Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tambah 6 tahun

Posted: 10 Apr 2014 09:01 AM PDT

Melaka: Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun terpaksa meringkuk lebih lama selepas dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hukuman itu diputuskan Hakim Ahmad Sazali Omar, terhadap tertuduh, Mohd Zahar Basiron, 43, dari Tanjung Kling, di sini, selepas mengaku salah atas tuduhan merompak seorang wanita dengan menggunakan parang di Malim, bulan lalu.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak Yong Ching Ching, 34, menggunakan sebilah parang dan mengambil beg berwarna hijau tertera tulisan Studiuex yang mengandungi wang RM133.

Kesalahan dilakukan tertuduh di Kedai CLH Hardware Trading, Lot 613, Jalan Tun Fatimah, Malim kira-kira jam 12.10 tengah hari, 17 Mac lalu.


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.


Tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika rayuan, memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan menanggung keluarga dan dua anak yang mana salah seorang daripadanya orang kelainan upaya (OKU).

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya M Rebecca, yang mengendalikan kes memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepadanya.


"Tertuduh juga mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 379 Kanun Keseksaan pada 2007," katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Ahmad Sazali kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara enam tahun dan dikenakan tiga sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Catuan lagi 3 bulan

Posted: 09 Apr 2014 01:38 PM PDT

Shah Alam: Warga Lembah Klang khususnya di Selangor bakal berdepan catuan bekalan air yang berlarutan sehingga tiga bulan lagi berikutan kapasiti takungan air di empat daripada tujuh empangan di negeri ini masih di tahap membimbangkan apabila bacaan di empangan terbabit masih di bawah paras 55 peratus.

Walaupun operasi pembenihan awan dan catuan bekalan air yang memasuki fasa keempat sudah dilaksanakan sejak bulan lalu, kapasiti takungan di empangan terbabit tidak menunjukkan peningkatan memberangsangkan.


Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Md Khairi Selamat berkata, kapasiti takungan air di setiap empangan terbabit berupaya mencecah tahap 55 peratus sekiranya faktor cuaca serta kadar taburan hujan yang diterima di kawasan tadahan itu berterusan sehingga tempoh tiga bulan.

"Kebanyakan kawasan yang menerima hujan adalah kawasan hilir sungai dan bukan di kawasan tadahan empangan, faktor ini menyebabkan menyebabkan kapasiti air di semua empangan hanya mencatatkan peningkatan kecil," katanya pada sidang media mengenai status semasa kapasiti empangan di Selangor bersama LUAS di Bangunan Darul Ehsan, di sini, semalam. Khairi berkata, penyusutan kapasiti takungan air di empangan terbabit disebabkan cuaca panas dan kering selain kurangnya kadar hujan yang diterima oleh kawasan tadahan sejak Januari lalu.


"Keadaan ini di luar kebiasaan corak taburan hujan tahunan yang biasanya berlaku ketika monsun Barat Daya sekitar Mei sehingga September.


"Cuaca panas dan kering yang berlaku lebih awal pada tahun ini juga menyebabkan perbezaan bacaan kapasiti yang ketara pada tahun ini," katanya.

Foto

MD Khairi menunjukkan carta paras air empangan Sungai Selangor, semalam.

Selain itu, pembenihan awan yang dilakukan sehingga 29 Mac lalu mencatatkan peningkatan kapasiti 0.92 peratus daripada 36.39 kepada 37.31 peratus di Empangan Sungai Selangor manakala Empangan Klang Gates hanya meningkat 3.99 peratus dari 49.9 peratus kepada 53.89 peratus Menurutnya, inisiatif operasi pembenihan awan diteruskan dengan tertumpu kepada kawasan tadahan empangan Sungai Selangor dan Klang Gates serta empangan yang lain sehingga 31 Mei ini tertakluk kepada kesesuaian cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

'MAS tetap terbaik'

Posted: 09 Apr 2014 11:01 AM PDT

"Walaupun syarikat penerbangan Malaysian Airlines (MAS) dikritik hebat ekoran tragedi MH370 namun saya masih menganggap MAS antara peneraju industri penerbangan terbaik di dunia," kata bekas juruterbang MASkargo warga Australia, Kapten Wayne Parsons, 68.

Dia yang pernah berkhidmat sebagai juruterbang kontrak MASkargo antara 2003 hingga 2005 menyifatkan syarikat itu memiliki mutu perkhidmatan dan pengurusan yang baik.

Dia yang kini bertugas sebagai jurulatih penerbangan di Syarikat Jet Flight Simulator di sini, menyifatkan tragedi yang berlaku itu sebagai 'luar biasa' serta sukar dijelaskan punca kejadian.

"Apa sekalipun kritikan ramai pihak di luar sana...MAS masih boleh diyakini kerana mempunyai rekod perkhidmatan paling konsisten dan produk berkualiti tinggi sejak berpuluh tahun lamanya.

Foto

SEORANG anggota Pasukan Bantuan Bencana Jepun melihat papan mesej untuk MH370 di Pangkalan Tentera Udara Subang, semalam.


"Sepanjang bekerja dengan MAskargo, saya berpandangan syarikat penerbangan itu amat bertanggungjawab dari aspek keselamatan dan perkhidmatan pelanggan," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Puncak Niaga panggil mesyuarat luar biasa

Posted: 09 Apr 2014 10:32 AM PDT

Kuala Lumpur: Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat dalam masa terdekat berhubung pengambilalihan industri air di Selangor.

Pengerusi Eksekutif PNHB dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Tan Sri Rozali Ismail berkata, beliau membentangkan cadangan dan tawaran pengambilalihan untuk ditimbang dan diluluskan pemegang saham majoriti dan minoriti PNHB. "Saya percaya pemegang saham meletakkan kepentingan pengguna air domestik dan komersial di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.


Beliau turut merayu dan menaruh harapan kepada kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan supaya memberi pertimbangan ke atas pelaburan ratusan juta ringgit oleh pemegang saham majoriti dan minoriti di dalam syarikat PNHB yang merupakan pemegang saham utama dalam Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dan Syabas. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Hanya undang penyakit bahaya

Posted: 09 Apr 2014 10:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Menggunakan air mandian jenazah sama ada diminum atau disapu pada anggota tubuh boleh mendedahkan seseorang itu kepada pelbagai penyakit.

Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Rawatan Am Hospital Columbia Asia Dr Hanafiah Basirun berkata, air mandian berkenaan tidak bersih dan boleh menyebabkan jangkitan virus kepada penggunanya.


"Jika disapu, air berkenaan boleh menyebabkan jangkitan kulat pada kulit dan andai diminum ia boleh menyebabkan keracunan makanan dan cirit-birit.

"Lebih membimbangkan jika si mati mempunyai penyakit berbahaya seperti HIV atau hepatitis B dan C kerana dibimbangi pengguna air mandian berkenaan boleh dijangkiti penyakit terbabit andai terkena pada badan yang sensitif seperti kemaluan dan dubur," katanya.


Menurutnya, sangkaan orang ramai bahawa air mandian jenazah mampu menghilangkan penyakit termasuk virus HIV dan AIDS sama sekali karut kerana tiada bukti perubatan yang mengesahkannya.


"Jika mereka menggunakan kain meruam lebih berbahaya kerana najis mempunyai banyak kuman yang boleh menyebabkan jangkitan lebih teruk," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Imam Besar Masjid Negeri) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, perbuatan menggunakan air mandian mayat kerana percaya ia ada khasiat perubatan adalah syirik.


"Saya tidak menafikan perbuatan mengambil air mandian jenazah berlaku dalam kalangan masyarakat kita kononnya menghilangkan rasa rindu kepada arwah dan lain-lain tujuan perubatan. "Perbuatan ini syirik kerana menjurus kepada khurafat. Lebih baik jika kita rindu pada si mati, sedekahkan ayat suci al-Quran dan berzikir untuk rohnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

No comments:

Post a Comment