Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Dua askar terkorban

Posted: 03 Jul 2014 12:46 PM PDT

Kuala Kangsar: Sebuah kereta perisai milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dinaiki empat anggota tentera terbalik di Kilometer 232, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.40 petang, dua anggota tentera yang terbabit dalam kemalangan ngeri itu maut manakala dua lagi cedera parah.

Menurut sumber, dalam kejadian itu, kenderaan yang dinaiki anggota terbabit dipercayai dalam perjalanan menuruni kawasan laluan berbukit sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan serta terbalik.

"Sarjan Bayong Burmayang mengalami kecederaan teruk di seluruh anggota badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan setugasnya, Koperal Che Mohd Fatonah Che Ismail, 31, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar.

Foto

KEADAAN kereta perisai yang terbalik.


"Dua lagi anggota tentera yang cedera ialah Koperal Sharifuffin Abdullah, 36, dan Lans Koperal Fredi Barnabas, 29. Mereka kini dirawat di hospital sama," katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Ismail Darus berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada orang awam pada jam 6.46 petang.

"Ketika jentera pertama tiba di lokasi kejadian, anggota kami mendapati sebuah kereta perisai terbalik dan terdapat empat anggota tentera di dalam kenderaan berkenaan.

"Semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Merana jerat MLM

Posted: 03 Jul 2014 12:42 PM PDT

Kuala Lumpur: Akibat terpedaya dengan skim pelaburan pemasaran pelbagai peringkat (MLM), seorang wanita berusia 34 tahun menanggung kerugian lebih RM34,000 selepas tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan syarikat itu.

Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya menerima aduan wanita itu yang terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit berikutan kos latihan syarikat MLM itu.

Menurutnya, wanita itu terpaksa mengikut latihan berbayar setiap bulan yang diseliakan dan mereka turut mengarahkannya untuk mencari lebih ramai orang bawah (downline) untuk menjana pendapatan.

"Saya juga difahamkan bahawa orang bawah wanita itu turut mengalami nasib yang sama dan perlu mengikuti latihan yang dianjurkan mereka.


"Selain itu, syarikat MLM terbabit juga tidak memberi sebarang salinan dokumen yang sudah ditandatangani mangsa sebagai bukti bahawa mereka sudah didaftarkan dengan syarikat berkenaan," katanya dalam satu sidang akhbar, di sini, semalam.


Hadir sama Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO Sheikh Nafiq Alfirdaous.

Khairul berkata, kes penipuan MLM itu bukan perkara baru, malah beliau percaya ramai lagi mangsa yang mengalami nasib serupa.

Beliau berkata, semua pihak terutama anggota masyarakat perlu sedar ada segelintir pihak cuba mengaut keuntungan melalui hasil titik peluh orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

ASP bebas tuduhan terima rasuah

Posted: 03 Jul 2014 12:41 PM PDT

Shah Alam: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, membebaskan seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Asisten Superintendan (ASP) daripada tuduhan menerima rasuah membabitkan wang tunai sebanyak RM4,000, empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim, Datuk Ghazali Cha selepas meneliti dokumen pendakwaan dan pembelaan yang dikemukakan kepada mahkamah.

Ghazali dalam penghakimannya menerima rayuan pembebasan perayu, Azmi Abdullah, 56, selepas berpuas hati dengan keterangan pembelaan yang dikemukakan.

Menurutnya, kreadibiliti saksi pendakwaan yang dipanggil dalam kes berkenaan boleh dipertikaikan kerana wujud elemen yang meragukan dalam keterangan yang diberikan kepada mahkamah.

"Saya berpuas hati dengan keterangan rayuan yang dikemukakan selain pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

"Jadi saya membebaskan perayu dan wang denda sebanyak RM20,000 serta wang jaminan sebanyak RM8,000 dikembalikan semula," katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Lokman Kassim manakala Azmi diwakili peguam bela Salim Bashir.

Sepanjang perbicaraan, seramai 12 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Azmi pada Ogos 2012 dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas didapati bersalah atas tuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Azmi ketika kejadian menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dituduh menerima suapan sebanyak RM4,000 bagi meringankan kesalahan seorang lelaki yang ditahan kerana memiliki dadah.

Suapan itu didakwa sebagai suatu dorongan untuk dia menukar kesalahan yang lebih ringan terhadap rakan Ng, Mong Lin Chi yang ditangkap kerana memiliki satu tiub straw berisi dadah ketamin mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menukar ujian saringan air kencing yang positif dadah kepada negatif di bawah seksyen 15(1)(a) akta sama.

Azmi didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

'Pulanglah Along!'

Posted: 03 Jul 2014 12:35 PM PDT

Bukit Beruntung: "Kami sayu berpuasa tanpa Along sepanjang Ramadan kali ini. Pulanglah segera nak. Emak sakit jantung mengenangkan nasib kamu di negara orang," kata Rozini Talib, 49, ibu kepada Salman Al Farishi, 22, salah seorang rakyat Malaysia yang terbabit dalam gerakan militan di Syria.

Menurutnya, Along anak sulung daripada lima beradik meninggalkan mereka sejak akhir Februari lalu ke Syria bagi menyertai 'misi kemanusiaan' di sana, namun masih belum pulang.

Katanya, ketika berbuka puasa dan bersahur dia pasti menangis mengenangkan Along yang memilih pendekatan membahayakan diri sendiri itu.

"Along suka makan bubur ayam ketika berbuka puasa setiap tahun. Saya tidak berselera makan mengenangkan Along yang tidak bersama kami keluarga.

Foto


"Kami sentiasa merinduinya yang sangat periang dalam keluarga. Sambutan Ramadan tahun ini tidak bermakna," katanya yang ditemui wartawan Harian Metro di rumahnya, di Taman Bunga Raya, di sini.


Salman dilaporkan menyertai Negara Islam Iraq dan Sham (ISIS) di Syria selepas dipelawa rakannya, Ahmad Tarmimi Maliki, 26 yang berasal dari Gombak.

Sehingga kini, Rozini hanya dapat berkomunikasi dengan anaknya itu melalui media sosial (Wechat) sahaja pada sambutan Hari Bapa, 11 Mei lalu.

"Along menyatakan dia sihat di Syria. Saya pujuk dia pulang bersama keluarga dan juga menasihatkannya supaya tidak melakukan aktiviti yang membahayakan nyawanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Saring bakal pensyarah

Posted: 03 Jul 2014 12:33 PM PDT

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan sentiasa memastikan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjalankan saringan bagi menentukan semua bakal pensyarah tidak terbabit dengan militan dan aktiviti negatif.

Ketua Setiausaha II kementerian itu, Datuk Seri Zaini Ujang berkata, saringan itu termasuklah pembabitan pensyarah dalam pelbagai aktiviti sosial dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Zaini berkata, kementerian juga sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau tidak ada pensyarah di institusi pengajian tinggi mempengaruhi pelajar dengan perjuangan militan dan ekstremisme.

"Namun, ada segelintir pensyarah bergerak secara bersembunyi tanpa dikesan di peringkat universiti.

"Mereka berjaya menyembunyikan elemen militan dalam kerja harian di IPT.

Ini bermakna pemikiran militan tidak disebarkan dalam kuliah, penulisan akademik atau ketika berinteraksi sesama pensyarah dan pelajar," katanya kepada BERNAMA, semalam.

Zaini berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya Dr Mahmud Ahmad, 36, antara lima orang dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kegiatan militan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

No comments:

Post a Comment