Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Mercedes cemerlang

Posted: 07 Apr 2014 12:17 PM PDT

Manama: Lewis Hamilton menjuarai Grand Prix (GP) Bahrain kelmarin di depan rakan sepasukan dari Mercedes, Nico Rosberg selepas satu perlumbaan sengit sekali gus membolehkannya menyamai rekod 24 kemenangan karier milik Juan Manuel Fangio.

Hamilton yang turut menang dua minggu lalu di Malaysia, menamatkan perlumbaan 1.085 saat di depan Rosberg dalam satu lagi kejayaan buat pasukan Mercedes yang memenangi semua tiga perlumbaan musim ini.

Sergio Perez dengan jentera Force India di tangga ketiga, 24.067 saat di belakang juara, untuk memberikan pasukannya kedudukan podium kali kedua.

Pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo yang bermula di petak ke-13, berakhir di tangga keempat, diikuti Nico Hulkenberg dengan jentera Force India dan juara dunia Sebastian Vettel dari Red Bull melengkapkan senarai enam teratas.

Foto

HAMILTON (kanan) meraikan kejayaannya menjuarai GP Bahrain bersama Rosberg, kelmarin.


Keputusan itu membolehkan Rosberg, juara GP Australia, kekal mengungguli kejuaraan dunia dengan 61 mata. Hamilton mengumpul 50 dengan Hulkenberg di tangga ketiga, 28 mata.


Pemandu Britain itu selesa mendahului dalam perlumbaan GP kali ke-900 dengan lebih sembilan saat apabila kereta keselamatan masuk pada pusingan ke-42 daripada perlumbaan 57 pusingan itu.

Rosberg yang bermula di petak utama, seketika berjaya mengatasi pemandu Britain itu namun Hamilton kembali memintas ketika membrek sekalipun tayar mediumnya kurang cengkaman berbanding tayar lembut pemandu Jerman itu.

Hamilton akhirnya berjaya meraih kemenangan sulung di Bahrain selepas dicabar sengit rakan sepasukan.

"Hebat melihat kami mempunyai ramai pengikut di sini. Saya amat bersyukur kerana pasukan berjaya dan ini kemenangan pertama saya di Bahrain," jelas Hamilton.

"Ia amat menarik, Nico memandu dengan menakjubkan, amat adil tapi sukar untuk berada di depan, saya mempunyai peluang di hujung perlumbaan dan berjaya menggunakan kelebihan itu."- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Kemenangan sudah diduga

Posted: 07 Apr 2014 12:09 PM PDT

Kuala Lumpur: Kehebatan jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) yang menundukkan musuh ketatnya dari China, Chen Long dengan 21-13, 21-17 pada perlawanan akhir Siri Super Terbuka India kelmarin, sememangnya sudah dijangka berdasarkan prestasi konsisten dipamerkan sejak awal musim ini.

Selepas menewaskan musuh sama di Kejohanan Badminton All England di Arena Tertutup Nasional Birmingham, England, bulan lalu, pemain nombor satu dunia itu kini taruhan terbaik Malaysia bagi mengetuai pasukan ke pusingan akhir Piala Thomas di India, pada 18 hingga 25 Mei depan.

Namun begitu, di sebalik kecemerlangan Chong Wei di India, terbit persoalan mengenai prestasi beberapa pemain lain yang agak membimbangkan dengan Chong Wei Feng kecundang awal manakala Liew Daren belum pulih daripada kecederaan.

Lebih parah lagi, gandingan beregu negara juga tidak menunjukkan keputusan membanggakan sepanjang kejohanan itu.

Tidak ada pasangan lelaki negara yang mampu melangkah lebih jauh dengan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong tersingkir seawal pusingan pertama.

Goh V Shem-Lim Khim Wah pula dilihat seakan-akan tidak bermaya apabila terkandas di pusingan kedua walaupun pada Januari lalu gah muncul juara Siri Super Premier Terbuka Malaysia.

Berdasarkan situasi terkini, dapat disimpulkan sasaran awal diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk sekurang-kurangnya melangkah ke separuh akhir di Kejohanan Piala Thomas, hanya harapan palsu yang dicipta BAM.

BAM seharusnya lebih realistik dengan 'mengukur baju di badan sendiri' sebelum membuat apa jua sasaran berdasarkan kemampuan dan kekuatan pemain badminton negara.

Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohamad Norza Zakaria tetap menganggap prestasi semasa itu bukan perkiraan sebenar, sebaliknya beliau yakin barisan pemain negara akan berada pada tahap terbaik di saingan Piala Thomas nanti.

"Saya akui bila berdepan dengan Piala Thomas, ia secara automatik membabitkan maruah dan prestasi negara.

Foto


Tapi saya yakin kita mampu mempunyai pasukan yang seimbang menjelang kejohanan itu nanti," katanya.

Malaysia dijangka mudah melepasi peringkat kumpulan apabila diundi dalam Kumpulan C bersama India, Korea Selatan dan Jerman.


Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas ialah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur apabila menumbangkan Indonesia di pentas final.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Azman, Azwari jadi rebutan

Posted: 07 Apr 2014 12:07 PM PDT

Kuala Lumpur: Bakat dua bekas tekong negara, Noor Azman Abd Hamid (gambar) dan Tunku Nor Azwari Tunku Ishak menjadi rebutan di bumi Thailand walaupun saingan pusingan pertama Liga Takraw Thailand (TTL) masih belum tamat sepenuhnya.

Kedua-duanya yang tampil buat kali pertama bersama Kelab Takraw Phrae (PTC) sejak Februari lalu cemerlang membantu kelab utara Thailand itu berada di kedudukan ketiga liga dalam saingan yang dijalankan secara berpasukan membabitkan 10 pasukan.

"Tawaran itu didedahkan pengurus kami semalam (kelmarin) dengan dua kelab berlainan berminat untuk mendapatkan khidmat kami menjelang pusingan kedua TTL, perkembangan yang menggembirakan," kata Noor Azman kepada Arena Metro semalam.

Noor Azman,31, mendapat tawaran untuk menyarung jersi Kelab Takraw Ratchaburi (RTC) pada pusingan kedua TTL manakala Tunku Nor Azwari, 24, diintai Kelab Takraw Chonburi (CTC) - kelab sama yang diwakili perejam utama Thailand, Pornchai Kaokaew.

Namun kedua-duanya yang mempunyai kontrak sehingga Jun ini belum membuat sebarang keputusan kerana saingan pusingan pertama masih berbaki tiga perlawanan.

"Kami serahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan kerana masih mempunyai kontrak.

Terpulang kepada pihak pengurusan untuk tindakan seterusnya dengan keputusan mungkin diketahui selepas tamat pusingan pertama," katanya.

Arena Metro pada Februari lalu melaporkan kedua-dua pemain berkenaan muncul pemain sepak takraw profesional negara apabila terpilih mewakili PTC.

Ditanya mengenai prestasi semasa, Noor Azman berkata, mereka hanya memberikan tumpuan 100 peratus apabila diturunkan untuk beraksi dan terpulang kepada pihak pengurusan menilainya.

Kedua-dua pemain berkenaan digugurkan daripada senarai skuad negara yang baru dibentuk tahun ini namun ketua jurulatih negara, Jamaluddin Hassan menjelaskan peluang untuk mereka kembali menyarung jersi negara masih belum tertutup seandainya mempamerkan prestasi lebih baik.

Skuad negara mempunyai dua kejohanan besar tahun ini iaitu Kejohanan Dunia yang dijadualkan berlangsung di Thailand pada bulan depan, disusuli Sukan Asia di Korea Selatan pada September.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Toogoo kibar Cabaran Udara Red Bull

Posted: 07 Apr 2014 12:03 PM PDT

Kuala Lumpur: Bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Datuk Halim Othman akan menjadi peserta pertama Malaysia bersaing pada Piala Cabaran Perlumbaan Udara Red Bull 2014.

Halim, yang juga dikenali sebagai 'Toogoo' adalah seorang daripada tiga juruterbang terbaru dari seluruh dunia yang berjaya menamatkan latihan lasak dan ujian di Kem Kelayakan Perlumbaan Udara Red Bull di Murska Sobata, Slovenia, minggu lalu.

Beliau dianugerahkan 'Lesen Super Terhad', yang membolehkannya mengambil bahagian dalam perlumbaan lapan pusingan Piala Cabaran itu.

"Saya amat gembira kerana berjaya melepasi proses kelayakan dan sangat teruja beraksi di Piala Cabaran ini.

Ini penghormatan besar bagi saya kerana mewakili Malaysia dalam perlumbaan terpantas di dunia.

"Sungguh amat istimewa untuk berlumba pada pusingan ketiga di Putrajaya bulan depan," katanya dalam kenyataan semalam.

Perlumbaan udara musim 2014 merangkumi lapan pusingan dengan yang pertama berlangsung di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Pusingan kedua akan diadakan di Rovinji, Croatia pada 12 dan 13 April ini diikuti pusingan ketiga di Putrajaya pada 17 dan 18 Mei depan.

Piala Cabaran diadakan pada Hari Kelayakan untuk memberi juruterbang pengalaman penuh perlumbaan dengan matlamat utama untuk mendapatkan sebanyak mungkin pengalaman bagi memperoleh 'Lesen Super Tanpa Had' iaitu tiket ke kelas Masters.

Halim, yang mempunyai jumlah penerbangan sebanyak 4,000 jam akan menggunakan pesawat jenis Extra E-330LX yang disediakan penganjur pada penampilan sulung di pusingan ketiga di Putrajaya.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Dominasi generasi muda

Posted: 07 Apr 2014 12:01 PM PDT

Kuala Lumpur: Ketiadaan pelumba berpengalaman termasuk juara bertahan CP130, Ahmad Fuad Baharudin yang mengumumkan persaraan tahun ini tidak mengurangkan kehangatan saingan pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2014 yang baru berakhir di Batu Kawan, Pulau Pinang, Ahad lalu.

Sebaliknya, saingan bertambah hebat apabila giliran pelumba muda mendominasi saingan mengatasi mereka yang senior selepas pelumba berusia 19 tahun, Mohd Zaqhwan Zaidi dari pasukan Givi Honda Yuzy Racing mencatat kemenangan sempurna dalam kategori CP130 dengan menguasai sesi ujian masa dan seterusnya mendahului sesi Superpole sebelum melengkapkan 18 pusingan perlumbaan akhir sebagai juara, mengatasi juara dua kali Expert/CP130 berusia 28 tahun, Norizman Ismail.

Mohd Azhar Abdul Jalil, 21, dari pasukan Motul Yamaha YY Pang turut mencuri tumpuan apabila menamatkan saingan di tempat ketiga perlumbaan pertama 2014 selepas melalui musim kurang memberangsangkan pada peringkat awal kemunculan di pentas CP130 sepanjang musim lalu.

Sementara itu, duo Motul Yamaha YY Pang, Mohd Izzat Zaidi Salehan dan Tengku Amirul Haffirudin, kedua-duanya berusia 19 dan 18 tahun berjaya menyekat kemaraan pelumba berpengalaman, Elly Idzlianizar Ilias (30) apabila mendominasi kedudukan satu-dua pada perlumbaan akhir kategori CP115 sambil Khairul Ikhwan Ajis yang baru berusia 15 tahun menguasai perlumbaan Wira yang membabitkan peserta berusia 17 tahun ke bawah.

Juara Expert/CP130 tiga kali, Ahmad Fuad yang berpengalaman 16 tahun beraksi dalam Kejuaraan Cub Prix gembira dengan prestasi dipamerkan pelumba muda, namun mengingatkan agar mereka tidak mudah berpuas hati dengan keputusan diperoleh memandangkan perlumbaan masih di peringkat awal musim.

"Saingan pada pusingan pembukaan ini begitu menarik.

Walaupun tidak lagi bersama mereka di litar, saya tidak melepaskan peluang menyaksikan perlumbaan yang saya lihat cukup sengit dan penuh drama.


Mutu perlumbaan sentiasa di tahap tertinggi dan pastinya saya akan merindui suasana sebegini selepas ini," kata Ahmad Fuad yang kini memberi sepenuh tumpuan terhadap pembangunan pelumba muda bersama pasukannya FELDA PbAfB Tech.

"Meskipun begitu, saya percaya pelumba senior khususnya yang seangkatan dengan saya sebelum ini masih belum mempamerkan prestasi terbaik dan menyimpan banyak strategi yang akan digunakan kelak.

"Musim 2014 masih panjang, ada baki sembilan pusingan lagi.


Perlumbaan minggu lalu masih di peringkat awal dan saya menasihatkan pelumba muda ini terus bekerja keras dan jangan cepat berpuas hati dengan pencapaian itu.

"Mereka perlu faham apa yang paling penting prestasi konsisten dan bukan keputusan turun-naik.

Saya fikir dalam perkara sebegini, pelumba senior lebih berpengalaman dan mempunyai banyak kelebihan.

Setakat ini, hanya seorang pelumba muda yang saya lihat mempamerkan aksi begitu konsisten iaitu Hafizh Syahrin Abdullah sewaktu memenangi gelaran CP130 pada 2010," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Azlan jamin siap ikut jadual

Posted: 07 Apr 2014 11:59 AM PDT

Seremban: Menteri Besar Perlis Azlan Man memberi jaminan semua gelanggang pertandingan bagi penganjuran Sukan Malaysia ke-17 (SUKMA) 24 Mei hingga 4 Jun ini siap mengikut jadual.

Beliau berkata, biarpun masih ada kemudahan sukan belum siap sepenuhnya, namun ia sudah di peringkat akhir pembinaan dan akan siap menjelang akhir bulan ini.

Katanya, tidak timbul soal Perlis tidak bersedia menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar negara itu.

""Setakat ini semua persiapan berjalan lancar mengikut jadual dan saya beri jaminan semua gelanggang dapat digunakan bagi SUKMA bermula 24 Mei ini.

"Kolam renang dan sembilan lagi kemudahan antaranya dewan badminton, skuasy, stadium utama dan kelab golf dalam peringkat sentuhan akhir dan kontraktor dijangka menyerahkannya sebelum akhir bulan ini," katanya.

"Semua infrastruktur itu masih dalam tempoh tanggungan kontraktor.

Kebanyakan binaan adalah daripada struktur sedia ada serta kukuh dan hanya perlu dinaik taraf menjadikan ia selamat digunakan.


Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknoloji Mara (UiTM) Arau menjadi tempat penginapan utama lebih 6,500 atlet dan pegawai.

""Ujian juga akan dijalankan terlebih dahulu bagi menentukan ia mengikut spesifikasi dan piawaian ditetapkan," " katanya pada majlis kunjungan ke atas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan di Wisma Negeri di sini, petang semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri Datuk Zaifulbahri Idris, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan dan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSSNS) Datuk Abdul Samad Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Jelajah desak letak jawatan

Posted: 07 Apr 2014 11:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Penyokong tegar bola sepak negara 'Presiden FAM Sila Letak Jawatan (PFSLJ)' tidak menolak kemungkinan melakukan jelajah ke seluruh negara dalam usaha meraih sokongan ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang pemilihan Kongres FAM ke-50, 25 Mei.

Tindakan itu dianggap mencontohi pendekatan Kelab Sukan Rekreasi Kebajikan Bekas Pemain Sepak Takraw Malaysia yang diketuai bekas pemain, Rommi Suhendra Norsal yang menjelajah ke seluruh negara bagi mendapatkan pandangan dan sokongan ahli gabungan untuk mendesak Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail melepaskan jawatannya.

Menurut jurucakap Al Fadli Awaludin, perancangan itu bagaimanapun masih di peringkat awal perbincangan dan masih belum lagi dimuktamadkan, tetapi tidak menolak kemungkinan mekanisma seperti itu bakal digunakan.

"Kami ada juga terfikir menggunakan cara sama seperti dilakukan bekas pemain sepak takraw negara mendesak Presiden PSM melepaskan jawatan.

"Cuma masalah kami ketika ini daripada sudut kewangan.

Usaha seperti itu memerlukan perbelanjaan besar.

Sebab itu kami hanya menggunakan kelab penyokong di setiap negeri menyampaikan protes kami.

"Apapun bagi kami, Tuanku Presiden mesti melepaskan jawatan yang disandangnya secara sukarela.


Mahu tidak mahu, ahli gabungan tetap akan ada mencalonkannya di atas kapasitinya sebagai golongan diraja," katanya kepada Arena Metro.

Menurutnya, tindakan berani PFSLJ itu bukan didorong mana-mana pihak ataupun ditaja sesiapa.


"Kami mewakili suara semua penyokong bola sepak negara yang cintakan sukan ini.

Saya menafikan sama sekali jika ada yang mengaitkan kami dengan mana-mana pihak.

Apa yang jelas, selama 30 tahun FAM di bawah kepimpinan Tuanku Presiden, bola sepak kita semakin jatuh," katanya.

Semalam, Arena Metro melaporkan reaksi PFSLJ yang tidak rela Sultan Ahmad Shah terus mempertahankan jawatan disandangnya sejak 1984 selepas Presiden FAM itu dilapor mendapat lima pencalonan daripada ahli gabungan.

Anakandanya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad meraih 12 pencalonan manakala Tunku Ismail Sultan Ibrahim pula mendapat tiga.

Namun, Tengku Abdullah dan Tunku Ismail difahamkan akan menarik diri sekiranya Sultan Ahmad Shah ingin mempertahankan jawatannya bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Misi wajib menang Kelantan

Posted: 07 Apr 2014 11:56 AM PDT

Kota Bharu: Kelantan tekad menewaskan Yangon United dalam saingan Piala Konfedarasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini meskipun bakal beraksi tanpa tiga tonggak utama.

Kelantan kehilangan khidmat pemain tengah import, Mohamed Shawky Aly dan penyerang, Ahmad Shakir Ali yang digantung satu perlawanan selain Ahmad Fakri Saarani kerana kecederaan.

Keadaan itu menyaksikan The Red Warriors (TRW) berdepan tugas berat mendapatkan tiga mata bagi memastikan laluan ke suku akhir terus terbuka.

Ketua jurulatih Kelantan Steve Darby berkata, mereka sekali lagi terpaksa menurunkan pemain pilihan kedua untuk mengisi posisi tonggak yang tidak dapat beraksi bagi menebus kekecewaan tewas 3-5 kepada wakil Myanmar itu pada perlawanan pusingan pertama 26 Februari lalu.

Katanya, meskipun situasi itu menjejaskan persiapan, namun mereka tetap akan turun untuk mengutip tiga mata bagi mengelak daripada diaib di gelanggang sendiri.

"Kami tetap mahu menang dengan menggunakan pemain yang boleh beraksi.

Selain misi menebus kekecewaan lalu, kami juga perlu mendapatkan mata untuk ke suku akhir," katanya ketika sidang media AFC di Hotel Holiday Villa di Wakaf Che Yeh, semalam.

Turut hadir, ketua jurulatih Yangon United Eric William, ketua pasukan Khin Maung Lwin dan pertahanan Kelantan, Tuan Mohd Faim Tuan Zainal Abidin.

Sementara itu William berkata, Yangon United tetap berwaspada meskipun pernah menewaskan wakil Malaysia itu dalam perlawanan pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Red Giants buru tiga mata

Posted: 07 Apr 2014 11:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Berdasarkan prestasi semasa, tiada alasan untuk Selangor gagal membawa pulang tiga mata berharga apabila turun menentang T-Team di Kuala Terengganu, malam ini.

Merah Kuning mampu menamatkan perlawanan pusingan pertama dengan merampas kedudukan teratas Liga Super daripada Pahang andai anak buah Mehmet Durakovic melakar kemenangan pada pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu.

Selangor kini berada di kedudukan ketiga Liga Super selepas mengumpul 20 mata, ketinggalan dua mata kepada pendahulu liga, Pahang yang meraih 22 mata dan kemenangan malam ini akan melonjakkan mereka dengan 23 mata selepas mengharungi 11 perlawanan pusingan pertama manakala tuan rumah kendalian Azraai Khor Abdullah berada pada kedudukan ke-10 liga dengan 12 mata.

"Sememangnya kami memburu kemenangan bagi meraih kedudukan teratas liga.

Ia akan menjadi satu motivasi yang lebih kuat kepada kami mengharungi perlawanan esok (malam ini) dan andai berjaya, ia akan meningkatkan semangat kami," kata pemain tengah Selangor, Abdul Shukor Jusoh.

Namun jelasnya, kesungguhan dan keinginan pemain Merah Kuning perlu seiring dengan sikap waspada kerana T-Team dikatakan akan membawa pemain import baru, sesuatu yang mungkin mengubah corak permainan mereka.

Pemain kelahiran Terengganu itu dijangka menjadi taruhan Durakovic untuk mengemudi barisan tengah selepas pulih daripada kecederaan baru-baru ini.

"Pada dua perlawanan sebelum ini, saya hanya diturunkan sebagai pemain gantian.

Namun saya berasa sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi 90 minit perlawanan andai diberikan kepercayaan," katanya.

Kali terakhir Selangor tewas pada pertengahan Februari lalu dengan nasib T-Team yang bakal mengharungi perlawanan ke-12 liga lebih malang apabila sekadar merekodkan tiga kemenangan.

Foto

SHUKUR (kiri) yakin rakan mampu benam T-Team.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Azraai tidak mahu berputih mata lagi

Posted: 07 Apr 2014 11:54 AM PDT

Kuala Terengganu: Jurulatih T-Team Mohd Azraai Khor Abdullah sedar laluan sukar pasukannya membaham Selangor, namun pengendali berusia 62 tahun itu mengakui tidak rela berputih mata buat kali kedua berturut-turut dalam masa empat hari apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

"Selepas tewas di tangan Pahang, saya tidak mahu perkara sama berulang malam ini apatah lagi kami beraksi di laman sendiri.

Saya menuntut pemain beraksi lebih 100 peratus bagi mencapai tiga mata penuh," katanya.

Mohd Azraai yang mengambil alih tugas melatih T-Team pada akhir musim lalu berkata, bagi memastikan matlamatnya tercapai, rombakan di bahagian serangan dan tengah akan dilakukan menjelang perlawanan itu.

Beliau berkata, ketika pertemuan dengan Pahang, ada pemainnya gagal mempamerkan permainan bertenaga dan tidak komited sehingga mereka tewas 0-2.

Ketika ditanya kelibat penyerang baru dari Brazil, Leandro Dos Santos yang menggantikan pertahanan Fabio Flor, Mohd Azraai menaruh harapan tinggi pemain itu mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) secepat mungkin bagi membolehkannya diturunkan.

"Kami ketandusan penyerang berkualiti apatah lagi pemain import dari Brazil Evaldo Rodrigues dan Patrick Wanggai dari Indonesia gagal menjalankan tugas dengan berkesan.

"Kehadiran Santos diharap mampu menjawab persoalan penyudahan tumpul yang kini menghantui kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

No comments:

Post a Comment