Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tuah Norris

Posted: 29 Jul 2014 09:01 AM PDT

Virginia: Selepas menanggung sengsara kerana terpaksa hidup dengan kecacatan wajah selama 15 tahun, Richard Norris tidak menyangka sama sekali dia terpilih menjadi penghias majalah fesyen lelaki antarabangsa, GQ.

Norris mengalami kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawanya ketika berusia 22 tahun apabila tertembak muka sendiri ketika mengalihkan selaras senapang yang diletakkan di almari.

Secara tidak sengaja senapang itu meletup dan hampir memusnahkan sama sekali mukanya.

Norris, 39, kemudian menjalani pelbagai pembedahan rumit, termasuk menggunakan organ orang lain bagi memulihkan kecacatan itu.

Foto

WAJAH Norris sebelum dan selepas menjalani pembedahan.

Foto

WAJAH Norris pada muka depan majalah GQ.


Hasilnya Norris kelihatan lebih muda dan tampan seperti bintang filem.

Lebih mengagumkan, dia menerima ribuan surat daripada peminat setiap tahun.

Kecuali matanya, setiap bahagian muka Norris diganti dengan organ penderma, termasuk lidah, dalam pembedahan yang diketuai seorang pakar pembedahan plastik di Baltimore, Dr Eduardo Rodriguez pada Mac 2012.

Walaupun pembedahan itu berjaya, Norris perlu mengambil pil setiap hari dan harus berhati-hati menjaga kesihatannya.

Dia tidak boleh berjemur, terlalu sejuk, meminum alkohol atau terjatuh kerana sedikit luka mampu memberi impak buruk kepada wajahnya.

Namun bagi Norris yang berasal dari Hillsville, Virginia, dia yakin kisahnya memberi inspirasi kepada ribuan orang lain yang memerlukan pembedahan plastik.

"Harapan bakal menghidupkan peluang namun keyakinan memberikan perubahan besar dalam kehidupan," katanya.

Dia dipilih untuk pemindahan wajah itu selepas beberapa kali melakukan pembedahan bagi mengembalikan fungsi mulutnya.

"Pemindahan muka adalah antara beberapa pilihan yang tinggal," katanya.

Pembedahan yang memakan masa selama satu setengah hari itu membabitkan lebih 150 doktor, jururawat dan kakitangan Pusat Perubatan Universiti Maryland.

Menurut Rodriguez kejayaan pembedahan itu adalah sesuatu yang menakjubkan.

"Sebelum ini ramai yang memandang Norris kerana dia memakai topeng dan mahu melihat wajah sebenarnya.

"Kini mereka mempunyai sebab lain untuk merenung wajahnya," katanya.

Pegawai perubatan hospital berkenaan berdepan cabaran baru untuk mengajar Norris 'menggunakan' wajah barunya selepas 15 tahun tidak bercakap dan makan secara normal.

Selain itu Norris juga perlu melalui beberapa lagi pembedahan kecil memperbaiki tisu lembut di wajahnya seperti kelopak mata.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/30

Jadi cantik pun susah!

Posted: 29 Jul 2014 08:56 AM PDT

Astana: Pemain bola tampar wanita Kazakhstan menjadi sasaran kritikan ramai kerana dianggap terlalu cantik untuk bergelar seorang atlet.

Malah jurulatih pasukan bola tampar kebangsaan Kazakhstan, Nurlan Sadikov juga berpendapat kecantikan Sabina Altynbekova, 17, mengganggu fokus pertandingan.

Sabina mula mendapat perhatian dunia maya sejak gambarnya beraksi dalam Kejohanan Bola Tampar Wanita Bawah 19 Tahun Asia 2014 di Taiwan tersiar di Internet baru-baru ini.

Namun kecantikan yang dimiliki Sabina turut membawa impak negatif kepada pasukannya.

Foto

SABINA


Menurut Nurlan, pasukan bola tampar wanita Kazakhstan sukar beraksi cemerlang dalam keadaan begitu.


"Reaksi penonton seolah-olah hanya ada seorang pemain dalam pasukan dan kejohanan ini," katanya.

Akhbar di Kazakhstan juga melaporkan penonton hadir ke sesuatu perlawanan hanya untuk melihat Sabina dan tidak menghiraukan tentang perjalanan pertandingan.

Sabina bagaimanapun berharap, segala populariti dan perhatian yang diterimanya tidak mengganggu fokusnya sebagai seorang atlet bola tampar.

"Pada mulanya saya gembira dan rasa dihargai tetapi lama-kelamaan ia mula melampaui batas.

"Saya mahu fokus kepada karier dan mahu dikenali sebagai seorang atlet bola tampar, bukan kerana paras rupa," katanya.

Populariti Sabina mula berkembang di laman sosial apabila berita mengenainya mula tersebar luas di Internet menyebabkannya tidak menang tangan menjawab semua pertanyaan peminatnya di seluruh dunia

Mengaku beragama Islam, Sabina turut menunjukkan keprihatinannya kepada isu Gaza. "Sayangi Palestin, Tuhan bersama kalian," katanya melalui Twitter. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/30

Tragedi rumah terbuka JK

Posted: 29 Jul 2014 08:52 AM PDT

Makassar: Keghairahan orang ramai menghadiri rumah terbuka bakal Naib Presiden Indonesia di Makassar mencetuskan suasana tidak terkawal sehingga menyebabkan seorang budak lelaki meninggal dunia akibat sesak nafas.

Sejumlah yang lain pula pengsan kerana terhimpit.

Rumah terbuka Jusuf Kalla (JK) diadakan semalam dan digunakan penduduk setempat bagi melihat ahli politik terbabit dengan lebih dekat.

JK baru saja disahkan memenangi pemilihan presiden bersama regunya, Joko Widodo.

Pada majlis itu, JK sempat mengagih-agihkan sumbangan berbentuk kuih raya serta wang tunai bernilai Rp50,000 (RM13.65).

Saksi berkata, kekecohan mula timbul apabila tetamu yang hadir berasak-asak dan berebut-rebut untuk menerima sumbangan daripada JK dan keluarganya.

Apabila keadaan tidak terkawal, katanya, orang ramai mula panik dan beberapa daripadanya pengsan.

"Saiz muka pintu di rumah itu cukup besar dan tiada sesiapa ditugaskan berkawal menyebabkan pengunjung tolak-menolak sesama sendiri," katanya.


Pengunjung yang pengsan kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.


Menurut saksi hanya selepas itu polis dan pengawal keselamatan membuka laluan lain bagi mengurangkan kesesakan di pintu utama.

Sementara itu, stesen televisyen TV One melaporkan kanak-kanak dikenali sebagai Hadika, 11, meninggal dunia akibat kejadian itu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/30

Zionis belum puas ganyang Gaza

Posted: 29 Jul 2014 08:51 AM PDT

Gaza City: Wilayah Gaza mengalami satu daripada malam paling menggetarkan sejak serangan rejim Zionis Israel bermula tiga minggu lalu apabila ia dihujani bom sejurus selepas perdana menterinya membayangkan konflik itu bakal berpanjangan.

Satu-satunya stesen janakuasa yang ada di Gaza juga rosak teruk semalam apabila tentera Israel melakukan 60 serangan udara menyasarkan tapak yang ada kaitan dengan kumpulan Hamas.

Suasana malam di Gaza juga terus diterangi nyalaan suar ketika tentera Zionis melancarkan serangan dari udara, laut dan darat.

Ketika pagi menjelma kepulan asap hitam jelas dilihat di sekitar Gaza City.

Sekurang-kurangnya 60 orang maut di Gaza, termasuk kemungkinan ada antaranya adalah kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Foto

LELAKI ini mencium dahi seorang daripada lapan anaknya yang maut dalam serangan malam kelmarin di rumah mayat Hospital Shifa.


Jurucakap tentera Israel berkata, apa yang berlaku semalam membayangkan "peningkatan tekanan secara berperingkat" ke atas Hamas.


Kelmarin sebuah taman awam sebuah kem pelarian dan klinik pesakit luar Hospital Shifa menjadi sasaran bom Israel, menyebabkan kematian seramai 46 orang.

Di taman itu saja sekurang-kurangnya 10 maut dengan 9 daripadanya kanak-kanak yang sedang bermain buaian di kem pelarian Shati di pinggir Gaza City.

Serangan itu berlaku hanya beberapa minit selepas klinik pesakit luar Hospital Shifa digegarkan dengan letupan bom dan mencederakan beberapa orang.

Kru kamera dilarang merakamkan kesan serangan itu.

Pegawai polis Gaza berkata, serangan itu dilakukan tentera Zionis Israel namun Tel Aviv menafikannya, malah menuding jari kepada "pengganas." Setiausaha Agung PBB menyatakan kebimbangannya terhadap laporan tentera Israel menggugurkan risalah untuk memberi amaran kepada penduduk utara Gaza supaya berpindah ke lokasi lain.

"Agensi PBB tidak mempunyai sumber membantu kebanjiran penduduk Gaza yang berpindah dari kawasan berkenaan," katanya.

Pegawai kerajaan berkata sekurang-kurangnya 1,115 orang - kebanyakannya orang awam - terbunuh sejak konflik terbaru Hamas - Israel bermula pada 8 Julai lalu.

Di pihak Israel pula seramai 53 tentera Zionis dan tiga orang, termasuk satu warga Thailand, awam maut.

Jurucakap agensi bantuan PBB Chris Gunness berkata sejumlah petugas kemanusiaan di Gaza maut.

Ketika ini PBB mengendalikan 82 pusat perlindungan yang menempatkan 182,,604 penduduk Palestin di Gaza.

Sementara itu sebuah rumah yang pernah didiami Perdana Menteri Ismail Haniyeh ranap terkena bom semalam.

Namun Ismail berkata, runtuhan itu tidak akan mematahkan semangat pejuang Hamas untuk terus melancarkan penentangan bagi membebaskan Palestin.

Selain rumah Ismail, sembilan bangunan, tiga masjid dan empat kilang musnah disasar Israel.

Turut dibom, stesen televisyen dan radio Hamas serta bangunan kerajaan.

Kementerian Kesihatan Hamas pula berkata, tujuh keluarga "lenyap" dalam serangan semalaman kelmarin.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/30

No comments:

Post a Comment