Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Kita perlu realistik'

Posted: 21 Jul 2014 10:39 AM PDT

Glasgow: Memiliki ranking yang baik tidak semestinya menjamin kemenangan, lebih-lebih lagi dalam saingan berpasukan seperti Sukan Komanwel, kata ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David.

Dia yang ditemui di Lapangan Terbang Glasgow dari Amsterdam, semalam, berkata hanya akan memberi tumpuan kepada satu demi satu perlawanan.


"Biarpun ramai mengharapkan sebutir pingat emas dari saya, namun kita perlu realistik.

"Sukan Komanwel bukan kejohanan terbuka. Ia temasya berpasukan dan sokongan rakan menjadi kekuatan apabila turun ke gelanggang.


"Saya mungkin penyandang pingat emas dan berada dalam ranking pertama dunia, tapi di Sukan Komanwel lawan saya yang berada di ranking bawah mampu memberi saingan sengit hasil sokongan rakan sepasukan. Ini lazim dalam temasya seperti ini.


"Saya perlu letak diri saya sebagai salah seorang anggota pasukan dan bukan individu. Sudah tentu saya inginkan emas buat negara, itulah azam saya di sini," katanya.

Foto

NICOL (dua dari kiri) mahu bawa pulang emas untuk negara.

Pada temasya di Glasgow, Nicol akan mempertahankan emas acara individu selain berpasangan dengan Low Wee Wern.


Mengulas gandingan dengan Wee Wern, Nicol mengakui persefahaman penting apabila berada di gelanggang dan pemain nombor dua negara itu cukup serasi dengannya.

"Permainan Wee Wern semakin meningkat dan saya percaya gandingan kami akan menghasilkan keputusan memuaskan.


"Apapun semuanya bergantung pada hari perlawanan dan siapa lawan kami. Saya berharap dapat mengakhiri kemarau emas dalam acara beregu ini," katanya .


Nicol hanya memenangi perak, berpasangan dengan Ong Beng Hee pada temasya di Manchester 2002 dan gangsa di New Delhi, empat tahun lalu.


"Saya harap emas hadir di Glasgow bersama Wee Wern," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

McIlroy takluk Hoylake

Posted: 21 Jul 2014 10:17 AM PDT

Hoylake, England: Rory McIlroy sudah mengumpul tiga daripada empat kejuaraan utama dan dia kini memikirkan untuk menambah koleksi terakhir di Augusta National, April depan.

Pemain Ireland Utara berusia 25 tahun itu menjuarai Terbuka British buat julung kali di Hoylake, awal pagi semalam dengan perbezaan dua pukulan di depan Sergio Garcia dan Rickie Fowler.


Ia jauh berbeza daripada jurang lapan pukulan ketika dia mengalahkan pemain lain untuk memenangi Terbuka AS 2011 dan Kejohanan PGA AS 2012,, namun semuanya amat berharga buatnya.

Dia menyertai kelompok pemain elit yang memenangi tiga daripada empat kejuaraan utama dan hanya pemain ketiga selepas Tiger Woods dan Jack Nicklaus, melakukannya pada usia 25 tahun selain pemain pertama Eropah menang tiga kejuaraan utama.


Banyak perkara perlu dilakukan serentak dalam satu masa, tetapi McIlroy seorang pemain yang menuju kegemilangan dan dia sedar di mana dia berada sekarang.


"Ya, saya bangga dengan diri sendiri. Untuk berada di sini pada usia 25 tahun dan memenangi kejuaraan utama ketiga selain berada tiga per empat untuk melengkapkan Grand Slam," jelasnya beberapa minit selepas menjulang Claret Jug.

"Saya tidak pernah bermimpi berada di tahap ini dalam karier saya dengan pantas.


"Terbuka British sesuatu yang anda impikan sejak kecil dan ia dikecapi selepas banyak kali membenam putt di green untuk menang dengan mengalahkan pemain seperti Tiger Woods, Garcia dan Ernie Els." Sambutan kemenangan awal pagi semalam jauh berbeza berbanding tahun lalu di Muirfield, Scotland apabila persembahan McIlroy merudum dan menyaksikannya gagal melepasi had kelayakan.

McIlroy mengakui saat itu yang terburuk pernah dialaminya sebelum bangkit mencari semula rentak kemenangan hujung tahun lalu di Australia.


"Saya tidak pernah gagal melepasi had kelayakan Terbuka British sebelum ini. Saya juga terlalu kecewa tidak bermain pada hujung minggu," ujarnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

Tiffany laung amaran awal

Posted: 21 Jul 2014 10:17 AM PDT

London: Pelari Britain, Tiffany Porter mengejutkan juara 100 meter berpagar Olimpik, Sally Pearson dari Australia pada kejohanan Sukan Ulang Tahun, awal pagi semalam sekali gus memberi amaran menjelang pertembungan mereka pada Sukan Komanwel.

Pelari kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu memenangi perlumbaan di Horse Guards Parade itu dengan masa 12.71 saat sekalipun Sally bermula dengan amat baik.


Juara dunia dari AS, Brianna Rollins menduduki tangga kedua dengan Sally mencatat 12.79s di tangga ketiga.

"Saya amat teruja pulang dengan kemenangan.


"Ia meningkatkan keyakinan saya dan semuanya kelihatan tepat pada masanya dan saya harap boleh melakukan yang terbaik pada Sukan Komanwel.


"Anda tidak boleh ketepikan Sally, dia seorang pelari hebat tapi saya akan cuba pulang dengan pingat emas, kami tidak berlatih untuk meraih tempat kedua," kata Tiffany.

Dalam acara 100m lelaki, Michael Rodgers dari AS menang dengan masa 9.91s manakala juara dunia 2003 Kim Collins, kini 38 tahun, meraih tempat kedua diikuti pelari Jamaica, Nesta Carter. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

Biar bos tentukan...

Posted: 21 Jul 2014 10:16 AM PDT

Manchester: Ed Woodward memberitahu peminat Manchester United mereka boleh menjangkakan pembelian pemain baru selain beberapa pemain meninggalkan kelab itu dalam beberapa minggu akan datang.

Louis van Gaal sudah berbelanja £50 juta (RM271 juta) terhadap Luke Shaw dan Ander Herrera, namun bos baru United itu dijangka menambah beberapa muka baru sebelum musim bermula.


Pengendali dari Belanda itu sudah dikaitkan dengan Arturo Vidal, Daley Blind, Kevin Strootman dan Thomas Vermaelen sejak mengambil alih kelab itu Mei lalu.

Woodward berkata, masih ada peruntukan besar kepada Van Gaal jika beliau memutuskan untuk memantapkan lagi skuad.


"Tiada bajet khusus. Kewangan kami amat kukuh, kami mempunyai dana untuk dibelanjakan," kata Naib Pengerusi Eksekutif United itu kepada MUTV.


"Louis adalah bos dan menilai apa yang berlaku, tapi kami sudah berbincang beberapa kali mengenai sasaran dan banyak kerja perlu dilakukan. Kami akan terus berusaha mencapai sasaran itu.

"Van Gaal akan menilai menilai apa yang dimilikinya dan memutuskan sebarang tindakan sepanjang tempoh di sini dan di Amerika Syarikat (jelajah pramusim).


"Kami mahu melakukan apa yang perlu untuk memenangi kejuaraan." United berakhir di tangga ketujuh di bawah kendalian David Moyes tahun lalu, bermakna mereka tidak akan beraksi di Eropah buat kali pertama dalam tempoh hampir dua dekad pada musim ini.

Woodward tetap yakin masih ada pemain berminat berpindah ke Old Trafford. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

Ospina hampir pasti milik Arsenal

Posted: 21 Jul 2014 10:14 AM PDT

Marseille, Perancis: Arsenal semakin hampir mencapai persetujuan untuk mengikat penjaga gol Colombia, David Ospina dari Nice dengan harga €4 juta (RM17 juta), umum presiden kelab Perancis itu kelmarin.

"Belum ada persetujuan, tapi ia semakin hampir," jelas presiden Nice Jean-Pierre Rivere.


Menurut satu sumber rapat dengan kelab Ligue 1 itu, kedua-dua kelab difahamkan sudah mencapai persetujuan secara lisan mengenai perpindahan itu, namun ia belum dimuktamadkan.

Ospina, 25, menghabiskan enam musim terakhir bersama Nice dan sebahagian daripada skuad Colombia yang layak ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah negara itu di Brazil, baru-baru ini.


Kehadiran Ospina mampu mencetus saingan buat penjaga gol nombor satu Arsenal dari Poland, Wojciech Szczesny. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

Milan nafi jual Balotelli

Posted: 21 Jul 2014 10:13 AM PDT

Milan: Ketua Pegawai Eksekutif AC Milan Adriano Galliano menafikan menerima sebarang bidaan dari Arsenal untuk mendapatkan khidmat penyerang Itali, Mario Balotelli pada musim panas ini.

Galliani bercakap kepada pemberita awal pagi semalam sebelum perlawanan persahabatan pramusim Rossoneri di Monza.


Balotelli kini bercuti di New York selepas beraksi pada Piala Dunia bersama Azzurri, namun dijangka kembali bersama rakan sepasukannya di kelab bagi jelajah Amerika Syarikat awal minggu depan.

Laporan kelmarin menyebut Arsenal sudah bersetuju dengan bayaran perpindahan £15.8 juta (RM86 juta) bersama Milan bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 23 tahun itu, namun Galliani menyatakan tiada sebarang bidaan diterima kelab itu.


"Kami tidak menerima sebarang tawaran buat Balotelli dan kini tiada apa dari Arsenal," kata CEO Milan itu.


Galliani turut berkata, Milan dan Orlando City juga belum bersetuju mengenai perpindahan seorang lagi bekas penyerang Manchester City, Robinho.

"Kami cuba merundingkannya, sama seperti Kaka, tapi kami masih belum bersetuju apa-apa dengan Orlando City," jelas Galliani.


"Pagi esok kami akan berbincang dengannya dan peguam untuk mencari jalan penyelesaian." Galliani turut ditanya mengenai laporan Milan berminat terhadap pertahanan Zenit St Petersburg, Domenico Criscito dan pemain sayap Torino, Alessio Cerci.

"Tiada apa-apa berita mengenai Criscito. Kami mempunyai ramai pemain pertahanan ketika ini. Cerci kekal seorang pemain Torino." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

'Kami beri segala-galanya'

Posted: 21 Jul 2014 10:08 AM PDT

Rio de Janeiro: Bintang Brazil Neymar mendakwa dia serta rakan sepasukannya bekerja keras untuk cuba meraih kejayaan di Piala Dunia, tetapi pasukan lain nyata lebih bagus dan Brazil perlu mengikut langkah mereka.

Dalam satu temuramah eksklusif, pemain berusia 22 tahun itu berkata, dia serta rakan sepasukan berhak memperoleh markah tujuh daripada 10 sepanjang aksi di kejohanan terbesar itu.


Kempen Brazil di Piala Dunia cukup memalukan apabila dibelasah Jerman 1-7 pada separuh akhir.

Bintang Barcelona itu sekadar menyaksikan perlawanan itu di rumahnya di Sao Paulo selepas tulang belakangnya retak pada aksi suku akhir bertemu Colombia.


Pada perlawanan itu, lutut pemain Colombia, Juan Camilo Zuniga menerjah belakang Neymar dan dia kemudian menerima permohonan maaf lawannya itu.


Neymar berkata, tiada alasan yang benar-benar kukuh mengapa kempen mereka berakhir lebih awal.

"Tiada kesilapan yang jelas dilakukan pemain Selecao," katanya ketika ditanya di manakah silapnya percaturan barisan kejurulatihan.


Neymar juga enggan menyalahkan bekas jurulatih Luiz Felipe Scolari yang meletak jawatan selepas kejohanan dimenangi Jerman itu berakhir.

"Saya mempunyai antara pemimpin terbaik bola sepak Brazil," katanya.


Neymar juga menafikan tuduhan dia serta rakan sepasukan sepatutnya lebih kerap menjalani latihan.


"Kami selalu turun menjalani latihan dan sudah memberikan segala-galanya," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

Dunga calon bimbing Selecao

Posted: 21 Jul 2014 10:07 AM PDT

Rio de Janeiro: Bekas kapten yang pernah menjulang Piala Dunia, Dunga menjadi calon pilihan menggalas tugas kali kedua selaku jurulatih Brazil dan mungkin diumum sebagai pengganti Luiz Felipe Scolari hari ini.

Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) bercadang mengumumkan jurulatih baru minggu lalu, tetapi mereka sebaliknya hanya mengumumkan mengenai suruhanjaya teknikal yang diketuai bekas penjaga gol simpanan, Gilmar.


Selepas spekulasi mengenai CBF mahu mendapatkan khidmat bekas pengendali Corinthians, Tite, media Brazil juga menjelaskan, badan induk itu kemungkinan besar mendapatkan kembali khidmat Dunga yang dipecat selepas Piala Dunia 2010 berakhir.

Media melaporkan Dunga mungkin memilih Jorginho yang turut menjadi anggota skuad juara Piala Dunia 1994 sebagai orang kanannya.


Akhbar juga menyatakan pengendali berusia 50 tahun itu menerima tawaran lumayan dari Venezuela dalam usaha mereka layak ke Piala Dunia 2018 di Russia.


Bagaimanapun Dunga difahamkan lebih berminat menggalas tugas selaku jurulatih Brazil berbanding menerima tawaran lumayan dari Venezuela. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

Kelly pamer aksi memukau di AS

Posted: 21 Jul 2014 09:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain golf wanita profesional Malaysia, Kelly Tan mempamerkan prestasi cemerlang untuk berkongsi tempat keempat Kejohanan LPGA Marathon Classic di Highland Meadows Golf Club Sylvania, Ohio, Amerika Syarikat, Ahad lalu.

Pemain bertubuh kecil berusia 21 tahun itu melakar empat bawah par 67 pada pusingan akhir dengan catatan keseluruhan 11 bawah par 273 untuk berkongsi tempat keempat dengan dua lagi pemain, Katherine Kirk dari Australia dan Lee-Anne Pace, Afrika Selatan.


Ketiga-tiga pemain membawa pulang AS$59,015 (RM187,207) atas kejayaan mereka itu.

"Berikutan keputusan ini, saya rasa agak yakin dan gembira menyertai beberapa kejohanan lagi," Tan dipetik dalam laman web LPGA, www.lpga.com. "Ia mungkin bukan keputusan yang saya inginkan, tapi saya bermain baik sepanjang minggu ini," katanya.


Pemain remaja sensasi New Zealand, Lydia Ko, 17, yang juga pemain nombor dua dunia, muncul juara selepas melakukan enam bawah par 65 pada hari terakhir dengan catatan keseluruhan sepanjang empat hari, 15 bawah 269.


Keputusan itu menyaksikan Ko menjadi pemain termuda dalam sejarah Jelajah LPGA meraih AS$1 juta (RM3.173 juta) dengan pendapatannya kini mencecah AS$1,061,019 juta (RM3.367 juta). Juara 2012, So Yeon Ryu dari Korea Selatan kedua dengan catatan keseluruhan 14 bawah par 270 manakala Cristie Kerr dari Amerika Syarikat ketiga dengan 12 bawah par 272. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

Peluang cerah rebut tiket Piala Dunia 2016

Posted: 21 Jul 2014 09:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Malaysia bakal menganjurkan Piala Remaja Asia buat kali kedua berturut-turut tahun depan sekali gus mencerahkan peluang skuad negara beraksi di Piala Dunia 2016.

Setiausaha Agung Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Johari Abdul Aziz ketika mengesahkan perkara itu berkata, Persekutuan Hoki Asia (AHF) sudah menghantar surat pengesahan berhubung perkara itu kepada pihaknya.


Namun katanya, tarikh serta lokasi untuk menganjurkan kejohanan berprestij itu belum ditetapkan lagi.

"Memang benar AHF sudah memberi lampu hijau kepada Malaysia untuk sekali lagi menganjurkan kejohanan ini selepas tiada negara yang benar-benar layak menganjurkannya.


"Tapi tempat dan tarikh masih belum ditentukan lagi. Kemungkinan dua pilihan terbaik untuk menganjurkan saingan itu di Kuantan atau Kuala Lumpur.


"Melaka mungkin tiada dalam senarai kerana sudah menganjurkannya dua tahun lalu," katanya ketika dihubungi semalam.

Malaysia di bawah bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah muncul juara Piala Remaja Asia buat kali pertama di Melaka untuk layak secara automatik ke Piala Dunia 2013 di New Delhi.


Skuad negara menamatkan saingan di tempat keempat kejohanan paling berprestij itu.

Seperti dua tahun lalu, pasukan yang muncul juara kali ini turut layak secara automatik ke Piala Dunia Remaja 2016.


Dibimbing bekas penolong jurulatih skuad senior, Arul Selvaraj, skuad kali ini dilihat mempunyai persiapan cukup rapi sebelum beraksi di kejohanan itu kerana bakal turun terlebih dulu pada saingan Piala Sultan Johor yang berlangsung dari 12 hingga 19 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/22

No comments:

Post a Comment