Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Impian terhalang

Posted: 04 Jul 2014 10:39 AM PDT

Pasir Mas: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak akan beraksi di Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Scotland yang dijadual berlangsung pada 23 Julai ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika mengesahkan perkara itu berkata, Chong Wei terpaksa melupakan temasya terbesar dunia selepas Sukan Olimpik itu akibat kecederaan otot ligamen betis.

Sehubungan itu katanya, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu membuat pemilihan terbaik untuk menurunkan pemain kerana harapan Malaysia untuk mendapatkan pingat menerusi Chong Wei sudah tidak kesampaian.

"Saya baru terima berita ini dan secara jujurnya agak terkejut. Ia kehilangan besar kerana sebelum ini kita memberi harapan tinggi kepada Chong Wei.

Foto

CHONG Wei tak dapat penuhi hasrat pertahan emas.


"Saya minta BAM memikirkan strategi terbaik supaya sukan badminton tidak pulang dengan tangan kosong pada Sukan Komanwel nanti," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pengagihan Zakat dan Majlis Berbuka Puasa di sini, semalam.

Chong Wei sebelum ini dilihat berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan pingat emas dimenangi di New Delhi empat tahun lalu.

Ini bermakna hanya tinggal Chong Wei Feng untuk meneruskan cabaran atau BAM menurunkan pemain bagi menggantikan Chong Wei. Begitupun BAM harus mengkaji terlebih dulu peraturan menyenaraikan pemain pada saat akhir.

Chong Wei kini berada pada prestasi terbaik selepas mara ke perlawanan akhir sebanyak enam kali dan muncul juara empat kali termasuk Siri Super Terbuka Malaysia serta All-England.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

FAM, PDRM sepakat

Posted: 04 Jul 2014 10:36 AM PDT

Kuala Lumpur: Tiada lagi isu tarik tali membabitkan Dollah Salleh apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mencapai kata sepakat, semalam.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pertemuan membabitkan Setiausaha Kehormat PDRM Datuk Muhammad Fuad Abu Zarin serta Dollah berlangsung semalam dengan satu keputusan terbaik dicapai.

"PDRM bersetuju melepaskan Dollah serta-merta dan beliau bakal melaporkan diri pada Isnin depan dengan kontrak akan ditandatangani dalam masa terdekat. Saya anggap perkara ini sudah selesai.

"Tiada timbul perkara lain seperti pampasan kepada PDRM atau sebagainya. Malah FAM bersetuju dengan permohonan PDRM untuk memberi peluang kepada Dollah terus melatih juara Liga Perdana itu buat seketika hingga mereka menemui pengganti baru," kata Hamidin.


PDRM semalam dilapor meletakkan dua syarat kepada FAM membabitkan ganti rugi dan mencari jurulatih baru sekiranya mahu mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan itu yang masih mempunyai kontrak sehingga November ini.


"Saya dan FAM mengucapkan terima kasih dengan kerjasama PDRM dan kami turut memahami situasi dihadapi mereka," katanya.

Dollah dipilih mengendalikan Harimau Malaya selepas mesyuarat exco FAM penghujung bulan lalu yang dipengerusi Presiden baru FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sekali gus mengenepikan beberapa calon luar negara seperti Wolfgang Sidka dari Jerman.

Reputasi hebat Dollah yang membimbing beberapa pasukan tempatan meraih kejuaraan liga domestik membolehkan bekas pengendali Pahang dan MPPJ itu terpilih menggalas tugas menggantikan Datuk K Rajagobal yang tidak dilanjutkan selepas tamat penghujung tahun lalu.

Dollah bakal mengambil alih jawatan yang dipangku jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee dengan misi utamanya menghadapi Piala AFF penghujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

Duit raya RM25,000

Posted: 04 Jul 2014 10:34 AM PDT

Johor Bahru: Kejayaan pasukan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) menamatkan kemarau kejuaraan 24 tahun menyaksikan setiap pemain dan pegawai bakal menerima imbuhan RM25,000 daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ganjaran itu diberikan bukan semata-mata kerana pencapaian pasukan itu menjuarai Liga Super 2014 pada 25 Jun lalu.

Menurutnya, imbuhan berkenaan bagi menghargai kejayaan mereka menamatkan kemarau kejuaraan yang sudah sekian lama dinantikan.

"Kerajaan negeri membuat keputusan memberikan RM25,000 kepada pegawai dan pemain Johor DT musim ini.

Foto

PEMAIN Johor DT diarak menaiki bas bersama trofi Liga Super pada 26 Jun lalu.


"Imbuhan ini diharap menjadi motivasi kepada pemain dan pegawai untuk memastikan Johor DT terus unggul dan mengharumkan nama Johor.


"Semua penduduk Johor tanpa mengira latar belakang menunjukkan sokongan dan kesetiaan terhadap Johor DT dan pasukan ini secara tidak langsung dapat membangunkan semangat patriotrisme," katanya ketika berucap di majlis berbuka puasa Menteri Besar Johor Bersama Rakan Facebook (FB) di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

Lupakan Belanda, pilih Perancis

Posted: 04 Jul 2014 10:31 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketika keadaan tampak sedikit kecoh berkaitan isu tawaran tidak menjadi dari kelab Belanda kepada dua bintang muda negara Mohd Faizal dan Mohd Fitri Shaari sebelum ini, kini timbul perkhabaran menggembirakan buat skuad Speedy Tigers apabila kelab berpangkalan di Perancis dikatakan merisik beberapa pemain hoki negara.

Berita itu pastinya dianggap peluang keemasan bagi menebus kehampaan Faizal dan Fitri yang terpaksa melupakan hasrat beraksi di Belanda dengan tumpuan kini terarah kepada saingan Liga Hoki Perancis.

Ketua jurulatih kebangsaan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengesahkan perkembangan positif itu dengan menamakan kelab Racing Club de France sebagai destinasi terbaru yang berminat mendapatkan sentuhan anak didiknya.

"Bagi saya, kita perlu lupakan tawaran Tilburg (kelab Belanda) kerana mereka tidak komited dengan Fitri dan Faizal.

"Namun, yang pasti kelab hoki di Perancis (Racing Club de France) sudah beberapa kali menghubungi saya untuk mendapatkan tiga pemain kita bagi menguatkan cabaran kelab itu dalam liga mereka.

"Memandangkan kempen Liga Perancis bertembung dengan saingan Sukan Asia Incheon September ini, mereka sanggup mengambil tiga pemain yang digugurkan dari skuad Sukan Asia bagi menyertai mereka.

"Ini petanda baik kepada pembangunan sukan hoki negara dan saya akan menghantar tiga pemain yang digugurkan ke sana," katanya ketika ditemui Arena Metro di Institut Sukan Negara (ISN) Bukit Jalil, semalam.

Sebelum ini, Arena Metro mendedahkan kemelut berhubung keengganan pengurus pasukan Terengganu HT Mohd Saberi Salleh memberi pelepasan kepada pasangan adik beradik itu untuk beraksi di Eropah, sekali gus melenyapkan impian untuk melihat anak Malaysia buat pertama kali bermain di Liga Utama Belanda.

Difahamkan Tilburg teruja selepas melihat aksi Faizal dan Fitri ketika beraksi mewakili negara dalam saingan Piala Dunia di The Hague, Belanda, bulan lalu.

Fitri yang juga bekas kapten skuad remaja Piala Dunia di India tahun lalu, dikatakan berada dalam dilema untuk menerima pelawaan kelab dari Belanda itu kerana dia dan abangnya itu masih mempunyai kontrak dengan Terengganu HT di samping sudah menerima gaji penuh selama semusim.

"Pada hujung bulan ini kami akan berangkat ke Scotland bagi menyertai Sukan Komanwel.


Selesai saja tugas di Glasgow, kami akan berpangkalan di Eropah selama sebulan sebagai persiapan bagi menghadapi Sukan Asia dengan sasaran MHC, pingat emas.

"Skuad negara akan beraksi sekurang-kurangnya 14 hingga 15 perlawanan persahabatan dengan kelab Eropah.


Pada masa sama, saya akan cuba berunding dengan kelab lain yang berminat mendapatkan pemain negara.

"Saya harap segala perancangan sudah diatur ini bakal membuahkan hasil dalam usaha MHC membina pasukan masa depan yang mantap bagi kejohanan besar seperti Sukan Olimpik 2016 dan Piala Dunia 2018," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

Azlan tinggalkan Speedy Tigers

Posted: 04 Jul 2014 10:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad Speedy Tigers di bawah kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menerima tamparan hebat dalam misi meraih pingat emas Sukan Asia apabila ketua pasukan Azlan Misron menarik diri daripada menyertai latihan kem negara berkuat kuasa Rabu lalu.

Berikutan perkembangan terkini itu, ia menguatkan lagi desas-desus pemain berusia 31 tahun bakal bersara dari arena antarabangsa selepas meluahkan kemungkinan aksi Piala Dunia di The Hague, Belanda sebagai kemunculan terakhir.

sebelum menggantung kayu hoki.

Ketua jurulatih negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, pemain kelahiran Trolak, Perak itu menyerahkan surat penarikan diri kepada pengurus pasukan George Koshy dengan alasan tidak mampu lagi memberi komitmen 100 peratus terhadap pasukan.

"Saya masih terkejut kerana dia menyerahkan surat ini tiga hari lalu kepada George, mengapa tidak kepada saya sendiri.

Difahamkan George juga ada memujuk dia supaya jangan tarik diri.

"Saya masih perlukan khidmatnya kerana pengalaman dimilikinya amat penting untuk mengemudi barisan skuad hoki negara yang rata-ratanya pemain muda.

"Tapi, sekiranya dia tetap mahu meneruskan hasratnya dan saya perlu menerima dengan hati terbuka dan cuba memberi peluang kepada pemain lain yang mungkin lebih berminat beraksi buat negara," katanya ketika ditemui Arena Metro di Institut Sukan Negara (ISN) Bukit Jalil, semalam.

Azlan yang pada mulanya beraksi di posisi tengah mula mewakili negara sejak 2002 ketika skuad negara di bawah bimbingan jurulatih dari Jerman, Paul Lissek.

Terbaru, dia mencipta penampilan terbanyak buat negara dengan rekod ke-342 pada perlawanan penentuan kedudukan ke-11, mengatasi rekod pertahanan S Kuhan yang mempunyai 341.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

Pemilihan PSM 'dalang' kemelut PESTAK

Posted: 04 Jul 2014 10:26 AM PDT

Kuala Lumpur: Kekalutan yang berlaku dalam Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (PESTAK) mempunyai kaitan dengan pemilihan pucuk pimpinan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang diarah berlangsung sebelum berakhir bulan depan.

Itu dakwaan Naib Presiden 1 PESTAK Aiman Mohd Noor susulan kemelut kepimpinan yang melanda PESTAK ketika ini dengan beliau bertegas pemilihan baru yang berlangsung bulan lalu tidak sah.

"Mengikut perlembagaan PESTAK, apabila Presiden (Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya) meletak jawatan, secara tidak langsung Timbalan Presiden (Lim Choo Hwa) akan mengambil alih.

Namun dalam isu ini, Timbalan Presiden tidak tahu menahu apa yang dilakukan Setiausaha Agung (Syed Husin Syed Abu Bakar), bukannya Setiausaha Kehormat seperti didakwanya.

Beliau boleh dikatakan seperti 'gila kuasa'.

"Malah saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang beliau sudah menghantar surat untuk bermesyuarat kerana saya tidak pernah menerimanya.


Malah ada kalangan ahli jawatankuasa turut tidak mendapat surat berkenaan," katanya menepis kenyataan Syed Husin yang menyatakan PESTAK, kini diterajui Datuk Mohd Yusof Ismail, adalah sah.

Tambah Aiman, perkara ini berlaku kerana ada sesuatu yang cuba disembunyikan Syed Husin apabila mahu seberapa segera mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM), mungkin kerana sudah terlalu hampir dengan pemilihan pucuk pimpinan PSM yang diarahkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) agar berlangsung sebelum 31 Ogos ini.

"Beliau sendiri dilantik PSM sebagai Ahli Majlis lantikan di PSM, namun perkara ini tidak dimaklumkan kepada persatuan negeri.


Atas kapasiti apa beliau dilantik sedangkan PESTAK sudah mempunyai seorang Ahli Majlis di PSM.

Inilah yang dikatakan wujudnya konspirasi menjelang pemilihan PSM, ada udang di sebalik batu antara beliau dan kepimpinan PSM ketika ini," katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan dakwaan Aiman yang menyatakan pemilihan PESTAK yang baru tidak sah apabila tidak semua ahli gabungan dipanggil menghadiri AGM termasuk dirinya.

Situasi itu menyebabkan beliau didakwa tidak lagi menjawat jawatan Naib Presiden 1 PESTAK dan PSM memecatnya sebagai Ahli Majlis PSM.

Kedudukan Ahli Majlis PSM dilihat penting kerana mereka mempunyai kuasa untuk memilih kepimpinan baru badan induk sepak takraw negara itu dan dijangka berlaku persaingan untuk merebut jawatan nombor satu PSM kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

Cabaran Eugenie

Posted: 04 Jul 2014 10:25 AM PDT

London: Buat pemain berusia 20 tahun yang baru menyertai kejohanan jelajah utama sejak dua tahun lalu, Eugenie Bouchard dari Kanada tidak pernah kekurangan keyakinan setiap kali bermain.

Selepas mengatasi pilihan ketiga, Simona Halep dengan keputusan 7-6(5) 6-2 di separuh akhir Wimbledon kelmarin, Eugenie yang memulakan aksi 10 kedudukan di belakang pesaingnya itu, tidak terkejut dengan kejayaan itu.

"Saya sudah menjangkakan keputusan seperti ini.

Ia adalah langkah tepat.

Saya berpeluang untuk ke final," katanya.

"Anda tentu sedar, saya mempunyai satu lagi perlawanan dan tidak boleh bergembira sepenuhnya sebelum saya muncul juara." Terganggu dua kali sepanjang aksi menentang Simona, membiarkan lawan mendapatkan rawatan kecederaan kaki tidak mendatangkan masalah buat Eugenie.

Hanya sorakan penonton yang tidak henti-henti membuatkan pemain kelahiran Montreal itu kelihatan sedikit resah.

Dia meminta pengadil Kader Nouni untuk melihat skrin selepas mendakwa bola keluar dan selepas tamat permainan, Eugenie sedar tindakannya itu didorong rasa tidak tentu arah kerana gagal mengawal emosi selepas mendengar jeritan penonton.

"Apa yang saya banggakan pada aksi kali ini ialah saya tidak membiarkan semua yang berlaku merosakkan perhatian saya terhadap perlawanan.

Foto

EUGENIE mara ke final.


Cabaran berlaku di mana-mana.


Saya suka dicabar dan suka berusaha mengatasi apa saja yang merintang," katanya.

Tidak kira selepas kejayaannya mengalahkan Daniela Hantuchova dan Angelique Kerber sebelum ke separuh akhir atau mengetepikan semua soalan sensitif di sidang akhbar dihadirinya, Eugenie dilihat cukup matang mengawal keadaan.

Eugenie memang serius dengan karier tenisnya.

"Saya akan sentiasa cuba meningkatkan persembahan.

Tidak kira sama ada dalam pertandingan atau latihan," katanya.

Jika tidak menyertai pertandingan, dia akan menjalani latihan lari berhalangan selain angkat berat bagi memastikan dirinya berada pada tahap terbaik.

"Saya seronok bekerja begini," katanya.

"Saya suka menjalani latihan di gimnasium.

Saingan ketika ini sangat sengit dan justeru, anda perlu berada di tahap terbaik."- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

Peluang Ferrari tipis

Posted: 04 Jul 2014 10:24 AM PDT

Silverstone, United Kingdom: Fernando Alonso yang pernah mencatat kemenangan dalam setiap musim sejak menyertai Ferrari pada 2010, mengakui peluangnya untuk menaiki podium tahun ini agak tipis.

Juara dunia dua kali itu turut menjangka Ferrari akan bergelut untuk kekal menduduki tangga ketiga kategori pengeluar kerana pesaing lain semakin meningkat.

Tahun ini, baru sekali Alonso berupaya menaiki podium dan selepas itu, cubaannya sering kali tersasar.

Mengulas peluang di Grand Prix British hujung minggu ini, pelumba Sepanyol itu berkata: "Secara jujurnya, kami tidak mungkin menang tahun ini.

"Itulah yang saya fikirkan tetapi pada 2011, saya juga berfikiran begitu dan akhirnya kami menang di Silverstone.

Justeru, apa saja boleh berlaku.

"Kami akan cuba melakukan apa yang kami mampu dan jika peluang tiba, kami pasti menggenggamnya.

Dengan prestasi yang kami tunjukkan ini, sukar bagi kami untuk menang." Melihat kepada kategori pengeluar, Ferrari menduduki tangga ketiga, tetapi hanya 26 mata di depan McLaren yang menduduki tangga keenam.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

Angkara pemain asing

Posted: 04 Jul 2014 10:22 AM PDT

Brasilia: Kebanjiran terlalu ramai pemain luar di Liga Perdana Inggeris membuatkan England semakin sukar membentuk skuad kebangsaan yang mantap.

Jerman tidak pernah gagal layak ke suku akhir Piala Dunia sejak 1938 dan pengurus Jerman Joachim Loew berkata, jalinan kerjasama erat antara Bundesliga dan FA Jerman membuatkan mereka mampu menghasilkan skuad kebangsaan yang disegani.

"Jika England ada masalah, ia berpunca daripada liga mereka kerana dibanjiri ramai pemain asing.

Sukar bagi jurulatih kebangsaan memilih pemain berpotensi.

"Kami sudah berubah sejak bertahun-tahun lalu kerana kelab Jerman memberikan banyak peluang kepada pemain muda tempatan dan inilah hasilnya.

Di England, pemain asing terlalu ramai dan ia tidak semestinya memberikan kelebihan.

"Saya percaya kami berjaya mengadunkan pelbagai perkara dengan baik di Jerman dan kami melahirkan beberapa pasukan hebat di Eropah.


"Saya juga gembira apabila ramai pemain beraksi di luar negara.


Kami beroleh keuntungan dari Sami Khedira dan Mesut Ozil yang beraksi di liga luar negara.

Mereka membantu kami memahami aksi negara lain."- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

Tinggal 48 jam

Posted: 04 Jul 2014 10:21 AM PDT

Madrid: Barcelona dijangka melengkapkan perjanjian perpindahan penyerang Liverpool, Luis Suarez dalam tempoh 48 jam lagi.

Perbincangan lanjut masih berlangsung dan kelab Sepanyol itu menumpukan perhatian terhadap yuran perpindahan pemain berusia 27 tahun itu yang dianggar bernilai £80 juta (RM436.6 juta).

Suarez dibenarkan menjalani ujian kesihatan walaupun digantung empat bulan badan induk bola sepak dunia FIFA kerana menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini ketika aksi Piala Dunia.

Bintang Liverpool itu dilarang terbabit semua aktiviti bola sepak termasuk memasuki stadium, tetapi itu tidak menghalangnya untuk berpindah andai ada kelab mahu mendapatkan khidmatnya.

Ketua Jawatankuasa Disiplin FIFA Claudio Sulser berkata: "Seseorang pemain yang digantung tidak boleh menyertai apa saja aktiviti berkaitan bola sepak, tetapi ujian kesihatan untuk perpindahan boleh dilakukan.

Hukuman itu tidak membabitkan hak pemain untuk berpindah." Suarez sudah membuat rayuan terhadap hukuman dikenakan FIFA terhadapnya.

Pertemuan antara Barca dan Liverpool berlangsung di London dan dilapor bakal berakhir dengan positif.

Liverpool diwakili ketua eksekutif Ian Ayre manakala Barcelona diwakili Raúl Sanllehí, Toni Rossich dan Jordi Mestre.

Pengarah sukan Barcelona Andoni Zubizarreta pernah menyatakan sokongannya terhadap penyerang bermasalah itu sekali gus membawa petanda bintang berkenaan bakal menyarung jersi Barca.

"Suarez boleh minta maaf atas tindakannya itu dan dia perlu gunakan masa yang ada ini untuk menjalani proses pemulihan," kata Zubizarreta ketika menghadiri proses menandatangani kontrak Ivan Rakitic.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

No comments:

Post a Comment