Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Malang budak kucing

Posted: 24 Jul 2014 01:36 PM PDT

Beijing: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun kini digelar budak kucing selepas badannya dipenuhi bulu lembut hitam.

Namun, itu bukan satu-satunya masalah Zhao Xinrui.


Sejak menunjukkan tanda-tanda mengalami keadaan kulit pelik itu tahun lalu, dia ditinggalkan ibunya.

Keadaan tidak dapat dijelaskan pakar perubatan itu bermula dengan tompokan kecil rambut halus berwarna gelap pada belakang badannya.


Lama kelamaan tompokan itu memenuhi hampir seluruh belakang serta punggungnya dan kini menunjukkan tanda naik ke muka, lengan dan bahunya.


Menurut keluarga Zhao, masalah kulit itu menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk di perkampungan mereka di Changshan berhampiran bandar Luzhou di wilayah Sichuan.

Foto

BADAN Xinrui dipenuhi bulu hitam dan lembut seperti kucing.

Bagaimanapun, guru Zhao membantu memastikan dia tetap diterima rakan sekolahnya apabila mereka memberitahu tompokan itu cuma tahi lalat.


Sementara itu Zhao pula sentiasa memastikan badannya ditutup untuk mengelak diejek.

Neneknya Henghui berkata, mereka pada mulanya dimaklumkan doktor bahawa tompokan itu tanda lahir.


"Mereka tetap menegaskan ia tanda lahir walaupun selepas mula merebak. Kini hampir separuh badannya dipenuhi 'tanda lahir' itu," katanya.


Ayah Zhao, Lai, 45, berkata, mereka merayu sesiapa saja yang mampu memberi bantuan perubatan untuk mengawal pertumbuhan tompokan itu.


"Kasihan anak saya. Luluh hati kami melihat penderitaannya. Kami dimaklumkan dia tidak boleh dibedah sehingga berusia lima tahun.


"Kini dia sudah cukup besar, namun kami pula tiada wang walaupun kami menabung sejak tahun lalu," katanya. Menurutnya, walaupun ditinggal isteri, dia berazam untuk membesarkan anaknya itu dengan bantuan ibu bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Mangsa buli hilang sebelah mata

Posted: 24 Jul 2014 01:33 PM PDT

Nairobi: Seorang pelajar buta apabila satu matanya terpaksa dibuang selepas dicederakan sekumpulan pembuli di sekolah.

Collins Kiprop, 16, dibawa ke Hospital Mata Sabatia untuk membuang bebola mata yang tertusuk serpihan paip plastik selepas dibelasah pelajar senior.

Pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Terige itu mengalami kecederaan yang tidak dapat dipulihkan pada mata kirinya selepas dipukul menggunakan paip plastik.

"Lima pelajar senior datang mengganggu saya dan tiga rakan sekelas ketika pendidikan jasmani.


"Mereka mengarahkan kami melutut dan kami mematuhi arahan itu. Kemudian seorang daripada mereka mengarahkan kami menyanyi untuk mendodoikannya sehingga tidur. Arahan itu juga dipatuhi.


"Selepas itu mereka mula bertanya soalan terlalu peribadi dan setiap kali kami lambat menjawab mereka memukul kami. Selepas itu seorang daripada mereka memukul saya menggunakan paip plastik dan saya berasa sakit pada mata," katanya.

Kejadian itu bukan yang pertama seumpamanya di sekolah berkenaan, malah dua tahun lalu seorang pelajar lain membunuh diri selepas tidak tahan dibuli.

Ayah Kiprop, James Maiyo mendakwa pihak sekolah tidak mengambil apa-apa tindakan selain mendakwa Kementerian Pendidikan juga bersikap acuh tak acuh dalam kejadian itu.

"Saya menghabiskan lebih Sh200,000 (RM7,225) untuk kos perubatan anak saya. Dia kini cacat dan kejadian itu sepatutnya boleh dielakkan jika guru serta pihak sekolah lebih peka," katanya.

Maiyo berkata dia bercadang menyaman Sekolah Menengah Terige kerana cuai menjaga pelajarnya.

Bagaimanapun, pengetua sekolah, David Litala mendakwa Maiyo membesar-besarkan kejadian.

"Sebenarnya pelajar terbabit dipukul kerana mencuri biskut daripada rakannya. Walaupun kami mengecam tindakan pelajar terbabit menghukumnya, saya ingin menegaskan tiada kejadian buli di sekolah kami," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Padah rasuah seks

Posted: 24 Jul 2014 01:32 PM PDT

Singapura: Seorang ahli perniagaan dihukum penjara tiga tahun selepas disabitkan kesalahan merasuah tiga pengadil warga Lubnan menggunakan pelacur dalam cubaan untuk mengatur keputusan perlawanan bola sepak.

Pemilik kelab malam Eric Ding Si Yang, 32, dipenjara atas kesalahan rasuah dalam pendedahan aktiviti sindiket judi dan mengatur perlawanan yang menjangkau sehingga ke Eropah.


Ding didapati bersalah pada 1 Julai lalu kerana merasuah pengadil Ali Sabbagh, 35, pembantu pengadil Ali Eid, 34 dan Abdallah Taleb, 38 sebelum perlawanan berlangsung di Singapura.

Hakim Toh Yung Cheong dalam penghakimannya berkata, reputasi Singapura semakin 'hanyut' dan dicemari sindiket perjudian mengatur perlawanan.


Selepas perbicaraan, Toh berkata, pendakwa berjaya membuktikan kes itu melangkau keraguan munasabah bahawa Ding mempengaruhi ketiga-tiga pengadil terbabit untuk bersekongkol mengatur keputusan perlawanan bola sepak. "Matlamat akhir Ding ialah memujuk pengadil membuat keputusan salah di padang bagi memberi keuntungan kepada kaki judi," katanya. Ketika siasatan kes ini berjalan, pihak berkuasa turut menangkap ketiga-tiga pengadil terbabit pada April 2013 sebelum diberi tugas mengendalikan perlawanan Piala Persekutuan Bola Sepak Asia di antara kelab Tampines Rovers dengan East Bengal dari India. Ketiga-tiga suspek kemudian mengaku bersalah. Sabbagh dihukum penjara enam bulan, manakala Ali Eid dan Abdallah Taleb dikenakan tiga bulan.


Dalam kenyataan membela diri, Ding mendakwa dia bukan pihak yang bertanggungjawab mengatur keputusan perlawanan, sebaliknya cuma wartawan sambilan sebuah akhbar tabloid tempatan yang kononnya berminat membuat laporan sindiket perjudian. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Sekolah swasta dera budak autistik

Posted: 24 Jul 2014 01:32 PM PDT

Ho Chi Minh: Sebuah sekolah beroperasi di daerah Tan Binh diarahkan tutup oleh jabatan pendidikan dan latihan selepas didapati melakukan penderaan ke atas kanak-kanak autistik.

Pemeriksaan pegawai perbandaran dan pendidikan itu dibuat selepas rakaman video didedah media menunjukkan guru sekolah menggunakan kaedah penderaan dan hukuman ke atas pelajarnya.


Seorang wartawan melakukan rakaman rahsia di sekolah itu dibuat selama dua minggu dan mendedahkan bagaimana seorang guru mengherdik pelajarnya kerana makan perlahan. Guru terbabit kemudian mengheret budak itu ke akuarium, memaksanya memakan ikan sebelum menghayun penampar ke muka mangsa. Pelajar juga sering dihukum setiap kali gagal memuaskan hati guru bertugas. Sekolah itu mengendalikan 30 pelajar berusia seawal tujuh tahun dan mengenakan yuran antara AS$200 (RM634) hingga AS$370 (RM1,174) sebulan.

Berikutan pendedahan itu, seorang nenek sanggup memandu sendirian dari wilayah lain untuk memberhentikan cucunya.


"Kami bersusah-payah menyimpan wang untuk menyekolahkannya namun tidak menyangka dia akan dipukul.


"Dia hanya tahu menyebut beberapa patah perkataan saja, mungkin sebab itu dia tidak dapat memberitahu mengenai penderaan yang berlaku," katanya.

Sementara itu pegawai pendidikan Vietnam berkata, sekolah itu memang tidak mempunyai lesen untuk beroperasi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Ternakan percuma punca orang kampung berkelahi

Posted: 24 Jul 2014 01:31 PM PDT

Buki, Sulawesi Selatan: Tindakan jabatan pertanian setempat mengagih-agih haiwan ternakan kepada orang ramai pada awalnya diharap dapat meningkatkan kesejahteraan mereka.

Namun, sebaliknya yang berlaku.


Kambing dan lembu percuma itu kini menjadi punca penduduk Kampung Lalang Bata berkelahi sesama sendiri apabila haiwan berkenaan berkeliaran dan merosakkan tanaman orang kampung. Masalah itu kemudian mencetuskan perbalahan antara pengusaha terbabit.

Orang ramai juga mempertikaikan perancangan pihak kerajaan sebelum mengedar haiwan berkenaan. Kata mereka, kemudahan yang ada tidak mencukupi atau sesuai. Menurut pemimpin kampung Buki, Abd Rahman, penternak sudah dinasihati berulang-kali supaya mengambil langkah sewajarnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Jumlah korban taufan boleh dikawal

Posted: 24 Jul 2014 01:30 PM PDT

Manila: Taufan Rammasun mencatatkan hampir 100 kematian minggu lalu tetapi di wilayah Albay yang dilanda teruk, ia tidak mengalami kemalangan jiwa berikutan tindakan pantas orang awam menyelamatkan diri.

Ia juga membuktikan angka kematian boleh dibendung jika langkah yang tepat diambil.


Gabenor Albay Joey Salceda dalam kenyataannya mengenai jumlah korban di wilayah lain berkata, kebanyakan penduduk setempat tidak berani bertindak.

"Mereka kurang pemimpin yang bagus," katanya.


Setiap tahun sekurang-kurang 20 ribut taufan melanda Filipina dan sejak kebelakangan ini ia bertambah kuat.


Menurut pakar meteorologi suhu laut meningkat dan mengakibatkan ribut yang lebih ganas.

Tahun lepas taufan Haiyan melanda dan mengorbankan lebih 6,100 nyawa, kebanyakannya di pantai timur Filipina.


Sejak itu kerajaan semakin aktif mengambil langkah awal bagi mengatasi kemungkinan bencana lebih besar.

Namun, menurut Salceda setiap pembaharuan bergantung kepada kerajaan wilayah dan bukan kerajaan Pusat untuk menggunakan kuasa mereka mendorong orang awam menyelamatkan diri sendiri.


"Pegawai tempatan perlu diberi latihan lebih khusus supaya memastikan orang ramai bertindak segera.


"Korban yang ramai adalah kesan kegagalan komunikasi, kegagalan untuk memastikan keselamatan seisi keluarga," katanya.


Nampak gaya usaha Salceda membuahkan hasil dengan tiada kematian baru dicatatkan walaupun ribut itu memusnahkan AS$143 juta (RM454 juta) tanaman dan harta benda di wilayahnya.


Tindakan pantas Salceda menutup sekolah sehari lebih awal sebelum taufan melanda dipuji ramai. "Saya menyebarkan amaran melalui Facebook. Saya diwawancara lebih 100 kali di radio berulang kali mengenai perkara ini," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

'Akhirnya pacar mama menang'

Posted: 24 Jul 2014 01:30 PM PDT

Jakarta: Ketika orang ramai meraikan kejayaan Joko Widodo (Jokowi) memenangi pemilihan Presiden Indonesia, Anna Christina melihat tokoh popular itu lebih daripada biasa.

Di mata Anna, Jokowi adalah seorang wira dan idola yang kukuh bertakhta di hatinya.


Nenek yang mempunyai enam anak itu berkata, dia mula jatuh hati kepada Jokowi sejak 2012.

Ia adalah detik ketika Jokowi memenangi pemilihan Gabenor Jakarta.


Ditanya apa yang menambat hatinya terhadap Jokowi, Anna, 78, berkata dia tertarik dengan sikap kesederhanaan antara lain melalui penampilan bakal presiden ketujuh Indonesia itu berkemeja putih dan berseluar hitam.


Disebabkan itu juga Anna bersimpati apabila pelbagai tuduhan dan negatif dilemparkan terhadap pemimpin kesayangannya itu.

Foto

JOKOWI diisytiharkan presiden baru Indonesia, Selasa lalu.

Kesedihan itu semakin mendalam ketika proses pengiraan undi pilihan raya presiden lalu.


Kata anak Anna, Fransisca Helmaria, 54, ibunya tidak berganjak dari depan televisyen dan sanggup mengikuti sepenuhnya proses itu pada 22 Julai lalu.

"Mama tidak berhenti berdoa dan sangat risau jika Jokowi kalah," katanya.


Keuzuran tidak menghalang Anna daripada berdiri di depan televisyen dari saat proses pengiraan bermula sekitar jam 11 pagi sehinggalah wiranya itu diisytihar sebagai pemenang pada jam 10 malam.


"Sesekali memang mama duduk, namun tumpuannya tidak lari dan dia tidak henti-henti mendoakan Jokowi menang," katanya.


Disebabkan bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, Fransisca berkata, dia berulang kali menenangkan ibunya sehinggalah Jokowi diisytiharkan secara rasmi memenangi pemilihan berkenaan. Sebaik mendengar berita gembira itu, Anna yang berlinangan air mata berkata: "Akhirnya pacar mama menang!" Nyata Fransisca lega dengan kegembiraan ibunya kerana sebelum ini Anna pernah menerima rawatan di hospital akibat pengsan kerana tertekan.


Anna juga mengalami sakit kerana Jokowi diserang pihak lawan dengan pelbagai tuduhan negatif. "Paling menyakitkan hati mama apabila Jokowi didakwa komunis dan bukan beragama Islam.


"Memang kami Kristian, tetapi kami semua sakit hati ketika mendengar fitnah yang mendakwa Jokowi bukan Muslim," katanya.


Kerana terlalu tertekan Anna dirawat lebih enam hari di hospital. Kata Fransisca doktor mendapati Anna mengalami tekanan akibat terlalu memikirkan hal buruk menimpa Jokowi.


Kini, keadaan Anna pulih dan dibenarkan pulang. Senyuman juga tidak lekang dari bibirnya selepas Jokowi menang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Anak Presiden Cuba maut?

Posted: 24 Jul 2014 01:28 PM PDT

Algiers: Anak Presiden Cuba, Raul Castro dilaporkan berada dalam pesawat malang Air Algerie yang terhempas di utara Mali malam tadi.

Pegawai di Lapangan Terbang Ouagadougou di Burkina Faso berkata, Mariela Castro bersama dua pegawai Eropah warga Perancis menaiki penerbangan berkenaan yang sepatutnya mendarat di Algiers pada jam 5.10 pagi (waktu tempatan)
Pesawat udara Air Algerie itu berlepas dari Burkina Faso membawa 110 penumpang dan enam anak kapal.


Ia dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan 50 minit sesudah berlepas pada jam 1.17 pagi (waktu tempatan).

Foto

MARIELA

Pegawai penerbangan berkata, pesawat itu dinasihat mengubah haluan ekoran gangguan jarak penglihatan di udara di kawasan utara Mali.

Mariela adalah Pengarah Pusat Pendidikan Seks Kebangsaan Cuba dan anak saudara kepada pemimpin berpengaruh negara itu, Fidel Castro.

Kemalangan malam tadi berlaku seminggu selepas pesawat udara Penerbangan Malaysia MH17 ditembak jatuh di Ukraine.

Mengulas kejadian minggu lalu, Fidel menuding jari kepada kerajaan Ukraine sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi berkenaan.

Bagaimanapun stesen televisyen Amerika Selatan, TeleSUR, mendakwa Mariela bukan seorang daripada penumpang pesawat berkenaan dan kini berada di Havana, Cuba.

Pegawai penerbangan Algeria mengesahkan pesawat Airbus A320 itu terhempas tetapi enggan memberi butiran lanjut, termasuk lokasi serta punca ia berlaku.

Berikut adalah butiran yang diketahui setakat ini:

• Pegawai kaji cuaca berkata kawasan utara Mali dilanda angin kencang semalaman.

• Sumber penerbangan memberitahu AFP hubungan dengan pesawat berkenaan terputus ketika berada di utara Mali yang dianggap berisiko tinggi untuk penerbangan AS. Pegawai Perancis berkata mereka tidak yakin senjata ringan militia di kawasan itu mampu menembak jatuh kapal terbang yang berada tinggi di udara.

• Ketua Agensi Penerbangan Awam Mali, Issa Saly Maiga berkata, mereka tidak pasti sama ada kejadian berlaku dalam ruang udara negara berkenaan. Katanya, pihak berkuasa Burkina Faso, Mali, Niger, Algeria dan Sepanyol berusaha mengesan pesawat berkenaan.

• Ada laporan belum disahkan mendakwa kemalangan berlaku di Niger.

• Pesawat udara itu membawa 50 penumpang warga Perancis, 24 Burkina Faso, lapan Lubnan dan empat Algeria. Enam anak kapal warga Sepanyol. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Ahli parlimen 'sokong' Gaza

Posted: 24 Jul 2014 01:26 PM PDT

London: Anggota Parlimen Liberal Demokrat David Ward semalam menjadi sasaran kemarahan sesetengah pihak selepas dia secara terbuka menyatakan bantahannya terhadap kezaliman Israel ke atas Gaza.

Dia pada mulanya enggan memohon maaf mengeluarkan kenyataan itu kerana mendakwa kata-katanya tidak bertujuan menunjukkan sokongan terhadap serangan roket dilakukan Hamas.


"Saya mengecam sekeras-kerasnya keganasan dilakukan kedua-dua pihak di Israel dan Gaza. "Saya juga mengecam tindakan Hamas dan kenyataan saya bukan bertujuan menyokong tembakan roket ke arah Israel. "Saya memohon maaf jika kenyataan saya itu mengelirukan," katanya.

Ahli Parlimen Bradford East itu bagaimanapun masih berdepan tindakan disiplin dan kini perlu membincangkan kedudukannya di dalam parti.


Selasa lalu, Ward dituduh melakukan kenyataan menghasut apabila mengatakan di Twitter: "Persoalan utama adalah jika saya tinggal di Gaza, adakah saya akan menembak roket? Kemungkinan besar, ya." Walaupun mengakui hak Israel untuk wujud sebagai sebuah negara, dia turut berazam untuk terus bersuara bagi pihak Palestin yang dianggapnya berdepan penderitaan dahsyat kerana memahami keadaan mereka yang terlalu terdesak. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Derita 232 gigi ekstra

Posted: 24 Jul 2014 01:25 PM PDT

Mumbai: Selama 18 bulan menanggung kesakitan, seorang remaja tidak menyangka penderitaan itu membawa kepada penemuan lain yang lebih mengejutkan.

Ashik Gavai, 17, mengalami penyakit unik sehingga memaksa doktor pakar melakukan pembedahan bagi membuang 232 gigi dari mulutnya.


Gavai mula mengadu sakit gigi dan bengkak rahang kirinya lebih setahun lalu, namun setiap kali bertemu doktor di kampungnya, mereka gagal mencari punca masalah berkenaan.

Akhirnya kes Gavai dirujuk ke Hospital J J di Mumbai dan seorang pakar pembedahan mulut, Sunanda Dhiware memeriksanya dengan teliti.


Ujian lazim dijalankan dan punca kesakitan Gavai masih belum ditemui.


Akhirnya Sunanda membuat keputusan melakukan pembedahan dan ketika itu barulah dia melihat puluhan gigi-dengan pelbagai saiz-tumbuh pada gusi remaja terbabit. Sunanda berkata, Gavai mengalami penyakit dikenali sebagai odontoma kompleks yang menyebabkan berlaku pertumbuhan gigi secara luar biasa.

Foto

DOKTOR pakar menjalankan pembedahan membuang lebih 200 gigi Gavai di Mumbai.

"Kes begini sangat jarang berlaku," katanya. Bersama seorang lagi pakar pembedahan dan dua pembantu lain Sunanda menjalankan pembedahan selama tujuh jam bagi membuang semua gigi lebihan Gavai.


Kata Sunanda proses membuang gigi itu tidak boleh menggunakan kaedah biasa.

"Kami menggunakan penukul dan pahat untuk memecahkan gigi berkenaan sebelum ia dikeluarkan.


"Kaedah ini jarang digunakan ketika ini," katanya. Sunanda berkata setakat apa yang diketahuinya jumlah gigi terbanyak pernah dibuang daripada seseorang ialah 37, namun dia perlukan kajian lebih lanjut sebelum memberi komen sama ada Gavai wajar dianggap mencatat rekod dunia. Selepas pembedahan berlangsung Gavai kini memiliki 28 gigi, jumlah yang normal untuk seorang dewasa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

No comments:

Post a Comment