Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Nigeria berdepan hukuman

Posted: 05 Jul 2014 01:40 PM PDT

Rio de Janeiro: Nigeria mungkin dikenakan hukuman gantung oleh FIFA selepas beberapa pemimpin persekutuan bola sepak negara itu sudah dilucutkan jawatan manakala presidennya ditahan sejurus kembali dari Piala Dunia.

FIFA memberi amaran kepada kerajaan Nigeria semalam supaya mewujudkan semula jawatankuasa eksekutif persekutuan menjelang Selasa ini atau berdepan hukuman penggantungan.


"FIFA turut sedar penahanan Presiden NFF, Aminu Maigari yang dilakukan Jabatan Perkhidmatan Keselamatan Negeri," menurut badan induk berkenaan dalam satu kenyataan.

Ia hadir susulan kekalahan 0-2 Nigeria kepada Perancis pada pusingan kedua, Selasa lalu.


Kerajaan Nigeria turut bertindak secara agresif selepas kekalahan Super Eagles pada Piala Dunia 2010. Ketika itu, Presiden Goodluck Jonathan mengancam untuk menggantung skuad negara selama dua tahun sebelum campur tangan FIFA.


Peraturan FIFA melindungi 209 ahli gabungannya daripada campur tangan kerajaan dengan mengenakan hukuman penggantungan sekali gus menghalang pasukan serta pegawai terbabit dalam perlawanan antarabangsa dan mesyuarat.

Foto

NIGERIA mungkin dikenakan hukuman gantung oleh FIFA.

Satu sesi Mahkamah Tinggi di ibu negara Nigeria, Abuja Khamis lalu mengarahkan penahanan pemimpin bola sepak negara berkenaan.


Menteri Sukan turut melantik pegawainya sendiri untuk mentadbir badan bola sepak negara itu.

FIFA mengutus surat kepada NFF untuk 'menyuarakan kebimbangannya terhadap pelbagai tindakan yang dilaksanakan pihak berkuasa Nigeria.' Mesyuarat pemilihan yang dilaporkan berlangsung di Abuja, kelmarin tidak akan diiktiraf, kata FIFA.


FIFA berkata, kongres rasmi akan diadakan pada 26 Ogos dan 'hanya keputusan dan individu yang dipilih dianggap sah untuk menghadirinya.' Nigeria melangkah ke peringkat kalah mati Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998 selepas menewaskan Bosnia-Herzegovina 1-0 dan terikat tanpa jaringan dengan Iran. Mereka turut mempamerkan persembahan baik ketika tewas 2-3 kepada Argentina.


Saingan kompetitif seterusnya adalah kelayakan Piala Negara-Negara Afrika 2015, September ini. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

Misi Federer

Posted: 05 Jul 2014 01:34 PM PDT

London: Roger Federer memburu rekod lapan gelaran Wimbledon hari ini menentang Novak Djokovic yang terdesak menamatkan rentetan kekalahan di final Grand Slam serta mahu memusnahkan legasinya.

Federer, 32, memenangi kejuaraan pertama daripada 17 kejohanan utama di Wimbledon pada 2003 dan paling terbaru pada 2012 namun kegagalannya untuk beraksi di final Grand Slam selepas itu mendorong ramai pihak menganggap kariernya sudah berkubur.


Juara Grand Slam enam kali Djokovic yang juga juara Wimbledon 2011 akan turun beraksi di final buat kali ketiga di Kelab All England dalam tempoh empat tahun namun pemain berusia 27 tahun itu tewas tujuh daripada 13 final di kejohanan utama termasuk lima dalam enam final terakhir.

Kedua-dua pemain itu akan bertemu buat kali ke-35 dalam tempoh lapan tahun permusuhan mereka manakala bagi aksi final Ahad ini bakal menjadi pertemuan ke-11 di peringkat Grand Slam.


Federer memuji Djokovic apabila menganggapnya sudah matang dan mereka mempunyai hubungan yang baik tidak kira di dalam dan luar gelanggang.


"Dia mempunyai kehebatan dalam membalas pukulan awal, mengawal tempo permainan pemain lawan," kata Federer.

"Jadi saya fikir itu yang akan membuatkan anda sukar untuk menentangnya.


"Novak hebat bermain garisan belakang atau cross-court di kedua-dua bahagian. Pukulan kilas, servis dan pergerakannya memang bagus." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

Hamilton tak melatah

Posted: 05 Jul 2014 01:34 PM PDT

Silverstone, United Kingdom: Lewis Hamilton kekal tenang meskipun jenteranya sekali lagi berdepan masalah selepas dia berjaya mencatat masa terpantas pada sesi latihan kedua perlumbaan Grand Prix British.

Pemandu Britain berusia 29 tahun itu yang memburu kejuaraan kedua di laman sendiri selepas kejayaan pada 2008 merekod masa terpantas kelmarin namun selepas itu keretanya tersadai di tepi trek akibat masalah enjin.


Dia berjaya mengatasi rakan sepasukannya di Mercedes dan pendahulu kejuaraan dari Jerman Nico Rosberg dengan catatan pusingan terpantas 1 minit 34.508 saat, 0.228 lebih pantas di litar Silverstone.

"Saya tidak kecewa," kata Hamilton yang terlepas sesi setengah jam terakhir. "Ia tetap berlaku, tapi saya tidak tahu kenapa masalah ini terus berlaku kepada kereta saya." Dalam komen menerusi akaun Twitter, dia menambah: "Apabila anda fikir semula, anda dapat merasakan sesuatu yang positif. Ia tidak berlaku dalam perlumbaan dan kami boleh belajar daripada kelemahan ini." Hamilton menduduki tangga kedua dalam kategori pelumba, 29 mata di belakang Rosberg dan dia perlu menang pada perlumbaan hari ini bagi meneruskan pemburuan.


Dia mengalami masalah mekanikal dan terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal sebanyak dua kali sebelum ini namun Rosberg pula berjaya menamatkan perlumbaan pada setiap litar musim ini.


Juara dunia dua kali, Fernando Alonso dari Sepanyol yang memandu jentera Ferrari mencatat masa ketiga terpantas, tujuh saat lebih perlahan di belakang tempat pertama namun mendahului dua pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo dari Australia dan juara bertahan empat kali dari Jerman Sebastian Vettel.

Kedua-dua pemandu itu ketinggalan lebih dua saat di belakang dalam ujian masa satu pusingan itu namun memperlihatkan peningkatan dalam kelajuan pada sesi tengah hari.


Hamilton pula tampak seperti mengalami masalah enjin yang serius hingga memaksa dia keluar dari litar.

"Enjin mati secara tiba-tiba," katanya kepada radio pasukan. "Enjin mati, tidak bergerak." Hamilton hanya berjaya melengkapkan 14 pusingan berbanding Rosberg 35 pusingan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

Umpama final

Posted: 05 Jul 2014 01:30 PM PDT

Sao Paulo: Brazil akan bertemu Jerman minggu depan pertemuan yang dianggap pemain tuan rumah sebagai final sebelum final dan pengurus Luiz Felipe Scolari berdepan dilema pemilihan empat hari sebelum aksi di Belo Horizonte itu berlangsung.

Brazil menewaskan Colombia 2-1 dalam saingan suku akhir kelmarin tetapi Neymar berdepan kecederaan serius manakala ketua pasukan Thiago Silva pula menerima kad kuning kedua sekali gus menyaksikan kedua-duanya tidak akan dapat diturunkan.


"Kami berada dalam situasi yang sangat sukar menjelang pertemuan dengan Jerman tetapi kami mempunyai ramai pemain hebat.

"Jika semua perkara perlu diubah, kami akan lakukan dan saya rasa kami akan berdepan perlawanan yang menarik," kata Scolari kepada wartawan.


Penyerang Hulk dan pemain pertahanan tengah David Luiz bersetuju dengan jurulatih mereka apabila ia baru kali kedua Brazil bertemu Jerman dalam sejarah Piala Dunia.


"Ia akan menjadi perlawanan tumpuan, klasik dan sangat sengit," kata Luiz yang menjaringkan gol kedua Brazil selepas 69 minit melalui sepakan percuma ketika bertemu Colombia.

Hulk berkata, perlawanan separuh akhir nanti boleh dianggap seperti final selepas Ronaldo menjaringkan dua gol untuk membantu Brazil meraih kejuaraan kali kelima pada 2002.


"Ia seperti perlawanan akhir tetapi saya berharap kami mampu mara ke (perlawanan akhir sebenar) di Maracana.

"Semua perlawanan kami anggap seperti perlawanan akhir, tidak ada perlawanan yang mudah," kata Hulk.


Brazil sudah memenangi tiga perlawanan dan seri dua kali dalam lima aksi Piala Dunia setakat ini dan mereka selesa sehingga aksi menentang Colombia kerana terpaksa mengerah segala-galanya dalam perlawanan suku akhir itu.


Scolari mengeluh dengan keupayaan pasukannya yang terpaksa memperlahankan permainan selepas Luiz menjaringkan gol kedua dan berkata, mereka terlepas beberapa peluang pada separuh masa pertama yang mampu memberi kesan sebelum perlawanan tamat. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

Semua tunggu MILO

Posted: 05 Jul 2014 01:28 PM PDT

Bukit Mertajam: Suasana ceria peserta yang mengambil bahagian dalam beberapa permainan di gerai MILO membuktikan kehadiran jenama minuman bertenaga dan berkhasiat itu pada program Sorak Goool! Harian Metro (HM), sempena Piala Dunia Brazil 2014 sememangnya ditunggu-tunggu peminat bola sepak pelbagai peringkat umur.

Bahang kehangatan Piala Dunia Brazil 2014 kian membara apabila suasana di Restoran Route 69, Bandar Perda di sini, awal pagi semalam bagaikan satu pesta selepas dibanjiri lebih 700 peminat bola sepak mahu menyaksikan perlawanan suku akhir antara Perancis dan Jerman sempena Sorak Goool! Harian Metro.


Peminat bola sepak dari pelbagai lapisan umur termasuk golongan kanak-kanak, remaja dan belia malah tidak ketinggalan kehadiran warga emas bersama keluarga juga mahu menyaksikan perlawanan pilihan itu yang berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada Jerman 1-0.

Kemeriahan di Restoran Route 69 bermula seawal jam 9 malam lagi apabila peminat bola sepak yang hadir berpusu-pusu ke gerai MILO bagi menyertai pelbagai permainan interaktif menawarkan cenderahati dan hadiah menarik selain dihiburkan dengan persembahan artis Marsha Milan Londoh dan Kaka Azraff.


Tidak kurang juga ada dalam kalangan peserta yang berjaya memenangi cenderahati daripada MILO mengambil gambar 'selfie' sebelum dimuat naik ke laman sosial bagi dikongsi bersama rakan tidak berpeluang hadir pada program itu.


Bagi pelajar kolej, Myra Izzati Ismail, 24, dia tidak mahu melepaskan peluang merasai kemeriahan program Sorak Goool! HM kerana sudah membayangkan kemeriahan acara itu sebelum ini di beberapa lokasi lain.

"Selepas mengetahui hebahan mengenai penganjuran Sorak Goool! Harian Metro di Restoran Route 69 saya pastinya tidak mahu melepaskan segala kenangan manis selain memberi sokongan padu kepada Harian Metro yang disokong oleh MILO.


"Malah saya bersama rakan turut mengambil gambar di gerai MILO untuk dikongsi dengan kenalan di laman sosial, kerana kami mahu menunjukkan kepada mereka betapa meriahnya acara dianjurkan lebih-lebih lagi dengan kehadiran MILO," katanya.

Manakala rakannya Izati Rahman, 23, berkata, MILO menjadi minuman kegemarannya sejak kecil dan pastinya tidak akan terlepas untuk menikmati minuman itu setiap kali waktu berbuka dan bersahur bagi memastikan dia kekal cergas dan bertenaga terutamanya ketika berpuasa dalam keadaan cuaca panas.


Izati berkata, MILO turut menjadi temannya ketika menonton perlawanan Piala Dunia Brazil 2014 terutamanya bagi mengelakkan rasa mengantuk.


"Saya lebih mempercayai minuman ini yang mampu membekalkan tenaga untuk menonton perlawanan bola sepak pada awal pagi, rasa coklatnya yang enak turut menambahkan selera dan ia antara menu utama yang perlu ada terutamanya ketika bersahur." Seorang lagi pengunjung gerai MILO, Azli Rahman, 19, menjelaskan dia terpaksa menunggu giliran sebelum berpeluang menyertai permainan interaktif yang disediakan.


"Kerana peminat bola sepak yang ramai saya menunggu hingga perlawanan bermula bagi mencuba nasib dengan harapan peminat bola sepak akan menumpukan perhatian kepada perlawanan, namun masih lagi perlu menunggu berikutan jumlah pengunjung masih ramai.


"Aktiviti disediakan MILO amat menghiburkan saya dan rakan boleh berhibur sambil bergambar selfie, sambil mengenakan prop seperti rambut palsu warna-warni serta permainan video bola sepak X-Box," katanya.


Program Sorak Goool! anjuran Harian Metro (HM) turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Datuk Omar Fauzar.


Tidak ketinggalan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar, Pengarang Eksekutif (Edisi Hujung Minggu dan Rencana) Othman Mamat dan Pemilik Restoran Route 69, Abdul Aziz Shik Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

Tuah genetik

Posted: 05 Jul 2014 01:27 PM PDT

Fortaleza, Brazil: David Luiz menjelaskan teknik sepakan percuma yang disempurnakan ketika kemenangan suku akhir Piala Dunia ke atas Colombia adalah berpunca daripada faktor genetik.

Dari jarak 35 meter, pemain berusia 27 tahun itu menendang dengan kaki kanannya untuk melepasi benteng empat pemain Colombia dan mengatasi jangkauan penjaga gol, David Ospina.


Jaringan itu membolehkan Brazil mendahului 2-0 pada minit ke-69 dan tuan rumah kejohanan itu bertahan untuk mencatatkan kemenangan 2-1 sekali gus melangkah ke separuh akhir.

Ketika ditanya mengenai jaringannya selepas itu, Luiz dengan gerakan tangannya menunjuk ke arah berbeza serta sambil berjenaka berkata pergerakan kakinya itu sama seperti ketika dia masih kecil.


"Saya fikir ia adalah faktor genetik. Saya dilahirkan dengan kaki seperti ini," kata Luiz.


Luiz meraikan gol dengan berlari ke arah bendera di penjuru padang bagi menghampiri penyokong Brazil yang memenuhi Arena Castelao.

Dia mengakui adalah hampir mustahil untuk mengulangi sepakan percuma itu.


"Hari ini (awal pagi semalam) adalah hebat kerana saya menendang bola di kedudukan yang tepat," katanya. "Anda boleh cuba menendangnya seperti itu dan mungkin mengambil masa seharian. Saya sangat gembira kerana boleh membantu pasukan dengan cara ini." Jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari berkata, Luiz mengkaji rakaman video mengenai sepakan percuma menjelang pertemuan awal pagi semalam dan memberikan tumpuan kepada teknik yang pernah digunakan pakar sepakan percuma Brazil yang sudah bersara.

"Saya fikir dia menonton banyak rakaman video," kata Scolari. "Kami mempunyai seorang pemain yang pernah beraksi bersama Corinthians, Marcelinho Carioca. Dia mempraktikkan sepakan seperti itu - berbeza berbanding pemain lain." - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

No comments:

Post a Comment