Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Wei Feng makin matang

Posted: 06 Jul 2014 11:02 AM PDT

Kuala Lumpur: Tumpuan kini terarah kepada Chong Wei Feng di Sukan Komanwel selepas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terpaksa menarik diri akibat kecederaan dengan pemain kelahiran Alor Setar itu mengakui sudah bersedia menggalas tugas berat diamanahkan.

Situasi ini mirip Sukan SEA Myanmar apabila Wei Feng diberi tanggungjawab membawa pulang pingat emas perseorangan lelaki namun gagal selepas terkandas di pusingan pertama.

"Saya sudah banyak belajar tanggungjawab menggalas tugas sebagai pemain harapan termasuk di Sukan SEA Myanmar tahun lalu," katanya.

Pemain nombor 19 dunia itu berkata, dia sudah mula membiasakan diri sebagai pemain harapan kerana satu hari nanti Chong Wei pasti bersara dan dia akan menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan nombor satu negara.

Foto

WEI Feng cemerlang di Piala Thomas.


"Saya harus belajar menyerap tekanan dan memikul beban kerana satu hari nanti kita tahu Chong Wei akan bersara juga.


"Di Sukan Komanwel saya tetap dengan sasaran mara ke final kerana mahu mempertahankan emas negara," katanya.

Jumaat lalu, Chong Wei terpaksa menarik diri dari Sukan Komanwel kerana kecederaan otot berulang seterusnya terlepas peluang mencatat emas hatrik di temasya itu.

Bagaimanapun, Wei Feng yang beraksi cemerlang di Piala Thomas lalu selepas membantu Malaysia mara ke perlawanan akhir, mengakui keyakinannya juga semakin tinggi.

"Ketiadaan Chong Wei menyebabkan saingan terbuka dengan pasukan atau pemain lain mampu mencabar dalam acara individu dan berpasukan, tetapi kami akan cuba sebaik mungkin," katanya.

Skuad badminton negara berlepas ke Glasgow Sabtu depan dalam usaha mempertahankan empat emas dimenangi di New Delhi pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Yakin 'orang kita'

Posted: 06 Jul 2014 10:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) Datuk Khaidir Buyung menyifatkan pemilihan Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih kebangsaan sebagai keputusan terbaik dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) namun menekankan kejayaan tidak boleh diraih dengan sekelip mata.

Beliau yang menyokong penuh keputusan FAM memberi kepercayaan kepada jurulatih tempatan dan bukannya kepada orang luar berkata, Dollah perlukan masa untuk membentuk pasukan walaupun kemampuannya sebagai pengendali Harimau Malaya bakal diuji pada Piala AFF pada November.

"Pelantikan Dollah sebagai ketua jurulatih kebangsaan pemilihan terbaik FAM. Kita perlu percaya dengan jurulatih tempatan dan Dollah mempunyai rekod baik bukan saja sebagai jurulatih malah pemain sebelum ini.

"Kita perlu faham, jurulatih luar memang bagus tapi mahal. Sasaran terdekat kita Piala AFF dan dengan tempoh beberapa bulan saja lagi, lebih baik tugas itu diberikan kepada jurulatih tempatan kerana mereka sudah mengenali pemain dan perkembangan semasa pasukan," katanya kepada Arena Metro semalam.

Foto

DOLLAH (tengah) lebih kenal pemain tempatan.


Segala persoalan mengenai kedudukan jurulatih Harimau Malaya terjawab selepas FAM mengumumkan mahu menawarkan kontrak dua tahun kepada pengendali pasukan juara Liga Perdana Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu untuk menggantikan tempat Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu.


Walaupun berlaku sedikit masalah berikutan kontraknya bersama pasukan juara Liga Perdana PDRM hanya tamat November, namun persetujuan bersama berjaya dicapai dan pengendali berusia 50 tahun itu bakal melaporkan diri di Wisma FAM hari ini.

Pelantikan Dollah dilihat bertentangan dengan hasrat FAM yang pada awalnya berhasrat mendapatkan khidmat jurulatih import namun dua calon terakhir dari Jerman, Wolfgang Sidka dan Gert Engels terpaksa diketepikan dengan alasan kesuntukan masa untuk membuat persiapan Piala AFF.

Akhirnya, FAM memberi kepercayaan kepada Dollah yang sudah membuktikan kehebatannya di peringkat domestik dengan membimbing tiga pasukan Selangor MPPJ, Selangor dan Pahang menjuarai Piala Malaysia.

"Ini bukan soal Piala AFF, tapi yang penting skuad kebangsaan sudah mempunyai jurulatih sekarang. Kita belum nampak lagi apa perubahan yang akan dilakukan, tapi setiap jurulatih ada kelebihan dan kekurangan, sama-samalah kita bantu. Berilah beliau sedikit masa untuk mempersiapkan diri dan pasukan," kata Khaidir.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Separuh akhir sasaran Gladiators

Posted: 06 Jul 2014 10:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Kata-kata azimat pahlawan Iban 'Agi Idup Agi Ngelaban' bakal menjadi kekuatan tambahan setiap pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila bersedia melakukan kejutan dalam kempen Piala Malaysia bulan depan.

Selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-10 dalam kancah Liga Super musim ini, skuad kendalian B Sathianathan tekad bangkit mempamerkan aksi lebih konsisten dengan melakukan persiapan lebih rapi apabila bakal diuji dalam dua perlawanan persahabatan bertemu Harimau Muda B pada 12 Julai dan diikuti pertemuan dengan kelab Australia, Perth Glory FC, 23 Julai ini.

"Selepas pemain menunjukkan semangat luar biasa ibarat pahlawan dalam lima perlawanan liga yang mengesahkan tempat kami dalam Liga Super, saya kini mencabar mereka mengekalkan semangat sama bagi Piala Malaysia.

"Pemain menyahut baik cabaran saya dan mereka berazam membuat kejutan.

Oleh itu, kami sudah merancang mengadakan beberapa aksi persahabatan dengan kelab dari luar liga kita.

"Saya sengaja mencari pasukan yang lebih kompetitif seperti Harimau Muda B dan Perth Glory bagi memberi cabaran lebih hebat kepada pemain selepas kami agak hambar dalam saingan liga.

"Harimau Muda B bermain di Liga Singapura, manakala Perth dari Liga Australia.

Saya percaya apabila kami bermain dengan dua pasukan berbeza yang memiliki corak permainan berlainan mampu meningkatkan tempo aksi ke tahap lebih baik," katanya ketika dihubungi, semalam.

Malah, skuad digelar The Gladiators itu menerima perkhabaran gembira selepas beberapa tonggak senior yang diketepikan ketika saingan Liga Super akibat masalah kecederaan dilaporkan cergas sepenuhnya menjelang aksi Piala Malaysia.

"Saya sedikit lega apabila tiga pemain senior dijangka pulih daripada kecederaan.


Hairuddin Omar, Ahmad Fauzi Saari dan Irwan Fadzli Idrus akan kembali bersama pasukan.

"Kehadiran ketiga-tiga pemain ini menyebabkan saya yakin sasaran kami melangkah sekurang-kurangnya ke separuh akhir boleh tercapai dengan syarat tiada lagi masalah kecederaan menimpa pemain selepas ini," katanya.

Pertemuan dengan Harimau Muda B dijangka berlangsung di Stadium Mini Tentera Udara Subang manakala perlawanan kedua diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya dengan kedua-dua perlawanan bermula jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Persija uji Tok Gajah

Posted: 06 Jul 2014 10:57 AM PDT

Kuantan: Sebagai pra persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia terutama mempertahankan kejuaraan dimenangi musim lalu, Pahang akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab Indonesia, Persija pada 19 Julai ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) Fuzzeimi Ibrahim berkata, aksi persahabatan itu dijadual berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, pada jam 10 malam.

Menurutnya, dengan perlawanan itu nanti, pihaknya percaya skuad kendalian Zainal Abidin Hassan (gambar) akan membentuk pasukan mantap menjelang kempen Piala Malaysia Ogos depan.

"Kami akan menilai kemampuan dan prestasi pemain untuk berdepan cabaran getir terutama mempertahankan kejuaraan dimenangi musim lalu.

"Bukan aksi persahabatan dengan Persija saja, malah beberapa perlawanan lain akan diatur untuk memastikan Pahang bersedia meng harungi cabaran selaku juara bertahan," katanya.

Fuzzeimi berkata, aksi persahabatan itu diadakan selepas menerima permohonan daripada kelab dari Indonesia itu baru-baru ini.

Menurutnya, sebagai persediaan menghadapi Piala Malaysia, pihaknya mengalu-alukan kedatangan Persija kerana ia memberi peluang kepada Pahang menguji pemain.

"Kami percaya ia peluang terbaik pemain untuk menilai prestasi kerana semua pemain baru saja menjalani sesi latihan semalam (kelmarin)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Mohd Izwan pilihan ke Sukan Komanwel

Posted: 06 Jul 2014 10:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Kekecewaan tidak terpilih beraksi di Piala Dunia di The Hague, Belanda memberi suntikan semangat buat Mohd Izwan Firdaus Tajuddin (gambar) apabila namanya kini mendapat perhatian barisan kejurulatihan skuad hoki negara bagi persiapan ke Sukan Komanwel Glasgow pada 23 Julai hingga 3 Ogos.

Ketua jurulatih kebangsaan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ketika dihubungi semalam, sempat memuji aksi bertenaga pemain itu dan memberi bayangan sedia memilih semula Izwan Firdaus bagi memperkuatkan cabaran negara di temasya sukan kedua terbesar dunia selepas Olimpik itu.

Malah, Dhaarma menyifatkan persembahan ala yo-yo dipersembahkan pemain itu sebelum bertolak ke Belanda menjadi punca Izwan Firdaus tidak tersenarai dalam skuad 23 pemain yang menamatkan kempen di kedudukan terakhir saingan Piala Dunia bulan lalu.

"Saya terkejut dengan prestasinya.

Agak luar biasa, tapi sebelum Piala Dunia nampak tidak menjadi, sebab itulah saya terpaksa ketepikan dia.

"Namun untuk Komanwel, nampaknya peluang dia berada dalam pasukan agak tinggi.

Malah, sejak mula menjalani latihan selepas balik daripada Piala Dunia, dia antara pemain paling menarik perhatian saya," kata jurulatih terbaik negara 2013 itu.

Foto


Sementara itu, Izwan Firdaus, 25, yang berasal dari Pulau Pinang itu mengakui prestasi baik ketika ini berpunca daripada usaha menjalani latihan secara bersendirian sepanjang tempoh dua minggu ketika rakan-rakan lain berjuang di Piala Dunia lalu.

Kerajinannya meluangkan masa hampir dua jam setiap hari berjoging dan menjalani latihan fizikal ringan di persisiran pantai berhampiran rumahnya di Butterworth, mula menampakkan hasil apabila corak permainannya mula meningkat.

"Saya akui sebelum Piala Dunia tempoh hari, prestasi saya kurang memberangsangkan sepanjang latihan hingga membawa kepada penurunan keyakinan.

"Mungkin sebab terlalu kecewa tidak terpilih membarisi skuad negara di pentas Piala Dunia itu, menyebabkan saya mahu bangkit dan cuba memburu tempat ke Sukan Komenwel dan Sukan Asia Incheon.

"Walaupun tidak disenaraikan, ia sama sekali tidak melunturkan semangat saya malah menjadi perangsang tambahan untuk cuba merebut tempat," kata penyerang yang mewakili Sapura dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Lerai kekusutan

Posted: 06 Jul 2014 10:55 AM PDT

Kuala Lumpur: Presiden Kelab Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepak Takraw Malaysia Rommi Suhendra Norsal menggesa Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) bertindak segera bagi meleraikan kekusutan yang membayangi salah satu ahli gabungannya, Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (PESTAK).

PESTAK kini dilihat mempunyai dua jawatankuasa yang mengendalikan badan induk negeri itu selepas berlangsung pemilihan pucuk kepimpinan baru pertengahan bulan lalu yang diketuai Datuk Mohd Yusuf Ismail.

Namun jawatankuasa lama diketuai Naib Presiden 1 PESTAK Aiman Mohd Noor mendakwa pemilihan kepimpinan baru pada pertengahan bulan lalu tidak sah kerana tidak semua ahli gabungan dipanggil untuk menghadirinya.

Malah Aiman mendakwa kekalutan yang berlaku di PESTAK mempunyai kaitan dengan pemilihan pucuk pimpinan PSM dijadual berlangsung bulan depan.

"Saya harap PSM tampil menyelesaikan masalah ini secara profesional kerana secara tidak langsung jika tidak ditangani dengan segera, ia bakal memburukkan imej sepak takraw negara yang sememangnya menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini.

PSM tidak boleh berdiam diri saja kerana terdapat pihak yang tidak puas hati terhadap pemilihan kepimpinan baru PESTAK.

"PPS juga diharap mampu bertindak menyiasat perkara berbangkit mengikut peruntukan yang ada bagi memastikan kepimpinan dipilih, telus dan tepat," kata Rommi yang juga bekas tekong negara.

Rommi mengakui kecewa dengan perkembangan yang berlaku kerana tumpuan seharusnya diberikan kepada pemilihan kepimpinan baru PSM bagi melonjakkan semula sukan tradisi berkenaan ke landasan kejayaan.

"Saya turut merasakan perkara ini mempunyai kaitan dengan pemilihan PSM bulan depan," katanya.

Aiman mendakwa sesetengah ahli jawatankuasa lama tidak dimaklumkan mengenai pemilihan PESTAK itu dan pemilihan jawatankuasa baru menyebabkan beliau dipecat sebagai Ahli Majlis PSM sekali gus tidak boleh mengundi dalam memilih pucuk pimpinan PSM.

"Malah saya melihat pemecatan (Aiman) menerusi aplikasi Whatsapp menunjukkan PSM tidak profesional," katanya.

Rommi serta sejumlah bekas pemain negara sejak awal tahun ini bergerak aktif bagi mengubah kepimpinan PSM yang disifatkan mereka gagal selepas kegagalan berterusan di pentas antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Ombak FC juara Piala Presiden TMS

Posted: 06 Jul 2014 10:54 AM PDT

Seremban: Jaringan tunggal Amierul Noor Azizan pada lima minit terakhir perlawanan membolehkan Ombak FC dari Kuala Lumpur menewaskan Sekolah Sukan Negeri Sembilan (SSNS) 1-0 untuk muncul juara Piala Presiden TMS Old Boys Bawah 14 Tahun 2014 di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), baru-baru ini.

Kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan bertenaga sepanjang tempoh 85 minit, tapi peluang jaringan gagal disempurnakan barisan depan pasukan masing-masing.

Namun hantaran lintang Muhd Zubair Zaharuddin disambar kemas Amierul yang seterusnya menolak masuk bola menewaskan penjaga gol SSNS.

Kejayaan itu membolehkan skuad itu membawa pulang trofi kejuaraan dan piala iringan berserta barangan sukan.

Ombak FC turut meraih kejayaan berganda apabila Amierul dinobat pemain terbaik perlawanan manakala Muhd Zubair pemain harapan terbaik kejohanan.

"Saya puas hati dengan kejayaan ini selepas terpaksa bekerja keras mencari gol kemenangan.

Kejayaan ini hasil kesungguhan rakan sepasukan dan kami amat gembira kerana mampu memberikan saingan sengit," kata Amierul yang meminati dan mahu mengikut jejak pemain Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha.

Sementara itu, Pengerusi kejohanan Mohd Nor Azam Abdullah berkata, 16 pasukan dari Negeri Sembilan dan kawasan Lembah Klang menyertai kejohanan tahunan kali kedua dianjur TMS Old Boys dan Yayasan CIMB.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Shah Alam meriah!

Posted: 06 Jul 2014 10:52 AM PDT

Shah Alam: Suasana di Restoran Hakim Seksyen 7, di sini, meriah dengan kehadiran kira-kira 2,000 peminat bola sepak untuk menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia 2014 sempena Program Sorak Goool! Harian Metro (HM), di sini, malam kelmarin.

Sekitar jam 10 malam, peminat bola sepak mula memenuhi ruang restoran itu dan mengambil kesempatan mengunjungi tiga gerai utama, Sorak Goool! HM, Milo Hidup Bola dan U Mobile.

Gerai Sorak Goool! HM menyediakan barangan kepada 300 pengunjung pertama selain menjual baju Sorak Goool! dengan harga RM20 sehelai.

Gerai Milo juga meriah kerana pengunjung berpeluang mendapat patung figura legenda bola sepak dunia dengan bermain permainan yang disediakan di khemah berkenaan selain penaja bersama U Mobile.

Foto

SUASANA di Restoran Hakim Seksyen 7 sempena Program Sorak Goool! Harian Metro.

Foto

GELAGAT pengunjung pada Program Sorak Goool! Harian Metro.


Kemeriahan program diserikan lagi dengan kehadiran pelakon dan ahli Kumpulan KRU Yusry Abdul Halim bersama isteri dan pelakon terkenal, Lisa Surihani yang turut bersama peminat menonton aksi Argentina menentang Belgium.


Sepanjang kemeriahan program berlangsung, Yusry dan Lisa sempat bermesra dengan mereka yang hadir selain berkesempatan mengambil gambar 'selfie' bersama peminat selain menurunkan tandatangan di bola yang dihadiahkan kepada pengunjung bertuah.

Bagi memeriahkan perlawanan tumpuan antara Argentina dan Belgium itu, turut diadakan kuiz berkaitan program malam itu serta Piala Dunia dengan pengunjung yang menjawab tepat berpeluang mendapat barangan Sorak Goool! HM.

Pengunjung yang datang dengan tiga keratan akhbar HM diberi keutamaan untuk berselfie menggunakan 'Fotobox' yang disediakan di gerai penaja utama program Milo.

Ketika perlawanan berehat untuk separuh masa pertama, suasana di Restoran Hakim semakin meriah apabila diadakan pertandingan menimang bola paling lama dan lima peserta yang mengambil bahagian diberikan bola ditandatangani Yusry dan Lisa selain membawa pulang sebuah ketuhar gelombang mikro.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Medium pelbagai bangsa kongsi minat

Posted: 06 Jul 2014 10:50 AM PDT

Shah Alam: Program Sorak Goool! Harian Metro (HM) bukan saja dapat mengumpulkan peminat bola di seluruh negara, malah peminat juga berpeluang bertemu dengan selebriti terkenal tanah air selain berpeluang mendapat hadiah istimewa.

"Ia satu program yang baik untuk peminat bola dan saya harap HM akan menganjurkan lebih banyak program yang dapat mengumpulkan peminat sukan tanah air," kata pengunjung Ahmad Khairuddin Rosdi, 27.

Menurutnya, suasana menonton perlawanan Piala Dunia 2014 lebih meriah apabila peminat sukan itu dikumpulkan dalam satu tempat bagi menaikkan kehangatan negara mana yang akan memenangi kejohanan empat tahun sekali itu.

Beliau berkata, program yang dianjurkan HM ini sememangnya sesuai untuk golongan muda kerana Shah Alam mempunyai beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) selain pemilihan Restoran Hakim yang sering menjadi 'port' setiap kali perlawanan bola sepak tempatan mahupun antarabangsa.

Kelmarin, kira-kira 2,000 peminat bola sepak membanjiri ruang dan perkarangan Restoran Hakim Seksyen 7, sempena Program Sorak Goool! HM sambil menonton Piala Dunia 2014 bagi aksi suku akhir antara Argentina dan Belgium.

Peminat bola sepak yang membanjiri program berkenaan begitu teruja dengan kemeriahan demam bola sepak malah berpeluang memenangi hadiah menerusi beberapa kuiz dan permainan yang diadakan bermula jam 10 malam.

Seorang lagi pengunjung, Ahmad Fakhruddin Abdul Yamin, 28, berkata, dia sanggup datang dari Meru, Klang ke Shah Alam kerana tidak mahu ketinggalan merasai kemeriahan Program Sorak Goool! HM sambil menonton perlawanan suku akhir.

"Saya puas hati dengan program yang dianjurkan HM kerana tepat pada masanya selain ia boleh dijadikan medan peminat bola sepak untuk bertemu dan berkongsi idea serta pendapat.

"Program anjuran HM ini juga dilihat satu program yang mampu mengumpulkan segenap lapisan masyarakat tidak kira umur dan bangsa untuk sama-sama berkongsi minat dalam sukan bola sepak," katanya.

Beliau berkata, sebagai peminat bola sepak, HM diharap akan terus menganjurkan program seumpama pada masa akan datang untuk sama-sama memeriahkan suasana kempen Piala Dunia akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Hamilton cemerlang

Posted: 06 Jul 2014 10:50 AM PDT

Silverstone: Lewis Hamilton menceriakan 120,000 penyokongnya apabila mengungguli Grand Prix (GP) British di Litar Silverstone, malam tadi.

Pemandu tuan rumah berusia 29 tahun itu mengambil kesempatan daripada kegagalan rakan sepasukan di Mercedes, Nico Rosberg untuk menamatkan saingan akibat masalah kotak gear sekali gus mengurangkan kelebihan di kedudukan pendahulu kepada empat mata.

Hamilton menamatkan saingan 30 saat di depan pelumba di tempat kedua, Valtteri Bottas dari Williams yang memulakan perlumbaan di petak ke-14.

Ia kemenangan kedua Hamilton di tempat sendiri dan kelima musim ini serta ke-27 sepanjang kariernya sekali gus meletakkan namanya sebaris dengan bekas juara, Jackie Stewart dalam rekod kejayaan Formula Satu.

"Anda tidak boleh menyentuh Lewis di tempatnya," kata jurutera Hamilton menerusi radio pasukan.

"England! Saya seronok dan tidak ada perkataan yang lebih baik untuk menyatakan perasaan saya.

Maafkan saya atas apa yang berlaku semalam, tetapi hari ini anda semua memang hebat," jawab Hamilton.

Selepas majlis penyampaian hadiah, Hamilton menambah: "Ini membuktikan anda tidak boleh menyerah kalah! Perasaan saya bercampur-baur dan sudah tentu tidak mahu melihat rakan sepasukan gagal menamatkan saingan." Pemandu Australia, Daniel Ricciardo dari Red Bull menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, di depan juara 2009, Jenson Button dari McLaren, Sebastian Vettel dari Red Bull dan Fernando Alonso dari Ferrari.

Rakan sepasukan Alonso, Kimi Raikkonen kemalangan dengan Felipe Massa di pusingan pertama sekali gus mengakibatkan perlumbaan terpaksa ditangguhkan sejam.

Kedua-duanya tidak cedera, tetapi Raikkonen dilihat terhincut-hincut dan dilapor bakal menjalani ujian x-ray ke atas pergelangan kaki kanannya.

Masalah kotak gear Rosberg memuncak pada pusingan ke-29 dan kesempatan itu digunakan Hami lton mengukuhkan cengkaman sebagai pendahulu.

"Ada masalah dengan pertukaran gear," kata pemandu Jerman itu.

Foto

HAMILTON meraikan kejayaan kedua di Litar Silverstone.


"Saya akan memperlahankan jentera." Beberapa saat kemudian, perlumbaan boleh dianggap tamat buat Rosberg apabila menarik diri dan memberi ruang besar buat Hamilton untuk muncul juara.

"Jaga jentera anda sebaik mungkin," kata jurutera Hamilton ketika dia mendahului Bottas dengan kelebihan 24 saat.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

No comments:

Post a Comment