Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Medan nilai kemampuan

Posted: 25 Apr 2014 09:51 AM PDT

Kuantan: Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 menyediakan medan terbaik buat skuad hoki negara menilai kemampuan sendiri menjelang Piala Dunia bulan depan.

Saingan yang berlangsung di Stadium Wisma Belia, Kuantan bermula hari ini bakal menampilkan lapan pasukan bersaing dengan New Zealand dan Korea Selatan menjadi pencabar utama skuad negara.

New Zealand akan mengetuai Kumpulan A diiringi Jepun, Ireland dan Poland manakala Malaysia dalam Kumpulan B bersama-sama Korea Selatan, Kanada dan Perancis.

Walaupun sukar diramalkan untuk melangkah ke pentas final, ia bukanlah halangan buat anak buah Muhammad Dhaarma Raj untuk tampil memberikan aksi terbaik terutamanya beraksi di depan penyokong sendiri.

Foto

DHARMA


Malah mereka sudah membuktikan pada Mac lalu apabila bergelar naib juara Piala Sultan Azlan Shah, tewas kepada pasukan nombor satu dunia, Australia di pentas final.


Jadi tidak mustahil buat mereka sekali lagi membuktikan keajaiban boleh dilakukan dengan misi awal membaiki kedudukan tempat keempat pada edisi 2001 dan 2012.

Tampil dengan lapan pasukan yang bertanding, Malaysia adalah pasukan ketiga terbaik di ranking ke-13 dunia dalam kejohanan ini di belakang New Zealand (6) dan Korea Selatan (7).

"Memang kehadiran New Zealand memberikan kesukaran kepada kita. Namun kita akan mencuba sebaik mungkin selain sedikit nasib akan membantu kita. Malah kita pernah menewaskan mereka sebelum ini.

"Korea Selatan pula menambahkan kekuatan mereka berbanding di Piala Sultan Azlan Shah. Ada pemain yang tiada di sana sudah di bawa ke Pahang kali ini. Ini bermakna mereka serius dengan kejohanan ini," kata Dhaarma.

Korea Selatan dilihat pilihan muncul juara Kumpulan B selepas meraih Piala Asia tahun lalu apabila membariskan pemain berpengalaman iaitu hanya lima daripada 18 pemain mereka beraksi kurang daripada 100 perlawanan untuk negara itu.

Namun kekuatan di atas kertas tidak semestinya menggambarkan kehebatan di padang dengan kombinasi pemain senior dan muda negara dilihat semakin mempamerkan peningkatan untuk memastikan kedudukan terbaik peringkat kumpulan sekali gus mencari laluan lebih mudah di suku akhir.

Kumpulan A pula menyaksikan New Zealand hampir pasti tidak mampu digugat apabila dijangka mudah mengatasi cabaran Jepun, Ireland dan Poland.

Anak buah Calin Both tampil dengan reputasi hebat sebagai naib juara Liga Hoki Dunia di India selain turut mempersiapkan pasukan untuk ke Piala Dunia seperti Malaysia dan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/26

Hanya terbaik dipilih

Posted: 25 Apr 2014 09:48 AM PDT

Kuantan: Tiada istilah pilih kasih buat pengendali hoki negara, Muhammad Dhaarma Raj dengan hanya yang terbaik terpilih dalam senarai 18 pemain untuk menggalas cabaran negara di Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 yang bermula hari ini.

Jurulatih negara itu melakar kejutan apabila menggugurkan bekas kapten negara, Mohd Shahrun Nabil selain Muhammad Razie Abd Rahim dan Muhamad Ramadan Roslan atas alasan kecederaan, semalam.

Dhaarma tidak menafikan yang keputusan itu terpaksa dilakukan demi memenuhi impian bergelar juara kejohanan membabitkan lapan negara itu.

"Saya mengambil masa lama sebelum menggugurkannya (Shahrun) dan ia bukannya perkara kecil kerana sumbangan dia kepada negara sebelum ini cukup besar. Namun kami perlu membuat keputusan itu," katanya.

Foto

AKSI skuad negara ketika perlawanan persahabatan menentang Ireland, Selasa lalu.


Beliau turut mengakui tertekan seandainya skuad negara gagal menghasilkan keputusan baik di kejohanan ini susulan pengguguran berkenaan.


"Saya faham apa yang boleh berlaku (apabila menggugurkan pemain berpengalaman) namun saya sudah memikirkan semasak-masaknya dan membuat keputusan terbaik untuk pasukan ini.

"Kita mahu pemain senior faham kerana mereka sudah lama bermain bersama. Kita tidak mahu sesiapa anggap kita menganiaya mana-mana pemain. Ini bukan keputusan saya saja tapi kumpulan jurulatih sepakat membuat keputusan," katanya.

Menurutnya, senarai 18 terakhir itu juga dibuat berdasarkan persembahan pemain dalam beberapa siri perlawanan persahabatan termasuk pertemuan dengan China, Ireland dan Poland.

"Bagaimanapun, pemain yang digugurkan masih lagi berpeluang mewakili negara ke Piala Dunia bulan depan," katanya.

Malaysia akan membuka cabaran dengan menentang Perancis dalam aksi pembukaan malam ini.

"Perlawanan malam ini penting untuk kami meraih kemenangan bagi bergelar juara kumpulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/26

Praveen sah slot Olimpik Remaja

Posted: 25 Apr 2014 09:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Atlet ekuestrian negara, M Praveen Nair menempah slot ke Sukan Olimpik Remaja 2014 di Nanjing, China, Ogos ini hasil kejayaan meraih pingat emas pada Kejohanan CS12 Show Jumping di Seoul, Korea Selatan pada Ahad lalu.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Ekuestrian Malaysia Mej (B) Yap Mou Soon berkata Praveen, 18, yang menunggang kuda 'Easy Boy', melakukan lompatan bersih pada ketinggian halangan 1.30 meter dengan catatan 78.96 saat.

"Dia akan bertanding di Nanjing dengan lompatan ketinggian 1.2 meter dan mempunyai prospek untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik Remaja nanti," katanya dalam kenyataan semalam.

Mou Soon berkata Praveen yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar, turut layak beraksi pada pusingan akhir World Show Jumping Games pada temasya Sukan Amerika Selatan, Oktober ini dengan mewakili Zon Asia. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/26

Khairy beri PKBM 'nyawa'

Posted: 25 Apr 2014 09:46 AM PDT

Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan menggantung Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) buat masa ini bagi memberi peluang kepada persekutuan itu melaksanakan langkah penambahbaikan berhubung isu kelemahan serius berkaitan peruntukan kewangan dihadapi.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sekiranya pihak kementerian mengambil tindakan menggantung persekutuan berkenaan, PKBM tidak dapat membuat tindakan susulan berdasarkan audit yang sudah dijalankan KBS sebelum ini.

"Kita perlu memberikan peluang kepada PKBM melakukan langkah penambahbaikan berdasarkan audit dijalankan KBS terhadap mereka.

"Justeru, saya berpendapat PKBM tidak akan digantung buat masa ini," katanya pada sidang media sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan KFC Peninsular Malaysia Sdn Bhd dengan Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) di sini, semalam.

Foto

KHAIRY (tengah) ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan KFC Peninsular Malaysia Sdn Bhd dengan Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA).


Melalui perjanjian itu, KFC Peninsular Malaysia menjadi penaja utama MYA dengan penajaan berjumlah RM2 juta pada tahun ini bagi membolehkan persatuan itu menjalankan aktiviti pembangunan sukan pelayaran di negara ini.


Turut diadakan Majlis Penyampaian Insentif Sukan SEA Myanmar 2013 serta Pelancaran Belia Belayar dan Liga Layar Malaysia.

Dalam pada itu, Khairy berkata, akaun yang diaudit unit audit dalaman KBS membabitkan semua program di bawah persekutuan basikal berkenaan serta sumbangan daripada kerajaan.

"Antara sumbangan yang diberikan kerajaan kepada PKBM ialah program lebuh raya dan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL)," katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan PKBM berdepan dengan tindakan lebih serius selepas audit kedua dijalankan KBS mendapati wujud beberapa kelemahan serius terhadap peruntukan kewangan yang disalurkan pihaknya.

Perkembangan berkenaan didedahkan Khairy selepas unit audit dalaman KBS selesai menjalankan audit dua minggu lalu selain memaklumkan kementeriannya tidak akan membawa perkara berkenaan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/26

Semangat Piya 'berapi'

Posted: 25 Apr 2014 09:44 AM PDT

Kuala Lumpur: Semangat pemain tengah Mohd Badhri Radzi terus membara meskipun nasibnya bersama skuad kebangsaan tampak tidak menyebelahinya sebelum ini.

Selepas dihimpit kontroversi kerana dikatakan tidak berminat menyarung jersi Harimau Malaya ketika dikendalikan Datuk K Rajagobal, pemain berusia 31 tahun itu bertekad untuk membuktikan tugasan negara tetap menjadi keutamaannya.

Di bawah bimbingan jurulatih baru Datuk Ong Kim Swee, Mohd Badhri atau turut dikenali sebagai Piya masih diberi kepercayaan kali ini bagi aksi persahabatan dengan Filipina di Cebu malam esok.

Biarpun masih merasa kepenatan selepas baru beraksi dengan Kelantan bagi aksi Piala AFC di Hong Kong Sabtu lalu, dia memberikan komitmen jitu apabila turut bersama 22 lagi pemain berangkat ke Cebu semalam.

Foto

PEMAIN negara, Bobby Gonzales (dua kanan) melepasi kawalan rakan ketika latihan di Wisma FAM Kelana Jaya baru-baru ini.


"Memang ada rasa penat sikit sebab baru pulang dari Hong Kong, tapi saya dan pemain lain masih ada masa untuk memulihkan tahap kecergasan semula sebelum perlawanan.


"Fokus saya sekarang untuk membantu skuad kebangsaan," katanya yang ditemui Arena Metro semalam.

Ini kali kedua Badhri dipanggil menyertai skuad kebangsaan tahun ini namun pada aksi persahabatan menentang Filipina ketika seri 0-0 awal bulan lalu dia hanya beraksi sebagai pemain gantian.

Dia juga tidak diturunkan pada perlawanan kelayakan Piala Asia selepas itu kerana taktikal jurulatih berikutan skuad negara kehilangan seorang pemain ketika menang ke atas Yaman 2-1.

"Memang kecewa sebab tak dapat bermain tapi saya tahu itu perancangan jurulatih, apa yang penting, saya terus berusaha merebut tempat dalam kesebelasan utama," kata Badhri.

Selain ingin membantu kemenangan pasukan, pemain tengah menyerang dan pakar sepakan percuma itu turut mempunyai misi peribadi.

"Saya tidak pernah menjaringkan gol bersama pasukan kebangsaan, jadi harap kali ini saya berpeluang melakukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/26

FAM guna pengadil ekstra

Posted: 25 Apr 2014 09:42 AM PDT

Shah Alam: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal melaksanakan sistem penolong pengadil tambahan (AAR) bermula peringkat suku akhir kejohanan Piala Malaysia 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata sistem itu diterima pakai dari Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA), yang akan dilaksanakan sepenuhnya dalam Liga Malaysia (Liga M) awal tahun depan.

"Kita akan memperkenalkan sistem ini bermula pertengahan tahun ini secara berperingkat-peringkat bermula dengan beberapa perlawanan persahabatan dan digunakan secara sepenuhnya bermula 2015," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus pengadil tambahan anjuran FAM semalam.

Menerusi sistem itu, beliau berkata akan ada dua penolong pengadil tambahan, menyertai seorang pengadil dan dua pembantu pengadil.

Mereka akan ditempatkan di sepanjang garisan gol di setiap gawang untuk melihat insiden di kawasan penalti dan membantu pengadil membuat keputusan, "Kos setiap set 'Radio Communication System' dan 'Electronic Flag' dianggarkan mencecah RM15,000, kita memerlukan 15 set lagi bagi memastikan sistem ini dapat dilaksanakan dalam Liga Malaysia," kata Astaman.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jawatankuasa Pengadil FAM menerima enam aduan mengenai mutu pengadilan lemah dari 415 perlawanan Liga M setakat ini.

"Dua daripadanya mempunyai asas untuk mengambil tindakan terhadap pengadil.

"Selain itu, seramai tujuh pengadil dan penolong pengadil sudah diambil tindakan berdasarkan laporan penilaian pengadil," katanya.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/26

'Orang besi' belum puas

Posted: 25 Apr 2014 09:40 AM PDT

Kuantan: Menjaringkan gol lebih banyak selepas ini menjadi tekad 'Orang besi' Pahang, Dickson Nwakaeme yang kini mengumpul enam gol sekali gus berada di tangga keempat senarai penjaring terbanyak Liga Super musim ini.

Imej selaku penyerang digeruni kini berjaya dibuktikannya apabila bukan saja menggegarkan gawang untuk Tok Gajah, malah menjadi pencetus gerakan buat rakan sepasukan meledakkan gol.

"Saya hanya memikul tugas, apa jua caranya, gol tetap perlu dijaringkan jika mahu menang, terutamanya Pahang kini sudah menjadi pendahulu Liga Super.

"Kalau ada peluang terbuka saya akan menjaringkan gol.

Namun, sekiranya peluang menjaringkan gol lebih berpihak kepada rakan, saya akan memberikan bola kepada mereka.


Sikap tamak tidak harus wujud dalam permainan berpasukan.

"Siapa yang menjaringkan gol tidak penting, lebih mustahak kami menang setiap perlawanan supaya mampu muncul juara," katanya.

Dickson berkata, selepas lebih empat bulan bersama Pahang, dia kini semakin serasi, terutama dengan Matias Conti dan rakan lain seperti R Gopinathan, Azamuddin Akil dan Hafiz Kamal sehingga mereka mampu membentuk persefahaman mantap.

Menurutnya, semua pemain kini dilihat berada pada kemuncak prestasi selain semakin bersemangat apabila berpeluang berehat dua minggu.

Katanya, kemampuan jurulatih, Zainal Abidin Hassan mengendalikan pasukan turut menjadi faktor kejayaan berbanding awal musim yang suram hingga menimbulkan rasa tidak senang Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

"Selepas berehat panjang, kami akan terus mencatat kemenangan bagi baki perlawanan untuk menjarakkan kedudukan dengan pesaing lain," katanya.

Menurut pemain kelahiran Lagos, Nigeria itu, corak percaturan Zainal Abidin yang mudah diterima pemain berjaya mengubah prestasi pasukan dan jika prestasi ini dapat dikekalkan, tidak mustahil impian menjulang tiga piala musim ini menjadi kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/26

PETEH gesa Penyu bangkit

Posted: 25 Apr 2014 09:40 AM PDT

Kuala Terengganu: Kemerosotan skuad Penyu sejak kebelakangan ini begitu mengecewakan dan membimbangkan Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (PETEH).

Sehubungan itu, PETEH menuntut Terengganu kembali ke landasan terbaik sekiranya mahu menjulang kejuaraan Liga Super buat pertama kali musim ini.

Ini kerana PETEH sentiasa berada di belakang skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim dan setakat ini sokongan yang diberikan mereka tidak berbelah bahagi.

Setiausaha PETEH Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, pihaknya jelas kecewa dengan corak permainan yang dipamerkan pemain Terengganu sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, pihaknya tidak tahu punca kejatuhan pasukan itu, namun apa yang diinginkan penyokong agar mereka supaya kembali bangkit dalam baki perlawanan Liga Super.

"Kami cukup sedih melihat aksi Terengganu.

Mereka pernah berada di puncak liga, tapi kini jatuh merudum dan lebih mengecewakan dua kali kalah di laman sendiri.

"Kalah dan menang adat permainan, tapi kami tidak boleh menerima kenyataan apabila pasukan ini jatuh secara mengejut.

"Saya bimbang sokongan padu diberikan ketika ini akan bertukar sebaliknya," katanya di sini, semalam.

Wan Mohd Azmi berkata, pihaknya turut menuntut Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), pegawai pasukan termasuk jurulatih supaya mencari jalan bagi memastikan misi menggapai Piala Liga Super tercapai.

Menurutnya, jika dilihat jurang mata Terengganu dengan pasukan teratas liga, ia tidak jauh berbeza dan peluang merebut kejuaraan boleh dikatakan sama rata musim ini.

"Siapa yang konsisten dalam baki perlawanan liga ini mampu menjulang piala.

Justeru, kami berharap dan yakin dengan barisan pemain yang cukup mantap, Terengganu dapat melakukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/26

Cari kelebihan

Posted: 25 Apr 2014 09:35 AM PDT

Kuala Lumpur: Mohd Zaqhwan Zaidi berada di landasan tepat untuk memburu kemenangan kedua berturut-turut selepas mencatat masa terpantas pada pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, Johor, semalam.

Pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu merakam masa terpantas 40.139s pada pusingan kelapan, 0.805s lebih pantas berbanding Mohd Affendi Rosli (PETRONAS Yamaha-CKJ) yang mencatat masa kedua terbaik, 40,944s sambil rakan sepasukan Affendi, Ahmad Afif Amran ketiga, 40.960s.

Bagi Zaqhwan, dia kini berada pada prestasi terbaik untuk mengulangi pencapaian menguasai sesi Superpole dan seterusnya memenangi perlumbaan akhir hari ini, sebagaimana dilakukan pada pusingan pertama di Batu Kawan, awal April ini.

"Jentera saya berada dalam keadaan cukup baik ketika ini.

Selepas dua pusingan, saya dapati kelajuannya semakin bertambah dan begitu selesa.

Tambahan pula, keadaan litar juga sedikit berbeza selepas beberapa selekoh sempit pada musim lalu kini dilebarkan bagi membolehkan pelumba mencatat masa lebih pantas.

"Saya mahu menang dan mencari kemenangan kedua musim ini untuk dijadikan bekalan selesa bagi menghadapi perlumbaan akan datang.

Foto

ZAQHWAN buru podium kedua di Muar.


Melihat juara musim lalu, Ahmad Fuad Baharudin yang memenangi gelaran keseluruhan dengan rekod tiga kali memenangi perlumbaan iaitu pada pusingan kedua (Melaka), kelapan (Jempol) dan pusingan terakhir di Shah Alam.

"Jadi, secara asasnya, jika saya memenangi tiga perlumbaan peringkat awal musim ini, ia dapat memberi sedikit kelebihan.


Walaupun saingan masih panjang, namun jika berjaya, saya dapat mengurangkan tekanan hanya dengan beraksi konsisten di kelompok depan berbanding tekanan tinggi untuk memenangi perlumbaan.

Sebab itulah saya sangat berharap untuk memenangi perlumbaan di Muar ini," kata Zaqhwan.

Dalam saingan CP115, pelumba Motul Yamaha YY Pang sekali lagi menguasai saingan selepas Tengku Amirul Haffirudin mencatat masa terpantas 41.253s sambil rakan sepasukan, Zaidi Mohd Zaifaizal muncul pelumba ketiga terpantas dengan masa 41.600s.

Mohd Amirul Ariff Musa (Givi Honda Yuzy Racing) mencatat masa kedua terpantas dengan catatan 41.282s.

Sementara itu, di dalam saingan Wira, tiga pelumba Kumpulan A menguasai catatan terbaik didahului Khairul Idham Pawi (Kozi Yam Honda Racing) yang merakam masa terpantas, 42.203s diikuti Fairuz Nasir (Felda PbaFb Tech Racing) di kedudukan kedua dengan masa 42.414s sambil Mohd Khairul Ikhwan Ajis ketiga, 42.424s.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/26

Skuad badminton pulang awal

Posted: 25 Apr 2014 09:34 AM PDT

Kuala Lumpur: Malaysia menamatkan cabaran lebih awal pada Kejohanan Badminton Asia (ABC) 2014 selepas dua beregu negara terkandas pada saingan suku akhir di Stadium Tertutup Gimcheon, Korea Selatan, semalam.

Beregu lelaki negara, Low Juan Shen dan Nelson Heg Wei Keat kalah 18-21, 13-21 kepada pasangan China, Shi Longfei dan Chen Zhuofu dalam masa 33 minit, menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi laman web www.bwf.org.

Beregu wanita negara, Anscelly Amelia Alicia dan Soong Fie Cho pula tewas 12-21, 12-21 kepada wakil India, Ponnappa Ashwini dan Gutta Jwala dalam aksi yang berlangsung selama 40 minit.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menghantar skuad elit negara pada kejohanan yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah AS$200,000 (RM654,030) itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/26

No comments:

Post a Comment