Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Cedera ditembak lanun

Posted: 26 Jul 2014 10:43 AM PDT

Kota Tinggi: Tujuh lelaki bersenjatakan pistol dan parang melarikan pelbagai barangan berharga milik kru sebuah kapal tangki dalam kejadian rompakan di 2.5 batu nautika, barat laut Teluk Ramunia di Pengerang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.40 malam, seorang anak kapal MT Jix Lang yang juga warga Indonesia dan belum dikenal pasti identitinya cedera selepas ditembak di leher oleh anggota kumpulan terbabit.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Tanjung Sedili Kapten Maritim Amran Daud berkata, kapal tangki itu berdaftar di Ulan Bator, Mongolia dan membawa muatan Marine Gas Oil (MGO) sebelum diceroboh tujuh lelaki.

"Hasil maklumat diterima, dua bot dan sebuah kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diarah ke lokasi kejadian.

Foto

KRU kapal yang cedera diberi rawatan kecemasan.


"Kami cuba mengejar bot dinaiki lanun terbabit yang menghala ke arah Pulau Lima, tetapi mereka menghilangkan diri ke kawasan perairan negara jiran," katanya.


Menurutnya, apabila anggota APMM menaiki MT Jix Lang, pihaknya mendapati seorang kru berusia 30-an cedera ditembak.

"Kami turut menemui dua pistol dan parang ditinggalkan lanun ketika mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kami.

"Hasil siasatan terhadap kru kapal, kami percaya lanun terbabit adalah warga Indonesia berdasarkan dialek mereka.," katanya.

Menurut Amran, pihaknya yakin motif utama kumpulan itu adalah untuk merompak muatan MGO, namun gagal.

Katanya, lanun terbabit hanya sempat melarikan barangan peribadi milik kru seperti telefon bimbit.

"Ketika kejadian, 14 kru berada di atas kapal membabitkan enam warga Indonesia, Myanmar (7) dan satu dari China. Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi untuk diberi rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Rakyat kita cedera dibom keluar hospital

Posted: 26 Jul 2014 10:41 AM PDT

Betong: Seorang daripada dua rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera dalam kejadian letupan bom di pekan Betong, dalam Wilayah Yala, Selatan Thailand, petang kelmarin, dibenarkan keluar dari Hospital Betong.

Konsulat Malaysia di Thailand Mohd Rozaimi Harun berkata, seorang lagi mangsa masih mendapatkan rawatan di hospital sama kerana mengalami pendarahan dalaman, namun dilaporkan stabil.

Menurut Mohd Rozaimi, kedua-dua rakyat Malaysia itu dikenali sebagai Jeemihan, 27, dan Seoh Choo Then, 68.

Kedua-duanya berasal dari Baling, Kedah.


Katanya, Seoh masih dirawat dan ahli keluarganya dimaklumkan berkaitan perkara itu.

"Wakil kami juga dihantar ke Betong untuk memantau keadaan di sana," katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, berdasarkan perkembangan semasa, Mohd Rozaimi menasihatkan rakyat Malaysia tidak mengunjungi bandar di selatan negara jiran itu kerana keadaan tidak menentu dan banyak ancaman keselamatan, terutama terhadap pelancong.

"Kami mempunyai sebab untuk percaya wujud ancaman terhadap bandar di sempadan negara ini dan pelancong turut menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.

"Kami percaya ia taktik untuk menakut-nakutkan pelancong, seterusnya melumpuhkan ekonomi di selatan Thailand," katanya.

Menurut beliau, pihak konsulat juga memantau rapi setiap perkembangan terkini di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Ibu maut ditetak

Posted: 26 Jul 2014 10:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang wanita warga emas mati dipercayai ditetak anak perempuannya di sebuah rumah kedai di Jalan Sentul, di sini, pagi kelmarin.

Mangsa yang berusia 74 tahun itu ditemui terbaring di atas tilam di dalam bilik tidurnya dengan keadaan berlumuran darah oleh seorang lagi anaknya kira-kira jam 10.30 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu selepas pengadu menghubungi talian kecemasan selepas mendapati ibunya tidak sedarkan diri.

"Pengadu seorang wanita berusia 30-an memberitahu kakaknya yadipercayai kurang siuman memukul ibunya hingga mati di rumah mereka di tingkat empat sebuah rumah kedai.

"Hasil pemeriksaan pasukan forensik di lokasi kejadian menemui mangsa sudah meninggal dunia dalam keadaan telentang di atas tilam di dalam bilik tidur di rumah berkenaan," katanya.

Menurutnya, terdapat kesan tikaman dipercayai menggunakan senjata tajam pada bahagian kiri muka mangsa selain kesan luka dan calar pada badan dan tangan.

Katanya, polis menahan anak mangsa berusia 45 tahun untuk membantu siasatan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Kuasai kawasan nahas

Posted: 26 Jul 2014 10:40 AM PDT

Selepas lebih seminggu pesawat MH17 membawa 298 penumpang dan kru dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan seluas 20 kilometer persegi di Grabovo, 100 kilometer dari sini, punca kejadian malang itu belum terungkai dan mungkin memakan masa untuk mengenal pastinya.

Ini kerana belum ada siasatan menyeluruh dapat dilakukan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OCSE), malah siasatan hanya membabitkan pemerhatian tanpa sebarang bahan bukti boleh dibawa keluar dari kawasan nahas untuk dianalisis.

Keengganan kumpulan pemberontak pro-Russia yang menguasai kawasan nahas membenarkan pihak berkuasa antarabangsa membawa keluar serpihan bangkai pesawat untuk siasatan lanjut mungkin menyebabkan penyiasatan mengambil masa untuk diselesaikan.

Hanya dua kotak hitam pesawat diserahkan kepada kerajaan Malaysia oleh pemberontak untuk dianalisis.


Konflik berlaku antara pemberontak dan kerajaan Ukraine sejak tiga bulan lalu menyebabkan kawasan berkenaan tegang kerana tentera kedua-dua pihak saling berbalas tembakan bagi menguasai antara satu sama lain. Kebanyakan pertempuran berlaku di kawasan luar bandar.


Walaupun pemberontak dituduh menembak pesawat berkenaan menggunakan peluru berpandu, ia dinafikan pemimpinnya Alexander Borodai yang mendakwa mereka tiada peralatan canggih seperti itu.

Malah, mereka pula menuduh jet pejuang kerajaan Ukraine menembak pesawat itu. Sejak itu, kedua-dua pihak saling tuduh menuduh dengan mengemukakan bukti masing-masing yang sehingga kini tiada diketahui siapa yang benar.

Peperangan yang berlaku juga menyebabkan bandar Donestk bagaikan 'bandar hantu' kerana banyak aktiviti ekonomi terbantut dan rakyat menganggur.

Lapangan terbang antarabangsa bandar ini juga ditutup hingga menyukarkan perhubungan dengan negara luar.

Perintah berkurung yang dikuatkuasakan antara jam 11 malam hingga 5 pagi memburukkan lagi keadaan.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Kenal pasti mayat masuk hari keempat

Posted: 26 Jul 2014 10:38 AM PDT

Kiev: Kerja mengenal pasti semua mayat mangsa nahas MH17 yang berada di Kharkiv, 300 kilometer dari sini, yang masuk hari keempat, dijangka selesai hari ini.

Walaupun sebelum ini dikatakan kerja mengecam dan memeriksa mayat mangsa nahas boleh dibuat segera, ia perlu dilakukan berhati-hati bagi mengelak bahan letupan kerana mayat itu diserahkan pemberontak pro-Russia selepas pemimpinnya mengadakan perjanjian dengan kerajaan Malaysia.

Sehingga kini, 189 keranda mengandungi mayat mangsa tiba di Eindhoven, Belanda dan 38 lagi dijangka dihantar semalam.

Pesawat pengangkut milik tentera udara Belanda itu dijangka meninggalkan Kharkiv sebaik kerja pengecaman terakhir dibuat pasukan forensik.

Kerja mengecam semua mayat terakhir itu kini giat dijalankan pakar forensik dari Malaysia dan Belanda.

Semua mayat mangsa yang tiba di Eindhoven akan dibawa pula ke Hilversum untuk proses pengecaman seterusnya yang akan dijalankan dengan menggunakan cap jari, rekod pergigian dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Proses dilakukan mengikut garis panduan dan piawaian antarabangsa.

Semua mayat mangsa nahas yang dimuatkan dalam beberapa gerabak diserahkan pemberontak pro-Russia, Isnin lalu, apabila pemimpin pemberontak Alexander Borodai bersetuju berbuat demikian selepas berunding dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui perbualan telefon.

Pihak pemberontak juga menyerahkan dua kotak hitam kepada wakil Malaysia.

Jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi MH17 di timur Ukraine itu dijangka dapat dibawa pulang ke tanah air dalam jangka masa dua atau tiga minggu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

No comments:

Post a Comment