Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Bubar T-Team!

Posted: 09 Apr 2014 10:26 AM PDT

Kuala Terengganu: "Jika T-Team tidak tingkatkan permainan dan turun bermain dalam Liga Perdana, pasukan itu akan dibubar!"

Demikian amaran keras Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said kepada pasukan T-Team supaya meningkatkan mutu permainan mereka bagi mengelak daripada turun ke Liga Perdana, musim depan.

Ahmad peminat bola sepak nombor satu di negeri ini berkata, sekiranya perkara itu berlaku, kerajaan negeri tidak ada pilihan selain menggugurkan pasukan itu daripada beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Menurutnya, jutaan ringgit sudah dibelanjakan untuk menguruskan dua pasukan, T-Team dan Terengganu dan sepatutnya pengorbanan itu dibalas dengan persembahan setimpal.

Foto

AHMAD (dua dari kanan) beramah mesra bersama sebahagian pendaki.


"Kita mahu melihat kedua-dua pasukan ini menunjukkan permainan terbaik dan bukannya beraksi ala yo-yo.


"Kita harap T-Team dapat bangkit dan mengelak daripada turun beraksi ke Liga Perdana kerana ketika ini, pasukan itu bergelut dalam kelompok bawahan liga.

"Jika turun juga, tidak akan ada lagi kelibat pasukan ini (T-Team) musim depan," katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran Ekspedisi Terengganu De' Everest 2015 di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Rozi Mamat.

T-Team di bawah bimbingan Azraai Khor Abdullah kini menghuni tangga kesembilan liga dengan meraih 13 mata daripada 12 perlawanan.

Skuad terbabit gagal mempamerkan aksi konsisten musim ini dengan masalah utama ketumpulan bahagian serangan.

Ditanya mengenai T-Team mahu mengambil bekas penyerang kebangsaan Perancis, Nicolas Anelka, Ahmad enggan mengulas perkara itu sebaliknya diminta tunggu dan lihat apa yang akan berlaku.

"Tengoklah macam mana, saya tidak boleh mengulas lanjut sebab masih di peringkat perbincangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Azraai puas hati aksi anak buah

Posted: 09 Apr 2014 10:22 AM PDT

Kuala Terengganu: Biarpun T-Team hanya mengutip satu mata di laman sendiri ketika berdepan Selangor malam kelmarin, jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah tetap puas hati dengan corak permainan diperagakan anak buahnya.

"Sudah tentu saya bersyukur dengan keputusan seri itu walaupun hasrat mengutip tiga mata penuh tidak berhasil," katanya.

Mohd Azraai berkata, beliau tetap berbangga dengan kesungguhan dipamer pemainnya.

"Pada babak pertama, kami tampak belum berupaya mengimbangi pelawat yang sering mencemaskan gawang kami.

Bagaimanapun selepas rehat, rentak permainan kami berubah sehingga berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi Patrick Wanggai," katanya.

Mengulas kehadiran import baru dari Brazil, Leandro Dos Santos, Mohd Azraai berkata, pemain itu mampu mencorakkan pasukan menjadi lebih baik selepas beraksi cemerlang ketika bertemu The Red Giants.

"Ada impak positif dengan kemasukannya, terutama ketika kami tidak lagi boleh ketinggalan mata," katanya.

Mohd Azraai berkata, menjelang pertemuan dengan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini, jurulatih itu mengharapkan anak buahnya mampu menemui rentak cemerlang untuk memperbaiki kedudukan liga.

"Biarpun sukar, saya yakin dengan kombinasi pemain baru, T-Team mampu melakukan kejutan ke atas pendahulu liga itu," katanya.

Foto

PENJAGA gol T-Team, Mohd Shahril (kanan) berjaya menghalang percubaan pemain Selangor, Mohd Rizal Fahmi (dua dari kanan) pada perlawanan, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Marwan dahaga jaringan

Posted: 09 Apr 2014 10:21 AM PDT

Kota Kinabalu: Penyerang import kelahiran Syria, Marwan Sayedeh bertekad terus mencipta lebih banyak gol dalam pusingan kedua Liga Perdana musim ini bagi membantu Sabah kembali ke kancah Liga Super tahun depan.

Pemain berusia 29 tahun itu mengakui 'dahagakan' jaringan pada setiap perlawanan, baik di gelanggang sendiri mahupun lawan.

"Sekarang kami harus fokus untuk tiga perlawanan pertama pusingan kedua iaitu menentang Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Pulau Pinang dan FELDA United kerana Sabah perlu menang untuk memperbaiki kedudukan liga.

"Sekiranya kami menang tiga perlawanan ini, kemungkinan Sabah berada di kedudukan nombor dua atau tiga liga dan ini bakal menaikkan semangat pemain," katanya.


Dalam pada itu, Marwan turut percaya pemain sedia ada ketika ini mampu menjadikan pasukan itu antara yang terkuat pada masa akan datang.


"Kami baru berusia empat bulan dengan dibarisi ramai pemain baru dan jika pemain sedia ada dikekalkan, saya percaya kami akan berjaya.

"Kami sudah lama berlatih dan bermain bersama dan jika musim depan berlaku pertukaran pemain, kami sekali lagi terpaksa bermula daripada kosong," katanya.

Penyerang itu kini sudah menjaringkan tujuh gol untuk Sabah, termasuk satu dalam aksi pusingan pertama Piala FA.

Pada masa sama Marwan turut merakamkan rasa terharu dengan sokongan penyokong.
"Saya amat berbangga dengan kesetiaan mereka yang sentiasa menyokong tanpa mengeluarkan kata-kata kurang enak walaupun kami gagal menang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

'Menang-menang'

Posted: 09 Apr 2014 10:20 AM PDT

Kuala Lumpur: PKNS FC mahukan situasi menang-menang membabitkan perpindahan pemain tengahnya, Mohd Nazmi Faiz Mansor ke Selangor.

"Memang wujud perbincangan mengenai perpindahan ini dengan kami memahami situasi dan keperluan Selangor namun kami juga mahukan situasi menang-menang membabitkan kedua-dua pasukan.

"Kami juga mahukan pemain Selangor untuk menyarung jersi PKNS FC.

Itu antara pilihan yang ada selain membabitkan yuran perpindahan," kata Pengerusi PKNS FC, Siti Zubaidah Abdul Jabar semalam.

Dua pemain yang sering memanaskan bangku simpanan Merah Kuning difahamkan menjadi permintaan PKNS FC bagi menguatkan jentera serangan tengah dan sayap skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan itu selepas mereka sebelum ini melepaskan salah seorang pemainnya, Fazli Baharuddin ke T-Team.

"Kita sebenarnya agak berat untuk melepaskan Nazmi kerana masih banyak perlu dipelajarinya untuk menjadi pemain lebih baik.

Namun kami juga memahami Selangor memerlukan khidmat Nazmi untuk menguatkan pasukan dalam baki cabaran Liga Malaysia," katanya.

Selangor kendalian Mehmet Durakovic sememangnya memerlukan pemain tengah kreatif selepas perancang tengah kebangsaan, K Gurusamy mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan terpaksa berehat untuk tempoh yang panjang namun Merah Kuning masih mempunyai pemain lain seperti Abdul Shukor Jusoh.

Nazmi yang pernah mengikat kontrak bersama kelab Portugal SC Beira Mar masih berbaki kontrak setahun setengah selepas pulang mengejut ke tanah air pada 2012.

Foto

NAZMI (bawah) ketika menentang Selangor, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Mohamad tolak tanding kerusi Timbalan Presiden FAM

Posted: 09 Apr 2014 10:18 AM PDT

Seremban: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menolak dicalonkan bertanding jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada pemilihan pucuk pimpinan FAM, 25 Mei ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) memberi alasan tidak mempunyai masa untuk bertugas di FAM.

"Saya tidak ada masa, saya sudah tolak apabila ditawarkan surat daripada FAM yang menyatakan saya dicalonkan persatuan bola sepak lain.

Sesiapa yang nak bertanding jawatan Presiden, mahu pun Timbalan Presiden dan Naib Presiden, pastikan mereka yang boleh bekerja dan menyumbang demi kemajuan sukan bola sepak negara," katanya kepada pemberita, semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta badan gabungan FAM supaya memilih mereka yang berkaliber dan dirasakan boleh membawa perubahan kepada sukan bola sepak negara serta boleh 'memandu' FAM ke tahap yang lebih tinggi.

"Ini bukan bermakna untuk pilih orang baru perlu tukar yang lama.

Orang lama pun OK, tapi dia mesti bekerja sebagai satu pasukan.

Foto


PBNS akan menyokong siapa saja yang boleh membantu untuk menyumbang kepada kegemilangan bola sepak negara," katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, PBNS akan menyingkirkan salah seorang daripada empat pemain import kerana prestasi kurang memuaskan, tetapi beliau tidak menamakan pemain itu.

"Saya mahu gantikan dengan pemain import yang baru.


Saya harap pemain import baru ini boleh menyumbang kepada peningkatan prestasi pasukan kita," katanya.

Empat pemain import yang kini beraksi dengan pasukan Negeri Sembilan ialah Josef Kaplan, Kim Jin Ryong, Jean Marc Alexendre dan Jean-Emmanuel Effa Owona.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Yakin boleh: Kim Swee

Posted: 09 Apr 2014 10:17 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih sementara skuad Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee menganggap bukan mustahil untuk Malaysia layak beraksi di pusingan akhir Piala Dunia 2019 Bawah 17 tahun menerusi Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Bagi pengendali itu, beliau percaya dengan perancangan teliti NFDP yang dikendalikan bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich Lim Teong Kim, impian itu mampu dilaksanakan walaupun sasaran sebenar program itu untuk jangka masa panjang.

"Ini program peringkat akar umbi dan sudah pasti ia membabitkan jangka masa panjang untuk kita melihat hasilnya.

Kita mempunyai lebih kurang lima tahun lagi sebelum kejohanan Piala Dunia Remaja (B-17) dan saya yakin sudah tentu KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sudah mengkaji setiap aspek yang perlu diambil untuk mencapai sasaran itu.

"Bagi saya, ia bukan sesuatu yang mustahil cuma program pembangunan pemain muda ini bukan mudah.

Ia membabitkan ramai jurulatih dan setiap jurulatih yang dipilih harus sedia berkorban untuk menggilap bakat pemain," katanya kepada Arena Metro semalam.

Program NFDP yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Akademi Bola Sepak, Gambang, Pahang hari ini mensasarkan untuk melatih seramai 10,000 remaja berusia tujuh hingga 17 tahun di seluruh negara secara berperingkat menerusi program 2014-2020.

Kim Swee yang kini turut mengendalikan skuad Harimau Muda A berkata, berdasarkan pengalamannya melatih pemain muda, perkara yang kekangan adalah penyelarasan waktu persekolahan dan latihan pemain.

"Saya percaya masalah ini tidak akan timbul lagi kerana ia membabitkan kerjasama KBS dan Kementerian Pendidikan Malaysia dan hal-hal pembelajaran dan latihan pemain pasti akan diselaraskan.


"Jika ini dapat diselaraskan, saya yakin program ini boleh berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Mercu tanda bola sepak Malaysia

Posted: 09 Apr 2014 10:16 AM PDT

Kuantan: Akademi Bola Sepak Negara dibina di kawasan berkeluasan 13.3 hektar di Gambang, di sini, bakal menjadi mercu tanda terbaru negeri ini yang secara tidak langsung akan melonjakkan mutu sukan nombor satu itu.

Pembinaan fasa pertama akademi berkenaan yang bermula pada September 2011 dan siap sepenuhnya Mei 2012, menjadikannya akademi bola sepak tercanggih di negara ini yang lengkap dengan kemudahan bertaraf dunia.

Menelan belanja kira-kira RM20 juta, perasmian akademi itu bakal disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini, sempena pelancaran Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Pembinaan akademi itu mengikut konsep akademi kelab bola sepak Inggeris, Everton selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan lawatan ke kelab berkenaan sekitar 2010.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pahang Kamaruzzaman Hassan Mansor berkata, akademi berkenaan mempunyai lima padang standard yang mengikut piawaian antarabangsa, empat bilik persalinan, bilik doping serta kemudahan asas lain.

Katanya, idea pembinaan akademi berkenaan dilahirkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang berpendapat perlunya pembinaan akademi itu demi meningkatkan mutu bola sepak negara.

"Pembinaan fasa satu akademi ini bermula 21 September 2011 dan mengambil masa kira-kira 34 minggu untuk disiapkan yang membabitkan lima unit padang bola sepak yang memenuhi piawaian antarabangsa.

"Selepas dilancarkan nanti, akademi ini akan menjadi akademi bola sepak pertama di negara ini yang lengkap dengan kemudahan bertaraf dunia kerana kita mengikut konsep kelab ternama luar negara," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, pemilihan lokasi agak jauh dari bandar Kuantan dianggap tepat kerana suasana akademi itu yang tenang membolehkan pemain lebih fokus dan dapat memberikan tumpuan maksimum ketika latihan.

Kamaruzzaman berkata, ketika kejohanan Pestabola Merdeka tahun lalu, akademi berkenaan digunakan pasukan yang bertanding antaranya Singapura, Myanmar, Thailand serta Singapura untuk mengadakan latihan.

"Kebanyakan pemain serta pegawai pasukan luar melahirkan kekaguman mereka terhadap akademi berkenaan dan tidak menyangka Malaysia mempunyai kemudahan bertaraf dunia.

"Pujian itu seharusnya menjadi pemangkin kepada pemain kita untuk terus meningkatkan prestasi mereka dan meletakkan tahap sukan ini di paras tertinggi selaras dengan kemudahan dimiliki," katanya.

Katanya, rakyat Pahang seharusnya berbangga dan mengambil peluang ini untuk menggunakan kemudahan sedia ada itu demi pembangunan bola sepak khususnya di negeri ini.

Foto

PINTU masuk akademi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Langkah terbaik lahir pemain berkualiti

Posted: 09 Apr 2014 10:14 AM PDT

Kuantan: Pembinaan Akademi Bola Sepak Negara di Gambang, di sini, adalah langkah terbaik dalam usaha melahirkan pemain berkualiti dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Bekas ketua pasukan kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, ia memberikan peluang kepada bakat muda untuk belajar 'mengenal' rumput sebelum didedahkan dengan latihan taktikal serta teknikal.

Katanya, peringkat usia tujuh dan lapan tahun dianggap sesuai untuk membentuk seseorang menjadi pemain bertaraf dunia dan pembinaan akademi berkenaan dilihat tepat pada masanya kerana negara kini ketandusan bakat muda.

"Pada usia sebegitu, mereka lebih mudah dibentuk dan dapat menyerap segala ilmu yang diajar termasuk dari segi mengawal dan menghantar bola kerana sebaik memasuki usia 15 dan 16 tahun, jurulatih tidak akan lagi mengajar perkara asas berkenaan.

"Jika perkara asas tidak mampu dikuasai, mungkin sukar untuk melahirkan pemain berkualiti apatah lagi mampu bersaing dengan pemain antarabangsa yang lain," katanya.

Beliau berkata, pemain seharusnya menghargai usaha dilakukan kerajaan dan menggunakan peluang terhidang untuk meningkatkan lagi kualiti permainan mereka.

Jamal Nasir berkata, kebanyakan pemain bola sepak negara mempunyai kekurangan dari segi taktikal dan ketahanan mental yang dilihat menjadi 'penghalang' untuk mereka pergi ke tahap lebih tinggi.

"Dengan adanya akademi ini, saya percaya pemain yang dilahirkan selepas ini mampu menangkis kekurangan itu kerana mereka sudah pastinya didedahkan dengan dunia bola sepak sebenar.

"Bagaimanapun, jangan kita fikir hari ini akademi berkenaan dilancarkan, tahun depan kita dapat melahirkan satu pasukan yang mantap.

Bola sepak adalah satu proses pembelajaran yang panjang dan setiap kejayaan tidak akan dapat diperoleh dalam masa singkat," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pemilihan jurulatih akan dilakukan dengan telus bagi memastikan pembinaan akademi berkenaan mencapai matlamatnya sekali gus tidak menjadi sia-sia.

Foto

ANTARA padang yang ditanam rumput 'cow grass'.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Miliki prasarana moden

Posted: 09 Apr 2014 10:12 AM PDT

Kuantan: Impian dan harapan rakyat Malaysia untuk melihat pemain tempatan beraksi di pentas dunia dan memiliki kemahiran setaraf pemain bola sepak terkenal mungkin dapat direalisasikan dengan perasmian Akademi Bola Sepak Negara di Gambang, di sini, hari ini.

Mempunyai kemudahan disifatkan bertaraf antarabangsa, akademi berkenaan dilihat mampu melahirkan pemain tempatan berkualiti dan meletakkan diri mereka setaraf pemain ternama yang lain.

Pembinaan fasa satu akademi berkenaan merangkumi lima unit padang standard serta bilik persalinan lengkap termasuk kemudahan lain yang sama seperti akademi bola sepak di luar negara.

Lima unit padang berkenaan menggunakan rumput jenis 'cow grass' yang sesuai dengan keadaan iklim di negara ini selain lebih tahan lasak serta mudah dijaga.

Malah, semua rumput berkenaan turut dilengkapi sistem siraman yang akan menyiram rumput di padang berkenaan tiga kali sehari bagi menjaga kualiti rumput serta memastikan padang berada dalam keadaan terbaik.

Satu lagi kelebihan padang berkenaan adalah keadaan tanah yang mampu menyerap air serta saliran terbaik sekali gus dapat mengelak takungan air jika hujan.

Buat masa ini, kemudahan akademi berkenaan digunakan untuk Piala Presiden serta beberapa program di bawah seliaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selain pelajar Sekolah Sukan Malaysia Pahang yang terletak bersebelahan akademi berkenaan.

Difahamkan, pembinaan fasa kedua akademi berkenaan akan memuatkan tujuh unit lagi padang serta bangunan asrama seterusnya menempatkan pelatih di akademi bertaraf dunia itu.

Foto

BILIK perubatan akademi.

Foto

BILIK persalinan pasukan pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Presiden kecewa

Posted: 09 Apr 2014 10:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff kecewa dengan keputusan diraih pemain badminton negara di Siri Super Terbuka India, Ahad lalu.

Walaupun jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) menyelamatkan maruah apabila menjuarai acara perseorangan, menewaskan musuh ketatnya dari China, Chen Long 21-13, 21-17, kemenangan itu belum cukup untuk membuatkan presiden berpuas hati dengan pencapaian barisan pemain negara.

Meskipun tidak berterus terang, beliau nyata kecewa dengan kegagalan pasangan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong dan Goh V Shem-Lim Khim Wah untuk sekurang-kurangnya mara ke suku akhir kejohanan itu.

Berbaki sebulan setengah sebelum Kejohanan Piala Thomas di gelanggang sama di India pada 18-25 Mei, Tengku Mahalel bagaimanapun belum mahu menekan butang panik kerana masih meletakkan kepercayaan tinggi terhadap barisan kejurulatihan bagi menghadapi pertandingan itu.

"Menang atau kalah adat pertandingan dan sememangnya BAM tidak puas hati dengan keputusan di India.

Soalnya kami perlu segera bangkit dan jurulatih perlu mengenal pasti segala kelemahan untuk diperbaiki.

"Untuk saingan Piala Thomas, kami tidak bercadang mengubah sasaran ditetapkan," katanya kepada Arena Metro menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.

Foto


Menurutnya beliau yakin dengan kepakaran dimiliki jurulatih negara bagi mengatasi masalah kemerosotan prestasi pemain.

"Rashid (Sidek) ditugaskan untuk merancang program latihan lebih sistematik bagi memantapkan cabaran kita di kejohanan itu nanti.


Saya yakin prestasi pemain kita akan meningkat," katanya.

Pada kejohanan Piala Thomas, Malaysia diletakkan selaku pasukan pilihan dalam Kumpulan C dengan pasukan tuan rumah India, Korea Selatan dan Jerman menjadi halangan.

Pada edisi 2012 di Wuhan, China, Malaysia tersingkir di peringkat suku akhir.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas ialah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur apabila menumbangkan Indonesia di final.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

No comments:

Post a Comment