Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Jangan leka'

Posted: 30 Mar 2014 02:08 PM PDT

Kali pertama mengungguli tahkta Liga Super begitu menggembirakan pemain Skuad Tok Gajah, namun pengendali Zainal Abidin Hassan mengingatkan anak buahnya tidak dibuai kelekaan.

Ini kerana pencapaian itu masih terlalu awal kerana masih banyak tugas yang perlu diselesaikan.

Justeru Zainal tidak mahu pemainnya berasa terlalu selesa selaku pendahulu liga selepas mengharungi 10 perlawanan.

"Semua pemain perlu lebih fokus dan meneruskan prestasi terbaik mereka kerana saingan liga masih panjang dan pusingan pertama saingan itu belum lagi berakhir.

"Bagaimanapun, kejayaan ini seharusnya menjadi motivasi terbaik untuk lebih yakin dan tampil dengan persembahan lebih cemerlang pada perlawanan akan datang," katanya semalam.

Mengulas kemenangan 2-0 ke atas Perak hasil jaringan Dickson Nwakaeme dan R Gopinathan kelmarin, Zainal berpuas hati dengan komitmen semua pemain yang bekerja keras mengutip tiga mata berharga.

Biarpun secara keseluruhan persembahan tidak mencapai tahap yang diinginkan, beliau tetap bangga kerana pemain mengotakan janji untuk meneruskan rentak kemenangan.

"Pada masa sama, saya akui tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari begitu padat tetapi mereka berjaya menyempurnakan misi kemenangan terutama di gelanggang sendiri.

"Saya harap pencapaian ini dapat dikekalkan untuk memastikan Pahang terus selesa berada persada liga tetapi perlu lebih berwaspada dengan pasukan lain seperti Terengganu dan Selangor," katanya.

Terengganu dan Selangor berada di tangga kedua dan ketiga liga tetapi mereka kurang satu perlawanan.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

BISA BALE

Posted: 30 Mar 2014 11:45 AM PDT

Gareth Bale meledakkan dua gol bagi membantu Real Madrid bangkit dari dua kekalahan liga berturut-turut menewaskan Rayo Vallecano 5-0, semalam.

Atletico Madrid kekal menguasai takhta La Liga apabila bangkit mengalahkan Athletic Bilbao 2-1 manakala Barcelona menang tipis 1-0 ke atas Espanyol hasil penalti Lionel Messi pada lewat perlawanan.

Kemenangan ketiga-tiga pesaing utama itu bermakna Atletico mengekalkan kedudukan pendahulu dengan satu mata mengatasi Barcelona dan Real, masing-masing ketinggalan dua dan tiga mata.

Bale membantu Cristiano Ronaldo untuk gol pembukaan di Bernabeu dan meneruskan penguasaan pemain Portugal itu apabila meledak gol sepanjang 10 perlawanan lalu untuk kelab dan negaranya, melepasi kawalan dua pemain pertahanan Rayo sebelum sepakan menerjah ke sudut gawang.


Karim Benzema kemudiannya gagal menjaringkan gol dan Bale turut terlepas beberapa peluang terbaik berdepan Ruben Martinez.

Dani Carvajal akhirnya menjadikan perlawanan dalam kedudukan selamat apabila menjaringkan gol pertama untuk kelab itu.


Bale kemudiannya mengambil alih senarai penjaring untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Alvaro Morata melengkapkan gol kelima 12 minit sebelum masa tamat.

"Kami bangkit kembali selepas dua kekalahan," kata pengurus Carlo Ancelotti.

"Kami bermain dengan baik ini akan membantu kami berdepan perlawanan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Serena terlalu unggul buat Li Na

Posted: 30 Mar 2014 11:45 AM PDT

Miami: Serena Williams bangkit merangkul kemenangan ketujuh di Miami WTA selepas menewaskan pemain China, Li Na 7-5, 6-1.

Pertembungan itu membabitkan dua pemain utama dunia dengan pemain nombor satu dari AS merangkul gelaran WTA yang ke-59 termasuk 17 gelaran Grand Slam.

Dia merangkul trofi kedua tahun ini selepas menjulang kejuaraan di Brisbane Januari lalu dan menyertai Martina Navratilova, Steffi Graf dan Chris Evert, satu-satunya wanita di era Terbuka WTA memenangi gelaran sama sebanyak tujuh atau lebih.

"Saya sebenarnya sangat teruja pada penghujung perlawanan," kata Serena yang menjulang gelaran WTA paling banyak di kejohanan yang menggabungkan acara lelaki dan wanita namun berkongsi rekod enam trofi kejuaraan keseluruhan bersama Andre Agassi.

"Pastinya saya mahu memiliki gelaran paling banyak di sini," kata Serena yang menetap di Miami dan bermain kejohanan pertamanya ketika berusia 16 tahun.

"Saya berasa seperti sudah membesar apabila satu ketika dulu menyertai kejohanan ini sebagai seorang kanak-kanak, melihat ramai pemain dan menjadi satu daripada pemain ini ia sangat hebat bagi saya," katanya.


Biarpun perlawanan itu menjadi sangat dramatik dengan Serena menang 11 daripada 12 permainan, Li Na perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal ameneruskan penguasaan biarpun pada satu ketika Serena ketinggalan.

"Saya tidak fikir saya bermain dengan teruk," kata Li Na.


"Mungkin dia bermain dengan baik selepas ketinggalan 2-5.

"Saya berpendapat ia satu perlawanan yang baik." Li Na merangkul gelaran kedua Grand Slam di Terbuka Australia Januari lalu kini tewas 10 perlawanan berturut-turut menentang Serena.

-AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Flamini sekat City

Posted: 30 Mar 2014 11:44 AM PDT

Manchester City melepaskan peluang menggantikan Chelsea di puncak Liga Perdana selepas terikat 1-1 menentang Arsenal yang tampil mempamerkan peningkatan kelmarin.

Kekalahan Chelsea 0-1 di Crystal Palace bermakna kemenangan di Stadium Emirates akan membolehkan City melonjak di tangga teratas dengan kelebihan jaringan, namun mereka kekal di kedudukan ketiga selepas jaringan pembukaan David Silva dinafikan Mathieu Flamini.

Ini bermakna lima mata kini memisahkan pendahulu liga, Chelsea dan kelab di kedudukan keempat, yang mempamerkan persembahan lebih berkeyakinan selepas kekalahan 0-6 kepada skuad kendalian Jose Mourinho.

Kelebihan Chelsea kini tipis.

Bagaimanapun, seperti City yang ketinggalan dua mata beraksi kurang dua perlawanan, manakala Liverpool yang berada di kedudukan kedua akan melonjak ke puncak liga jika menewaskan Tottenham Hotspur.

"Saya tidak pasti jika ini adalah mengecewakan," kata pengurus City Manuel Pellegrini.

"Minggu ini kami sudah menentang Manchester United (menang 3-0) di tempat lawan dan Arsenal, kami meraih empat daripada enam mata.

"Setiap kelab mahu memenangi semua perlawanan namun Arsenal adalah sebuah pasukan bagus dan mereka turut bersaing merebut kejuaraan." Selepas permintaan Tomas Rosicky untuk mendapatkan penalti awal untuk Arsenal ditolak, City mendahului menerusi Silva pada minit ke-18 selepas menolak bola susulan rembatan Edin Dzeko yang terkena tiang.


Pertahanan tengah Arsenal, Per Mertesacker secara tidak sengaja hampir menggandakan kelebihan City pada peringkat awal separuh masa kedua apabila bola hanya beberapa inci untuk melintasi garisan selepas penjaga gol Wojciech Szczesny menolak bola hantaran silang Jesus Navas ke arahnya.

Namun selepas beberapa seketika, Arsenal menyamakan kedudukan apabila Lukas Podolski mendapat ruang melakukan hantaran silang dari sebelah kiri dan Flamini melakukan sepakan ke penjuru kanan gawang pada minit ke-53.

"Apabila anda melihat keputusan hari ini (kelmarin), apa saja boleh berlaku," kata pengurus Arsenal Arsene Wenger.

"Kami mungkin sudah jauh berbanding kedudukan teratas namun kami perlu meneruskannya dengan semangat begini mungkin membawa tuah."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Mourinho hanya tenangkan Azpi

Posted: 30 Mar 2014 11:43 AM PDT

London: Jose Mourinho mengakui beliau bercakap dengan budak pengutip bola ketika kekalahan mengejut Chelsea 0-1 di Crystal Palace kerana mengakui bimbang berlaku konfrontasi membabitkan salah seorang pemainnya.

Pertahanan Chelsea, Cesar Azpilicueta terbabit dalam pertengkaran kecil dengan pengutip bola itu selepas kecewa masa diambil untuk mengembalikan bola pada babak kedua di Selhurst Park kelmarin.

Chelsea ketinggalan ketika itu selepas John Terry menjaringkan gol sendiri pada minit ke-52 dan insiden mencerminkan perasaan kecewa yang semakin menebal ketika skuad kendalian Mourinho itu cuba kembali bersaing dalam perlawanan.

"Saya ke sana untuk menghentikan Azpilicueta kerana dia lelaki yang beremosi, salah seorang individu yang kehilangan semangatnya," kata Mourinho.

"Saya bimbang Azpi akan menolak budak itu atau melakukan sesuatu, jadi saya pergi ke sana." Kebimbangan Mourinho terhadap taktik melambatkan perlawanan budak pengutip bola akan menjadi tidak terkawal menyebabkan skuad kendaliannya mensia-siakan peluang mengukuhkan kedudukan di puncak liga.

Beliau mendakwa kekalahan itu bermakna skuad kendaliannya kini tidak akan memenangi Liga Perdana dan mempersoalkan mentaliti sesetengah pemain di Selhurst Park.

"Kami kekurangan mentaliti serta sedikit kualiti.

Mentaliti kerana lawan jelas menewaskan kami dalam aspek itu," kata Mourinho.

-AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Tonik jumpa Bayern: Rooney

Posted: 30 Mar 2014 11:43 AM PDT

Manchester: Wayne Rooney percaya Manchester United mampu mencabar pada aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara awal menentang Bayern Munich, Rabu ini selepas kemenangan selesa 4-1 menewaskan Aston Villa.

Rooney meledak dua gol dengan Juan Mata menjaringkan gol pertamanya untuk kelab dan Javier Hernandez turut menggegar gawang untuk United menafikan jaringan awal Villa menerusi Ashley Westwood pada perlawanan yang berlangsung kelmarin.

Perlawanan dibayangi dengan protes penyokong terhadap pengurus United, David Moyes dan sebuah kapal terbang diterbangkan melintasi Old Trafford ketika perlawanan dengan membawa kain rentang yang mahukan beliau digantikan.

Namun Rooney merasakan kemenangan itu termasuk cabaran United berdepan juara Eropah Bayern, mampu menjadi inspirasi terhadap kelab yang semakin goyah itu.

"Ia adalah perlawanan penting," kata penyerang England itu.

"Aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang juara bertahan.

Kami teruja dan tidak sabar.


Ia akan menjadi perlawanan yang hebat dan semoga mendapat keputusan yang bagus." Dua jaringan Rooney menentang Villa membolehkan dia kini mengumpul 171 gol di Liga Perdana -kedudukan keempat dalam senarai penjaring terbanyak -namun penyerang itu lebih gemar berbicara mengenai kemenangan yang menghentikan krisis terbaru United.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Sri Mersing bedal Endau

Posted: 30 Mar 2014 11:39 AM PDT

Sekolah Kebangsaan Sri Mersing (SKSM) mengungguli Kejohanan Bola Baling Lelaki bawah 12 tahun MSSD Mersing Johor selepas menumpaskan SK Bandar Endau 5-1 pada final di Gelanggang SK Teluk Lipat Endau, baru-baru ini.

SKSM menang tipis 3-2 pada aksi separuh akhir ke atas SK Teluk Lipat.

Jurulatih Othman Yunus berkata, kejayaan itu berkat latihan dua minggu sebelum kejohanan bermula membuahkan hasil membanggakan.

Katanya, sokongan semua pihak termasuk guru besar, guru dan ibubapa membantu kejayaan pasukan.

"Amat membanggakan apabila lima pemain SKSM terpilih mewakili Mersing ke kejohanan peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Johor (MSSJ).

Beliau berharap, lima pemain terbabit menunjukkan aksi sebenar membantu Mersing menjuarai peringkat MSSJ.

Pengerusi Teknik Bola Baling MSSD Mersing, Azmi Arazad berkata, 20 pemain itu akan dipanggil untuk latihan pusat selepas kejohanan.

Katanya, latihan pusat akan diadakan sebaik sesi persekolahan dibuka bagi memudahkan guru-guru menghantar pemain terpilih menjalani latihan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Gagal fokus punca tewas

Posted: 30 Mar 2014 11:38 AM PDT

Pasir Gudang: Kesilapan demi kesilapan akhirnya memerangkap pasangan beregu muda negara Goh V Shem -Lim Khim Wah apabila tewas kepada pasangan Singapura, Danny Bawa Chrisnanta-Chayut Triyachart pada final Grand Prix Emas Terbuka Malaysia 2014 di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, semalam.

Pasangan itu tewas 17-21, 20-22 sekali gus hanya berpuas hati membawa pulang wang tunai RM15,000, manakala pasangan Singapura itu RM31,000.

Dalam aksi set pertama, pasangan negara bermula goyah sekali gus menghampakan penonton tempatan yang hadir memberi sokongan kepada satu-satunya wakil negara itu.

Walaupun cuba bangkit pada set kedua, usaha pasangan muda untuk mengheret pertembungan ke set ketiga tidak kesampaian selepas Danny-Chayut dilihat bijak memasang strategi memerangkap sikap gelabah pasangan negara.

V Shem-Kim Wah harus menyalahkan diri mereka sendiri kerana gagal fokus ketika di hujung saingan sebelum pasangan Singapura itu mengutip mata akhir untuk muncul juara.

Dalam pada itu, saingan akhir lain didominasi pemain China apabila meraih kejuaraan kategori beregu dan perseorangan wanita serta beregu campuran.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Strategi bijak

Posted: 30 Mar 2014 11:37 AM PDT

Percaturan bijak jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim membariskan peledak tempatan hampir membuahkan hasil sebelum terpaksa berpuas hati terikat 1-1 dengan Kelantan, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, kelmarin.

Menurut beliau kejayaan menundukkan ATM 3-0 minggu lalu menjadi pencetus kebangkitan pemain tempatan untuk mencipta jaringan lebih besar dalam setiap perlawanan.

"Ketumpulan jentera penyerang import membuatkan kami mengubah strategi meletakkan dua penggempur tempatan untuk merobek gawang Kelantan.

"Bagaimanapun pada babak pertama, rangkaian penyerang diperangkap pertahanan Kelantan sekali gus menggagalkan usaha memburu jaringan menerusi Mohd Norfarhan Muhamad dan Abdul Manaf Mamat," katanya.

Selain itu, kegagalan beberapa pemain membaca hantaran dan memegang bola terlalu lama menyebabkan peluang menjaringkan gol gagal diterjemah dengan baik.

"Biarpun hanya satu mata di laman sendiri, ia sudah memadai kerana lawan juga tidak kurang hebatnya dengan barisan pemain berkualiti termasuk pemain baru, Brendan Gan," katanya.

Abdul Rahman berkata, menjelang pertemuan dengan Sarawak pada 4 April depan di Stadium Negeri Kuching, beliau mengharapkan anak buahnya kembali menemui rentak untuk merampas semula takhta persada liga.

"Saya yakin dengan kemampuan pemain yang memiliki kemahiran tersendiri dan berharap tiga mata bakal dicapai untuk menutup saingan pusingan pertama dengan noktah kemenangan," katanya.

Sementara itu jurulatih T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah mengakui anak buahnya berada di landasan tepat untuk keluar daripada zon penyingkiran walaupun seri 1-1 dengan LionsXII di Stadium Jalan Besar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Cari formula baru

Posted: 30 Mar 2014 11:36 AM PDT

Johor Bahru: Nada kecewa diluahkan pengurus Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Bojan Hodak selepas skuad itu hanya mampu 1-1 dengan Sarawak pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, kelmarin.

Hodak mengakui tindakan segera perlu diambil untuk pastikan skuad Harimau Selatan bangkit untuk memburu kemenangan dan bukan sekadar seri terutama apabila beraksi di laman sendiri.

Secara peribadi bekas jurulatih Kelantan berkata, Cesar Ferrando Jiminez harus mencari formula terbaik untuk memantapkan lagi pasukan supaya tidak lagi keciciran mata.

"Kami menguasai perlawanan tetapi apabila asakan bertubi-tubi dilakukan, tetap masih buntu jaringkan gol.

Ia pasti menyukarkan kami mencari kemenangan, tambah pula pasukan lawan `berkampung' di kotak penalti.

"Saya yakin Jiminez sudah mengesan kelemahan itu dan akan segera mencari jalan memperbaiki corak taktikal lebih mantap bagi memastikan kemenangan mampu digapai pada perlawanan seterusnya," katanya.

Ditanya mengenai mutu pengadilan pada perlawanan itu, Hodak hanya sekadar menggelengkan kepala dan enggan ulas lanjut sebaliknya berkata akan menghantar rakaman video kepada FAM.

"Minta maaf, saya tak boleh ulas tentang mutu pengadilan.

Kami akan ikut saluran yang betul dengan menghantar rakaman perlawanan itu kepada FAM dan biar mereka kaji dan nilai mutu pengadil," katanya.

Pada perlawanan itu Sarawak mencipta gol awal menerusi S Chanthuru pada minit ke-16 sebelum Luciano Figueroa bangkit menyamakan jaringan m-29.

Hodak juga menambah kemungkinan Johor DT terpaksa melupakan khidmat penjaga gol, Izham Tarmizi pada aksi menentang PKNS Selangor, Jumaat ini kerana kecederaan.

Beliau juga berpuas hati dengan aksi Pablo Aimar yang dimasukkan pada m-60 apabila berjaya mengucar-kacirkan benteng pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

No comments:

Post a Comment