Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Terperangkap dalam bah

Posted: 28 Apr 2014 11:01 AM PDT

Kuala Lumpur: "Kenderaan yang saya dipandu ditenggelami banjir kilat hingga ke paras bumbung dalam sekelip mata," kata pemilik kenderaan pelbagai guna (MPV) model Toyota Estima, Shamsudin Dollah, 55.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, mangsa terperangkap di dalam banjir kilat berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Jalan Chan Sow Lin di sini, semalam.

Mangsa berkata, dia cuba untuk mengundurkan kenderaannya yang tersekat di dalam banjir itu namun gagal.

"Saya panik apabila tidak dapat mengundur kenderaan kerana enjin tidak boleh dihidupkan selepas ditenggelami air. Saya jarang menggunakan laluan itu dan tidak sangka banjir di kawasan itu amat dalam.

Foto

BEBERAPA laluan di sekitar Jalan Chan Sow Lin dinaiki air.

Foto

KEADAAN kereta mangsa yang ditenggelami air.


"Saya kemudian segera membuka pintu kenderaan sebelum keluar menyelamatkan diri," katanya.


Dia yang juga pemandu peribadi syarikat guaman bersyukur kerana terselamat selepas sempat keluar daripada kenderaan MPV berkenaan.

Mangsa berkata, kenderaannya itu kemudian ditunda keluar dari dalam banjir pacuan empat roda dipandu kakitangan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS), sejam kemudian.

Sementara itu seorang wanita berusia 60-an turut menerima nasib sama apabila kereta model Proton Iswara Aeroback dipandu turut ditenggelami banjir di lokasi sama.

Difahamkan, laluan berselekoh itu sering dilanda banjir kilat apabila hujan lebat berlaku berikutan kedudukannya yang agak rendah dan curam.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya turut menerima laporan kejadian banjir kilat yang menenggelami sebuah kenderaan model Toyota Avanza di Jalan Maluri, Cheras, jam 5.30 petang.

Menurutnya, pemandu kenderaan seorang lelaki berusia 20-an bagaimanapun berjaya keluar daripada kenderaan itu yang dinaiki air sehingga menenggelami tayar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

Belum dapat kata putus tamat catuan

Posted: 28 Apr 2014 10:58 AM PDT

Shah Alam: Masih belum ada kata putus sama ada catuan air akan ditamatkan kerajaan negeri Selangor dalam tempoh terdekat walaupun peningkatan jumlah kapasiti enam daripada tujuh empangan di negeri ini dalam tempoh seminggu sejak 22 April lalu hingga semalam,

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, penamatan catuan itu perlu diteliti kerajaan negeri dengan mengambil kira beberapa faktor sebelum memutuskan mengenai perkara berkenaan.

"Sehingga hari ini (semalam), catuan air tetap diteruskan. Selepas seminggu air dari takungan kolam serta bekas lombong dipam, paras air di Empangan Sungai Selangor hanya meningkat 1.18 peratus saja kepada tahap 40.08 peratus.

"Bagaimanapun, Menteri Besar dan Jawatankuasa Air Selangor akan berbincang petang ini (semalam) untuk mempertimbangkan semua perkara, termasuk paras loji empangan, kandungan aliran air dan jumlah takungan," katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, semalam.


Minggu lalu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan berkata, catuan air membabitkan hampir tujuh juta pengguna dijangka ditamatkan hari ini atau esok kerana pemantauan terkini terhadap empangan di Selangor mendapati paras tadahan secara puratanya sudah mencecah 39 hingga 40 peratus.


Pada 22 April lalu, Empangan Klang Gates mencatat paras takungan 13.74 juta meter padu bersamaan 54.24 peratus, manakala semalam paras takungan meningkat kepada 14.82 juta meter padu (58.49 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

DBKL tetap 3 lokasi buang sisa binaan

Posted: 28 Apr 2014 10:58 AM PDT

Selayang: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menetapkan tapak pelupusan sisa pepejal Sungai Kertas, Kuang dan Dengkil sebagai lokasi penghantaran sisa binaan buat pemaju untuk dipatuhi menerusi Perintah Pembangunan (DO) yang akan diperkemaskan dalam tempoh terdekat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, syarat baru itu diambil kira selepas pihaknya mendapati banyak syarikat pemaju membuang sisa binaan dengan sewenang-wenangnya di lokasi tertentu termasuk longgokan setinggi 10 meter yang dijumpai di 1Razak Mansion Sungai Besi.

Beliau bagaimanapun mengakui kekangan kawasan pelupusan sisa binaan di ibu kota, namun kejadian pembuangan haram yang dikenal pasti pihaknya lebih berpunca daripada faktor mengambil jalan mudah serta mengurangkan kos.

"Kita sudah meneliti masalah yang dihadapi Lembah Klang ketika ini lebih-lebih lagi dalam berdepan projek besar seperti MRT, pembangunan semula bangunan utama di ibu kota dan runtuhan bangunan tertentu termasuk flat Pekeliling membabitkan lima atau enam blok tidak lama lagi," katanya.

Foto

AHMAD (dua dari kiri) meninjau tapak pelupusan di Sungai Kertas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

Janji anak punah

Posted: 28 Apr 2014 10:55 AM PDT

Maran: "Luluh hati anak kesayangan yang pernah berjanji mahu mencapai 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pergi buat selama-lamanya," kata Suhaimi Ismail, 41, bapa Sofea Asyikin, 12, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 187.7, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran susur keluar Plaza Tol Sri Jaya, dekat sini, malam kelmarin.

Safea Ashikin Suhaimi, 12, yang duduk di belakang, maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala.

Suhaimi dari Taman Prima Saujana, Kajang, Selangor berkata, ketika kejadian, hujan lebat menyebabkan jalan licin dan dia terlanggar lopak air menyebabkan keretanya terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Katanya, selepas keretanya berpusing ke arah Kuantan, dia sempat memandang ke depan dan melihat kenderaan pacuan empat roda datang sebelum merempuh keretanya.

Foto

KEADAAN kereta mangsa yang terlibat nahas di susur keluar Plaza Tol Sri Jaya.


"Akibat rempuhan kuat itu saya pengsan dan apabila sedar mendapati sudah berada di luar kereta dan melihat anggota Bomba dan Penyelamat sedang berusaha mengeluarkan isteri serta empat anak di belakang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

Detik cemas di selekoh tajam

Posted: 28 Apr 2014 10:52 AM PDT

Kuala Pilah: Seorang pegawai tentera yang dalam perjalanan pulang ke Kuantan untuk menyambung tugas selepas bercuti pada hujung minggu berdepan detik mencemaskan apabila terbabit nahas jalan raya, petang kelmarin.

Kemalangan berlaku jam 5.30 petang di Kilometer 6, Jalan Kuala Pilah-Bahau, dekat Kampung Pelangai, di sini, membabit sebuah kereta dan dua lori.

Difahamkan, ketika menghampiri satu selekoh tajam, tiba-tiba sebuah lori tiga tan dipandu Ameer Salleh, 31, dari Juasseh memasuki lorong bertentangan dan menuju tepat ke arah kereta PROTON Preve dipandu mangsa, Mejar Zulfazli Zamri, 36.

Menurut Zufazli, dia yang memandu sendirian dalam perjalanan dari rumah keluarga di Port Dickson menuju ke Kem Batu 10, Kuantan, Pahang.

"Saya cuba mengelak sambil menekan brek, tetapi gagal kerana pada waktu kejadian hujan lebat dan jalan agak licin.

"Akibat rempuhan kuat menyebabkan lori terbabit berpusing beberapa kali dan pada masa sama, sebuah lori tangki dari arah Kuantan cuba mengelak lalu terbabas ke tebing kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok durian.

"Saya bernasib baik kerana beg udara kereta berfungsi dengan baik," katanya ditemui di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Sementara itu, ketiga-tiga pemandu terbabit mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke HTAN untuk mendapatkan rawatan.

Pemandu lori tangki E Rajah Guanaraj, 57, berkata, dia dalam perjalanan ke Seremban selepas menghantar minyak diesel di Kuantan, Pahang.

"Selepas melalui selekoh tajam di tempat kejadian, tiba-tiba saya ternampak satu kemalangan yang jaraknya hanya beberapa meter saja.

"Bagi mengelakkan dari merempuh mereka, saya menghalakan lori ke kiri jalan lalu merempuh penghadang jalan sebelum berhenti di sebatang pokok durian," katanya ketika ditemui di HTAN.

Foto

KEADAAN lori tangki yang terbabas selepas mengelak bertembung kenderaan lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

No comments:

Post a Comment