Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Taufek tunggu peguam negara

Posted: 01 Apr 2014 10:09 AM PDT

Kelana Jaya: Insiden yang berlaku dalam Terowong Larkin masih belum selesai apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan mendakwa individu tertentu yang terbabit apabila memutuskan untuk menangguhkannya.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abd Razak menjelaskan pihaknya akan menunggu tindakan lanjut Jabatan Peguam Negara.


"Siasatan sudah dijalankan pihak polis dan saya dimaklumkan ia sudah sampai kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

"Jadi kami akan menunggu tindakan lanjut daripada pihak mereka. Buat masa ini kami tidak akan meneruskan kes ini kerana mungkin wujud dua keputusan berbeza apabila kes itu dihadapkan ke mahkamah," katanya semalam.


Bagaimanapun, Taufek menjelaskan FAM masih berhak mengambil tindakan sekiranya tiada dakwaan lanjut dilakukan.


"Kami di FAM mempunyai tempoh dua tahun untuk mengambil tindakan mengikut Kod Tatatertib. Namun jika mahkamah dapati tiada kesalahan, apa lagi yang boleh kami lakukan," katanya.

Foto

TEROWONG Larkin saksi insiden diantara Johor DT, T-Team.

Foto

JOHOR DT didenda RM30,000 atas kelemahan tahap keselamatan.

Insiden di terowong membabitkan perlawanan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) menentang T-Team berlaku pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin yang berlaku 1 Februari lalu.


Dilaporkan insiden yang berlaku selepas tamat separuh masa pertama dengan seorang pemain import dan jurulatih kecergasan T-Team dikasari, turut membabitkan pegawai tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).

Pada masa sama, Jawatankuasa Tatatertib membuat keputusan Johor DT didenda RM30,000 dan diberi amaran kerana kelemahan tahap keselamatan.


"Kami memberi tumpuan khusus kepada aspek keselamatan pada mesyuarat hari ini, bukan insiden yang berlaku dalam terowong," kata Taufek.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Nadal ghairah

Posted: 01 Apr 2014 09:44 AM PDT

Los Angeles: Rafael Nadal berkata dia perlu berusaha lebih gigih dalam persediaan menghadapi pertandingan di gelanggang tanah liat menjelang Kejohanan Terbuka Perancis.

Nadal yang juga pemain nombor satu dunia tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Miami Master Ahad lalu ditangan pilihan kedua kejohanan Novak Djokovic.


Kemenangan Djokovic 6-3, 6-3 itu dibantu kecederaan belakang Nadal yang dialaminya awal tahun ini pada Terbuka Australia, kembali menyerangnya hingga membataskan pergerakan. Pemenang 13 kali Grand Slam itu berkata, walaupun tewas di Miami, dia tetap berpuas hati dengan aksinya yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir.

"Saya berasa agak selesa dan tidak sabar turun memburu kemenangan di gelanggang tanah liat musim ini," kata Nadal.


"Namun persaingan di peringkat ini juga amat hebat dan saya perlu berada dalam prestasi 100 peratus.


"Saya perlu berkerja keras dan cuba untuk berada dalam keadaan yang lebih baik," katanya.

Foto

NADAL (kiri) bersama Djokovic selepas final Kejohanan Miami Master Ahad lalu.

Kejohanan Miami Masters salah satu antara tiga Kejohanan ATP Masters yang Nadal gagal memenanginya. Ditanya adakah kesakitan belakangnya masih mengganggu dirinya, Nadal berkata, "Tidak, saya berada dalam keadaan baik, terima kasih banyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Durban hasrat bida Sukan Olimpik 2022

Posted: 01 Apr 2014 09:43 AM PDT

London: Durban dikatakan berpotensi untuk membida Sukan Olimpik selepas menyatakan hasrat mereka menganjurkan Sukan Komanwel 2022.

Kedua-dua temasya sukan itu pernah diadakan di Afrika Selatan, namun Durban merancang memecahkan tradisi dengan menganjurkan Sukan Komanwel yang ke-22 dalam tempoh lapan tahun.


Bandar Kanada, Edmonton yang menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1978 dan kejohanan Olahraga Dunia pada 2001 turut menyuarakan minat menganjurkan temasya itu pada 2022. Pengesahan pembidaan akan diketahui pada Mac 2015 dan bakal dipertimbangkan oleh ahli dalam Persekutuan Sukan Komanwel yang akan mengadakan perjumpaan agung di Auckland pada September 2015.

Terdapat kebimbangan mengenai kemampuan jangka panjang penganjuran Sukan Komanwel yang dibuka kepada negara yang pernah menjadi sebahagian daripada jajahan British yang mana ia menjadi antara acara semakin penting dalam kejohanan serantau selain Olimpik dan kejohanan dunia. Namun menjelang penganjuran tahun ini di Glasgow, Presiden CGF Tunku Imran Tuanku Ja'afar menyambut baik keinginan Durban dan Edmonton.


"Ini satu perkembangan yang menarik untuk pembangunan temasya ini, sesuatu yang mengukuhkan lagi kedudukan Sukan Komanwel di peringkat dunia. "Masa depan penganjuran temasya itu sangat positif. "Minggu lalu kunjungan terakhir ke Persekutuan Suruhanjaya Penyelarasan dilakukan untuk memantau persediaan di Glasgow sempena Sukan Komanwel tahun ini dan perkembangannya begitu cemerlang." "Selepas Glasgow temasya itu akan berlangsung di Gold Coast pada 2018 dan kini kami tahu dua negara itu sama ada Kanada atau Afrika Selatan mempunyai prospek yang baik menganjurkan temasya pada 2022. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Carroll wira West Ham

Posted: 01 Apr 2014 09:43 AM PDT

Sunderland: Pemain antarabangsa England Andy Carroll menjaringkan satu gol dan membantu gerakan gol kedua West Ham menewaskan Sunderland 2-1 untuk terlepas daripada zon penyingkiran di Stadium of Light, kelmarin.

Bekas penyerang Newcastle United itu yang kelihatan ceria kembali semula ke daerah kelahirannya meledak gol seawal minit kesembilan, melompat tinggi sebelum menanduk kencang ke penjuru gawang lawan. Sunderland tidak bernasib baik apabila dinafikan penalti apabila pemain tengah pelawat Kevin Nolan mengeluarkan bola menggunakan sikunya di garisan kotak penalti.


Carroll kemudian mencipta gerakan gol kedua West Ham lima mint awal babak kedua apabila mendada bola untuk Mohamed Diame.

Pemain Senegal itu kemudian melepaskan rembatan dari jarak 18 meter untuk menewaskan penjaga gol Vito Mannone.


Pengurus Sunderland Gus Poyet memasukkan Adam Johnson dan pemain gantian itu berjaya merapatkan kedudukan 2-1 untuk gol pelawat 25 minit sebelum perlawanan tamat.


West Ham yang kini berada di tangga ke-11 liga mengutip 37 mata dan kemenangan itu menamatkan kebimbangan nasib barisan Sam Allardyce itu.

Sunderland kekal dikedudukan di dasar kedua terbawah liga dengan 25 mata dan memerlukan empat mata untuk terselamat dengan baki lapan perlawanan lagi musim ini. "Kejayaan menjaringkan gol ke atas Sunderland sesuatu yang agak bermakna tetapi paling penting adalah tiga mata buat pasukan," kata Carroll kepada Sky Sports television.


"Semua rakan sepasukan berasa positif berdasarkan kedudukan kami yang kini selamat daripada penyingkiran." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Guardiola pernah ditawar urus United?

Posted: 01 Apr 2014 09:41 AM PDT

Manchester: Pep Guardiola bergurau bahawa dia sepatutnya ditawarkan membimbing Manchester United bagi meneruskan legasi Alex Ferguson tetapi diketepikan kerana tidak mengetahui cara percakapan Scotland.

Ferguson mengundur diri sebagai pengurus United tahun lepas dan memilih pengurus Everton menggantikannya, manakala Guardiola menyertai juara Liga Juara-Juara Bayern Munich selepas setahun berehat.


Ketika Guardiola berjaya memastikan Bayern mempertahankan kejuaraan Bundesliga, Moyes pula bermasalah di United yang kini ketinggalan 17 mata dengan pendahulu EPL. United dan Bayern bertembung di suku akhir Liga Juara-Juara dan Guardiola ditanya jika dia ditawarkan Ferguson tugasan membimbing United ketika mereka bertemu di New York berikutan keputusannya meninggalkan Barcelona pada 2012.

"Dia menjemput saya makan di sebuah restoran. Kami menghabiskan masa dengan bersembang.


"Bahasa Inggeris saya kurang fasih dan ketika Sir Alex bercakap laju, agak sukar untuk saya memahaminya. "Kerana itu saya tidak tahu sama ada saya ditawarkan jawatan ataupun tidak." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Sekat PSG!

Posted: 01 Apr 2014 09:36 AM PDT

Paris: Jose Mourinho sudah mengenepikan peluang Chelsea untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini tetapi beliau tetap percaya mereka mampu bangkit daripada kekecewaan yang dialami baru-baru ini dan Paris Saint-Germain bakal menerima padahnya, awal pagi esok.

Pengurus Chelsea itu mempersoalkan tahap kekuatan pemainnya ketika mereka tewas mengejut 1-0 di Crystal Palace dan kekalahan itu menyingkirkan Blues daripada persada Liga Perdana dan tempat itu diambil alih Liverpool.


Mourinho bijak bermain psikologi tetapi ketika Manchester City ingin memintas Blues dengan memenangi baki satu perlawanan di tangan, mungkin benar peluang untuk Chelsea menjulang gelaran musim ini ialah menerusi Liga Juara-Juara.

Pengendali Portugal itu yakin pasukannya akan bangkit ketika menentang juara Ligue 1 itu pada perlawanan suku akhir pertama yang berlangsung di Parc des Princes.


"Paris adalah tempat di mana kami tidak kekok untuk bermain. Ia perlawanan besar, stadium hebat dan lawan kami juga bukan calang-calang," kata Mourinho menjelang kunjungan ke Perancis.


Selain itu, beliau berkata, saingan pastinya sengit dengan PSG semakin gagah sejak dua tahun lalu dan kelab berkenaan sudah berbelanja besar untuk mendapatkan pemain hebat seperti Zlatan Ibrahimovic dan kapten Brazil, Thiago Silva.

"Mereka mempunyai beberapa pemain terbaik dunia dan justeru, mereka adalah pasukan yang kuat," kata Mourinho mengenai pasukan yang tewas menerusi kiraan gol di tempat lawan di tangan Barcelona tahun lalu.


PSG tidak tewas sepanjang 28 aksi tempat sendiri saingan Eropah dan ketika ini mencatat sembilan kemenangan dalam semua pertandingan.

Mereka muncul kelab yang tidak boleh digugat dalam saingan Ligue 1 dan mempunyai kelebihan 13 mata berbanding pesaing terdekat, Monaco.


Jurulatih Laurent Blanc mengakui pemainnya sudah tidak sabar untuk bertemu Chelsea.


"Apa yang boleh saya katakan ialah pemain saya sudah mula memikirkan aksi menentang Chelsea. Kami perlu beraksi lebih baik jika mahu menang," kata Blanc yang pernah mewakili Barcelona pada hujung 1990 ketika Mourinho membimbing kelab berkenaan.


"Chelsea mahu menang dan kami tidak mempamer aksi membanggakan ketika menentang Nice. Ada kalanya bola sepak tidak menentu." Blanc berharap anak buahnya dapat bangkit ketika menentang kelab London berkenaan ketika PSG membawa impian seluruh warga Perancis yang mahu melihat mereka menjulang Liga Juara-Juara musim ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Waspada Dortmund: Bale

Posted: 01 Apr 2014 09:35 AM PDT

MADRID: Pemain sayap Real Madrid Gareth Bale percaya pasukannya sudah pulih daripada kekecewaan akibat dari dua kekalahan berturut-turut dan kini mahu membalas dendam kekalahan kepada Borussia Dortmund di separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu.

Bale menjaringkan dua gol selepas tewas kepada Barcelona dan Sevilla minggu lalu, membantu pasukannya membelasah Rayo Vallecano 5-0 membolehkan mereka kekal di tangga ketiga La Liga, tiga mata di belakang pendahulu Atletico Madrid.


Bagaimanapun pertembungan suku akhir Liga Juara-Juara berdepan wakil Jerman itu menyemarakkan keyakinan buat pemain Wales itu apabila mengakui inilah corak permainan yang diinginkan menjadi penyebab mengapa dia meninggalkan Tottenham Hotspur untuk bersama Real musim lalu.

"Saya fikir adalah penting untuk kami bertindak balas dengan baik dan kembali bangkit semula," katanya. "Kami mengharapkan sesuatu apabila turun bertemu Dortmund. Itulah yang anda inginkan dalam permainan bola sepak apabila dapat bermain dalam perlawanan besar. "Kami perlu fokus sepenuhnya dan berharap dapat melakukan tugas dengan baik." Bale sekali lagi akan menyertai Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema di barisan depan Madrid dengan Ronaldo kini berusaha untuk menyamai rekod Lionel Messi 14 gol dalam saingan Liga Juara-Juara.


Dortmund mempunyai kelebihan terhadap Madrid selepas empat kali bertemu musim lalu.


Barisan bimbingan Jurgen Klopp meraih empat mata daripada enam mata yang ditawarkan dalam saingan peringkat kumpulan sebelum menyingkirkan juara sembilan kali Eropah dengan agregat 4-3 di separuh akhir. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Bank Negara puas walau tewas

Posted: 01 Apr 2014 09:35 AM PDT

Melaka: Pasukan Bank Negara Malaysia (BNM) Kuala Lumpur tewas 2-3 pada aksi persahabatan dengan Persatuan Sukan dan Kebajikan Kakitangan (PSKK) UiTM Melaka di kampus Lendu, Alor Gajah baru-baru ini.

Kapten BNM Baharudin Osman berkata, walaupun tewas, pemain memberi persembahan terbaik untuk menyaingi kehebatan tuan rumah pada aksi yang berlangsung dalam hujan renyai.


Beliau berkata, perlawanan berkenaan juga mengeratkan hubungan silaturahim antara kedua pasukan.

"Kami juga sering mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur bagi membentuk kemahiran dan persembahan mantap pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Sungai Lalang wakili KMY

Posted: 01 Apr 2014 09:34 AM PDT

Sungai Petani: Skuad perempuan B- 12 Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Lalang (SKBBSL) mengungguli Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah (MSSK) Daerah Kuala Muda/Yan (KMY) 2014, buat kali kedua berturut-turut, baru-baru ini.

Bermain di padang astroturf Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, SKBBSL bangkit untuk menang 2-1 selepas ketinggalan 0-1 kepada SK Pinang Tunggal.


"Kejuaraan ini berpunca daripada barisan pemain berkaliber yang sebahagiannya memiliki skil individu.

"Kemenangan ini merangsang kami untuk merencana pasukan terbaik bagi mencipta hatrik tahun depan," kata guru jurulatih, Shuhaimi Shihabudin.


Turut berganding bahu melonjakkan SKBBSL ialah Seberi Ismail, Pathiyah Md Yusof dan Muhammad Omar.


Pada peringkat awal, SKBBSL muncul juara Kumpulan G selepas menang ke atas SK Sungai Lalang 1-0 dan SK Semeling 2-0 sebelum mantap di pusingan kedua, membenam SK Batu Hampar 2-1 dan SJKT Saraswathy 2-0.

Mereka terus konsisten apabila menang selesa 3-0 ke atas SK Ambangan Height di separuh akhir.


Berikutan kejayaan itu, SKBBSL menjadi wakil KMY untuk berentap dengan tujuh daerah lain dalam saingan peringkat negeri di Alor Setar, bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

SJKT Rantau unggul

Posted: 01 Apr 2014 09:34 AM PDT

Seremban: Pasukan bola sepak Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rantau mempamerkan kehebatan apabila menewaskan SJKT Wawasan Seremban 2 untuk menjuarai Karnival Bola Sepak Sekolah-Sekolah Tamil Negeri Sembilan 2014 yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), baru-baru ini.

Lima pemain skuad itu yang pernah beraksi dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Seremban sebelum ini nyata memberi kelebihan kepada mereka untuk mendominasi perlawanan akhir dengan 2-0.


Kemenangan membolehkan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM500 manakala naib juara menerima trofi dan RM300.

Tempat ketiga diraih SJKT Tanah Merah Port Dickson yang menewaskan SJKT Bandar Port Dickson 5-4, menerusi sepakan penalti untuk masing-masing membawa pulang RM100.


Begitupun, pasukan SJKT Tanah Merah tetap berbangga apabila pemain penyerang M Yemasudan, 12, dinobatkan pemain terbaik dan penjaring terbanyak selepas menyumbat tujuh gol.


"Saya rasa teruja menerima anugerah ini kerana tidak sangka dapat menjaringkan tujuh gol. Kejayaan ini menambah semangat saya untuk terus bermain bola sepak," kata Yemasudan.

Sebanyak 20 pasukan membabitkan peserta B-12 menyertai karnival anjuran bersama Kelab Rekreasi Interek (IRC) dan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

No comments:

Post a Comment