Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Masuk ruang pejabat elak kena tembakan

Posted: 23 Jul 2014 11:39 AM PDT

Klang: "Saya dapat mengagak bunyi tembakan berkenaan datang dari kedai emas lalu mengarahkan staf masuk ke ruang pejabat kerana khuatir mereka diapa-apakan atau terkena peluru sesat memandangkan kedai kami bersebelahan," kata saksi kejadian samun kedai emas di pasar raya di Jalan Kebun, di sini, semalam.

Menurut saksi yang mahu dikenali sebagai Mohamad, ketika kejadian dia berada dalam pejabat dan baru selesai membuka kedai sebelum terdengar bunyi tembakan.

Katanya, dia terdengar bunyi seperti cermin diketuk selain suara lelaki menjerit mengarahkan seseorang supaya duduk.

"Selepas keadaan reda saya keluar meninjau keadaan sebelum ternampak kelibat tiga lelaki bertopeng membawa beg dan menaiki Perodua Myvi," katanya, semalam.

Foto

CERMIN pameran barang kemas yang dipecahkan perompak.


Sementara itu, Ketua Polis Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya mendapat maklumat kejadian samun berlaku di kedai emas BS Jewellery Pasaraya Giant Jalan Kebun, di sini, jam 11 pagi semalam.


"Dalam kejadian itu, empat lelaki bertopeng hitam yang menaiki kenderaan jenis Perodua Myvi disyaki menggunakan pintu alternatif untuk memasuki pasar raya berkenaan.

"Seorang suspek dipercayai bersenjatakan pistol disyaki semi auto dan melepaskan tiga tembakan masing-masing dua dalam pasar raya dan satu di luar pasar raya berkenaan," katanya.

Menurutnya, dua lagi suspek menggunakan tukul besi untuk memecahkan cermin pameran barang kemas dan mengambil pelbagai jenis barang kemas di rak pameran yang dianggarkan RM200,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

Kebumi di Ampang

Posted: 23 Jul 2014 11:29 AM PDT

Alor Gajah: Jenazah ketua pramugara MH17 Mohd Ghafar Abu Bakar, 54, akan dikebumikan di Ampang, Selangor sejurus dibawa pulang ke tanah air, kata ibunya Maimon Sarpan (gambar).

Maimon, 74, berkata, perkara itu dimaklumkan isteri arwah Normi Abdullah, 54, kepadanya melalui telefon semalam dan ia juga sudah dimaklumkan kepada pihak Penerbangan Malaysia (MAS).

"Normi serta anak-anak arwah sudah berbincang jenazah dikebumikan di Ampang dan saya bersetuju kerana anak ketiga mereka, Anif Aiman, 12, yang meninggal dunia tujuh tahun lalu turut dikebumikan di sana.

"Apa yang penting, jenazahnya selamat sampai di Malaysia dan pengkebumiannya dapat diurus dengan segera kerana hari ini (semalam) sudah masuk hari ketujuh nahas," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Menurutnya, sehubungan itu, dia mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana kejayaan rundingan beliau dengan kumpulan pemberontak pro-Russia untuk membawa pulang mayat penumpang dan anak kapal serta kotak hitam pesawat malang itu.

Katanya, walaupun dimaklumkan mengenai kejayaan itu, dia sentiasa berdoa supaya jenazah bapa kepada empat cahaya mata itu selamat diterbangkan ke Malaysia.

"Syukur tidak terhingga akhirnya mayat mangsa nahas dibawa keluar dari lokasi hasil kejayaan rundingan dilakukan Perdana Menteri.

"Lebih cepat jenazah dibawa pulang, lebih baik supaya pengkebumiannya boleh disegerakan.

Selagi jenazahnya tidak sampai di tanah air dengan selamat selagi itu saya tidak sedap hati," katanya.

Menurutnya, dia dan keluarga juga reda untuk menerima jenazah Mohd Ghafar itu dalam apa jua keadaan untuk dikebumikan kelak.

"Saya berdoa jenazahnya selamat tiba dan walau apa jua keadaannya saya reda, sekurang-kurangnya ada pusaranya untuk diziarahi," katanya.

Mohd Ghafar meninggalkan seorang balu, Normi dan tiga anak Sa'imah Baizura, 29, Amar Syariff, 25, dan Hafiz Azim, 14.

Pesawat membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal itu berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di timur Ukraine.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

Cabaran pakar di lokasi nahas

Posted: 23 Jul 2014 11:27 AM PDT

Kiev: Tiga pasukan pakar antarabangsa termasuk unit forensik sudah tiba di kawasan nahas pesawat penerbangan MH17 pada 17 Julai lalu, namun mereka menghadapi pelbagai cabaran getir berikutan ia kawasan bergolak di antara pemberontak Donetsk pro-Russia dan Ukraine.

Ada kemungkinan lokasi nahas penerbangan MH17 yang mengandungi bukti nahas berkenaan sudah diubah atau tercemar.

Ini kerana wujudnya rakaman gambar menunjukkan kren mengangkat bahagian besar badan pesawat.

Sebuah video pula dimuat naik pada Ahad lalu menunjukkan kumpulan pemberontak pro-Russia sudah mula mencari di kawasan bangkai dan mengambil barang peribadi milik mangsa di dalam pesawat.

Pasukan pemantau daripada Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) sudah melawat lokasi nahas.

Jurucakap OCSE, Michael Bociurkiw berkata, beberapa serpihan utama pesawat termasuk sirip dan ekor kelihatan berbeza dalam lawatan terbaru mereka berbanding lawatan terawal.

Beliau berkata kepingan berkenaan kelihatan seolah-olah sudah dipotong.

Pakar penerbangan David Learmount berkata, prosedur biasa tidak mengganggu lokasi kejadian sehingga penyiasat rasmi tiba supaya tidak wujudnya gangguan pada bukti utama.

"Lokasi nahas tidak pernah dilindungi dan sehingga sekarang ia masih diganggu.

Foto

PAKAR dari Malaysia menyiasat serpihan pesawat.


Corak bangkai di atas tanah juga penting," kata Learmount.


- BBC

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

Tiada tamadun, ganas

Posted: 23 Jul 2014 11:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan, tidak bertamadun, bersifat ganas dan tidak bertanggungjawab oleh pihak yang menembak jatuh pesawat MH17 sehingga mengorbankan 298 orang termasuk anak kapal pada 17 Julai lalu.

Malaysia turut menggesa supaya siasatan terperinci dilakukan badan bebas antarabangsa mengenai nahas itu dan mendesak semua pihak memberikan kerjasama bagi memastikan siasatan itu dapat diselesaikan segera.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia turut menuntut siasatan menyeluruh dijalankan agar pihak yang bertanggungjawab melakukan jenayah itu dihadapkan ke muka pengadilan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan pegawai Amerika Syarikat dan Ukraine mendakwa pesawat berkenaan ditembak jatuh di timur Ukraine.


"Jika benar dakwaan itu berlaku, kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang tidak berperikemanusiaan, tidak bertamadun, biadab dan bersifat ganas oleh pihak yang dipercayai menembak jatuh pesawat malang MH17.


"Namun kita tidak menuding jari kepada mana-mana pihak sehingga bukti sahih diperolehi," katanya ketika membentangkan usul mengenai tragedi malang yang menimpa MH17 di bawah Peraturan 27(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat di Dewan Rakyat semalam.

Usul berkenaan disokong Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel (BN Cameron Highlands) dan ia dibahaskan 12 wakil kerajaan serta 10 wakil pembangkang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

Pemberontak silap tembak

Posted: 23 Jul 2014 11:16 AM PDT

Washington: Tindakan menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 didakwa satu kesilapan oleh kumpulan pemberontak pro-Russia yang kurang terlatih, kata pegawai agensi perisikan Amerika Syarikat (AS).

Pegawai perisikan kanan itu turut menyatakan pembabitan Russia dalam nahas berkenaan hanyalah satu propaganda.

Menurutnya, bukti yang dikumpul jelas menunjukkan MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu bumi ke udara jenis SA-11, namun tidak dapat dipastikan pihak yang menembak serta tujuan jenayah itu dilakukan.

"Penjelasan paling munasabah adalah ia satu kesilapan," katanya.

Katanya, peluru berpandu itu juga dilancarkan seseorang yang kurang terlatih untuk mengendalikan sejenis sistem yang memerlukan skil dan latihan.

Beliau turut mengambil contoh beberapa insiden pesawat ditembak jatuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini oleh Russia dan AS.

Satelit AS dan beberapa perisik 'teknikal' mengesahkan pesawat yang membawa 298 orang itu ditembak peluru berpandu SA-11 ke udara dari satu kawasan yang dikuasai kumpulan pemberontak pro-Russia.

"Ia jelas peluru itu ditembak dari timur Ukraine di bawah bantuan Russia.

"Dua perkara yang kita tidak tahu ialah siapa yang menembaknya.

Kita tiada nama, pangkat mahupun kerakyatan serta kenapa dia menembak pesawat itu.

"Pihak menembak peluru itu bergantung kepada radar tunggal dan bukan dari sebuah rangkaian lebih besar yang mampu memberikan gambaran lebih jelas mengenai lalu lintas di udara," katanya.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

No comments:

Post a Comment