Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Padah ambil jalan dekat

Posted: 16 Jul 2014 09:46 AM PDT

Beijing: Seorang lelaki berusia 30 tahun di Wuhan tersangkut pada pagar besi seperti daging kebab apabila tertusuk ketika cuba memanjat pagar berkenaan.

Mangsa dikenali sebagai Wu itu bagaimanapun terselamat tetapi mengalami kecederaan parah.

Difahamkan, Wu melalui sebuah lorong kecil untuk pulang ke rumahnya namun mendapati pintu pagar di hujung jalan itu terkunci.

Dia dan beberapa rakannya kemudian memutuskan untuk memanjat pagar tetapi malangnya lengan serta bahu kiri Wu tersangkut serta tertusuk pada pagar itu ketika cuba melompat.

Foto

WU ketika di hospital.


Wu pengsan akibat kecederaan itu dan rakannya segera menghubungi pasukan kecemasan.


Anggota bomba terpaksa menggunakan alat pemotong untuk menurunkan Wu sebelum alat pemotong hidraulik pula digunakan untuk memotong pasak pada pagar besi itu.

Akhirnya, bomba menggunakan gergaji bulat untuk membuang besi yang menusuk bahu Wu.

Keseluruhan proses mengambil masa lima minit sebelum mangsa dikejarkan ke hospital.

Wu bernasib baik kerana tulang dan organ dalamannya tidak rosak dan kini beransur pulih. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Perogol dibicara secara terbuka

Posted: 16 Jul 2014 09:26 AM PDT

Beijing: Seorang bekas anggota polis, Ai Kung, 30, yang dituduh merogol beberapa wanita diarak depan beribu-ribu orang semalam untuk dibicarakan secara terbuka.

Mahkamah terbuka di daerah Hengshan di wilayah Shaanxi, barat China dipasang dengan sistem audio untuk membolehkan orang ramai mendengar perbicaraan itu.

Kes itu dianggap berprofil tinggi kerana ia membabitkan anggota polis dan suspek didakwa merancang dengan teliti setiap jenayah yang dilakukannya.

Menurut media tempatan, pada awalnya polis mengesyaki dalang yang melakukan serangan ke atas wanita berkenaan adalah bekas anggota tentera.

Foto

AI Kung diheret di depan orang ramai di Hengshan.


Bagaimanapun, apabila DNA dan imej suspek diperoleh, ia jelas menunjukkan suspek ialah Ai Kung.


Dia baru saja bersara sebelum menjadi pengawal keselamatan sekolah.

Pendakwa raya menyifatkan Ai Kung seperti watak dalam Jekyll dan Hyde kerana pada siang hari dia seolah-olah menjadi penegak undang-undang tetapi sebelah malam, menjadi pemangsa tidak berperikemanusiaan.

Mangsanya, sembilan wanita muda berusia antara 18 hingga 32 tahun.

Dia menyerang mangsanya sebelah malam setelah mengheret mangsa ke kawasan terpencil.

Mereka dipukul, diperkosa, dirompak sebelum ditinggalkan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Ugut isteri dengan tembikai

Posted: 16 Jul 2014 09:23 AM PDT

Hartford: Seorang lelaki berdepan dengan tuduhan mengugut isterinya selepas dia 'menikam' sebiji tembikai dan sengaja meninggalkannya di dapur untuk membolehkan si isteri melihatnya.

Ketua Jabatan Polis Thomaston James Campbell berkata, Carmine Cervellino, 49, dihadapkan ke mahkamah kelmarin atas tuduhan mengugut dan juga salah laku.

Cervellino ditahan Sabtu lalu dan dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin sebanyak AS$500 (RM1,600) bon.

Menurut Campbell, rumah tangga pasangan itu mula berantakan 4 Julai lalu apabila isteri Cervellino membuat laporan polis setelah menemui pil dan ganja yang disembunyikan di dalam kotak peralatan tukang milik suaminya.

Pasangan berkenaan dikatakan dalam proses untuk bercerai ketika itu.

Wanita itu menganggap dirinya diancam setelah pulang dari balai polis dan menemui tembikai berkenaan bersama-sama pisau pemotong daging pada buah itu.

Sejurus selepas itu, Cervellino masuk ke dapur dan tanpa berkata apa-apa, memotong tembikai itu.

"Kami menganggap perbuatan lelaki itu sebagai sesuatu yang serius," kata Campbell, semalam.

Cervellino akan dibicarakan 28 Ogos depan.

Dia bagaimanapun tidak berdepan dengan sebarang tuduhan berkait dengan dadah.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Pengemis miliki RM26,000

Posted: 16 Jul 2014 09:22 AM PDT

Khorfakkan: Seorang pengemis warga Bangladesh yang ditahan oleh pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) didakwa memiliki wang sebanyak Dh30,000 (RM26,000) ) ketika ditahan dalam satu operasi membanteras peminta sedekah.

Dia adalah antara beberapa pengemis yang ditangkap dalam operasi berasingan di seluruh timur UAE sejak Ramadan bermula.

Apabila polis memeriksanya, mereka menemui hampir Dh30,000 yang dikumpulnya hasil aktiviti mengemis yang di bandar itu.

Polis turut menemui laporan kesihatan palsu yang digunakan lelaki berkenaan bagi menarik simpati orang ramai.


Namun tidak dapat dipastikan sama ada wang berkenaan dikumpulkannya dalam masa sehari. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Pihak berkuasa Fukang takut mancis

Posted: 16 Jul 2014 09:22 AM PDT

Fukang: Pihak berkuasa bandar di barat Xinjiang mengharamkan mancis dan bertindak memusnahkan lebih 20,000 kotak mancis sebagai usaha 'menentang keganasan.'

Fukang yang terletak berhampiran Urumqi, ibu negeri Xinjiang, mengambil langkah menghapuskan semua mancis di bandar berkenaan bagi memastikan ia tidak digunakan oleh 'kumpulan pejuang atau individu' untuk menjalankan aktiviti jenayah.

Setakat ini polis sudah memusnahkan 20,223 kotak mancis bagi memastikan bandar raya berkenaan kekal aman.

Polis daerah mengumumkan secara rasmi minggu lalu mengenai pengharaman ini.


Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak menjelaskan bagaimana mancis boleh digunakan dalam aktiviti jenayah.


China mengambil tindakan tegas setelah beberapa keganasan meletus di Xinjiang, wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Taufan ragut 11 nyawa

Posted: 16 Jul 2014 09:20 AM PDT

Manila: Taufan Rammasun menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang maut dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kebanyakan kawasan semalam namun ibu negara Filipina serta wilayah utara negara itu terselamat daripada bencana berkenaan apabila kelajuan angin menurun.

Namun angin dengan kelajuan 150 kilometer sejam itu menyebabkan banyak pokok tumbang serta kerosakan lain di seluruh Manila yang didiami kira-kira 12 juta penduduk.

Pejabat kerajaan dan sekolah pula ditutup, manakala lebih 370,000 orang dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi ke pusat perlindungan di enam wilayah.

Di kawasan setinggan di pinggi Manila Bay, ratusan orang bertempiaran lari apabila angin kencang menerbangkan bumbung rumah daif mereka dan mereka kebanyakannya basah kuyup sebelum sempat tiba di tempat perlindungan dengan bantuan anggota bomba serta penyelamat.

Foto

PENGHUNI setinggan di Baseco menyelamatkan diri daripada taufan di Manila.

Foto

ORANG ramai meredah banjir yang berlaku akibat angin kencang dan hujan lebat dibawa taufan Rammasun di kawasan setinggan Tondo, Manila.

Foto

ANGGOTA bomba membuang dahan pokok yang patah dan menimpa dua kereta di Makati City, timur Manila.


Datuk Bandar Manila, Joseph Estrada berkata, dia lega kerana tiada kematian dilaporkan.


"Ia seperti dalam latihan apabila kami memindahkan orang ramai jauh dari kawasan berbahaya - sama ada mereka suka atau tidak,"katanya.

Di kawasan lain, seorang wanita meninggal dunia selepas ditimpa tiang elektrik di wilayah Samar Utara, manakala dua lelaki lain - termasuk seorang sedang mengayuh basikal - maut ditimpa pokok dalam kejadian berasingan dua wilayah lain.

Tiga sekeluarga pula terbunuh apabila mereka ditimpa tembok yang runtuh di bandar Lucena, tenggara Manila.

Seorang lagi mangsa ialah bayi lelaki berusia 11 bulan yang terbunuh ditimpa dinding rumah di wilayah Cavite dekat Manila.

Sementara itu tiga nelayan dilaporkan hilang di Catanduanes dekat wilayah Albay - tempat taufan Rammasun bermula lewat kelmarin.

Sehingga petang semalam (waktu Malaysia) belum ada anggaran kerugan dialami penduduk yang mengalami gangguan bekalan elektrik serta sambungan telefon.

Dengan kenangan bencana taufan Haiyan tahun lalu masih kuat di ingatan, pegawai berkata, 373,000 orang segera berpindah ke tempat selamat selepas diarah berbuat demikian sebagai langkah mengelak bencana.

Datuk Bandar Polangui, Cherilie Mella Sampal berkata, 10,000 daripada 80,000 penduduk di bandar Albay - kira-kira 340 kilometer di tenggara Manila - dipindahkan sebelum taufan melanda kelmarin.

Kata Cherilie, dia sendiri melihat angin kencang menumbangkan tiang elektrik serta menerbangkan bumbung rumah.

"Penduduk setempat bimbang selepas menyaksikan taufan Haiyan November lalu," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Anak Ahmad Dhani didapati tak bersalah

Posted: 16 Jul 2014 09:17 AM PDT

Jakarta: Mahkamah Jakarta Timur semalam menetapkan anak penyanyi kumpulan Dewa19, Ahmad Dhani, bebas daripada sabitan tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Ahmad Abdul Qadir Jilani - atau lebih dikenali sebagai Dul - sebelum ini dihukum penjara setahun serta tempoh percubaan dua tahun kerana kesalahan menyebabkan kemalangan maut pada September tahun lalu.

Anak pasangan Ahmad Dhani - Maia Estianty itu bernasib baik selepas hakim memberi pertimbangan kepada beberapa aspek sebelum membuat keputusan itu.

Ketua hakim, Petriyanti berkata, aspek pertama diambil kira ialah usia Dul yang baru 13 tahun dan bukan anak nakal.


"Dia hanya kurang perhatian, kasih sayang dan pengawasan ibu bapa.


"Mahkamah juga mengambil kira bahawa keluarga terdakwa mencapai kata sepakat untuk berdamai serta berjanji lebih memberi perhatian kepada kanak-kanak terbabit," katanya.

Sepanjang sidang itu juga, kata Petriyanti, pihaknya melihat Dul seorang anak yang sopan serta berbudi pekerti baik.

Justeru, katanya, jika Dul diberi bimbingan dia boleh berubah menjadi lebih baik.

"Jika dia dihukum penjara, ia akan memberi kesan negatif kepadanya pada masa depan," katanya, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Jokowi bakal presiden

Posted: 16 Jul 2014 09:16 AM PDT

Jakarta: Joko Widodo (Jokowi) dilihat akan terpilih sebagai presiden baru Indonesia - berdasarkan keputusan sulit 80 peratus undi yang sudah dikira ketika pesaingnya, Prabowo Subianto mengecam beberapa pihak termasuk akhbar bahasa Inggeris terbesar di negara itu.

Komisi Pemilihan Umum (KPU) dijadual membuat pengumuman rasmi keputusan pemilihan presiden pada Selasa depan tetapi sejumlah kumpulan persendirian menyiarkan keputusan awal kiraan berkenaan.

Satu daripadanya ialah kumpulan Kawal Pemilu 2014 (melalui laman sesawang www.kawalpemilu.org) yang mendakwa Joko Widodo berada di depan dengan memungut 53 peratus undi.

Pentadbir pertubuhan berkenaan, Elisa Sutanudjaja berkata, keputusan terbabit diperoleh berdasarkan data umum yang didedahkan KPU, namun mengakui berlaku beberapa masalah teknikal sehingga tidak semua dokumen dimuat naik di laman sesawang dengan tepat.


Sementara itu pegawai KPU enggan memberi komen terhadap kesahihan data berkenaan.


Beberapa sampel kiraan awal hasil pemilihan pada 9 Julai lalu itu juga membayangkan Jokowi mengatasi Prabowo - secara tipis tetapi meyakinkan.

Namun dua agensi pemantau yang mendakwa Jokowi menang minggu lalu enggan membenarkan mereka diaudit.

Bagi Prabowo pula, bekas jeneral tentera elit Suharto itu mendakwa kiraan awal beberapa firma swasta menunjukkan dia mengatasi Jokowi.

Kedua-dua pihak bagaimanapun bersependapat bahawa ada kemungkinan lawan masing-masing cuba melakukan penipuan serta wujud beberapa laporan penyelewengan di beberapa kawasan.

Penganalisis pula berpendapat, disebabkan jumlah undi yang amat besar - iaitu kira-kira 130 juta - hampir mustahil keputusan berkenaan dapat disahkan tepat sepenuhnya.

Dalam perkembangan berkaitan Prabowo mengecam media yang dianggapnya memihak kepada Jokowi.

Satu klip video beredar di media sosial menunjukkan Prabowo mengkritik serta mengecam akhbar Jakarta Post kerana tidak menyiarkan rencana mengenai dirinya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Taruhan hebat Ahmad Dhani

Posted: 16 Jul 2014 09:15 AM PDT

Jakarta: Ketika kehangatan pemilihan presiden mengendur sedikit kerana demam Piala Dunia dan seranan tentera Zionis ke atas Gaza, tweet Ahmad Dhani pantas mengingatkan orang ramai kepada persaingan merebut jawatan utama Indonesia.

Pengasas kumpulan Dewa19 itu memang diketahui menjadi penyokong kuat Prabowo Subianto.

Pada 23 Jun lalu Ahmad Dhani menyatakan untuk memotong kemaluannya jika Joko Widodo - Jusuf Kalla memenangi pemilihan presiden kali ini.

"Saya akan potong kemaluan saya kalau Jokowi bisa menang dari Prabowo Subianto!! Itu sumpah saya!!"

Foto


Tweet itu kemudian diulang siar ramai pengguna Twitter di seluruh dunia.


Bagaimanapun kenyataan itu tidak lagi dapat dikesan kerana dipercayai sudah dipadam tetapi beberapa pihak bertindak merakam imej itu.

Walaupun tertulis dari akaun Ahmad Dhani, namun belum diketahui apakah tweet itu benar-benar ditulis pencipta lagu itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Prabowo sedia terima apa sahaja keputusan

Posted: 16 Jul 2014 09:10 AM PDT

Jakarta: Sambil mengecam keyakinan Joko Widodo dan pasukannya untuk memenangi pemilihan presiden kali ini Prabowo Subianto menyatakan keterbukaan terhadap apa saja keputusan yang akan timbul.

"Wartawan asing bertanya saya berkali-kali sama ada saya bersedia menerima keputusan yang bakal diumum pada 22 Julai ini.

"Saya katakan kepada mereka bahawa saya memang sudah bersedia kerana kami menghormati apa saja keputusan rakyat - sama ada kami menang atau kalah.

"Namun saya tidak pernah mendengar keterbukaan sama dibuat pihak lawan," katanya, semalam.


Buat masa ini, kata Prabowo, pihaknya akan menunggu keputusan akhir dan berharap rakyat terus bertenang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

No comments:

Post a Comment