Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kejar impian

Posted: 25 Jul 2014 12:31 PM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin sudah sedia berpindah ke kelas Moto2 pada saingan MotoGP musim depan sekali gus cuba mengembalikan karier gemilangnya dalam saingan bertaraf dunia itu.

Malah pelumba pasukan Ongetta-AirAsia itu mengaku pihaknya ada mengadakan perbincangan dengan pasukan dalam kelas itu, tetapi segala-galanya bergantung kepada penaja.


"Benar, kalau ada peluang untuk ke Moto2, memang saya sudah bersedia untuk mengambil peluang itu.

"Memang ada (perbincangan). Itu saja yang boleh saya katakan setakat ini. Apapun sekiranya masih tiada rezeki untuk ke Moto2, saya akan cuba terus bersaing di Moto3," katanya.


Zulfahmi berkata, hasratnya itu bukan didorong prestasi tidak menentu musim ini, sebaliknya dia berasa sudah tiba masanya bersaing dalam kelas Moto2.


"Saya akui selepas separuh musim, ia tidak mencapai apa yang saya serta pasukan harapkan.

Foto

ZULFAHMI bersama jentera pasukan Ongetta-AirAsia.

"Pungutan 13 mata sememangnya jauh daripada sasaran kami. Tapi saya tidak putus asa dan akan cuba memperbaiki kedudukan pada baki separuh lagi perlumbaan musim ini.


"Namun, saya tetap fikir memang sudah tiba masanya untuk ke Moto2," katanya.

Zulfahmi mengakui sebelum ini dia memang pernah ditawarkan beraksi dalam kelas itu, namun menolaknya kerana masih tidak berpuas hati dengan pencapaian di Moto3.


Pelumba kelahiran Banting, Selangor itu memulakan karier dalam kelas 125cc pada 2009 hingga 2011 sebelum meneruskan kariernya dalam kelas Moto3 yang menggantikan 125cc bermula musim 2012 hingga tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Rebut 'jaga' Chelsea

Posted: 25 Jul 2014 12:30 PM PDT

London: Penjaga gol Chelsea Petr Cech tidak mahu menjadi pemain simpanan musim ini selepas pengurus Jose Mourinho membawa kembali Thibaut Courtois dari Atletico Madrid selepas pinjaman jangka panjang.

"Setiap tahun akan ada cabaran. Jika anda ingin berada dalam pasukan anda perlu melakukan yang lebih baik daripada pemain lain," kata Cech, 32, kepada wartawan ketika jelajah pramusim Chelsea di Austria.

"Saya tidak mahu berada di bangku simpanan. Sebab itu saya cuba melakukan apa yang terdaya untuk berada dalam pasukan ini. Saya tidak mahu bercakap mengenai jika dan tetapi. Kita tunggu dan lihat dulu apa yang akan terjadi."

Mourinho minggu ini memuji pemain antarabangsa Belgium berusia 22 tahun, Courtois, yang menghabiskan masa tiga tahun di Atletico, sebagai penjaga gol muda terbaik dunia.


Beliau menekankan mahu terus mengekalkan Cech dan menyatakan sekalipun penjaga gol itu tidak gembira tetapi menekankan 'penyokong Chelsea akan bergembira dan mereka lebih penting berbanding sebarang pemain.'


Cech yang terlepas aksi penghujung musim lalu kerana bahu terseliuh, kembali beraksi ketika seri 1-1 dengan Wolfsberger dalam aksi persahabatan di Austria, Rabu lalu.
"Sudah pasti Mourinho akan membuat pilihan dan menentukan kesebelasan utama pasukannya selepas aksi pertama, kedua, ketiga dan selepasnya," kata Cech.
'Terpulang kepada pemain untuk menunjukkan sama ada mereka sudah bersedia untuk beraksi dan membuatkan beliau memilih kami.

"Saya juga tidak terkecuali dan akan melakukan apa yang terdaya agar beliau memilih saya," kata penjaga gol Republik Czech itu yang sudah berada di Chelsea selama 10 tahun. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Mourinho sedia ikat Drogba

Posted: 25 Jul 2014 12:30 PM PDT

London: Pengurus Chelsea Jose Mourinho semalam mendedahkan beliau bersedia membawa semula bekas penyerang Didier Drogba ke kelab London itu selepas kontraknya bersama Galatasaray tamat.

"Kami akan berbincang mengenai perkara itu," kata Mourinho kepada beberapa akhbar British.


"Kami mahu memenangi banyak perlawanan dan kejuaraan. Didier salah seorang penyerang terbaik di Eropah. Dia masih boleh beraksi dalam Liga Perdana dan kami sedang memikirkan mengenainya." Drogba, 36, menjaringkan 157 gol ketika beraksi di Stamford Bridge selama lapan tahun, termasuk jaringan penyamaan dan kemudian sepakan penalti kemenangan ketika menentang Bayern Munich di final Liga Juara-Juara 2012.

Selepas mewakili kelab China Shanghai Shenua, dia menyarung jersi Galatasaray pada Januari 2013 namun meninggalkan kelab itu apabila kontraknya berakhir pada hujung musim lalu.


Media British melaporkan Drogba dijangka ditawarkan tugas jurulatih di Chelsea namun Mourinho menyatakan seandainya bintang Ivory Coast itu pulang, dia akan bermain.


"Jika anda membawanya ke sini, ia bukan kerana dia Didier atau pernah menjaringkan gol penting dalam sejarah Chelsea atau saya perlukan penolong, tidak," katanya "Jika saya membawa dia semula dan keputusan perlu dibuat awal, ia kerana dia mempunyai kualiti yang boleh membuatkan pasukan lebih mantap.

"Pasukan ini bukan hanya 11 pemain. Ia mengenai pilihan pemain yang ada dan dengan Didier sebagai pemain, saya fikir dia boleh menjadi tonggak penting untuk mana-mana pasukan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Jelajah bikin penat

Posted: 25 Jul 2014 12:29 PM PDT

New York: Pengurus Arsenal Arsene Wenger bersetuju dengan kenyataan jurulatih baru Manchester United Louis van Gaal yang mengkritik permintaan untuk mengadakan jelajah pra-musim.

Wenger berkata, mustahil bagi mana-mana jurulatih menyiapkan pasukan dengan sempurna menjelang kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan bermula 16 Ogos, berikutan jadual pramusim selain masalah pemain baru kembali dari tugas Piala Dunia.


Arsenal berada di Amerika Syarikat (AS) untuk perlawanan persahabatan menentang kelab Major League Soccer (MLS) New York Red Bulls sebelum berlepas ke Austria untuk kem latihan dan kembali ke London bagi saingan Piala Emirates.

"Kem latihan era moden dibuat atas dasar komersial dan kerana tahap populariti kelab.


"Kami tidak pernah ke AS sebelum ini dan saya sangat gembira datang ke New York.


"Bagaimanapun dari segi ketulenan bola sepak, perkara paling berkesan adalah tidak berkunjung ke mana-mana kerana banyak masa akan terbuang dan pasti berlaku gangguan perbezaan waktu," katanya.

Kebanyakan pemain Arsenal mempunyai tugas di peringkat antarabangsa terutama saingan Piala Dunia dan Wenger menekankan kesukaran pemainnya mencari sentuhan kempen domestik dalam tempoh yang singkat selepas kembali dari kejohanan itu.


"Musim ini ramai terbabit dengan Piala Dunia dan sangat sukar kerana tempohnya terlalu singkat antara perlawanan akhir, iaitu pada 13 Julai manakala saingan musim baru EPL bermula 16 Ogos.

"Memang ia peraturan wajib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk memberi pemain rehat selama empat minggu, saya tidak tahu bagaimana untuk mereka bekerjasama. Bagi saya ia sangat mustahil," katanya.


Komen Wenger hadir sehari selepas Van Gaal berkata jelajah pra-musim Manchester United dibuat berdasarkan tarikan komersial kelab.


United mengalahkan Los Angeles Galaxy 7-0 Rabu lalu dan akan bertemu Washington serta Detroit di Denver.


Pasukan bimbingan Van Gaal mempunyai potensi untuk bermain perlawanan kelima pada 4 Ogos, kurang dua minggu sebelum sepak mula EPL di gelanggang sendiri menentang Swansea City pada 16 Ogos.


"Lebih kurang," kata Van Gaal kepada media Britain selepas ditanya adakah permintaan mengadakan perlawanan pra-musim mengganggu persiapannya.


"Kami harus mempersiapkan diri untuk musim baru dan apabila ada aktiviti komersial dengan jarak yang jauh, memaksa anda menaiki pesawat ia akan berlaku masalah penyesuaian waktu. Ini bukan perkara positif untuk persiapan," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Carroll terlepas aksi awal musim

Posted: 25 Jul 2014 12:29 PM PDT

London: Penyerang West Ham Andy Carroll mengumumkan akan terlepas aksi awal saingan Liga Perdana selepas mengalami kecederaan buku lali serius.

Carroll diketepikan dalam tempoh panjang musim lalu akibat kecederaan kaki dan masalah kecederaan terus menghimpit pemain antarabangsa England itu sebelum kempen baru bermula.


Pemain berusia 25 tahun yang dibeli West Ham dengan rekod bayaran tertinggi kelab £15 juta (RM81 juta) itu sudah digugurkan daripada skuad dalam dua aksi persahabatan jelajah New Zealand kerana kecederaan itu.

Bagaimanapun wujud laporan menyatakan Carroll kemungkinan terpaksa berehat hingga empat bulan selepas bekas pemain Liverpool dan Newcastle itu mengakui dia terpaksa menjalani pembedahan untuk merawat kecederaan itu.


"Saya akan menjalani pembedahan pagi esok dan kecewa kerana terlepas perlawanan awal musim!" kata Carroll dalam laman sosial Twitter semalam.


Berita buruk itu pastinya memberikan satu tamparan hebat buat pengurus skuad Hammers Sam Allardyce yang mahu memperbaiki kedudukan ke-13 Liga Perdana kelab London itu musim lalu.

Carroll mengharungi kempen cemerlang sewaktu beraksi secara pinjaman di Upton Park ketika kempen 2012-13 dan bersetuju untuk berpindah secara tetap dari Liverpool pada musim berikutnya.


Namun masalah kecederaan menyebabkan Carroll terpaksa disisihkan untuk tempoh lebih lama daripada yang dijangkakan West Ham apabila dia hanya beraksi dalam 16 perlawanan di semua kejohanan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Otak Neymar lebih bijak

Posted: 25 Jul 2014 12:28 PM PDT

Tokyo: Kajian pakar neurologi Jepun mendapati otak bintang Brazil, Neymar sekali ganda lebih bijak berbanding pemain amatur dan setiap kali membawa bola, pergerakannya seolah-olah dikawal secara automatik.

Keputusan ujian imbasan otak dijalankan ke atas Neymar, Februari lalu, mengesan fungsi serebrum otaknya yang minimum apabila dia memusing pergelangan kakinya.


"Daripada imej ujian MRI, kami dapati aktiviti otak Neymar kurang daripada 10 peratus berbanding pemain amatur," kata penyelidik Eiichi Naito.

"Ia mungkin disebabkan faktor genetik sambil dibantu corak latihan dijalaninya." Penemuan itu didedahkan dalam jurnal Frontiers in Human Neuroscience yang diterbitkan di Switzerland dan selain Neymar, beberapa atlet lain di Barcelona turut menjalani ujian sama.


Tiga pemain bola sepak divisyen dua Sepanyol serta dua perenang elit menjalani ujian sama, kata Naito dari Institut Maklumat Jepun.


Dalam laporannya, Naito menyatakan ujian itu memberikan maklumat berharga mengenai kemampuan seorang pemain bola sepak.

Ketika ditanya sama ada ujian ke atas rakan sepasukan Neymar di Barcelona, Lionel Messi atau bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mungkin menunjukkan keputusan sama, Naito berkata: "Lebih adil jika saya katakan keputusannya mungkin sama berdasarkan kepada pergerakan kaki dan teknik mereka." Naito memberitahu akhbar Jepun, Mainichi Shimbun: "Pengurangan aktiviti otak bermakna seseorang itu kurang mengalami bebanan sekali gus membolehkan mereka melakukan pelbagai gerakan dalam satu masa. Kami percaya ia menjadi punca mengapa Neymar mampu menghasilkan pelbagai aksi yang tidak boleh dilakukan pemain lain." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Sentuhan Yani kembali

Posted: 25 Jul 2014 12:28 PM PDT

Baltimore: Yani Tseng membenam birdie dari jarak 10 kaki di lubang ke-18 bagi membolehkan Taiwan mengatasi pilihan utama, Amerika Syarikat (AS) pada hari pertama Kejohanan Mahkota Antarabangsa LPGA.

Catatan Yani itu membolehkan gandingannya bersama Phoebe Yao mengatasi pasangan pemain nombor satu dunia, Stacy Lewis dan Lexi Thompson 1-0 selepas Teresa Lu dan Candie Kung menang ke atas Paula Creamer dan Cristie Kerr dengan keputusan 4-3.


"Saya rasa seolah-olah saya Yani yang dulu," kata juara lima kejohanan utama itu.

"Sudah lama saya tidak merasai perasaan sebegini. Mungkin semangat melonjak kerana saya kini mewakili negara." Pada aksi semalam, skuad AS tidak pernah mendahului Taiwan dan Paula berkata: "Ia bukan bermakna kami bermain buruk cuma mereka banyak melakukan birdie dan pukulan putt mereka juga menjadi." Mulai semalam hingga hari ini, semua aksi membabitkan acara empat bola dan kategori perseorangan akan hanya dilangsungkan esok.


AS muncul skuad pilihan selepas semua pemainnya menduduki senarai 12 terbaik dunia tetapi kini mereka berada di tangga terbawah selepas dikalahkan 4-0 oleh Taiwan yang juga pasukan di ranking terendah kejohanan.


"Saya rasa, apa yang berlaku ialah gandingan kami tidak cukup sempurna," kata Stacy. "Bukan kami saja malah pasti ada pasukan lain yang tidak mendapat mata seperti kami alami hari ini.

"Memang kecewa terutama apabila tewas di lubang terakhir sedangkan kami saling kejar-mengejar sejak lubang pertama lagi." Sementara itu, Teresa mencatat birdie di lubang ketiga, eagle di lubang keempat, par di lubang ke-12 dan birdie di lubang ke-15 sebelum menang ke atas pasangan Paula-Cristie.


"Saya tidak tahu bagaimana saya berjaya melakukannya, tapi pukulan saya semuanya menjadi," kata Teresa yang menduduki ranking ke-44 dunia.

Dalam perlawanan lain, Jepun mengatasi Sweden, 3-1 dan sama seperti AS, Sweden juga tidak berpeluang mendahului lawannya dengan Ai Miyazato serta Sakura Yokomine menewaskan Pernilla Lindberg dan Mikaela Parmalid 2-0 manakala gandingan Mika Miyazato-Mamiko Higa seri dengan Anna Nordqvist-Caroline Hedwall. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Sambut baik usaha HM

Posted: 25 Jul 2014 12:27 PM PDT

Kuala Kangsar: Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) menyambut baik usaha Harian Metro menganjurkan perlumbaan basikal lasak Harian Metro Mountain Bike GP Cuti-Cuti 1Malaysia (HMMTB GP) 2014 di Bandar Diraja itu.

Penganjuran acara sukan seperti perlumbaan basikal lasak itu sebahagian daripada usaha menggalakkan gaya hidup sihat selain menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.


Yang Dipertua MPKK Shahrom Datuk Abdul Malik berkata, pihaknya pernah menganjurkan beberapa acara sukan termasuk acara mountain bike, Mei lalu.

Menurutnya, acara dianjurkan dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Kuala Kangsar sempena Karnival 1Kuala itu mendapat sambutan memberangsangkan.


"Seperti kita tahu, sukan lumba basikal seperti mountain bike terus mendapat sambutan menggalakkan pelbagai lapisan masyarakat.


"Malah kewujudan beberapa kelab basikal di setiap daerah dan bandar termasuk Kuala Kangsar membuktikan ia mempunyai ramai pengikut," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Menurut Shahrom yang juga Pengerusi Persatuan Sukan Petanque Perak, penganjuran acara basikal lasak oleh Harian Metro dengan kerjasama Tourism Malaysia menerusi beberapa siri penganjurannya di beberapa lokasi pilihan dan seluruh negara pasti mendapat sambutan positif.


Katanya, selain menyokong acara sukan lumba basikal seperti itu, pihaknya turut menganjurkan acara Larian Sultan Azlan Shah setiap tahun. Malah acara yang mendapat sambutan menggalakkan itu akan melalui proses penjenamaan apabila akan dikenali sebagai Larian Kuala Kangsar pada tahun depan.

Menurutnya, menerusi acara sukan seperti ini ia bukan hanya memperkenalkan bandar ini malah menarik pelancong dari dalam dan luar negara.


Terdahulu Setiausaha MPKK Ismail Ibrahim dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Shuhaimi Ahmad menerima kunjungan wakil penganjur, Penyelaras Projek HMMTB GP Husain Jahit dan Pengurus Projek HM Abdul Kadir Hamza bagi mengadakan perbincangan ringkas mengenai program berkenaan.


Sirkit pertama HMMTB GP akan dianjurkan di Kuala Kangsar, Perak pada 23 dan 24 Ogos, diikuti Selangor (26-27 September), Hutan Lipur Bukit Panchor, Pulau Pinang (25-26 Oktober), Temerloh, Pahang (28-29 November) dan Melaka (27-28 Disember).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Azraai lepas jawatan

Posted: 25 Jul 2014 12:27 PM PDT

Kuala Terengganu: Pengendali T-Team Mohd Azraai Khor Abdullah membuat keputusan mengejut apabila meletak jawatan ketua jurulatih berkuat kuasa semalam sekali gus memberi tamparan hebat kepada skuad berstatus kelab itu mengharungi kempen Piala Malaysia bermula 13 Ogos ini.

Bagaimanapun penolong jurulatih Azlan Johar tidak mengikut jejak Mohd Azraai dan masih kekal bersama skuad itu dalam misi membantu pasukan dalam saingan piala berprestij itu, bertemu Selangor pada perlawanan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.


Bekas pemain sayap kebangsaan 1975 itu berkata, faktor utama beliau meletak jawatan yang disandang bermula akhir tahun lalu itu disebabkan kurang sokongan pihak pengurusan berhubung beberapa perkara.

"Selain itu kenyataan sebuah akhbar dua hari lalu yang menyatakan saya ponteng latihan tanpa sebab menjatuhkan reputasi saya sebagai jurulatih sejak mula terbabit pada 2002.


"Oleh kerana tiada sokongan pengurusan, saya mengambil keputusan meletak jawatan secara rasmi bermula hari ini (semalam) dan keputusan ini dibuat atas rasa bertanggungjawab," katanya ketika sidang akhbar di pejabat T-Team, semalam.


Bekas jurulatih Harimau Muda A itu berkata, berikutan dakwaan menyatakan beliau ponteng latihan, beliau menerima surat tunjuk dari pengurusan T-Team pada 16 Julai kerana gagal menyelia latihan.

Mengenai surat peletakan jawatan, jurulatih berasal dari Kedah berkata, beliau akan menyerahkan sendiri surat itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif T-Team Abdul Rasid Jusoh sebelum berangkat pulang ke Kedah.


Sementara itu, pengurusan T-Team tidak menjangka Mohd Azraai akan meletak jawatan serta-merta sebagai jurulatih memandangkan kontrak jurulatih itu akan berakhir pada 2015.

Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, beliau terpaksa akur dengan keputusan itu walaupun kempen Piala Malaysia semakin hampir.


"Kita sebenarnya terkejut dengan keputusan itu, tetapi pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada jurulatih itu yang membimbing pasukan sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Nafas kedua

Posted: 25 Jul 2014 12:26 PM PDT

Kuala Lumpur: Kapten kebangsaan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak menganggap satu penghormatan buat dirinya jika dipilih bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) ke Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan pada September ini.

Menurut pemain senior yang beraksi di posisi bek tengah itu, dia bersedia memberikan komitmen andai dirinya tersenarai antara tiga pemain lebih usia bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.


"Memang agak terkejut juga bila saya baca laporan akhbar nama saya ada dalam perancangan jurulatih (Kim Swee) ke Sukan Asia. Mungkin itu hanya perancangan awalnya, tapi jika dipanggil saya sentiasa bersedia.

"Soal saya senior dan akan bermain dengan pemain lebih junior bukan masalah. Saya tidak pernah membeza-bezakan diri saya dengan pemain lain. Mungkin pengalaman yang saya ada boleh membantu mereka bersaing di kejohanan itu nanti," katanya.


Berdasarkan laporan Arena Metro sebelum ini, Kim Swee mengesahkan beliau bercadang memanggil lima pemain senior bagi sesi latihan dan pemilihan skuad B-23 pada 3 September nanti.


Mengikut peraturan Sukan Asia, setiap pasukan boleh menurunkan tiga pemain berusia lebih 23 tahun.

Selain Aidil, 26, turut berada dalam pemerhatian Kim Swee S Subramaniam, 28, Brendan Gan, 26, Mohd Nor Farhan Muhammad, 29, dan Bobby Gonzales, 30.


Tiga pemain akan dipilih untuk mengisi posisi pertahanan, tengah dan penyerang menyaksikan Aidil perlu bersaing merebut tempat dengan rakan sepasukannya di Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Subramaniam.

"Saya terlepas peluang beraksi di Sukan Asia 2010 di Guangzhou kerana mengalami kecederaan lutut dan mungkin ada rezeki untuk saya kali ini. Namun saya perlu merebut tempat dengan Subra dan perlu lakukan yang terbaik," kata Aidil.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

No comments:

Post a Comment