Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bayi dituduh rancang bunuh

Posted: 05 Apr 2014 06:34 AM PDT

Lahore: Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan didakwa di mahkamah atas tuduhan merancang pembunuhan selain menghadapi tuduhan mengugut polis dan mengganggu hal ehwal kerajaan.

Muhammad Mosa Khan didakwa bersama 29 anggota keluarga lain berikutan serbuan pihak polis yang menyasarkan penangkapan pencuri gas di sini.

Sepanjang prosiding, Muhammad dilihat duduk di pangkuan bapanya sambil memegang botol susu.

Bayi berkenaan dibenarkan jaminan dan kes akan disebut semula pada 12 April ini.

Foto

MUHAMMAD duduk di pangkuan ayahnya sambil memegang botol susu ketika didakwa.


Mengikut akhbar Express Tribune, keluarga itu didakwa cuba membunuh pegawai polis yang melakukan serbuan apabila membaling batu terhadap mereka.


Laporan polis dibuat terhadap datuk bayi terbabit, Muhammad Yassen, serta keseluruhan keluarganya termasuk Muhammad.

Menurut ayah Muhammad, mereka sekeluarga memprotes terhadap kekurangan bekalan elektrik di kawasan mereka.

Sementara itu, pegawai polis Sub Inspektor Kashif Ahmed kini digantung kerja kerana mendaftarkan kes berkenaan terhadap Muhammad.

Hakim tidak dapat membatalkan kes terhadap bayi itu kerana di luar bidang kuasanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Punjab Shahbaz Sharif sudah mengarahkan Ketua Polis memastikan laporan baru difailkan.

Dia turut dilaporkan menuntut tindakan tegas terhadap pegawai yang membawa kes berkenaan.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Perangkap sang bedal makan orang

Posted: 05 Apr 2014 06:28 AM PDT

Kampala: Seekor buaya yang disyaki membaham dan memakan sekurang-kurangnya enam orang ditangkap di pantai Tasik Victoria.

Sang bedal berukuran 5.5 meter panjang dan berat kira-kira setan ditangkap selepas penduduk tempatan mendesak pegawai hidupan liar memburunya.

Mangsa terbarunya dipercayai bapa dua anak, Bosco Nyansi, nelayan tempatan.
Baju Bosco yang koyak rabak ditemui terapung di tasik berkenaan oleh penduduk tempatan.

Foto

BUAYA gergasi yang ditangkap penduduk tempatan.

Tidak ada kesan lain ditemui dan rakannya percaya dia dibaham buaya berkenaan.

Reptilia berkenaan dipercayai berusia lebih 80 tahun. Ia diyakini memakan dan mencederakan beberapa nelayan sebelum ini kerana minatnya terhadap daging manusia.

Pegawai hidupan liar memerangkap buaya berkenaan dengan mengguna umpan daging besar ketika memburunya selama empat hari. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Nenek mati dalam penyejuk beku

Posted: 05 Apr 2014 06:26 AM PDT

California: Sebuah hospital berdepan saman apabila pesakitnya yang juga nenek berusia 80 tahun mati selepas dimasukkan ke dalam penyejuk beku bilik mayat secara tidak sengaja.

Keluarga Maria de Jesus Arroyo memfailkan saman terhadap hospital di California itu selepas wanita berkenaan tersilap diisytiharkan meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk berkenaan.

Kesilapan itu hanya disedari apabila kakitangan hospital yang menyediakan mayatnya untuk proses pengebumian melihatnya dalam keadaan lebam pada muka dipercayai akibat mangsa cuba keluar dari peti sejuk itu.

Laporan pakar patologi menunjukkan dia sebenarnya masih hidup ketika dimasukkan ke situ namun tersedar dan berusaha keluar. Akibatnya Maria mati kesejukan.


Suami dan lapan anak Maria pada mulanya memfailkan saman terhadap rumah mayat yang mengendalikan upacara pengebumian itu sejurus selepas kematiannya pada Julai 2010.


Namun hasil laporan patologi berkenaan yang diperoleh pada Disember 2011, mereka memutuskan menyaman hospital berkenaan kerana kecuaian perubatan sehingga mengakibatkan kematian Maria.

Hospital terbabit bagaimanapun menafikan dakwaan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Anjing dipanggil jadi saksi mahkamah

Posted: 05 Apr 2014 06:25 AM PDT

Paris: Seekor anjing dipanggil menjadi saksi kes bunuh membabitkan tuannya.

Tango - anjing baka Labrador berusia sembilan tahun - 'dipanggil' untuk membantu mengenal pasti tertuduh yang didakwa membunuh tuannya.

Dalam perbicaraan awal kes itu, tertuduh diarahkan beraksi seperti 'mengugut' Tango untuk melihat tindak balas anjing berkenaan.

Sementara itu, seekor lagi anjing dengan baka serta usia sama turut digunakan dalam eksperimen berkenaan untuk membuat perbandingan reaksi.


Peguam bela Gregoire Lafarge membantah perkara itu kerana didakwa tidak masuk akal dan 'membahayakan' prosiding.


"Jadi jika Tango mengangkat kaki kanannya atau menggerakkan ekornya, adakah bermaksud dia mengenali anak guam saya?

"Pada saya kes ini boleh menimbulkan masalah untuk sistem perundangan Perancis kerana seorang hakim sewajarnya menggunakan akal, bukan membiarkan dirinya dikelilingi orang yang mendakwa diri mereka pakar namun sebenarnya tidak berguna," katanya.

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama dalam sejarah perundangan yang melihat anjing memberi keterangan.

Malah pada 2008, anjing bernama Scooby menjadi yang pertama berbuat demikian, juga untuk perbicaraan kes bunuh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

'Bukan cari gaduh'

Posted: 05 Apr 2014 06:25 AM PDT

Bangkok: Ribuan penyokong Perdana Menteri Yingluck Shinawatra tiba di ibu kota ini menaiki bas, lori pikap dan kereta api untuk menyertai perhimpunan selama tiga hari di pinggiran Bangkok yang bagi membalas tunjuk perasaan diadakan sejak beberapa bulan lalu oleh pihak antikerajaan.

Pemimpin kumpulan Baju Merah menganggarkan lebih daripada 500,000 bakal hadir malah 20,000 sudah dilihat berkumpul sejak awal pagi semalam lagi.

Pihak berkuasa tidak menjangka berlaku keganasan.

Penasihat keselamatan kepada perdana menteri Paradorn Pattanathabutr berkata pihaknya bagaimanapun tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.


"Laluan dipilih golongan Baju Merah boleh memuatkan 300,000 orang pada satu-satu masa.


"Setakat ini 10,000 penunjuk perasaan sudah tiba dan kami menganggarkan jumlah itu bertambah petang ini," katanya.

Ramai antara mereka juga dilihat membawa pelbagai barangan untuk kempen yang lama, termasuk bekalan makanan untuk seminggu dan dapur gas mudah alih.

Dalam perhimpunan terbesar diadakan kumpulan itu setakat ini, penyokong Baju Merah - atau nama rasminya Barisan Demokrasi Menentang Diktator - berkata, ia bersedia menghalang sebarang usaha untuk menyingkirkan Yingluck.

Ini berikutan Yingluck berdepan pelbagai tindakan undang-undang yang berkemungkinan melihat perdana menteri itu dipecat dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ketua Baju Merah Jatuporn Promphan berkata, pihaknya bukan mahu 'mencari gaduh' terutama dengan golongan antikerajaan yang berhimpun di Lumpini berhampiran.

Sebaliknya, Baju Merah berhimpun di pinggir Bangkok kira-kira 30 kilometer dari Lumpini dengan dikawal kira-kira 3,000 anggota polis.

"Kami bukan mencari konfrontasi dengan pihak antikerajaan. Kami cuma mahu menetapkan pendirian selain menegaskan kepada golongan elit bahawa kami tidak akan berdiam diri jika Yingluck disingkirkan mahkamah.

"Kami mahu membuktikan rakyat Thai hanya akan menerima kepemimpinan perdana menteri yang dilantik secara sah," katanya.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Mahkamah usah berat sebelah

Posted: 05 Apr 2014 06:24 AM PDT

Bangkok: Parti Pheu Thai meminta Mahkamah Perlembagaan memastikan tidak berat sebelah dalam mempertimbangkan tuduhan terhadap Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berhubung pemindahan Ketua Majlis Keselamatan Thawil Pliensri.

Parti itu yang dipimpin Charupong Ruangsuwan, Poomthan Vejayachai dan Bhokin Polakul menyeru supaya mahkamah bersifat berkecuali dalam isu itu.

Menurut mereka, jika mahkamah memutuskan Yingluck menyalahgunakan kuasa sekalipun dalam kes itu, seterusnya menyebabkan perdana menteri itu disingkir, ia tidak sewajarnya mengeluarkan perintah supaya perdana menteri baru dilantik kerana tindakan itu akan menghancurkan perlembagaan negara.

Penasihat perundangan parti Bhokin Polakul berkata, pemindahan Thawil itu dilakukan mengikut skop undang-undang bererti ia masih di bawah bidang kuasa Yingluck.


Mahkamah Pentadbiran bulan lalu memihak kepada Thawil yang memfailkan petisyen mencabar pemindahannya daripada jawatan itu kepada jawatan sebagai penasihat di Pejabat Perdana Menteri.


Thawil turut memohon diberi semula jawatan berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Akan menang kerana Jokowi

Posted: 05 Apr 2014 06:24 AM PDT

Jakarta: Kuatnya pengaruh dan populariti calon Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dalam pilihan raya presiden Julai depan diramal akan melonjakkan kedudukan parti itu dalam pilihan raya umum Rabu ini.

Pengarah Aliansi Nasionalis Indonesia (Anindo) Edwin Henawan Soekarwati yang meramalkan demikian berkata, sekiranya pilihan raya umum berjalan lancar dan jujur, beliau yakin PDI-P boleh meraih 30 peratus undi.

"Jika tidak ada gangguan, PDI-P akan berada di tempat teratas.

Mungkin ia boleh memperoleh 30 peratus undi," katanya.

Beliau yang pernah memimpin parti berhaluan nasionalis itu berkata, populariti Joko 'Jokowi' Widodo memang luar biasa.

Menurutnya, fenomena 'Jokowi Effect' yang melanda Indonesia sepanjang pilihan raya memang luar biasa dan kawasan yang akan menyaksikan keberkesanan fenomena itu ialah di Jakarta sendiri, tempat Jokowi menjadi gabenor.

"Saya tidak hairan jika undi yang diperoleh PDI-P di Jakarta mencecah 40 peratus," kata Edwin Selain Jokowi Effect, Edwin berkata, faktor yang akan membantu dalam melonjakkan PDI-P ialah konsistensi parti pimpinan Megawati Sukarnoputri itu dalam memainkan peranan sebagai pembangkang selama 10 tahun.

"Pengundi yang kecewa dengan parti yang menyokong kerajaan selama sedekad dilihat sudah mula mengalihkan sokongan kepada PDI-P kerana konsistensi parti itu menjadi pembangkang sepanjang tempoh berkenaan," katanya.

Edwin yakin jumlah golongan putih (golput) - kumpulan yang tidak keluar mengundi - akan berkurangan.

"Jokowi Effect bukan hanya memberi kesan kepada PDI-P tetapi juga membawa perubahan kepada pilihan raya umum Indonesia dari segi peratusan jumlah keluar mengundi," kata Edwin.- Agensi

Foto

JOKOWI melambai kepada penyokongnya ketika kempen pilihan raya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Tiga korban kereta api tergelincir

Posted: 05 Apr 2014 06:22 AM PDT

Jakarta: Sebuah kereta api penumpang tergelincir selepas melanggar longgokan lumpur kesan daripada tanah runtuh, menyebabkan tiga orang terbunuh dan sekurang-kurangnya tujuh lagi cedera, semalam.

Kejadian malam kelmarin di Tasikmalaya, sebuah daerah di tengah pulau Jawa berlaku selepas hujan lebat menyebabkan tanah runtuh, menimbusi landasan.

Kereta api terbabit dikatakan gagal membrek menyebabkan ia melanggar lumpur berkenaan.

Jurucakap Syarikat Kereta Api Indonesia, Junerfin berkata, tujuh penumpang dimasukkan ke hospital, termasuk dua yang cedera parah sementara yang mati terdiri daripada dua penumpang lelaki dan seorang wanita.

Tiga gerabak, termasuk kepala kereta api terhumban ke dalam gaung sedalam 10 meter, menyebabkan ratusan penumpang yang cemas terjun dari gerabak masing-masing untuk menyelamatkan diri.

Menurut Junerfin, pasukan penyelamat terpaksa menarik keluar tiga mayat yang tersepit di bawah kereta api itu.

Kemalangan kereta api sering berlaku di Indonesia kerana rangkaian kereta api yang sudah lama dan infrastruktur yang kurang baik.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Larang makanan halal di sekolah

Posted: 05 Apr 2014 06:21 AM PDT

Paris: Pemimpin parti Barisan Kebangsaan Perancis Marine Le Pen berkata semalam, ia akan menghalang sekolah daripada menawarkan makanan alternatif bukan daging babi kepada pelajar Islam di 11 bandar yang dimenanginya dalam pilihan raya majlis tempatan baru-baru ini.

Marine ketika memberitahu demikian berkata, penawaran seumpama itu bertentangan dengan nilai sekular Perancis.

Negara berkenaan mempunyai undang-undang ketat mengenai tradisi sekular tetapi tuntutan berkait dengan agama semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan, khususnya daripada penduduk minoriti Islam yang berjumlah lima juta orang.

"Kami tidak akan melayan sebarang tuntutan berkait dengan agama dalam penyajian makanan di sekolah.


"Tidak ada alasan untuk memasukkan agama dalam kehidupan orang awam. Itu undang-undang Perancis," kata Marine.


Agama Islam dan Yahudi mengharamkan penganutnya memakan daging babi.

Datuk Bandar Arveyres, Benoit Gheysens memberitahu AFP, langkah itu diambil kerana kos menyediakan makanan alternatif yang tinggi dan kebanyakannya membazir.

Di Hayanges, bandar di timur Perancis, datuk bandar dari parti berkenaan, Fabien Engelmann bercadang mengadakan 'Pesta Daging Babi' di pusat bandar.

Dia mendakwa pesta berkenaan bukan bertujuan untuk menghina masyarakat Islam tetapi untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran yang tinggi.

Barisan Kebangsaan yang mempunyai dasar antipendatang sering menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan pengaruh Islam dalam kehidupan seharian di Perancis.

Kontroversi sering tercetus di negara itu mengenai sekolah yang menyediakan makanan alternatif - daging lembu atau ayam sebagai ganti kepada babi - dalam menu untuk pelajar beragama Islam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Pameran rekaan mini

Posted: 05 Apr 2014 06:21 AM PDT

Birmingham: Rekaan mini yang mengagumkan bakal dipamerkan dalam pameran tahunan Miniatura bertempat di Pusat Pameran Kebangsaan di sini, hujung minggu ini.

Antara yang akan dipamerkan ialah rekaan botol wain, hasil seni terkenal, rak buku dan juga makanan yang semuanya dalam rekaan mini.

Rekaan mini ini dipersembahkan oleh lebih 2,000 peserta antarabangsa yang terbabit dalam pameran yang mula diperkenalkan sejak 1983 dan kini menjadi pameran mini terbesar dunia.

Kebanyakannya adalah rekaan eksklusif yang memakan masa berbulan-bulan untuk disiapkan dan 80 peratus daripadanya untuk dijual.

Foto

KEBANYAKAN model mini yang dihasilkan adalah eksklusif dan mengambil masa lama untuk disiapkan.

Foto

MODEL perabot mini juga dipamerkan.

Foto

KETELITIAN diperlukan dalam menghasilkan rekaan mini seperti ini.


Pegawai yang menguruskan pameran berkata, ia adalah kejayaan besar, dengan menulis status di laman sosial Facebooknya: "Jutaan terima kasih kepada semua yang hadir dan membantu menjayakannya. Ia sesuatu yang hebat untuk menjadikan Miniatura terkenal!"

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

No comments:

Post a Comment