Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bieber anjur parti ganja

Posted: 06 Apr 2014 11:14 AM PDT

Miami: Justin Bieber nampaknya tidak terlepas daripada skandal. Dalam pada dia membuat persiapan menghadapi perbicaraan pada 5 Mei ini, bekas kekasih Selena Gomez itu dilaporkan mengadakan parti ganja di sebuah hotel.

Laman web NY Daily News melaporkan Bieber dan teman-temannya dilihat berdiri di balkoni bilik sebuah hotel lima bintang di Miami, malah dia dikhabarkan menyewa lima bilik semuanya.

Seperti biasa, Bieber membuatkan tetamu lain hotel itu terganggu apabila dia dan rakan-rakannya membuat bising selepas berhimpun dalam biliknya.

Aduan dibuat selepas penghuni lain hotel berkenaan mendakwa terbau ganja dari bilik Bieber itu.

Foto

Justin Bieber


Ini bukan pertama kali Bieber dikaitkan dengan penyalahgunaan ganja, malah sebelum ini pesawat peribadinya didapati membawa dadah ketika diperiksa polis di New Jersey. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Botol mayonis jadi pilihan

Posted: 06 Apr 2014 10:59 AM PDT

Carolina: Seorang lelaki 67 tahun mahu abu mayatnya diletakkan di dalam botol mayonis jika dia meninggal dunia kerana sangat meminati makanan itu.

Larry Clinton yang berasal dari Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS) menggunakan mayonis hampir pada semua makanannya dan jenama kegemarannya adalah Duke's Mayonnaise.


"Selain rasanya yang lazat, jenama ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Beberapa tahun lepas saya memberitahu isteri saya, jika saya meninggal dunia, saya mahu mayat saya dibakar dan abunya diletakkan di dalam botol mayonis itu, Kata Larry.

Namun, isterinya menganggap Larry hanya bergurau sehinggalah lelaki itu memberitahu "permintaan terakhirnya" itu kepada anak perempuannya, Teresa Clinton-Edge.


Teresa kemudiannya menghubungi syarikat mayonis berkenaan dan pihak syarikat bersetuju dengan permintaan itu.


Duke's Mayonnaise menyiapkan dua botol khas dengan label jenama yang dicantumkan dengan nama Larry.

Permintaan Larry itu bukanlah yang pertama seumpamanya.


Awal tahun ini seorang lelaki di Ohio dikebumikan bersama motosikal Harley Davidson kesayangannya manakala pada 2008, pencipta bekas makanan ringan "Pringles", Frederic Baur turut dikebumikan bersama bekas makanan itu ketika meninggal dunia pada usia 89 tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Marah suami, kelar anak

Posted: 06 Apr 2014 10:59 AM PDT

Shanghai: Seorang wanita yang marah dengan suaminya selepas satu pergaduhan melepaskan geramnya terhadap anak lelaki mereka berusia lapan tahun dengan memotong tiga jari tangan kiri kanak-kanak itu.

Akhbar Shanghai Daily melaporkan wanita berkenaan dan suaminya bertengkar mengenai isu keluarga Rabu lalu sebelum si isteri yang terlalu marah menarik anak lelaki mereka ke dapur dan memotong jari budak terbabit.

Kanak-kanak itu dibawa ke hospital, namun tidak diketahui sama ada doktor mampu menyambung semula jari-jarinya.

Wanita itu kini ditahan polis. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Tiada ruang untuk menipu

Posted: 06 Apr 2014 10:58 AM PDT

Surabaya: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) berkata, tidak ada ruang untuk berlaku penipuan dalam pilihan raya Rabu depan kerana pengawasannya dijalankan dengan begitu rapi.

Dalam pertemuan dengan pegawai atasan syarikat media di Surabaya semalam, pemimpin itu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya, Badan Pengawas Pilihan Raya (Bawaslu) dan Mahkamah Perlembagaan kini sudah tidak dikawal oleh kerajaan. "Mereka yang akan memastikan tidak ada pihak, baik kerajaan sekalipun, akan menipu untuk menang dalam pilihan raya Rabu ini.


"Begitu juga media. Mereka sudah pasti mengawal perjalanan pilihan raya tanpa ada yang akan bersikap tidak adil. Kerana itu, untuk menipu bukan saja sukar, malah tidak mungkin dapat dilakukan," kata Susilo.

Menurut pemimpin Indonesia itu yang juga Ketua Parti Demokrat, penipuan dan kecurangan hanya boleh berlaku sekiranya badan yang ada kaitan dengan pilihan raya dikuasai satu pihak saja.


"Dalam era sekarang, untuk menipu amar sukar. Dari peringkat daerah sehingga ke pusat, semua parti saling mengawasi. Apa lagi dengan wujudnya teknologi maklumat, pengiraan undi tidak boleh diseleweng," katanya.


Beliau bagaimanapun menggesa pihak yang mempunyai bukti berlaku penipuan supaya melaporkannya kepada Bawaslu dan Mahkamah Perlembahaan.

"Jangan bertindak sesuka hati atau menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan penipuan yang berlaku," katanya.


Menurut Susilo, demokrasi di Indonesia sudah setaraf dengan negara maju.

"Ini dapat dibuktikan dengan kejayaan rakyat Indonesia selepas reformasi mengadakan tiga pilihan raya yang berjalan dengan lancar dan aman," katanya.


Presiden Indonesia itu juga meminta pihak tentera dan polis memastikan pilihan raya kali ini tetap aman dan demokratik.


Susilo, di majlis itu turut meramalkan keadaan politik selepas Rabu ini akan semakin dinamik dan panas.


"Keadaan ini akan berlaku kerana adanya pilihan raya presiden pada 9 Julai depan, sehinggalah pelantikan presiden baru pada 20 Oktober," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Waspada penipuan masa tenang: PDIP

Posted: 06 Apr 2014 10:58 AM PDT

Sukoharjo: Ketua Penerangan Pilihan Raya Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) Puan Mahari menggesa anggota dan penyokong parti mengawasi kemungkinan berlaku penipuan dan kecurangan sepanjang masa tenang sebelum pilihan raya umum Parlimen berlangsung Rabu ini.

Beliau menggesa demikian kerana menyedari ada pihak yang mahu memastikan parti itu menang.


Kaji selidik yang dijalankan sebelum ini menyatakan PDIP mempunyai harapan cerah untuk menguasai paling banyak kerusi Parlimen dalam pilihan raya kali ini.

"Kita harus berwaspada pada masa tenang kerana ada pihak yang tidak mahu melihat kita menang," kata cucu presiden pertama Indonesia itu ketika berkempen di Kota Sukoharjo, Jawa Tengah, kelmarin.


Kempen pilihan raya dihentikan sejak awal pagi semalam sebelum pilihan raya diadakan 9 hari bulan ini.


"Walaupun pelbagai kaji selidik meramalkan PDIP akan menang, kita tidak boleh menjadikannya alasan untuk duduk diam. "Kita tidak boleh lena. Kita harus berjuang untuk meraih 20 peratus kerusi," kata Puan.

Pada majlis yang sama, pengerusi PDIP Megawati Sukarnoputri meminta setiap anggota tidak terjebak dengan politik wang.


"Kita berharap pilihan raya kali ini bersih. Tidak ada politik wang. Anda perlu berjaga-jaga supaya tidak ada pihak yang datang ke rumah untuk memberikan wang supaya tidak memilih PDIP. Jangan sampai tergoda," kata Megawati. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Demokrat yakin kuasai Jawa Barat, Jawa Timur

Posted: 06 Apr 2014 10:57 AM PDT

Sidoarjo: Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menyasarkan untuk mengekalkan Jawa Timur sebagai kubu kuatnya kedua pada piliharan raya Rabu depan selepas Jawa Barat sama seperti pilihan raya sebelum ini.

Timbalan Pengerusi parti Soekarwo berkata, fenomena 'Jokowi Effect' tidak akan menghalang impian parti itu.


"Masyarakat di Jawa Timur dekat dengan kami. Mereka bersikap terbuka dan tidak akan terpengaruh dengan fenomena 'Jokowi Effect'. "Untuk membuktikannya, kita tunggu 9 April nanti," kata Soekarwo ketika berkempen di Sidoarjo kelmarin, sebelum tempoh kempen berakhir.

Menurut Soekarwo, penduduk Jawa Timur amat suka dengan cara pendekatan calon. Demokrat, katanya, sudah melakukan cara itu dengan mengerahkan calonnya turun padang.


"Sehingga hari ini (Sabtu), suara demokrat di Jawa Timur amat menggalakkan. "Kami berjaya meyakinkan pengundi di sini sejak 10 hari lalu. Saya yakin ia akan menjadi realistik pada hari pengundian," kata Sukarwo yang juga Gabenor Jawa Timur. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Basuki ada peluang jadi menteri

Posted: 06 Apr 2014 10:57 AM PDT

Jakarta: Timbalan Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama dipercayai berpeluang menjadi menteri jika Joko 'Jokowi' Widodo memenangi pilihan raya presiden Indonesia Julai depan.

Pemerhati komunikasi politik Universiti Pelita Harapan Emrus Sihombing berkata, Basuki sendiri menyedari peluang itu sehingga dia begitu berhati-hati menjaga hubungan dengan Jokowi, calon Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) dalam pilihan raya berkenaan walaupun partinya, Gerakan Rakyat Indonesia (Gerindra) tidak sehaluan dengan parti itu.


"Kemungkinan Basuki dilantik menjadi menteri adalah besar. Kerana itu dia tidak menunjukkan sebarang penentangan walaupun hubungan Gerindra dengan PDIP tidak baik," kata Emrus.

Menurutnya, hubungan Jokowi-Basuki cukup menarik untuk diperhati jika melihat kepada sikap parti masing-masing menyerang satu sama lain.


Sejak PDIP memberi mandat kepada Jokowi untuk menjadi calonnya dalam pilihan raya presiden, Gerindra terus melancarkan serangan politik terhadap parti itu, termasuk mengungkit perjanjian antara mereka pada 2009. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Pintu sempadan ditutup

Posted: 06 Apr 2014 10:57 AM PDT

Jayapura: Sempadan Indonesia dan Papua New Guinea (PNG) akan ditutup menjelang pilihan raya pada 9 April ini.

Ketua sempadan wilayah Papua Susanna Wanggai berkata, penutupan itu akan dilakukan hingga 12 April. Dalam satu kenyatan yang dipetik Antara, Sussana berkata, langkah itu sudah pun dimaklumkan kepada kerajaan PNG.


Kira-kira 100 hingga 300 rakyat PNG memasuki wilayah Indonesia itu setiap hari. Jumlah mereka meningkat apabila ada kegiatan jual beli. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

15 hari lagi: Suthep

Posted: 06 Apr 2014 10:56 AM PDT

Bangkok: Pemimpin gerakan antikerajaan Suthep Thaugsuban semalam mengumumkan, dia akan berusaha mendapatkan kebenaran raja Thai untuk melantik perdana menteri baru sebaik saja pergerakan itu memperoleh status 'berdaulat.'

Beliau berkata demikian ketika ribuan penunjuk perasaan baju merah yang prokerajaan mengadakan perhimpunan besar-besaran di pinggir Bangkok.


Perhimpunan baju merah itu diadakan ketika kerajaan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berdepan dengan pelbagai masalah berkait dengan undang-undang yang boleh menyebabkan beliau disingkir.

Suthep berkata, selaku 'medium rakyat' dia akan mencalonkan perdana menteri baru untuk mendapatkan pengesahan raja.


Selepas itu, menurutnya, 'majlis rakyat' akan dibentuk untuk melaksanakan pembaharuan di negara itu dengan meminda perlembagaan dan undang-undang berkaitan sebelum mengadakan pilihan raya baru.


Menurutnya, kini adalah 'pusingan akhir' perjuangan menentang kerajaan sementara dan 'kemenangan' bagi pergerakan antikerajaan sudah hampir.

Foto

ANGGOTA Baju Merah turut membawa potret Yingluck dan Thaksin ketika berhimpun, semalam.

Suthep, Setiausaha Agung Jawatankuasa Pembaharan Demokratik (PDRC) berkata, usaha untuk merampas semula kedaulatan rakyat hanya tinggal 15 hari.


Dia menggesa semua penyokong PDRC bersedia untuk perisytiharan 'hari kemenangan.

"Kita perlu berjuang lagi dan kali ini kita akan tahu sama ada kita menang atau kalah," katanya kepada penyokong PDRC di Taman Lumpini.


Dia bagaimanapun berkata, penentuan 'hari kemenangan' itu bergantung kepada tindakan berasingan oleh Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan dan Mahkamah Perlembagaan terhadap Yingluck.


Perdana Menteri itu berdepan dengan tuduhan cuai dalam menjalankan tugas berkait dengan skim subsidi padi dan dakwaan salah guna kuasa berhubung pemindahan ketua setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan Thawil Pliensri.


Suthep berkata, PDRC akan menghalang kerajaan dan penyokongnya daripada menafikan kuasa mahkamah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Majoriti yakin perang saudara akan meletus

Posted: 06 Apr 2014 10:55 AM PDT

Bangkok: Sebahagian besar penduduk Thai percaya terdapat kemungkinan perang saudara meletus di negara itu.

Menurut kaji selidik yang lakukan Suan Dusit Poll, kepercayaan itu berasaskan kekacauan dan keganasan yang melanda negara itu sejak sekian lama.


Kaji selidik berkenaan dilakukan antara 1 April hingga 5 April, membabitkan 1,434 responden di seluruh negara.

Ditanya pendapat mereka mengenai sama ada konflik politik di negara itu akan menjerumuskannya ke dalam kancah perang saudara seperti di negara lain, 68.66 peratus percaya kemungkinan itu tinggi kerana penggunaan senjata berbahaya di beberapa tempat.


Mereka juga yakin keganasan mungkin menjangkau kemampuan kerajaan untuk mengawalnya.


Sebanyak 24.81 peratus responden bagaimanapun tidak pasti dengan berkata, keadaan ketika ini sukar diramal dan 6.4 peratus berpendapat kemungkinan perang saudara tercetus adalah tipis kerana rakyat Thai tidak akan menyerang atau mencederakan rakan senegara mereka.

Ditanya mengenai apa yang perlu dilakukan bagi mengelak perang saudara, 48.36 peratus responden berkata, kerajaan dan penentang perlu mengadakan perbincangan, 22.74 peratus berkata, kedua-dua pihak perlu dilarang menggunakan senjata dan kekerasan, 14.79 peratus berkata, askar dan tentera perlu mengawal keadaan sementara baki 13.93 peratus berkata, rakyat tidak perlu menjadi alat politik pada pihak yang bertelagah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

No comments:

Post a Comment