu menjadi kelab pertama melepasi pungutan 100 mata.

Kemenangan itu membolehkan mereka memiliki kelebihan lapan mata ke atas pencabar terdekat AS Roma yang mengatasi Fiorentina, 1-0 hasil jaringan pemain tengah Belgium, Radja Nainggolan pada minit ke-26.

Ia sudah cukup buat Roma mengesahkan kedudukan tangga kedua liga dan tiket automatik ke Liga Juara-Juara selepas pasukan di tangga ketiga Napoli sekadar seri 1-1 dengan Udinese di gelanggang lawan.

"Kami hampir mengesahkan kedudukan tempat kedua serta tempat ke Liga Juara-Juara namun masih percaya kami boleh menduduki tangga pertama liga," kata jurulatih Roma Rudi Garcia.

"Saya gembira dan pemain berhak meraikan kemenangan ini." Bagaimanapun kedudukan Napoli untuk mengekalkan slot terakhir Liga Juara-Juara tidak tergugat meskipun Inter Milan menang 2-0 ke atas Parma di gelanggang lawan.

Penyerang Torino, Ciro Immobile mengukuhkan tempatnya dalam skuad Piala Dunia Itali apabila menyumbat gol ke-20 musim ini.

Namun percubaannya pada hujung permainan itu dipadamkan apabila Lazio berjaya mencuri satu mata menerusi serangan terakhir di Stadium Olimpik bagi mengikat kedudukan 3-3.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

Cavani wira PSG

Posted: 20 Apr 2014 10:37 AM PDT

Paris: Paris Saint-Germain (PSG) merangkul gelaran Piala Liga Perancis selepas mengalahkan Lyon, 2-1 pada final di Stade de France, kelmarin untuk memastikan mereka dalam kedudukan terbaik melengkapkan dua kejuaraan domestik musim ini.

Edinson Cavani muncul wira skuad kendalian Laurent Blanc itu apabila meledak dua gol pada babak pertama dengan satu daripadanya menerusi sepakan penalti kontroversi.

Walaupun Alexandre Lacazette berjaya merapatkan kedudukan pada babak kedua, PSG nyata sukar digugat Lyon yang mengalahkan mereka dalam perlawanan Ligue 1, enam hari lalu.

Ia trofi kedua dimenangi kelab berpangkalan di ibu negara Perancis itu sejak diambil alih Qatar Sports Investments pada 2011 sekali gus menjadikan kelab itu antara kelab terkaya di Eropah dan memenangi liga musim lalu.

Kejuaraan Piala Liga itu yang keempat dalam sejarah 20 tahun pertandingan itu dan akan dilengkapkan dengan satu lagi gelaran Ligue 1 seawal Rabu ini dengan mengharapkan pencabar utama Monaco tumpas semalam.

"Ia satu penghormatan untuk beraksi di final, tapi anda perlu memenanginya dan kami berjaya melakukannya," kata Blanc.

"Ia sukar kerana Lyon beraksi dengan baik terutama pada babak kedua.

Kami mengharungi musim yang baik, tapi orang akan mengingatinya apabila kami memenangi gelaran dan ini adalah antaranya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

Bowling persahabatan erat silaturahim

Posted: 20 Apr 2014 10:36 AM PDT

Sungai Petani: Pasukan Pejabat Daerah 2 menjuarai perlawanan bowling persahabatan anjuran Jabatan Penerangan Daerah Kuala Muda di Sejati Bowling Park Avenue Taman Sejati Indah, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Naib juara milik pasukan PKPM dan ketiga Pengamal Media daerah Kuala Muda.

Sebelas pasukan menyertai pertandingan yang mendapat kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Merbok (PKPM).

Pegawai Penerangan Daerah Kuala Muda Idris Ahmad berkata, antara peserta lain yang menyertai perlawanan itu adalah kakitangan penghulu mukim.

"Program seumpama ini berjaya mengeratkan hubungan antara kakitangan Jabatan Penerangan Negeri Kedah dengan kakitangan agensi lain," katanya.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pegawai Khas PKPM Noor Hilmi Noor Lajis.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

No comments:

Post a Comment