Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Wanita maksiat

Posted: 29 Jun 2014 03:42 PM PDT

Petaling Jaya: Polis menahan 76 pekerja termasuk pelayan pelanggan (GRO) wanita warga asing selepas menyerbu sebuah pusat hiburan di Damansara Uptown di sini, malam kelmarin.

Op Noda pada jam 11 malam itu dilakukan empat pegawai dan 13 anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.
Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Abdul Ghaffar Ahmad berkata, 56 daripada GRO yang ditahan adalah warga Thailand manakala seorang Laos berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

"Siasatan polis mendapati GRO terbabit didapati mempunyai pasport lawatan, namun menyalahgunakannya untuk bekerja di pusat hiburan.
"Selain GRO terbabit, 18 pekerja lelaki warga asing iaitu enam Thailand, Bangladesh (empat), Pakistan (tiga), Nepal (tiga) dan Myanmar (dua) turut ditahan," katanya ketika ditemui malam kelmarin.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati premis itu mempunyai lesen yang sah.

Foto

ANTARA wanita warga asing yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Damansara Uptown.

"Semua pekerja warga asing yang ditahan akan diambil tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
"Seorang pengurus premis turut ditahan kerana menggaji pekerja asing tanpa permit sah manakala dua lelaki tempatan yang masing-masing bekerja sebagai pengawal dan deejay diperiksa bagi membantu siasatan, "katanya.

Sementara itu, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/30

Maut tersepit dalam kereta

Posted: 29 Jun 2014 03:39 PM PDT

Raub: Seorang lelaki maut selepas tersepit di tempat duduk apabila kereta Perodua Kancil dipandunya bertembung dengan sebuah treler membawa muatan kayu di Kilometer 363, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 pagi, Mangsa, Muhammad Fakhrullah Jamalludin, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala sebelum mayat mangsa dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Raub.


Ketua Polis Daerah Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang dalam perjalanan ke Raub dari Bentong cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya.

Menurutnya, pada masa sama, sebuah treler membawa muatan kayu yang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan bertembung dengan kereta dipandu mangsa.


Katanya, akibat pertembungan itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di kepala.


"Kemalangan itu berlaku kira-kira satu kilometer di sempadan Raub memasuki Bentong.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub (HR) untuk bedah siasat dijalankan selepas dikeluarkan anggota Bomba yang mengambil masa hampir setengah jam," katanya.


Menurutnya, pemandu treler itu berusia lingkungan 50 tahun hanya mengalami cedera ringan dan dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di Hospital Raub.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/30

Harga juadah kekal

Posted: 29 Jun 2014 03:37 PM PDT

Kuala Lumpur: Walaupun terbeban dengan kenaikan harga barang keperluan baru-baru ini, rata-rata peniaga di bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru, di sini, masih mengekalkan harga makanan seperti tahun sebelumnya.

Kebanyakan peniaga turut bimbang makanan dan minuman yang dijual tidak laku sekiranya menaikkan harga.


Tinjauan Harian Metro di sekitar bazar Ramadan Kampung Baru, semalam mendapati pelanggan lebih menumpukan perhatian terhadap gerai yang menjual lauk-pauk untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Selain lauk-pauk, kuih-muih beraneka jenis dan warna turut menjadi pilihan pengunjung selain ayam percik dan ikan bakar apabila pelanggan sanggup beratur panjang seawal jam 4.30 petang bagi mendapatkannya.

Peniaga ayam percik, Sufrihadi Mouzri, 26, berkata, sejak 14 tahun ibunya berniaga di bazar ini, mereka tidak pernah menaikkan harga makanan itu kerana mahu mengekalkan pelanggan setia.


Katanya, pelanggan akan membeli sekurang-kurangnya tiga bahagian ayam percik dari gerainya dengan setiap satunya dijual pada harga RM3.


"Selain lokasi yang mudah bagi pelanggan beratur, saya percaya bahawa ayam percik masih menjadi menu kegemaran umat Islam untuk berbuka puasa.

"Jika kami naikkan harga, pasti ada pelanggan yang merungut. Jadi biarlah kami jual pada harga yang mampu dibeli memandangkan bulan puasa pun sebulan," katanya ketika ditemui, di sini.


Pekerja swasta, Suzila Ismail, 26, berkata dia mengakui faktor masa menyebabkannya memilih untuk membeli saja juadah yang dijual di bazar Ramadan kerana sibuk bekerja.

"Makanan di bazar kini tidak terlalu mahal berbanding di restoran atau memasak di rumah kerana saya hanya mahu membeli sejenis makanan untuk berbuka puasa.


"Jika ada masa terluang, mungkin juga saya akan beli barang keperluan untuk memasak dan berbuka puasa bersama ahli keluarga yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/30

Dr Mahathir gemar makanan Minang

Posted: 29 Jun 2014 03:36 PM PDT

Kuala Lumpur: Sudah menjadi kelaziman pada bulan puasa, bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Barudi sini, menjadi lokasi utama tumpuan penduduk tempatan bagi mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa terutama masakan tradisi Melayu.

Ini terbukti apabila masakan Rendang Putih Minang menjadi antara tumpuan utama pengunjung walau terpaksa meredah hujan lebat, petang semalam.


Orang ramai juga sanggup beratur panjang dalam cuaca hujan untuk mendapatkan masakan Minang itu yang hanya dijual pada bulan Ramadan.

Peniaga, Nazirah Mohd Nor, 25, berkata, masakan ibunya itu turut menjadi kegemaran bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang pasti akan datang untuk membeli juadah itu di gerainya setiap kali puasa.


"Tun Mahathir menggemari masakan Minang terutamanya rendang putih dan sambal paru Minang.


"Kami juga ada menjual lauk kampung yang lain seperti rendang tok dan juadah itu akan habis dijual seawal jam 5 petang kerana harganya yang murah berbanding dijual di restoran," katanya ketika ditemui, di sini.

Tinjauan Harian Metro turut mendapati orang ramai sudah mula memenuhi ruang bazar Ramadan seawal jam 4.30 petang lagi bagi mendapatkan juadah berbuka puasa.


Nazirah berkata, perniagaan keluarganya itu masih mengekalkan masakan Minang dan kampung walaupun sudah 15 tahun berniaga di bazar berkenaan.

Pengunjung, Baharudin Basri, 27, berkata, dia memang menunggu ketibaan bulan Ramadan semata-mata ingin mendapatkan lauk minang di gerai berkenaan.


"Seingat saya, ibu sudah mula membeli lauk Minang di bazar ini sejak umur saya lima tahun lagi sehinggalah kini saya pula yang membelinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/30

PM kunjungi Abdul Hadi di IJN

Posted: 29 Jun 2014 03:36 PM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat mendoakan supaya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang segera sembuh supaya dapat menyambut Ramadan bersama keluarga.

Perdana Menteri melalui status terkini akaun Facebook dan Twitter memberitahu sempat meluangkan masa menziarahi Ahli Parlimen Marang itu di Institut Jantung Negara (IJN) tengah hari semalam.


Beliau turut berharap supaya Abdul Hadi yang kini menjalani pemeriksaan perubatan susulan pulih segera.

Kemesraan kedua-dua pemimpin berkenaan terserlah melalui gambar yang dimuat naik Najib.


"Alhamdulillah, kesihatan beliau bertambah baik. Marilah kita doakan agar Datuk Seri Hadi segera sembuh agar dapat beliau menyambut Ramadan bersama keluarga," kata beliau.


Abdul Hadi ketika ini menjalani pemeriksaan perubatan susulan di IJN selepas mengadu sesak nafas semasa menghadiri satu persidangan di Turki bulan lepas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/30

No comments:

Post a Comment