Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Fujiwara gegar Sepang

Posted: 18 Apr 2014 11:07 AM PDT

Kuala Lumpur: Hadir sebagai pelumba pilihan, Katsuaki Fujiwara terus unggul apabila berjaya menguasai sesi latihan bebas SuperSports 600cc selepas merakam masa terpantas 1:05.793s pada hari pertama Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Sepang, semalam.

Pelumba Beet Kawasaki Racing itu mengetepikan pelumba negara, Mohd Zamri Baba (Musashi Boon Siew Honda) 1:05.814s sambil Yuki Ito (PETRONAS Hong Leong Yamaha) ketiga terpantas 1:05.837s.


Fujiwara berpuas hati dengan catatannya sekalipun berhadapan keadaan litar agak licin akibat kesan kemalangan pada peringkat awal sesi latihan bebas pertama, pagi semalam.

"Segalanya berjalan dengan agak baik. Keadaan litar tidak begitu baik selepas beberapa pelumba mengalami kemalangan pada peringkat awal, namun tidak begitu mengganggu aksi saya, malah keadaan cuaca juga agak baik. Pemilihan tayar yang tepat juga banyak membantu," katanya.


Mengulas syarat penggunaan tayar baru yang ditetapkan, Fujiwara berkata: "Kami dibenar menggunakan enam set tayar belakang (lembut dan sederhana) dan saya hanya menggunakan tayar jenis kompaun sederhana.


"Saya berjaya melakukan 30 pusingan keseluruhan termasuk ketika melakukan catatan terpantas pada sesi latihan bebas pertama." Pada sesi latihan bebas ketiga hari ini, dia akan menggunakan tayar kompaun lembut sebelum menentukan tayar manakah yang akan digunakan pada sesi ujian masa.

Foto

FUJIWARA mengambil selekoh pada sesi latihan, semalam.

Bagi Zamri pula, sekalipun hadir bertongkat kerana masih belum pulih daripada kecederaan kaki, dia mampu memberikan cabaran sengit dan yakin berada di barisan hadapan pada sesi ujian masa ketiga.


"Saya tidak bimbangkan sesi latihan bebas ataupun ujian masa kerana saya tidak perlu berada di litar untuk tempoh yang lama," katanya.

Cuma yang membimbangkan Zamri adalah menghadapi perlumbaan sebenar.


"Kami perlu beraksi 25 pusingan pada setiap perlumbaan dan saya perlu merancang strategi terbaik agar dapat menahan kesakitan sepanjang pusingan itu," jelasnya.


Sementara itu, beraksi di halaman sendiri memberi kelebihan kepada tiga pelumba negara untuk menguasai kategori Underbone 130cc dengan Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) muncul pelumba terpantas selepas merakam masa terbaik 1:21.682s pada sesi latihan bebas kedua.


Bekas rakan sepasukan, Mohd Affendi Rosli yang kini bersama PETRONAS Hong Leong Yamaha kedua, 1:22.048s dan Ahmad Fazrul Sham ketiga, 1:22.217s.


Pada saingan Asia Dream Cup (ADC), sekalipun terjatuh pada peringkat awal tidak menghalang Khairul Idham Pawi muncul pelumba terpantas dengan catatan 1:21.006s.


Pelumba Jepun, Teppei Nagoe kedua 1:21.746s dan ketiga Sumit Loucs Toppo dari India, 1:21.943s.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/19

Tagih bisa Sturridge

Posted: 18 Apr 2014 10:23 AM PDT

Liverpool: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers yakin penyerang Daniel Sturridge akan cergas dan memainkan peranan dalam usaha kelab itu merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Rodgers menjelaskan Sturridge mungkin terlepas kunjungan ke Norwcih, esok kerana kecederaan hamstring dialami ketika menang ke atas Manchester City, Ahad lalu.


Namun beliau tegaskan penyerang England berusia 24 tahun tu tidak akan terpinggir terlalu lama.

"Dia mungkin berisiko diturunkan hujung minggu ini," kata Rodgers ketika pasukannya menghuni tangga teratas dengan perbezaan dua mata.


"Ia tidak terlalu serius dan ia tidak mungkin menyebabkannya berehat beberapa minggu. Malah dia dapat pulih dengan pantas." Sturridge menjaringkan 23 gol buat pasukannya musim ini termasuk dua bersama England sekalipun dia tidak menemui sasaran dalam tiga perlawanan terakhir.


Kemenangan 3-2 Liverpool ke atas City membantu mereka mendahului dua mata berbanding pencabar terdekat Chelsea di puncak Liga Perdana.

Foto

STURRIDGE cedera ringan.

Sekalipun jika pasukan tangga kelima Everton menundukkan Manchester United esok, Liverpool akan tetap memastikan aksi ke Liga Juara-Juara musim depan jika mereka menundukkan Norwich yang kalah empat daripada lima perlawanan terakhir mereka.


"Kami meningkat dengan hebat musim ini dan objektif kami untuk layak ke Liga Juara-Juara memang sering kali sukar kerana tahap kompetitif liga ini," ujar Rodgers.

"Tapi kami masih berpeluang melakukannya. Jika kami menang hujung minggu ini, maka ia mengesahkan tempat buat kami." Keputusan seri 2-2 Manchester City di laman sendiri dengan kelab tercorot Sunderland bermakna mahkota kejuaraan menjadi saingan Liverpool dan Chelsea yang akan bertemu sesama sendiri di Anfield 27 April ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/19

Sunderland sentap azam City

Posted: 18 Apr 2014 10:22 AM PDT

Manchester: Pemain tengah Manchester City, Fernandinho menyifatkan keputusan seri 2-2 di gelanggang sendiri dengan kelab tercorot Liga Perdana, Sunderland kelmarin sebagai satu 'malapetaka'.

"Ia satu keputusan yang amat mengecewakan," jelas pemain Brazil itu. "Seluruh pasukan kecewa, terutama dengan cara kami bermain. Keputusan ini jelas satu bencana buat kami." City berusaha merapatkan jurang dengan Liverpool di puncak liga kepada empat mata selepas perlawanan kelmarin, namun keputusan seri itu menyebabkan mereka ketinggalan enam mata, sekalipun beraksi kurang satu perlawanan berbanding lawan.


Fernandinho meletakkan City di depan pada minit kedua menentang Sunderland, namun tuan rumah memerlukan jaringan penyamaan pada minit ke-88 menerusi Samir Nasri selepas dua gol Connor Wickham hampir membolehkan pelawat mencipta kemenangan mengejut.

Selepas tewas perlawanan terdahulu 2-3 di Liverpool, persembahan City dilihat merudum tidak tepat pada masanya namun Fernandinho percaya pasukannya akan bangkit apabila mereka menanti kunjungan West Brom awal minggu depan.


"Fokus kami kini terhadap West Brom Isnin ini (awal pagi Selasa) dan ia pasti satu perlawanan besar buat kami," ujarnya.


"Ia memang amat sukar, terutama selepas keputusan menentang Liverpool. Tapi kami perlu tenang dan berdepan West Brom di laman sendiri.

"Kami masih yakin boleh memenangi kejuaraan. Chelsea dan Liverpool mempunyai empat perlawanan lagi dan mereka mungkin tercicir beberapa mata. Kami percaya masih boleh memenangi kejuaraan liga." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/19

Firasat Cech

Posted: 18 Apr 2014 10:20 AM PDT

London: Menjelang pertemuan menentang Sunderland, Petr Cech yakin semua pemain Chelsea mampu mengatasi tekanan untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara musim ini.

Anak buah Jose Mourinho itu akan melangkah ke perlawanan menentang kelab bawahan itu dengan ketinggalan dua mata berbanding pendahulu, Liverpool.


Kemenangan di Stamford Bridge akan memastikan Chelsea terus memberi tekanan terhadap Liverpool yang bertandang ke Norwich, Ahad ini.

Chelsea boleh bergelar pendahulu sementara jika menundukkan Sunderland dan terpulang kepada mereka untuk menentukan masa depan dalam perebutan takhta liga musim ini menjelang aksi dengan Liverpool di Anfield pada 27 April.


Kedudukan Chelsea terus kukuh apabila Sunderland yang dibimbing Gus Poyet, berjaya mengikat pasukan tangga ketiga, Manchester City di Eastlands, empat hari selepas ditumbangkan Liverpool.


Begitupun, Chelsea masih perlu memikirkan aksi peringkat Eropah dan bakal bertandang ke Atletico Madrid untuk perlawanan pertama Liga Juara-Juara, awal Rabu nanti.

Hari-hari mendatang bakal menjadi ujian besar buat skuad Mourinho walaupun satu-satunya pemain yang cedera ketika ini ialah Eden Hazard.


Hazard tidak beraksi ketika mereka menentang Swansea gara-gara kecederaan dialami pada perlawanan dengan Paris Saint Germain.

Cech percaya rakan sepasukannya berpengalaman luas untuk menangani semua tekanan ketika ini.


"Memang sukar untuk berdepan tiga perlawanan besar berturut-turut, tetapi itulah sebabnya mengapa kami digelar pasukan hebat," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/19

Mata yakini sentuhan Moyes

Posted: 18 Apr 2014 10:19 AM PDT

Manchester: Pemain termahal Manchester United, Juan Mata yakin pasukan itu boleh mengancam semula di bawah kendalian pengurus David Moyes.

United yang tidak pernah menamatkan musim lebih teruk daripada tangga ketiga dalam liga utama Inggeris sejak 1991, kini menghuni tangga ketujuh.


"Sebelum saya tiba semuanya sukar di sini dan ia memberi kesedaran, saya bukan tampil dalam pasukan yang akan menang secara berterusan," jelas Mata.

"Tapi saya tahu kelab ini akan bangkit dan mempunyai masa depan cerah." Moyes yang menggantikan Alex Ferguson sebagai pengurus Julai lalu, dijangka terlepas tiket Liga Juara-Juara dengan United berdepan musim terburuk mereka dalam Liga Perdana, setahun selepas mengunggulinya.


Namun pemain tengah yang berpindah dari Chelsea Januari lalu menjangkakan beberapa pembelian pemain baru akan mengubah nasib kelab itu.


"Saya tidak ragu. Apabila saya sertai kelab ini, dalam semua perbincangan dengan pengarah dan pengurus mengenai musim depan, mereka yakin akan mendapat pemain yang tepat.

"Kami sedar, kelab dalam tempoh peralihan, namun saya yakin mereka mampu membawa beberapa pemain ternama ke sini.


"Saya yakin kelab ini akan bangkit dan berjuang merebut setiap trofi. Sejak kecil, United sentiasa berjuang dan saat itu pasti akan hadir." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/19

Mimpi ngeri Barca

Posted: 18 Apr 2014 10:14 AM PDT

Madrid: Buat kali pertama dalam tempoh enam tahun, Barcelona mungkin menamatkan musim ini tanpa sebarang gelaran dan kekalahan demi kekalahan dialami sejak kebelakangan ini seolah-olah mengesahkan lagi khabar berkenaan.

Kelab Catalan itu ketinggalan empat mata di belakang pendahulu La Liga, Atletico Madrid dan lebih memeningkan ialah mereka berdepan masalah kecederaan ramai pemain utama menjelang pertemuan menentang Athletic Bilbao di Nou Camp, Ahad ini.


Neymar terpaksa diketepikan untuk baki musim ini gara-gara kecederaan metatarsal kaki kiri.

Jordi Alba pula tidak boleh bermain tiga minggu akibat hamstring manakala Marc Bartra belum cergas sekali gus bermakna Carles Puyol berkemungkinan besar terpaksa diturunkan buat kali pertama dalam tempoh enam minggu.


Barca perlu menang baki perlawanan musim ini dan berharap Atletico dan Real berdepan nasib malang andai masih mengimpikan untuk menjulang La Liga terutama selepas tewas 1-0 di Granada, hujung minggu lalu.


Begitupun, pengurus Gerardo Martino belum mahu mengibar bendera putih dan mahu terus berjuang hingga hujung musim.

Foto

NEYMAR (kiri) cedera ketika menentang Real Madrid.

"Tidak ada alasan dan tidak ada resipi khas yang perlu kami gunakan ketika ini. Liga tidak memihak kepada kami, tetapi kami tidak boleh menyerah begitu saja.


"Kami akan terus berjuang. Biarlah masa menentukan kedudukan kami musim ini," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/19

Tonik Bayern jumpa Real

Posted: 18 Apr 2014 10:14 AM PDT

Berlin: Bayern Munich perlu menewaskan pasukan terbawah Bundesliga, Eintracht Braunschweig untuk melonjakkan moral pemain menjelang pertemuan separuh akhir Liga Juara-Juara di Real Madrid, minggu depan.

Dengan hanya dua kemenangan dalam enam aksi terakhir, aksi Bayern dilihat merudum sejak dinobat juara Bundesliga dengan baki tujuh perlawanan.


Bayern sudah menempah tiket ke final Piala Jerman selepas menang 5-1 ke atas skuad divisyen dua, Kaiserslautern, Rabu lalu.

Namun Pengarah Bola Sepak Bayern Matthias Sammer berkata, meskipun aksi dilihat bagus, prestasi pemain sebenarnya merosot.


Bayern tewas dua perlawanan liga berturut-turut dan ia sedikit mencemaskan suasana menjelang aksi menentang Real.


"Saya dapat rasakan kami sudah kehilangan sengat," kata Sammer yang mempersoal kemampuan Bayern untuk menjulang Liga Juara-Juara dan Piala Jerman.

"Dengan aksi yang kami pamerkan, ia tidak mencukupi. Kami perlu bertanya kepada diri sendiri jika kami masih mahu menang kedua-dua kejuaraan itu." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/19

Misi balas dendam

Posted: 18 Apr 2014 10:12 AM PDT

Ipoh: Wakil Perak, Royal Malaysian Police (RMP) berpeluang menebus kehampaan tumpas kepada Mersing Eagles apabila bertemu semula pada final kategori 'bowl' Kejohanan Liga Super Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) di Univerisiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, petang ini.

Pengurus RMP Superintendan Sharul Othman Mansur berkata, kekalahan di tangan wakil Johor itu di final NICC bulan lalu akan ditebus dalam usaha menjulang gelaran pada penampilan pertama mereka di peringkat kebangsaan.


RMP mara ke final selepas menumpaskan Kelab Di Raja Selangor (RSC), 28-0 untuk menempah pertemuan ulangan dengan juara NICC itu.

"Kami tumpas pertemuan pertama namun ini pertembungan baru. Selepas bersusah payah mara sebegini jauh, saya yakin pemain tidak akan menyerah mudah nanti," katanya.


Sharul berkata kejayaan mara ke final kategori 'bowl' itu sudah boleh dianggap pencapaian besar buat pasukan yang tidak mendapat sebarang perhatian serta bantuan kewangan.


"Kami mewakili Perak dan hingga kini berjaya mengharumkan nama negeri dengan pencapaian memberangsangkan.

"Namun malangnya kami bergerak bersendirian kerana langsung tidak menerima sebarang bantuan kewangan walaupun sudah mengutarakan isu itu kepada Kesatuan Ragbi Perak (KRP) sebelum ini," katanya.


Justeru beliau yang juga Ketua Trafik Perak berharap ada pihak sudi menaja pasukan itu bagi meneruskan kesinambungan dalam kancah Liga Super akan datang.

"Kami mengalu-alukan bantuan dari syarikat korporat atau individu agar dapat mengurangkan bebanan kewangan.


"Tambahan pula tahun hadapan kami masih beraksi dalam Liga Super KRM selain bertekad mengekalkan kejuaraan Liga Ragbi Perak serta merangkul kejohanan domestik lain terutama Piala Ketua Polis Negara yang kali terakhir kami juarai pada 2010," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/19

Promosi Terengganu

Posted: 18 Apr 2014 10:09 AM PDT

Kuala Terengganu: Terengganu Revolution Cycling Team (TRCT) bercadang melakukan kayuhan ke Singapura bagi menyampaikan 'mesej' mempromosi tempat menarik di Terengganu.

TRCT yang ditubuhkan akhir tahun lalu kini mempunyai 15 ahli yang sudah menjelajah ke Melaka dan Putrajaya bagi tujuan sama baru-baru ini.


Slogan kelab 'Kayuh Sokmo' bukan semata-mata untuk aktiviti beriadah saja, malah dengan satu misi mempromosi nama Terengganu terutama Tasik Kenyir yang bakal dijadikan kawasan Zon Bebas Cukai. Setiausaha TRCT Amirudin Muda berkata, matlamat awal penubuhan kelab itu adalah untuk kecergasan, kesihatan diri dan mencari kenalan sama minat dalam berbasikal.

Menurutnya, rutin harian kayuhan kelab dijalankan setiap pagi Jumaat dan hampir setiap petang di bandar raya ini.


"Setakat ini, kami baru saja berkayuh menjelajah Melaka dan Putrajaya sambil berkayuh turut berkempen.


"Kami yakin program yang dilaksanakan ini mampu meningkat kedatangan pengunjung luar ke Terengganu," katanya.

Amirudin berkata, pihaknya juga sempat menguji kemahiran meng awal basikal bukit di Taman Caba ran Putrajaya dan menyertai Kayu han Ceria Perbadanan Putrajaya.


Menurutnya, mereka turut berhasrat meneruskan misi sama ke destinasi lain, tetapi bergantung kepada kewangan.

"Kami harap misi membawa mesej ke Singapura menjadi kenyataan. Selain itu, kami juga mengalu-alukan kepada sesiapa yang berminat tidak mengira usia untuk menyertai TRCT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/19

SMKKJ kekal juara berganda

Posted: 18 Apr 2014 10:08 AM PDT

Sungai Petani: Pasukan Bawah 15 (B-15) dan Bawah 18 tahun (B-18) SMK Khir Johari (SMKKJ) mengekalkan kejuaraan Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah (MSSK) Daerah Kuala Muda/Yan (KMY) di Stadium Mini Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) buat kali kedua berturut-turut, baru-baru ini.

Skuad B-15 SMKKJ menewaskan lawan final, SMK Agama Yan 3-1, manakala pasukan B-18 mudah mengatasi SMK Sungai Layar, 3-0.


Jurulatih Mahamud Harun berkata, SMKKJ puas muncul juara berganda hasil program khas kecemerlangan bola sepak.

"Impian kami mengekalkan piala juara KMY di SMKKJ terlaksana. Momentum juara tahun lalu berjaya kami ulangi lagi untuk edisi tahun ini," katanya.


Guru lain yang turut bertanggungjawab menggemilangkan SMKKJ ialah Iskandar Abu Samah, Zali Omar, Ahmad Ismail, Azizi Dahlan, Mohd Zaki Mohammad dan Muhamad Azlan Azizan.


Pada peringkat awal, skuad B-15 SMKKJ membuktikan mereka adalah calon juara selepas membelasah SMK Taman Ria 9-0, SMK Saint Theresa 7-0, SMK Bandar Sungai Petani dan SMK Taman Ria Jaya 5-0.

Mereka seterusnya cemerlang pada pusingan kedua apabila menundukkan SMK Seri Badong 6-1 sebelum menang tipis 1-0 ke atas SMK Tunku Sulong di suku akhir dan membenam SMK Bedong 5-1 di separuh akhir.


Pasukan B-18 pula menang 4-0 ke atas SMK Taman Ria dan SMK Ibrahim, SMK Saint Theresa 3-1, SMK Bandar Sungai Petani 1-0 dan SMK Taman Ria Jaya 2-1.

Pada pusingan kedua, mereka mengetepikan Maktab Mahmud Cawangan Merbok 3-0, SMK Tunku Sulong 4-2 di suku akhir dan menewaskan SM Sains Sultan Mohamad Jiwa 1-0 di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/19

No comments:

Post a Comment