Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Mengucap lihat anak ditikam

Posted: 02 Jul 2014 01:05 PM PDT

Kota Bharu: "Beberapa kali saya 'mengucap' apabila melihat keadaan anak yang mengerang kesakitan dengan bajunya penuh darah selepas ditikam. Tak sangka dia (abang) sanggup bertindak begitu," kata Cik Muji Ramli, 41, ibu kepada seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang ditikam dua kali oleh bapa saudaranya di Jalan Bayam, di sini, kelmarin.

Akibat tikaman itu, Mohamad Danish Aidid Yahaya cedera di pinggang kiri dan kanan dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut dan disahkan stabil selepas menerima beberapa jahitan.


Mengimbas detik cemas itu, Cik Muji berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang ketika anak bongsu itu bermain di belakang rumah, sebelum abangnya yang berusia 44 tahun datang menghampiri sambil membawa pisau.

"Sebelum itu, abang tiba-tiba mengamuk kerana perkara yang saya sendiri tidak faham sebelum ke dapur mengambil pisau pemotong sayur, sebelum menikam pinggang kanan Mohamad Danish.


"Abang juga sekali lagi menikam pinggang kanan anak selepas menyeretnya masuk ke dalam rumah. Saya terkejut ketika itu apatah lagi lihat anak meraung kesakitan dengan baju berlumuran darah.


"Saya tak mampu buat apa-apa kerana ketika itu abang masih memegang pisau. Namun, saya nekad mengambil Mohamad Danish dan lari meminta bantuan jiran," katanya ketika ditemui di HRPZ II, di sini, semalam.

Foto

CIK Muji melihat kecederaan yang dialami anaknya semalam.

Cik Muji berkata, sepanjang perjalanan ke hospital menaiki ambulans, dia hanya mampu mengucap beberapa kali berikutan tidak sanggup melihat anaknya mengerang kesakitan.


"Alhamdulillah apabila tiba di hospital, doktor memaklumkan kecederaannya tidak serius dan dia hanya menerima dua jahitan saja," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Azham Othman berkata, suspek dipercayai mengamuk kerana tidak menerima wang bantuan RM60 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


"Difahamkan, sebelum kejadian suspek bertanya ibu mangsa yang baru pulang dari bank mengenai wang bantuan JKM yang masih belum diterima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

'Pencen dah cukup...'

Posted: 02 Jul 2014 12:43 PM PDT

Selayang: "Hampir empat tahun kami memohon mendapatkan bantuan namun pelbagai alasan diberikan termasuk kononnya pencen suami saya sudah cukup untuk menampung kehidupan sekeluarga.

"Hakikatnya, wang pencen kurang upaya yang diterima setiap bulan hanya mampu membayar ansuran rumah dan kereta yang diperlukan untuk berulang alik ke hospital tidak termasuk perbelanjaan suami yang lumpuh," kata Hamidah Zainal, 60.


Hamidah, isteri kepada pesara tentera Madin Nasir, 81, yang lumpuh akibat kecederaan yang dialami ketika bertugas dalam Pasukan Kor Polis Tentera Malaysia pada 1966.

Disebabkan itu, Madin tidak mampu melakukan pekerjaan berat malah apabila menjangkau usia emas, keadaan kesihatannya semakin tidak mengizinkan dan bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda untuk bergerak.


Menurut Hamidah, penderitaan mereka sekeluarga menyebabkan dia memohon bantuan daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) namun jawapan yang diterima nyata mengecewakan apabila dimaklumkan suami tidak lagi layak menerima bantuan lain.


"Memanglah pencen suami saya kini berjumlah RM1,400, tapi jumlah itu sekadar mampu menyelesaikan ansuran rumah dan kereta serta keperluan asas lain tidak termasuk lampin pakai buang, susu, perubatan dan makanan kesihatan untuk suami saya.

"Saya bukan meminta bantuan membuta tuli tapi suami saya hilang upaya disebabkan kecederaan ketika berkhidmat dengan ATM. "Alasan mereka mengatakan kecederaan dan kecacatan suami saya tidak layak mendapat bantuan atau bayaran ex-gratia tidak adil kerana dia berkorban nyawa untuk memberi perkhidmatan yang terbaik untuk pasukan," katanya..


Lebih dikesali, Hamidah mendakwa, ketika mengemukakan permohonan bantuan, pegawai di jabatan berkenaan memaklumkan bahawa pencen yang diperoleh suaminya sudah cukup 'lumayan' untuk mendapatkan sebarang bentuk bantuan mahu pun sagu hati lain yang diberi kerajaan.

Mengimbas peristiwa malang menimpa suaminya lebih empat dekad lalu, Hamidah berkata, suaminya pada ketika itu sedang melakukan tugasan rondaan di sekitar pekan Taiping, Perak sebelum diserang dan ditikam beberapa kali oleh sekumpulan askar selepas cuba meleraikan pergaduhan antara kumpulan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

550 murid terjejas suis utama terbakar

Posted: 02 Jul 2014 12:43 PM PDT

Shah Alam: Sesi persekolahan kira-kira 550 murid Sekolah Agama Integrasi, Seksyen 19, di sini, terjejas apabila suis utama di bangunan sekolah yang menempatkan pejabat pentadbiran tiba-tiba terbakar, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, suis kotak utama bekalan elektrik yang terletak dalam bilik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkeluasan 12 meter persegi terbakar dipercayai akibat litar pintas.


Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Jumari Hussin berkata, kebakaran membabitkan suis utama itu mengakibatkan bilik Guru Besar dan Penolong Kanan serta pusat pentadbiran dan bilik darjah terputus bekalan elektrik.

"Kami menerima panggilan pada jam 9.02 pagi daripada kakitangan sekolah sebelum sebuah jentera bersama 12 anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian dan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) dikejarkan ke tempat kejadian," katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.


Beliau berkata, kebakaran berkenaan dipadam menggunakan alat debu kering kerana api akan merebak dan membahayakan kakitangan sekolah sekiranya menggunakan air.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

'Saya pun turut terkena'

Posted: 02 Jul 2014 12:43 PM PDT

Kuala Lumpur: "Apa yang dialami oleh penceramah terkenal, Ustaz Kazim Elias pernah dialami oleh saya sendiri apabila ada pihak pengurusan syarikat umrah menggunakan nama saya sedangkan mereka menipu jemaah lain."

Demikian kenyataan seorang penceramah bebas yang juga Presiden Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam Malaysia (GAPPIMA), Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa yang pernah menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pakej umrah yang menawarkan tambang murah untuk memperdayakan orang awam.


Menurutnya, beliau menjadi mangsa penipuan pihak ketiga itu pada tahun lalu apabila pihak pengurusan syarikat terbabit sengaja menggunakan namanya bagi menarik perhatian orang ramai, sekali gus mencemarkan imejnya sebagai seorang pendakwah.

"Pada mulanya, saya tidak menyedari perkara berkenaan, namun ada rakan-rakan yang memaklumkan dan membuatkan saya terkejut kerana perkara berkenaan bukan saja memberi imej buruk kepada saya, tetapi nasib jemaah lain yang terpedaya dengan syarikat itu.


"Saya juga membuat laporan polis termasuk jemaah yang tertipu dengan syarikat terbabit dan saya dimaklumkan bahawa kakitangan pengurusan syarikat itu bertindak melarikan diri dan kini sedang menjadi buruan polis," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, di sini, semalam.


Harian Metro semalam melaporkan terdapat pihak tertentu yang menggunakan nama penceramah terkenal, Ustaz Kazim Elias dengan mengutip derma kononnya bagi pihak penceramah berkenaan dan pusat pendidikan miliknya.

Dalam laporan itu, Kazim berkata, kejadian itu mula dikesan sejak 2010 dan masih berterusan sehingga kini terutamanya pada Ramadan apabila umat Islam berlumba-lumba untuk bersedekah.


Bagaimanapun, Fauzi berkata, beliau bersyukur kerana kejadian itu berjaya diselesaikan dengan cepat oleh pihak berkuasa dan apa yang lebih utama adalah nasib orang ramai yang tertipu dengan helah berkenaan. Beliau turut mencadangkan kepada mana-mana penceramah yang mengalami masalah serupa supaya menggunakan saluran radio atau di kaca televisyen untuk menghebahkan maklumat sebenar, seraya dapat memberi maklumat tepat kepada orang awam.

"Ketika saya berdepan dengan masalah itu, saya menggunakan saluran radio untuk menghebahkan penipuan syarikat terbabit yang menggunakan nama saya dan alhamdulillah, ia berjaya diselesaikan.


"Kebiasaannya, syarikat atau individu tertentu yang gemar mengambil kesempatan ini akan memanipulasi nama penceramah yang dikenali supaya menarik perhatian orang lain," katanya.


Selain itu, beliau berkata, kejadian seumpama itu juga adalah sebahagian daripada cabaran sebagai seorang pendakwah dan menasihatkan supaya sentiasa bersabar dalam menghadapi dugaan seumpama itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

Menjadi insan terbaik

Posted: 02 Jul 2014 12:41 PM PDT

Ramadan kembali lagi dan ia sudah pasti memberikan ruang kepada umat Islam untuk meningkatkan amalan bagi memperoleh pahala berlipat ganda yang dijanjikan Allah SWT.

Namun, bagi mereka yang alpa, bulan `bonus' gandaan pahala itu akan dibiarkan berlalu seperti yang air sungai yang mengalir dan menjadikan bulan itu sekadar menahan lapar dan dahaga selain terus melayani tuntutan nafsu dengan melakukan perkara yang merugikan atau yang mengurangkan pahala puasa.


Entri terkini http://hakakuhakaku.blogpsot.com memuatkan tajuk Selamat Berpuasa Alhamdulillah, jika tidak silap, sudah lima hari umat Islam mengerjakan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Saya juga mula menerima agihan kurma daripada persatuan sekitar taman. Rezeki untuk berbuka puasa nanti.

Sudah pasti banyak cabaran melawan nafsu... banyak betul godaan. Syaitan pasti sudah 'diikat', tetapi nafsu mata, telinga banyak lagi yang perlu dikawal. Kini, diri kita sendiri yang akan 'berjuang' dan 'melawan' habis-habisan semua cabaran itu. Semoga Allah SWT memperkuatkan perisai ketabahan dan keimanan untuk menolak apa juga cubaan dan dugaan godaan.


'Special request… minta-mintalah golongan Hawa dapat membantu supaya menjaga 'penampilan' diri. Kerana mata…. Janganlah pada bulan yang penuh barakah ini, pahala dikurangkan dengan memberikan 'tontonan' percuma. Tambahan lagi, apabila pergi ke bazar Ramadan, pening melihat pelbagai hidangan, tetapi dapat juga 'hidangan' mata yang tidak sepatutnya di lihat sepanjang di bulan Ramadan. Tolonglah jaga kesopanan dan kesusilaan untuk kita sama-sama menghormati Ramadan, supaya tidak menjadi orang-orang yang rugi…...Tetapi, sampai bila-bila pun kita kena jaga aurat kan!!!.


Diharapkan juga, kita mampu menjaga mulut dan telinga yang begitu cepat 'menangkap' apabila terdengar 'gosip'. Lebih baik diam, daripada menambah bilangan dosa tanpa kita sedari. Walaupun bukan senang hendak membuang 'tabiat' yang mungkin sudah lama ada dalam diri, tetapi kita perlu mencuba menjadi yang terbaik pada setiap Ramadan. Sama-samalah kita berusaha mengumpul berlipat ganda 'ganjaran' daripada Allah SWT. Mohon dikurniakan Allah SWT kesihatan yang baik untuk Ramadan ini dan semoga kita akan sentiasa menjadi ayah, ibu, suami, isteri, anak ataupun sahabat yang terbaik untuk orang yang kita sayangi.. Amin… Selamat berpuasa semua….

Manakala, entri terkni http://zabidi-morad.blogspot.com memuatkan tajuk Hayati Pengertian Ramadan dan Pengertiannya.


Ramadan muncul lagi. Bulan penuh keberkatan ini hanya muncul setahun sekali. Pastinya bulan ini amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam.

Di dalam bulan Ramadan, seluruh umat Islam diwajibkan berpuasa. Ini diterangkan dengan jelas dalam ayat 183, surah Al-Baqarah yang bermaksud; "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orangterdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." Perkara utama yang dituntut bagi seluruh umat Islam yang berpuasa hendaklah meninggalkan makan dan minum serta tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Pada bulan ini umat Islam juga dituntut untuk memperbanyakkan amal ibadah dan bertaubat terhadap dosa yang dilakukan dengan mengisi ruang yang ada bagi meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.


Ini kerana Ramadan adalah satu-satunya bulan yang memberi peluang keemasan untuk setiap umat Islam meningkatkan ketakwaan diri, menambahkan kesyukuran atas nikmat yang diberikan dan bulan untuk mendapat keampunan dari segala dosa yang dilakukan. Oleh itu, sebagai umat Islam, kita perlu memuliakan dan menghayati Ramadan untuk mendapat keberkatannya.


Apatah lagi, setiap saat adalah peluang paling utama menyucikan diri dan mendapat pahala daripada Allah SWT. Sebagaimana di dalam satu hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sekiranya hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya Ramadan berpanjangan selama setahun." (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

No comments:

Post a Comment