Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Buaya makan pelet sayur

Posted: 09 Apr 2014 09:44 AM PDT

Afrika: Buaya haiwan paling digeruni di Afrika, reptilia yang terkenal dengan membaham sebelum menelan mangsanya hidup-hidup.

Masalah timbul di ladang buaya Butat Nyanyana di pesisiran pantai Pulau Kariba, Zimbabwe kerana haiwan berkenaan jemu dengan makanan pelet berasaskan sayur-sayuran.

Penternak di ladang berkenaan memilih makanan itu kerana harganya yang murah berbanding daging, berprotein bermineral dan bervitamin yang dikatakan dapat meningkatkan kualiti kulit reptilia itu untuk dijadikan beg tangan atau kasut dalam pentas peragaan fesyen di New York, Paris, London atau Milan.

"Kami tidak lagi memberi daging kepada buaya di sini," kata Pengarah Kewangan, Oliver Kanmundimu, pemilik ladang Padenga Holdings.

Foto


"Kualiti kulit dapat ditingkatkan kerana kami mengukur semua nutrien yang diberikan yang tidak boleh didapati hanya dengan memakan daging," katanya semalam.


Nyanyana yang terletak 400 kilometer ke barat laut Harare menempatkan 50,000 buaya Nil dan satu daripada tiga Ladang Padenga di Kariba. Ia adalah tasik buatan manusia terbesar di Afrika.

Syarikat berkenaan mempunyai 164,000 buaya secara keseluruhannya dan memberi makanan palet sayur-sayuran sejak 2006 ketika krisis melanda Zimbabwe hingga menyebabkan daging sukar didapati dan harganya yang terlalu mahal.

Pada mulanya, pelet itu mengandungi 50 peratus daging tetapi dikurangkan secara beransur-ansur kepada diet sayur-sayuran keseluruhannya.

"Kami berada di satu tahap hingga mengurangkan daging daripada 15 peratus kepada tujuh peratus dan sekarang kepada sifar daging dan ikan," katanya.

Operasi lebih senang, dan buaya berkenaan mendapat segala nutrien daripada makanan seumpama itu.

Makanan diberi dua hari sekali, menjadikan buaya itu jinak dan hanya berbaring ketika pekerja menjalankan operasi pembersihan.

Buaya berkenaan disembelih ketika berusia 30 bulan dan berukuran 1.5 meter panjang. Kulitnya ketika itu lembut dan mudah dilentur.

Tahun lalu, Padenga Harare menjual 42,000 kulit ke Eropah terutama di Perancis.
Harga puratanya setiap kulit itu boleh mencapai sehingga (AS550) RM2,277.

Sebanyak 90 peratus kulit buaya itu dijadikan beg tangan berkualiti tinggi, kata Kamundi, manakala lebihan kulit dijadikan tali pinggang, kasut dan tali jam bagi beberapa jenama terkenal dalam dunia fesyen.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Bayi dua kepala mati

Posted: 09 Apr 2014 09:38 AM PDT

New Delhi: Bayi kembar siam dengan dua kepala dan satu badan meninggal dunia setelah bertarung nyawa selama 20 hari.

Kembar siam itu dilahirkan 13 Mac lalu secara peembedahan dam berat 3.37 kilogram.

Selain dua kepala dan satu badan, bayi itu juga mempunyai dua leher, dua tulang belakang dan dua esofagus yang berlainan, tetapi berkongsi hati, perut dan paru-paru.

Tragiknya, ibu mereka tidak sanggup untuk melihat bayi-bayi itu sebelum mereka menghembuskan nafas yang terakhir.

Foto

BAYI kembar siam dua kepala, satu badan meninggal dunia selepas 20 hari dilahirkan.


Bapa kembar siam itu, Subhash, 32 berkata: 'Berita kematian itu tidak memeranjatkan, tetapi kami tetap merasa kehilangan mereka dan sedih.


"Saya ingin membesarkan mereka tetapi Tuhan mempunyai rancangannya tersendiri. Mereka berjaya hidup selama 20 hari. Ia satu keajaiban." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Ditahan selepas adu kualiti ganja

Posted: 09 Apr 2014 09:35 AM PDT

Texas: Polis di sini memberkas seorang wanita selepas dia menelefon untuk mengadu mengenai kualiti ganja yang dibelinya daripada pengedar.

Polis Lufkin, Sarjan David Casper berkata, Isnin lalu seorang pegawainya pergi ke rumah Evelyn Hamilton, 37, untuk mendengar aduannya mengenai pengedar yang enggan memulangkan wangnya selepas dia membantah kerana dadah yang dijualnya tidak berkualiti.

Casper berkata, wanita itu mengeluarkan sedikit ganja daripada colinya selepas pegawai polis itu bertanya mengenainya.

Dia ditahan Jumaat lalu atas tuduhan memiliki dadah.


Evelyn berkata, dia membelanjakan AS$40 (RM129) Isnin lalu tetapi tidak berpuas hati dengan kualiti ganja yang diperolehnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Bukan tugas tentera tangkap Suthep

Posted: 09 Apr 2014 09:26 AM PDT

Bangkok: Ketua Tentera Thai, Jeneral Prayuth Chan-ocha berkata, kerajaan dan bukannya tentera yang bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap setiausaha agung Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) Suthep Thaugsuban jika usahanya 'merampas kuasa untuk memerintah' adalah tidak sah.

"Kita perlu melihat undang-undang untuk melihat sama ada tuntutannya itu boleh dilakukan.

"Jika tidak wajar atau bertentangan dengan undang-undang Pusat Pengekalan Keamanan dan Ketenteraman Awam (CMPO) boleh menahan mereka kerana menderhaka dan menghuru-harakan Thailand," katanya.

Dia menegaskan pihak tentera tidak memihak kepada sesiapa, tidak kira Suthep atau kumpulan prokerajaan diketuai pengerusi Pemimpin Barisan Bersatu Bagi Demokrasi Menentang Kediktatoran (UDD) Jatuporn Prompan.


Katanya, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan sama ada oleh polis atau CMPO, bukannya tentera.


Katanya, dia tidak mahu orang ramai menuduh pihak tentera mencampuri semua isu.

"Kami tiada kuasa untuk membuat penangkapan. Kalau anda sendiri tidak boleh menangkap Suthep, jangan haraplah kami akan membuatnya untuk anda. Itu sudah tidak betul," katanya.

Kelmarin, Suthep mengumumkan di pentas perhimpunan Lumpini bahawa PDRC akan menuntut kuasa pemerintahan untuk rakyat sebaik status Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dibatalkan Mahkamah Perlembagaan.

"Jika Yingluck enggan mematuhi perintah mahkamah itu, rakyat akan memaksanya berbuat demikian," katanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Lelaki Romania ada 795 kad ATM

Posted: 09 Apr 2014 09:25 AM PDT

Bangkok: Polis Lumpini menahan dua rakyat Romania yang mempunyai 795 kad ATM palsu.

Mereka kini disiasat kerana disyaki menggunakan kad berkenaan untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM di Bangkok.

Ketua Polis Metropolitan Major Jeneral Suebsak Phansura berkata, dua lelaki itu dilihat menaiki teksi motosikal berhampiran Thailand Tobacco Monopoly di daerah Klong Toey, kelmarin.

Katanya, polis menjalankan pemeriksaan selepas mendapati dua lelaki itu dalam keadaan meragukan.


Seorang daripada mereka memegang sejumlah kad ATM menyebabkan polis membuat pemeriksaan lanjut di bilik hotel mereka dan menemui keseluruhannya 795 kad ATM serta mesin mencuri data.


Dengan bantuan Siam Commercial Bank polis mendapati 431 daripada kad itu mengandungi data manakala 364 selebihnya kosong.

Bank menganggarkan jumlah kerugian sebanyak 100 juta baht (RM10 juta) jika dua lelaki terbabit berjaya mengggunakan semua kad dimiliki untuk mengeluarkan jumlah maksimum daripada pelbagai ATM.

Menurut polis, dua lelaki itu mengakui diupah 500 euro (RM2,200) untuk mengeluarkan wang menggunakan kad palsu berkenaan yang mengandungi data yang digodam daripada bank di Itali. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Suspek bom dalam rakaman CCTV

Posted: 09 Apr 2014 09:24 AM PDT

Yala: Polis kini memburu sekumpulan suspek yang disyaki terbabit dalam beberapa serangan bom yang mengakibatkan kerosakan serta kecederaan teruk di Yala, hujung minggu lalu.

Ketua polis Yala Major Jeneral Songkiat Wathakul berkata, suspek dikenal pasti melalui rakaman kamera CCTV.

"Kami percaya kumpulan ini bertanggungjawab bagi kejadian itu," katanya namun enggan mengulas lanjut.

Ahad lalu, sebuah lori pikap membawa kira-kira 100 kilogram (kg) bahan letupan diletupkan di depan sebuah kedai perabot di wilayah Muang. Seorang terbunuh dan 28 cedera dalam kejadian itu.


Sebuah motosikal berisi bom turut meletup tidak jauh dari situ pada hari sama.


Sementara itu, Isnin lalu pula beberapa lagi bom meletup di Yala mengakibatkan kerosakan dianggarkan lebih 100 juta baht (RM10 juta). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Lelaki dikehendaki mati ditembak

Posted: 09 Apr 2014 09:23 AM PDT

Papua: Seorang lelaki dikenali sebagai Wakanio Enumbi, 25, ditembak mati dalam kejadian tembak-menembak antara pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata di Puncak Senyum, Mulia, di Papua, semalam.

Komander Tentera Cenderawasih Major Jeneral Christian Zebua berkata, kejadian berlaku pada jam 9 pagi.

"Enumbi memang tersenarai sebagai orang dikehendaki," katanya.

Katanya, pasukan keselamatan turut merampas sebuah raifel SSI dan 17 peluru.


Menurutnya, pertempuran berlaku di Puncak Senyum sejak petang Selasa selepas pasukan keselamatan melihat beberapa orang tempatan melalui kawasan berkenaan dengan membawa senjata.


Bagaimanapun, Ketua Polis Puncak Jaya Senior Komisioner Marselis berkata, kejadian terbaru itu tidak mengganggu proses pilihan raya di Puncak Jaya.

"Tiada sebarang isu keselamatan sepanjang tempoh pengundian, malah kejadian itu juga tiada kaitan dengan pilihan raya.

"Orang ramai masih dilihat datang mengundi di tempat ditentukan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Indonesia Jeneral Sutarman berkata di Jakarta, polis dan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) sedang menyiasat kes itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Singapura tarik balik iklan

Posted: 09 Apr 2014 09:22 AM PDT

Singapura: Lembaga pelancongan Singapura terpaksa membuang sebuah klip video dari YouTube yang dibuat untuk mempromosikan negara itu kepada pasaran Filipina selepas didakwa 'memalukan'.

Klip video selama tiga minit itu menunjukkan sepasang suami isteri Filipino mengunjungi pelbagai tempat menarik di Singapura termasuk kasino Marina Bay Sands dan lokasi pelancongan lain.

Pada hujung klip video itu, wanita terbabit menyerahkan kotak hadiah kepada 'suaminya' mengandungi ujian kehamilan yang positif.

"Selamat ulang tahun, sayang," katanya. diiringi muzik latar.


'Suaminya' pula menyahut: "Saya sudah agak Singapura akan memberi pelbagai kejutan!". - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

PDI-P selesa di depan

Posted: 09 Apr 2014 09:19 AM PDT

Jakarta: Pembangkang utama Indonesia semalam mendahului pungutan undi dalam pemilihan wakil parlimen yang dijangka bakal membuka laluan mudah kepada calon popular mereka, Joko Widodo (Jokowi) menjadi presiden.

Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dilaporkan berada di depan dengan 19 hingga 20 peratus undian keseluruhan.

Keputusan daripada dua kiraan tidak rasmi itu bagaimanapun lebih rendah berbanding jangkaan awal.

Parti Golkar yang pernah memerintah Indonesia selama lebih tiga dekad berada di tempat kedua dengan kira-kira 15 peratus, manakala Parti Gerindra - dipimpin bekas pegawai kanan tentera Prabowo Subianto yang juga calon presiden - di tempat ketiga (12 peratus).

Foto

PEGAWAI pilihan raya berpakaian tradisional Reog Ponorogo menjalankan tugas di sebuah pusat pembuangan undi di Medan, Sumatera.

Foto

ANGGOTA pertubuhan Jamaah an-Nadzir membuang undi di Gowa, Sulawesi Selatan. Kumpulan itu didakwa diasaskan seorang pendakwah dari Malaysia pada 1998.

Foto

JOKOWI menunjukkan kertas undinya di Jakarta.


Terdahulu, berjuta-juta pengundi bertumpu ke pusat pengundian di seluruh negara bagi memilih calon masing-masing.


Pengundi di Jayapura, Papua, Ilyas Hasan, 43, berkata, dia berharap wakil yang terpilih akan mengambil berat kepentingan rakyat berbanding keutamaan peribadi.
"Saya memilih tokoh yang saya rasa paling jujur dan ikhlas," katanya.
Jokowi adalah muka baru dalam dunia politik di negara ketiga dunia yang paling besar mengamalkan demokrasi itu.

Selama ini politik Indonesia sentiasa dibayangi tokoh bekas pegawai kanan tentera atau ahli perniagaan.

Bekas pemilik syarikat perniagaan perabot, Jokowi mencetus fenomena sejak namanya menjadi sebutan apabila memenangi pilihan raya gabenor pada 2012.
Kekerapannya melawat kawasan setinggan dan terpinggir di ibu negara Indonesia itu membolehkan dia dikagumi ramai.

Pemilihan semalam juga dijalankan bagi menentukan parti yang layak menyertai pilihan raya presiden dijadual diadakan pada 9 Julai ini.

Setakat ini nama paling popular untuk menggantikan Susilo Bambang
Yudhoyono ialah Gabenor Jakarta, Joko Widodo (Jokowi) dan partinya, PDI-P.
Kata Jokowi, dia sangat yakin PDI-P akan berjaya kali ini.

Dia ditemui selepas menunaikan tanggungjawabnya di pusat pengundian berhampiran kediaman rasminya di Jakarta.

Sejurus selepas keluar dari pusat pengundian, Jokowi, 52, dikerumuni kira-kira 200 wartawan yang ingin mendapatkan komen terbarunya.

Kiraan tidak rasmi oleh Indonesia Political Indicator menyatakan PDI-P memperoleh 19.68 peratus undi keseluruhan dengan kira-kira 20 peratus kertas undian dari 2,000 pusat pembuangan undi sudah dikira.

Kiraan Lingkaran Survei Indonesia turut menyatakan PDI-P memperoleh kira-kira 19 peratus undian dengan kira-kira 30 peratus kertas undi dikira dari 2,000 pusat pengundian.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Golkar bakal tawan Jakarta?

Posted: 09 Apr 2014 09:14 AM PDT

Jakarta: Ketika pola keputusan awal pemilu Indonesia menunjukkan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) mendahului lawan, Parti Golkar pula mendapat tempat di daerah pemilihan Jakarta, terutama di kawasan sering dilanda banjir.

Berdasarkan data dikumpul VIVANews, daripada tiga tempat pungutan undi di kawasan berkenaan, Parti Golkar jauh mendahului pencabar lain.

Di pusat pengundian Sungai Ciliwung, Parti Golkar memperoleh 241 undi berbanding Parti Keadilan Sejahtera (PKS) 57, Parti Demokrat 27 dan Parti Persatuan Pembangunan (PPP) 24.

Pembangkang utama Indonesia, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) pula hanya memperoleh tiga undi.

Seramai 425 pengundi berdaftar ada di kawasan berkenaan.


Satu pusat pembuangan undi lain juga tidak menunjukkan pola pemilihan yang banyak berbeza.

Parti Golkar memperoleh 165 undi, diikuti PPP 54, Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura) 48, Nasdem 24 dan PDI-P 19 Pusat pembuangan undi ketiga yang ditinjau menunjukkan Parti Golkar memperoleh 171 undi, Parti Demokrat 51, PPP 36, PKS 34, Nasdem 2 dan PDI-P 16.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

No comments:

Post a Comment