Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Lela tak gusar

Posted: 05 Apr 2014 07:31 AM PDT

Kuala Lumpur: Penerjun terbaik negara, Pandelela Rinong tidak gusar kemampuan rakan seperjuangan yang lain malah dia yakin keupayaan barisan penerjun untuk terus mencabar kuasa besar China.

Bagi Pandelela, apa yang penting bagi dirinya bukan memikirkan siapakah bakal menjadi penggantinya kerana skuad terjun negara mempunyai ramai atlet berbakat biarpun menyedari peluang atlet negara menewaskan penerjun China amat sukar.

Katanya, dia hanya perlu fokus kepada terjunan dan memperbaiki aksi dari masa ke semasa terutama terus konsisten dalam terjunan.

"Memang kita semakin menghampiri penerjun China, tapi mereka memiliki banyak kelebihan. Sekiranya seorang penerjun mereka berdepan masalah, mereka mempunyai ramai pengganti dan penguasaan tahap kesukaran terjunan adalah sama rata.

Foto

PANDELELA (depan) bergandingan dengan Mun Yee dalam acara 10m platform seirama.

Foto

DHABITAH (atas) dan Jun Hoong penerjun berbakat negara.


"Tambahan pula mereka menggunakan kelebihan susuk tubuh yang kecil itu untuk menguasai setiap terjunan.


"Namun saya sedikitpun tidak bimbang mengenai penerjun negara kerana saya yakin kita juga mempunyai ramai penerjun berbakat seperti Cheong Jun Hoong dan Nur Dhabitah Sabri," katanya yang merangkul pingat gangsa di Sukan Olimpik London dalam acara 10m platform individu.

Pandelela selepas ini akan meneruskan aksi pada Kejohanan Siri Terjun Dunia FINA selepas menghadiahkan tiga perak dan satu gangsa di dua siri terdahulu yang berlangsung di China dan Dubai.

Dia yang akan bergandingan bersama Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama seterusnya akan beraksi di London dari 25-27 April diikuti Russia (2-4 Mei), Kanada (30 Mei-1 Jun) sebelum menutup tirai di Mexico pada 6-8 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Tiada noktah!

Posted: 05 Apr 2014 07:21 AM PDT

Kuala Lumpur: Kemelut dalaman, masalah kepimpinan dan krisis kewangan adalah tiga aspek sering diperkatakan dalam persatuan sukan kebelakangan ini. Masalah itu seperti tiada kesudahan yang berlanjutan hingga menjejaskan prestasi serta pembangunan sukan masa depan.

Jadi, apakah benar persatuan berdepan semua masalah itu tidak lagi mempunyai prospek masa depan dan mereka tidak mengambil usaha mengatasinya bagi memastikan kesinambungan masa depan sukan terjamin.

Bagi menyelami masalah itu, wartawan Arena Metro Ahad, Esme Johari Wahab menemuramah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin Abu Bakar bagi mendapatkan pandangan beliau menerusi wawancara khas di pejabat beliau di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya, baru-baru ini.

Foto

KHAIRY Jamaludin Abu Bakar

Foto

PENYOKONG tegar bola sepak negara mahukan perubahan pada pucuk pimpinan FAM.

Foto

SKUAD berbasikal lebuh raya negara juga pernah dipalit kontroversi.

Foto

JELAJAH Jom Bangkit Bekas Pemain Sepak Takraw Malaysia menuntut perubahan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia.

S: Isu persatuan sukan berdepan pelbagai masalah masih berlanjutan, bagaimana pandangan YB?

J: Bukan semua persatuan sukan bermasalah. Saya tidak boleh nafikan ada antara persatuan terbabit berdepan masalah. Persatuan terbabit pula ada pelbagai. Antaranya masalah kepimpinan, masalah kewangan sebab tiada penaja, masalah pengurusan disebabkan tidak cukup kakitangan yang terlatih dan masalah daripada segi tiada perancangan. Saya juga tidak nafi ada persatuan mengendali aktiviti dengan baik kerana memiliki kewangan dan pengalaman luas.

S:Bagaimana YB melihat masalah ini membabitkan politik dalam sukan?

J:Saya tidak boleh membuat kesimpulan. Politik dalam sukan memang hebat. Ada menganggap persatuan sukan sebagai satu platform. Ada yang berkhidmat sebab cintakan sukan dan ada juga berkhidmat untuk diri sendiri. Kita tidak boleh tolak kemungkinan ada pemimpin sukan menjawat jawatan disebabkan agenda peribadi.

S:Adakah persatuan bermasalah disebabkan kewangan disalur tidak mencukupi?

J: Ada setengah persatuan memang tidak cukup duit. Ada persatuan kukuh seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memiliki kewangan yang kukuh. Walaupun prestasi baik tetapi ada persatuan tidak memiliki dana yang cukup.

S: Boleh berkongsi pandangan persatuan yang konsisten dan boleh dijadikan contoh?

J: Salah satu persatuan boleh dicontohi adalah karate. Mereka mendapat banyak pingat emas pada Sukan SEA. Saya faham mereka tiada banyak wang. Kita akan bantu persatuan yang tidak cukup dana, tetapi menunjukkan pencapaian yang tinggi jangka panjang dan sentiasa memberikan prestasi terbaik dalam memajukan sukan.

S: Bagaimana tahap krisis kepimpinan persatuan sukan di negara ini. Adakah digambarkan terlalu kritikal?

J: Secara keseluruhan tidak terlalu kritikal. kebanyakannya sederhana. Walaupun ada kritikal, tetapi secara purata saya tidak menganggap semuanya kritikal.

S: Bolehkah KBS campur tangan serta-merta mengatasi masalah persatuan sukan berdepan krisis kepimpinan?

J: KBS, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan hanya campur tangan apabila diperlukan kerana badan terbabit tidak boleh campur tangan membabitkan perjalanan persatuan sukan kerana mengikut undang-undang ia tidak boleh dilakukan. Kita hanya campur tangan apabila membabitkan pembiayaan daripada kerajaan dan apabila membabitkan duit rakyat tidak dibelanja dengan baik. Dari situ KBS, MSN dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan boleh memainkan peranan.

S: Daripada segi pelaksanaan program perancangan persatuan. Apakah anda melihat ia menyeluruh dan teratur?

J: Banyak persatuan ada perancangan baik. Atas kertas, saya lihat semua 'top', tetapi daripada segi pelaksanaan tidak. Faktor utama adalah kepimpinan dan kewangan. Bila kepimpinan terlalu banyak campur tangan dalam aspek teknikal, maka ia boleh menyimpang daripada perancangan asal. Saya diberitahu ada ramai pemimpin persatuan sukan yang patut menjadi pentadbir, tetapi hendak menjadi jurulatih, itu tidak betul. Itu bukan kepakaran mereka. Kita ambil jurulatih dan pakar teknikal menjaga kejurulatihan. Pemimpin persatuan sukan tidak wajar campur tangan.

S: Bagaimana YB melihat cara persatuan perlu diuruskan?

J: Saya tidak salahkan persatuan sukan jika mereka tidak cukup duit. Ada persatuan langsung tiada kreativiti mencari duit. Mereka perlu ada penaja, perlu ada pegawai pemasaran dan inisiatif yang bijak. Mereka tidak boleh pergi berjumpa penaja seperti seorang peminta sedekah untuk memberikan wang kepada mereka. Ada banyak persatuan sukan mengendali pengurusan sukan mereka sebagaimana sesebuah badan bukan kerajaan (NGO) digerakkan. Pendekatan itu tidak sesuai kerana persatuan sukan perlu ditadbir seperti organisasi korporat. Persatuan sukan perlu lebih kreatif dan bersifat masa depan. Sukan sekarang adalah perniagaan. Saya tidak nafikan ada persatuan berusaha bersungguh-sungguh mencari duit, tetapi tidak mendapat dana diharapkan.

S: Apakah tindakan proaktif KBS dalam jangka masa panjang untuk memperbaiki dan meningkatkan mentaliti persatuan bermasalah?

J: KBS menganjurkan pelbagai kursus pemantapan organisasi. Saya membuat keputusan mana-mana persatuan yang berhasrat mendapatkan pembiayaan atau dana daripada kerajaan, pengurusan persatuan perlu melalui kursus pengauditan dan pengurusan kewangan yang dikendalikan Pejabat Pesuruhjaya Sukan. Ini disebabkan ada persatuan gagal menguruskan perbelanjaan akaun dengan baik, tidak amanah dan mengeluarkan perbelanjaan tidak sama seperti dilaporkan kepada KBS. Peruntukan diminta RM2 juta, tetapi bila audit menyeluruh dibuat, mereka tidak melakukannya seperti apa yang perlu dibuat.

S: Adakah YB bertegas dalam isu membabitkan penyaluran kewangan terhadap persatuan sukan?

J: Saya sebagai menteri tidak boleh komen sama ada seseorang perlu letak jawatan atau tidak. Saya sudah berjumpa dengan semua pemimpin persatuan, ada yang mahukan kepimpinan baru. Saya selaku 'regulator' mengakui ada sukan tertentu memiliki kualiti yang begitu rendah. Saya serah kepada jawatankuasa, ahli gabungan dan pentadbir untuk mencari jalan membangunkan dan meningkatkan semula sukan terbabit. Siapa buat, siapa kendali tidak menjadi masalah asalkan kualiti sukan kembali meningkat. Saya harap mereka fikir-fikirlah untuk masa depan.

S: Apa perkembangan baru isu marker paintball selepas lebih enam bulan tidak aktif selepas diletakkan di bawah pengawasan polis?

J: Saya sudah bercakap dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Beliau setuju paintball dikecualikan daripada Akta Senjata Api. Polis menyatakan marker paintball diletakkan di bawah akta itu dan perlu dilesenkan. Apapun, beliau bersetuju menyelesaikan masalah itu. Saya rasa paintball tidak ada masalah untuk beroperasi semula.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Zaqhwan langkah kanan

Posted: 05 Apr 2014 07:14 AM PDT

Batu Kawan: Mohd Zaqhwan Mohd Zaidi (gambar) memulakan musim 2014 dengan cemerlang apabila berjaya menguasai sesi ujian masa CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2014 yang berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam.

Pelumba Givi Honda Yuzy Racing yang sememangnya terkenal dengan jolokan 'Raja Ujian Masa' itu mencatat masa terpantas 53.333 saat mengatasi Mohd Affendi Rosli (PETRONAS Yamaha-CKJ) yang merakamkan masa kedua terbaik, 53.561s sambil Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang) turut memulakan saingan musim 2014 dengan positif setelah mencatat masa ketiga terpantas, 53.591s.

Meskipun gembira dengan keputusan itu, Zaqhwan dengan rekod cemerlang menguasai enam sesi ujian masa daripada 10 pusingan keseluruhan musim 2013 tetap berwaspada dan tidak mahu sejarah lepas berulang setelah dia gagal menterjemahkan kelebihan itu untuk menguasai sesi Superpole seterusnya memulakan perlumbaan dari petak pertama.

"Saya tidak mahu terlalu gembira meskipun memulakan kempen musim 2014 dengan keputusan positif," kata Zaqhwan.

"Keputusan pada hari ini (semalam) tidak membawa makna yang besar sebaliknya saya perlu beraksi lebih cemerlang pada sesi Superpole esok (hari ini) supaya dapat memulakan perlumbaan akhir dari petak pertama.

"Saya mahu membuang 'badi' musim lepas dimana saya gagal mencatat masa terbaik ketika Superpole.

"Cuma saya agak gembira kerana catatan ini dapat mengukur prestasi saya dengan pelumba-pelumba lain dan pada masa sama saya masih kekal berada di kelompok hadapan sekalipun telah berehat panjang sejak kejuaraan tamat, Disember lepas," jelas pemenang tempat ketiga keseluruhan musim 2014 ini.

Mengulas ketiadaan juara di Batu Kawan musim lalu, Azlan Shah Kamaruzaman yang berlumba sepenuh masa di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dan juara keseluruhan, Ahmad Fuad Baharudin serta pelumba remaja, Mohd Ramdan Mohd Rosli yang kini beraksi di Sepanyol, Zaqhwan mengakui ia begitu dirasai.

"Ketiadaan mereka agak dirasai terutama memandangkan saya banyak bertanya kepada senior seperti Azlan dan Fuad bagaimana untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang ada, namun saingan musim ini saya jangkakan akan bertambah sengit," katanya.

"Pelumba senior lain seperti Affendi dan Norizman Ismail kekal menjadi ancaman utama untuk memburu kejuaraan pada tahun ini, begitu juga dengan pelumba-pelumba muda seangkatan termasuklah juara CP115, Ahmad Afif Amran yang kini beralih ke kelas CP130.

"Persaingan kini lebih terbuka dan tidak mustahil kita dapat melihat juara berbeza pada setiap pusingan." Zaqhwan pernah menamatkan saingan di Batu Kawan di tempat kelima pada musim 2013.

Dalam kategori CP115, dua pelumba Motul Yamaha YY Pang berada di kalangan tiga pelumba terpantas dengan Mohd Izzat Zaidi Salehan merakam masa terbaik 54.246s manakala Tengku Amirul Haffirudin mencatat masa ketiga terbaik, 54.561s.

Elly Idzlianizar Ilias (M Seki Liberty Honda) mencatat masa kedua terpantas dengan masa 54.415s.

Sementara itu, kategori Wira pula dikuasai oleh Amirul Hakim Mohd Rizal (MOS Track Pro Yamaha) yang mencatat masa terpantas, 56.165s diikuti Mohd Harith Farhan Baharin (Kozi Yam Honda Racing), 56.212s dan Mohd Afiki Supaat ketiga, 56.346s.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Azlan jamin infrastruktur selamat

Posted: 05 Apr 2014 07:11 AM PDT

Kangar: Menteri Besar Perlis, Azlan Man memberi jaminan infrastruktur dan kemudahan selamat untuk kegunaan Sukan Malaysia ke-17 (Sukma) kerana disediakan mengikut spesifikasi.

Dia berkata, kerajaan negeri tidak bertolak-ansur dalam memastikan projek disiapkan mengikut jadual bagi menjamin keselamatan atlet dan orang ramai.

"Tidak terdapat sebarang perubahan skop pekerjaan dan spesifikasi sepanjang tawaran dibuat bagi menyiapkan kemudahan terbabit sebelum sukan diadakan dua tahun sekali itu bermula pada 24 Mei.

"Insya Allah semua kemudahan itu selamat untuk digunakan," katanya selepas menyaksikan majlis Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksanaan projek MSN menyerahkan gelanggang tinju, gelanggang tenis, hostel dan pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) kepada MSN, semalam.

Pengarah JKR Perlis, Ir Azizan Abdul Rahman menyerahkan replika kunci tiga kemudahan bernilai RM2 juta terbabit kepada pengarah MSN, Muhd Azahari Ramli.

Menurut Azlan, kolam renang dan sembilan kemudahan lain termasuk gelanggang badminton, gelanggang skuasy, stadium utama dan kelab golf kini siap sepenuhnya dan kontraktor dijangka menyerahkannya kepada MSN sebelum hujung bulan ini.

"Semua infrastruktur masih di bawah tempoh tanggungan jadi kontraktor masih bertanggungjawab terhadap sebarang kelemahan," katanya.

Dia berkata, kebanyakan kemudahan sedia masih boleh digunakan kecuali beberapa yang perlu di naik taraf.

Dari segi kemudahan penginapan, dia berkata Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Teknologi Mara di Arau memiliki kemudahan sebagai penginapan utama untuk lebih 6,500 atlet dan pegawai sepanjang Sukma berlangsung.

Azlan berkata dia turut berpuashati dengan kualiti dan projek pembinaan untuk Sukma yang dipantau oleh JKR.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Srikandi cilik muay thai

Posted: 05 Apr 2014 07:11 AM PDT

Kuala Lumpur: Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Mungkin itu boleh diperkatakan mengenai si cilik, Nurul Syahirah Shahrin Borhan, 12, yang menceburkan diri dalam bidang seni mempertahankan diri.

Jika bapanya, Borhan Budong pernah mewakili negara di pentas silat, lain pula haluan anak sulung daripada tiga beradik itu.

Nurul Syahirah pula lebih meminati sukan muay thai yang ternyata jauh lebih lasak untuk kanak-kanak sepertinya, tetapi rasa hairan hilang begitu saja sebaik melihat dia beraksi bersama sepupunya, Nurul Ain Nabila Azman, 13.

"Minat itu datang secara tiba-tiba, apabila ayah membawa saya melihat perlawanan muay thai apatah lagi ayah bekas pesilat dan kini menjadi pengadil muay thai," kata pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Taman Paroi Jaya itu.

"Pada mulanya saya menyertai silat dan taekwondo, tetapi selepas itu beralih ke muay thai.

"Apa yang penting untuk berjaya dalam sukan ini adalah keberanian." Ternyata dia tidak bercakap kosong apabila turut menjuarai Kejohanan Muay Thai Kebangsaan 2013 bagi kategori bawah 12 tahun dan juga meraih gelaran Atlet Muay Thai Harapan dalam kejohanan sama.

Kini, atlet muda yang suka mengisi masa lapang dengan membaca novel mahu mengulangi pencapaian sama dalam Kejohanan Muay Thai Dunia yang akan diadakan di Langkawi, Mei ini.

Biarpun bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, dia mahu memberi tumpuan terhadap kejohanan berkenaan dan pastinya kemenangan mampu memberi motivasi terhadapnya.

Nurul Ain juga sehebat sepupunya itu apabila berjaya merangkul gelaran naib juara dalam kejohanan Muay Thai terbabit.

"Saya menyertai sukan ini kerana ajakan Nurul Syahirah dan ternyata ia memang menyeronokkan," kata Nurul Ain.

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kepayang, Seremban 2 mengakui rasa sakit adalah sesuatu yang biasa dalam mana-mana sukan mempertahankan diri, justeru sudah biasa dengan aksi lasak sukan terbabit.

"Lebih-lebih lagi ibu bapa turut memberi galakan dan saya juga membuat persediaan untuk menyertai Kejohanan Dunia kelak," katanya yang bercita-cita untuk menjadi guru.

Sementara itu, Borhan, 38, mengakui minat anaknya itu datang sendiri apabila sering mengikutinya menjalani latihan taekwondo dan silat ketika aktif dalam kedua-dua sukan itu tidak lama dahulu.

Borhan yang mewakili negara dari 2002 hingga 2004 dalam acara silat olahraga kini boleh berbangga apabila seorang lagi anaknya, Nurul Edryana, 8, turut layak ke Kejohanan Dunia bagi peringkat junior.

"Mereka bakal menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) untuk kejohanan itu," katanya yang turut mempersiapkan mereka dengan latihan selang sehari demi mengukuhkan kemahiran masing-masing.

Foto

NURUL Syahirah (kiri) dan Nurul Ain gigih menjalani latihan hadapi Kejohanan Muay Thai Dunia.

Foto

NURUL Syahirah (kiri) dan Nurul Ain sedia gegar gelanggang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Habuan lumayan aksi prestij

Posted: 05 Apr 2014 07:06 AM PDT

Penganjuran sukan ini bukan saja dikagumi berikutan prestij yang dibawanya, malah habuan yang ditawarkan juga tidak kurang lumayan.

1: Liga Juara-Juara AS$65 juta (RM212.4 juta)

Dua puluh tahun lalu, konsep 'pemburuan tempat keempat' tidak pernah didengari dalam bola sepak Inggeris. Namun kini, pencapaian itu tidak kurang pentingnya seperti menjuarai liga itu sendiri. Malah ia turut dianggap lubuk emas buat kelab bertanding. Juara bertahan, Bayern Munich membawa pulang AS$65 juta (RM212.4 juta) selepas menewaskan kelab senegara Borussia Dortmund di Wembley, Mei lalu.

Foto

PEMAIN Bayern memenangi RM212.4juta selepas muncul juara Liga Juara Juara.

Foto

STENSON bersama trofi FedEx dimenanginya.

Foto

PEMAIN Sepanyol meraikan kejayaan menjuarai Piala Dunia 2010.

2: Piala Dunia AS$31j (RM101.6j)

Ketepikan dakwaan mengenai penyelewengan dan kesalahan dalam FIFA, penganjuran bola sepak antarabangsa menjadi acara paling dinantikan dan disaksikan lebih 700 juta penonton. Habuan kejayaan juga tidak kurang hebatnya, hasil operasi komersial FIFA bertaraf dunia. Juara bertahan Sepanyol bertekad mempertahankan kejuaraan mereka di Brazil musim panas ini.

3: Kejuaraan Eropah AS$29j (RM95.1j)

Ditubuhkan pada 1960 dan hanya membabitkan empat pasukan, Euro semakin berkembang sejak 54 tahun lalu, baik dari aspek skala mahupun kewangan. Euro 2016 yang akan dianjurkan di Perancis dikatakan terbesar setakat ini, berikutan penambahan kepada 24 negara berbanding 16 pada edisi lalu. Sepanyol menjuarainya pada 2012 dan 2008, membolot sejumlah wang hasil usaha mereka.

4: Siri Dunia Besbol AS$19j (RM62.3j)

Acara tumpuan Liga Utama Besbol, Kejohanan Siri Dunia Besbol berusia lebih daripada 100 tahun. Juara terkini adalah Boston Red Sox, yang menewaskan St Louis Cardinals tahun lalu

5: Liga Europa AS$12j (RM39.1j)

Liga Europa, jelmaan semula Piala UEFA, satu kejohanan yang sering dipandang sepi biarpun oleh pasukan yang bertanding. Biarpun ia dianggap sebagai 'gangguan' oleh pengurus dan peminat, ganjaran AS$12j (RM39.1j) tidak dipandang sebelah mata.

6: Siri Poker Dunia Sehingga AS$12j (RM39.1j)

Kejohanan Siri Poker Dunia dianjurkan di Las Vegas (di mana lagi?) memberi ganjaran minimum AS$10j (RM32.7j) untuk pemenangnya. Pada 2006, Jamie Gold membawa pulang AS$12j (RM39.1j) atas kejayaan dalam acara utama. Juara ketika ini adalah pemain poker profesional, Ryan Riess.

7: Super Bowl AS$11j (RM38.8j)

Agak mengejutkan bagi sebuah sukan yang mempunyai tontonan ramai dan berjaya dari aspek komersialnya hanya menawarkan AS$11j (RM38.8j) sebagai hadiah kejuaraan meskipun ada pengiklan sanggup membayar sehingga AS$4j (RM13 j) untuk komersial selama 30 saat.

8: Piala FedEx AS$10j (RM32.7j)

Piala FedEx, siri empat kejohanan playoff kali pertama diperkenalkan pada 2007. Juara ketika ini yang turut membawa pulang AS$10j (RM32.7j) adalah pemain golf dari Sweden, Henrik Stenson.

9: Piala Dunia Dubai AS$10j (RM32.7j)

Bukan sesuatu mengejutkan apabila kejohanan perlumbaan kuda termewah dunia diadakan di Dubai. Ia dianjurkan setiap Sabtu terakhir Mac dan dipertandingkan di Meydan Racecourse bernilai AS$1.25bilion (RM4.07bilion). Kejohanan itu diasaskan pada 1996 oleh Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu yang juga pemerintah Dubai yang memiliki Darley Stud dan Godolphin Racing.

10: Piala Kelab Dunia FIF AAS$5j (RM16.3j)

Kontroversi di England tercetus pada 2000 apabila juara bertahan Piala FA ketika itu Manchester United menarik diri daripada kejohanan itu untuk menyertai edisi sulung Piala Kelab Dunia. Kejohanan itu terus berkembang dan kini dianggap antara gelaran berprestij. Tahun lalu, Bayern Munich muncul juara dengan menewaskan kelab Maghribi, Raja Casablanca.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Neymar gemuruh

Posted: 05 Apr 2014 06:54 AM PDT

Rio de Janeiro: Berbaki kurang sepuluh minggu sebelum bermulanya Piala Dunia di laman sendiri, bintang Brazil, Neymar (gambar) mengakui dia semakin gemuruh.

"Saya anggap ia satu penghormatan untuk menyarung jersi Brazil di negara sendiri dan menyaksikan impian sejak kecil menjadi kenyataan namun rasa berdebar semakin terasa dan saya rasa begitu gementar," kata Neymar dalam satu wawancara.

Peminat Brazil bergantung harap kepada bakat pemain berusia 22 tahun itu untuk menjulang kejuaraan Piala Dunia buat kali keenam dan bintang Barcelona itu menegaskan mereka melakukan persediaan sebaik mungkin untuk menghadapi perlawanan pembuka tirai menentang Croatia di Sao Paolo pada 12 Jun ini.

"Kami akan memberikan yang terbaik untuk memastikan Brazil menjulang gelaran," kata Neymar yang akan menjadi pemain kedua termuda menyarung jersi keramat nombor 10 untuk Selecao di Piala Dunia.

Pele menjadi pemilik popular jersi berkenaan ketika berusia 17 tahun pada Piala Dunia 1958 disusuli kejohanan 1962 dan 1970.

Neymar mengakui tiada perlawanan yang mudah di Brazil, yang tewas kepada Uruguay apabila kali terakhir mereka menjadi tuan rumah pada 1950 dan kali ini berdepan Croatia, Mexico dan Cameroon dalam satu kumpulan.

"Pasukan lawan sentiasa mahukan kemenangan dan akan lakukan apa saja ketika berdepan Brazil," katanya.

"Kami tidak membezakan lawan kerana sedar setiap perlawanan pastinya sukar.

Mara ke final adalah satu impian, tidak kiralah siapa yang dihadapi." Ditanya mengenai terlepas peluang beraksi di Piala Dunia 2010, Neymar berkata, bukan gilirannya untuk bermain dalam Piala Dunia.

"Saya sentiasa bekerja keras untuk hari itu, malangnya tidak menjadi.

Bagaimanapun saya bernasib apabila dipanggil menyarung jersi Brazil," katanya.

"Perbezaan di antara Neymar 2010 dan 2014, yang ini lebih matang dan lebih banyak pengalaman, keseronokan bermain tetap sama."- AFP

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Lexi, Pak kongsi kedudukan pendahulu

Posted: 05 Apr 2014 06:52 AM PDT

Rancho Mirage, Amerika Syarikat: Pemain golf remaja Amerika Syarikat, Lexi Thompson meledak lapan birdie untuk mencatat lapan bawah par 64 semalam untuk berkongsi kedudukan pendahulu Kejohanan LPGA Kraft Nabisco dengan Pak Se-Ri.

Usaha Lexi di Lapangan Dinah Shore, Mission Hills memberikannya tujuh bawah par 137 keseluruhan.

Kedua-dua mereka hanya satu pukulan di depan seorang lagi pemain AS, Michelle Wie yang melakukan dua birdie dan satu bogey untuk 71 pukulan dan mengumpul 138 pukulan keseluruhan.

Pendahulu pusingan pertama Feng Shanshan dari China pada mulanya berkongsi tempat pendahulu di lubang ketujuh, yang juga lubang ke-16 dilaluinya pada hari itu.

Bagaimanapun dua bogey berturut-turut membawa padah apabila menamatkan saingan satu atas par 73, berkongsi tempat keempat dengan Cristie Kerr dengan 139 pukulan.

Kejayaan Shanshan di Kejohanan LPGA 2012 menjadikannya pemain China pertama meraih kejuaraan pertama, namun dalam pusingan ini dia mencatat empat bogey dan tiga birdie.

Christie melakukan 70 pukulan pada hari itu untuk pulang dengan lima bawah par.

Se-Ri, pemenang lima kejohanan utama memburu kemenangan pertama dalam Kejohanan Kraft Nabisco.

Begitu juga dengan Lexi, 19 yang memburu kejuaraan pertama kejohanan utama selepas menjadi pemain termuda menjuarai Jelajah LPGA pada 2011 pada usia 16 tahun dan menambah dua lagi gelaran selepas itu.

"Saya cuba fokus terhadap setiap pukulan, tetapi tidak terlalu meletakkan tekanan terhadap apa yang saya lakukan," kata Lexi.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Arsenal tak mampu kalah lagi

Posted: 05 Apr 2014 06:41 AM PDT

Liverpool: Arsene Wenger mengakui Arsenal seharusnya menyalahkan diri sendiri jika gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.

Skuad Wenger akan berdepan Everton hari ini dalam perlawanan penting apabila masing-masing memburu tempat beraksi dalam saingan kelab elit Eropah itu.

Gunners kini menduduki tempat keempat dan slot terakhir untuk Liga Juara-Juara dengan memiliki kelebihan empat mata di depan Everton yang berada di tangga kelima.

Kekalahan kepada skuad Roberto Martinez di Goodison Park akan menyebabkan kelab London utara itu berdepan bahaya melepaskan kelebihan dimiliki kerana Everton mempunyai baki satu perlawanan lagi.

Arsenal yang tercicir dalam saingan liga selepas melepaskan kedudukan pendahulu meskipun mendahului untuk tempoh yang lama.

Tekanan saingan empat pasukan teratas juga terjejas selepas gagal mencatat sebarang kemenangan pada tiga perlawanan terakhir termasuk dibelasah 6-0 di Chelsea.

Dalam keadaan seperti itu, Wenger memahami Arsenal tidak boleh gagal sekali lagi pada perlawanan di Merseyside hari ini Bos Gunners itu berkata: "Ia satu peluang buat kami untuk menyerang dan sudah tentu terus menjarakkan kedudukan dengan Everton.

Ia kedua-duanya sekali.

"Sasaran adalah menamatkan kedudukan pada peringkat tertinggi mungkin.

Apapun segala-galanya sekarang bergantung kepada keputusan kami," kata Wenger.

Arsenal kembali suntikan semangat apabila pemain tengah Wales, Aaron Ramsey yang menjaringkan 13 gol dalam 27 sebelum mengalami kecederaan paha ketika menang 3-1 di West Ham pada 26 Disember.

"Memiliki seseorang seperti Ramsey yang boleh membantu pasukan berjaya sangat penting," kata Wenger.

"Dia bekerja keras pada sesi latihan tetapi apa menjejaskannya adalah kekurangan perlawanan dan kejuaraan disertai," katanya, Arsenal ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Liverpool - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

No comments:

Post a Comment