Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


5 kali tangguh

Posted: 31 Mar 2014 11:39 AM PDT

Klang: "Saya tidak sangka niat kami ke Tanah Suci dipermainkan individu tidak bertanggungjawab sehingga saya malu ke pejabat," kata Mohd Azhar Zambri, seorang bakal jemaah umrah yang mendakwa ditipu agensi pelancongan di Bukit Jati, di sini, kelmarin.

Mohd Azhar, 31, berkata, kumpulannya itu terdiri daripada 39 anggota persatuan pekerja sebuah syarikat swasta termasuk enam kanak-kanak mahu menunaikan ibadat umrah, namun perjalanan ke Tanah Suci ditangguh lima kali tanpa sebab munasabah oleh sebuah agensi pelancongan.

Dia berkata, sepatutnya rombongan itu dijadualkan bertolak pada 16 Mac lalu, tetapi dibatalkan dengan alasan ada jemaah gagal memperoleh visa daripada Kedutaan Arab Saudi sebelum ditunda ke 18 Mac.

Menurutnya, selepas tarikh itu, agensi yang bertanggungjawab menguruskan rombongan memberi tarikh baru pada 22 Mac namun sekali lagi mereka terpedaya kerana ditunda kali ketiga dengan alasan penerbangan balik penuh.

Foto

MOHD Azhar (kanan) bersama rakan yang terpaksa melupakan niat mereka apabila perjalanan ke Tanah Suci dibatalkan pada saat akhir oleh ejen pelancongan.


"Selepas perjalanan kali ketiga tertunda, agensi itu sekali lagi memberi tarikh baru pada 27 Mac tetapi pada jam 12 tengah malam, seorang lelaki mengaku sebagai wakil agensi bernama Ustaz Zul memaklumkan ia ditangguhkan lagi kerana masalah penerbangan.


"Tidak tahan kerana dipermainkan, kami meminta wakil persatuan menelefon ustaz berkenaan untuk meminta perjelasan.

"Ustaz itu kemudian menetapkan tarikh baru iaitu Sabtu lalu termasuk memberi jadual perjalanan dengan kami meminta berkumpul di surau pada jam 12 tengah hari, tetapi sebaik tiba, kami sekali lagi diberitahu perjalanan dibatalkan," katanya ketika ditemui di Surau Islamiyah di Bukit Jati, di sini, kelmarin.

Azhar berkata, alasan diberikan dianggap tidak munasabah kerana ustaz itu memberitahu penerbangan dibatalkan dalam tempoh tidak sampai 24 jam disebabkan jumlah penumpang tidak ramai.

"Ustaz itu juga mengugut kami supaya jangan menghubungi Kedutaan Arab Saudi untuk membuat semakan jika tidak dia membatalkan program itu," katanya.

Seorang lagi mangsa, Hajar Osman, 56, berkata, dia terkilan kerana niat menunaikan umrah kali pertama tertunda beberapa kali.

"Tergamak dia menipu kami sedangkan kami hendak pergi ke Tanah Suci untuk ibadat. Dengan duit simpanan yang ada, saya buat bayaran bersama anak, tetapi malangnya tiada rezeki kami ke sana," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan anggotanya kini menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Laporan palsu dakwa dikurung bekas suami

Posted: 31 Mar 2014 11:35 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang wanita membuat laporan polis palsu mendakwa dikurung dan tidak dibenarkan menjamah makanan oleh bekas suaminya sepanjang dia menumpang di rumah lelaki itu di Pantai Dalam, di sini, sejak beberapa bulan lalu.

Polis yang melakukan siasatan mendapati wanita berusia 28 tahun itu berbuat demikian selepas tidak berpuas hati dengan bekas suaminya enggan memberikannya wang.

Sumber polis berkata, pasangan terbabit sudah bercerai, namun si lelaki simpati kerana bekas isterinya tidak bekerja membenarkan wanita itu tinggal sementara di kediamannya.

"Walaupun sudah bercerai, namun keperluan wanita terbabit tetap ditunaikan menyebabkan bekas isterinya terus menetap selama beberapa bulan dan enggan bekerja.

"Namun, dalam kejadian terbaru Rabu lalu, wanita terbabit datang ke tempat kerja suaminya dan meminta sejumlah wang, namun apabila lelaki itu enggan berlaku pertengkaran di antara mereka sebelum wanita itu membuat laporan polis Rabu lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, siasatan pihaknya mendapati wanita terbabit tidak pernah dikurung atau dipukul sebaliknya dia dibenarkan tinggal di rumah bekas suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Buat laporan palsu tutup salah rakan

Posted: 31 Mar 2014 11:20 AM PDT

Nibong Tebal: Penipuan seorang lelaki memakan diri selepas dia ditahan kerana membuat laporan palsu berhubung kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 164, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara berhampiran Jawi di sini, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu yang juga seorang kontraktor dikatakan datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) jam 8.30 malam kelmarin membuat laporan berhubung kemalangan itu dan mengaku sebagai pemandu kenderaan Toyota Hilux terbabit ketika kejadian berlaku.

Dia dikatakan bertindak demikian untuk melindungi rakannya iaitu individu sebenar memandu Toyota Hilux terbabit tanpa memiliki lesen memandu sah.

Bagaimanapun, gelagatnya itu menimbulkan rasa curiga pegawai penyiasat terbabit selain keterangan dan fakta yang diberikan lelaki itu kerap bercanggah.

Ketua Polis Daerah SPS Superintendan Shafien Mamat berkata, lelaki berkenaan datang dengan ditemani tiga rakannya termasuk pemuda berusia 29 tahun iaitu pemandu sebenar Toyota Hilux ketika kemalangan berlaku.

"Ditanya mengapa lewat membuat laporan lelaki terbabit memberikan alasan bergegas menghadiri kenduri kahwin di Perlis.

"Selain gelagat mencurigakan lelaki sama juga gagal mengemukakan bukti bahawa sudah menghadiri majlis perkahwinan itu manakala siasatan lanjut dilakukan mendapati dia memberikan keterangan tidak benar.

"Semuanya dilakukan untuk mengelakkan rakannya iaitu pemandu sebenar Toyota Hilux berkenaan ketika kejadian tidak mempunyai lesen memandu daripada dikenakan tindakan," katanya.

Kontraktor berkenaan bagaimanapun dibebaskan jam 5 pagi semalam dengan jaminan selama dua minggu selain pihak polis berpuas hati dengan kerjasama dan keterangan diberikan.

Siasatan mendapati ketika kejadian Toyota Hilux terbabit dinaiki lelaki berkenaan bersama tiga lagi rakannya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Lembah Klang.

"Tindakan lelaki itu hanya menambahkan lagi masalah kerana bukan saja terbabit dengan kemalangan sebaliknya cuba mengelirukan penjawat awam dengan memberikan keterangan palsu.

"Perkara ini amat serius dan mereka yang terbabit dengan kemalangan diberi amaran supaya tidak melakukan perkara sama kerana ia hanya merugikan diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Mayat longkang desasiswa

Posted: 31 Mar 2014 11:00 AM PDT

Georgetown: Rasa curiga seorang pengawal keselamatan membawa kepada penemuan mayat lelaki tanpa identiti dalam longkang berhampiran tempat letak motosikal asrama Desasiswa Restu, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, jam 12.43 pagi, semalam.

Sebelum kejadian pengawal keselamatan terbabit melakukan rondaan rutin dan terlihat objek pelik dalam longkang berkenaan.

Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki dipercayai sudah meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Ismail Idris berkata, berdasarkan siasatan dilakukan mangsa tidak memiliki sebarang identiti pengenalan diri.

"Ketika ditemui mayat lelaki berkenaan memakai baju warna kuning dengan tertera tulisan 'Pertandingan Pertolongan Cemas Cawangan Perak' dan berseluar sukan pendek.

"Kami cuba mendapatkan petunjuk kejadian itu dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berhampiran, tetapi gagal kerana alat keselamatan tidak berfungsi," katanya.

Foto

ANGGOTA polis forensik memeriksa mayat yang ditemui di longkang.


Ismail berkata, pihaknya juga mendapatkan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk mencari petunjuk bagaimanapun, usaha itu tidak berhasil.


Pelajar yang tinggal di asrama berkenaan juga mendakwa mereka tidak mengenali mangsa menyebabkan usaha mengesan identiti lelaki terbabit menjadi semakin sukar.

"Bagaimanapun seorang daripada pelajar yang ditemui mendakwa terdengar bunyi seperti objek jatuh ke dalam longkang berkenaan kira-kira jam 11.30 malam.

"Siasatan akan dijalankan secara terperinci termasuk sekiranya ia mempunyai unsur jenayah, memandangkan kawasan asrama berkenaan berpagar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Ambil tindakan tegas berita tidak tepat

Posted: 31 Mar 2014 10:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Kementerian Luar serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia digesa supaya mengambil tindakan tegas terhadap media antarabangsa termasuk saluran Cable News Network (CNN) yang membuat laporan tidak tepat hingga memburukkan imej negara berhubung isu kehilangan pesawat MH370.

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) meminta kedua-dua kementerian itu berperanan lebih proaktif supaya masyarakat dunia tidak berterusan melihat Malaysia sebagai negara pengganas.

"Kita kena tunjuk ketegasan kita.

Kita kena tunjuk pada dunia yang Malaysia tidak ada elemen subversif seperti digambarkan media asing dalam isu MH370.

"Kita mesti jawab di peringkat antarabangsa sebab ini imej negara...seolah-olah kita negara penuh dengan pengganas," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2013) 2014 bagi bacaan kali kedua peringkat dasar, semalam.

Desakan Azalina itu turut mendapat sokongan daripada Mas Ermieyati Samsudin (BN-Masjid Tanah), Mohamed Hanipa Maidin (PAS-Sepang) dan Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut).

Mas Ermieyati turut mempertikaikan pengetahuan geografi agensi berita asing itu yang tidak mengetahui lokasi sebenar Kuala Lumpur yang sebelum ini turut memaparkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai 'Datuk Seri Najib Rahman'.

Azalina turut menggesa pembangkang bersatu dengan kerajaan dalam isu MH370 terutama berdepan media asing memburukkan imej negara.

"Saya berharap yang berhormat di pihak pembangkang dan kerajaan bersatu dalam isu MH370.


Ini bukan saja kerana penumpang, tetapi imej Malaysia...imej kita sebagai orang dituduh macam-macam (oleh media asing)," katanya.

Beliau turut bersimpati terhadap keluarga juruterbang dan pembantu juruterbang yang berdepan pelbagai tohmahan ekoran kehilangan pesawat itu sejak 8 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

No comments:

Post a Comment