Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Impian sambung belajar punah

Posted: 14 Jul 2014 03:29 PM PDT

Kuala Lumpur: Impian tiga penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melanjutkan pelajaran terbantut apabila permohonan mereka mengeluarkan wang simpanan pekerja (KWSP) ditolak dan mendakwa tanpa alasan munasabah.

Seorang penuntut terbabit yang mengikuti pengajian Kejuruteraan Petroleum, Amirul Rahim, 30, mendakwa membuat permohonan mengeluarkan wang caruman KWSP bagi membiayai yuran pengajiannya.


Menurutnya, permohonan dibuat pada awal Jun lalu selepas mereka menerima surat sokongan daripada pihak universiti.

"Diploma Eksekutif ini ditawarkan kepada golongan individu yang bekerja dan mahu mengikuti pengajian itu secara separuh masa selama dua tahun.


"Kami sudah memulakan pengajian sejak Februari lalu dengan yuran pendaftaran RM5,000 manakala bakinya RM15,000 dibayar melalui wang KWSP seperti disarankan pihak IPTA," katanya.


Amirul berkata, dia bagaimanapun terkejut apabila dua kali permohonannya ditolak pihak KWSP melalui jawapan dikirimkan melalui SMS.

Foto

Amirul menunjukkan surat sokongan dan permohonannya bagi mengeluarkan wang KWSP untuk menyambung pelajaran.

"Saya kemudian merujuk ke ibu pejabat KWSP di Jalan Raja Laut di sini, untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung penolakan itu.


"Pegawai KWSP terbabit memberi alasan permohonan itu ditolak berikutan kursus yang saya ambil tidak sesuai dengan pengalaman kerja sebelum ini," katanya.

Dia bagaimanapun pelik berikutan perkara itu tidak menjadi isu ketika dia menghadiri sesi temu duga bersama pihak IPTA berkenaan.


Katanya, akibat gagal membayar baki yuran itu, dia dan dua rakannya tertekan dan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran.


"Apabila saya persoalkan perkara ini, mereka hanya menjawab ia prosedur dan tidak mampu berbuat apa-apa sedangkan permohonan saya mempunyai bukti kukuh dan bukannya daripada IPTA tidak berdaftar.


"Permohonan saya itu disertakan bersama surat tawaran, surat sokongan IPTA dan majikan selain salinan kad pelajar," katanya.


Menurutnya, tindakan KWSP menyekat hasrat mereka melanjutkan pengajian mungkin menyebabkan mereka menamatkan pengajian akibat masalah kewangan.


Sementara itu pihak KWSP yang dihubungi menjelaskan setiap pencarum yang ingin membuat pengeluaran wang bagi pembayaran yuran pengajian perlu mematuhi beberapa syarat ditetapkan untuk setiap jenis pengeluaran mereka.


Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP Ahmad Fauzi Kamarudin berkata, terdapat dua syarat ditetapkan bagi ahli yang mengikuti pengajian diploma eksekutif atau diploma profesional di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT).


"Dua syarat berkenaan adalah mempunyai sekurang-kurangnya tiga kredit dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman bekerja dengan pengesahan majikan yang menyatakan tempoh perkhidmatan dan jawatan pekerja," katanya.


Beliau berkata, semakan terhadap tiga penuntut itu mendapati mereka gagal memenuhi syarat pertama ditetapkan.


"Meskipun penama mempunyai pengalaman bekerja tujuh tahun, namun permohonan beliau tidak dapat dipertimbangkan kerana kredit yang diperoleh dalam peperiksaan SPM kurang daripada syarat," katanya.


Bagaimanapun ahli boleh membuat rayuan sekiranya permohonan kali pertama mereka ditolak. Semakan juga boleh dibuat di kaunter bagi mengetahui maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

Janda ditipu 'Tengku mati'

Posted: 14 Jul 2014 03:14 PM PDT

Kuala Lumpur: Harapan seorang pegawai tinggi kerajaan berstatus janda untuk mendirikan rumah tangga bersama seorang ahli perniagaan bergelar 'Tengku' berkecai apabila mangsa sebaliknya ditipu RM40,000 oleh suspek yang dipercayai sindiket penipuan Internet.

Mangsa yang berusia 50-an sebelum itu dikatakan berkenalan dan bercinta dengan suspek yang hanya dikenalinya melalui laman sosial Facebook sejak dua tahun lalu.

Sumber polis berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai ahli perniagaan dan menggunakan gelaran Tengku pada awal perkenalan dengan mangsa.

"Menyedari mangsa mula jatuh cinta kepadanya, suspek cuba meraih simpati mangsa kononnya dia mempunyai beban hutang perniagaan yang perlu dilangsaikan.


"Malah, suspek mendakwa menghidap penyakit kronik menyebabkan dia kerap meminta wang dari wanita terbabit," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

Pekerja salun dibelasah, tanggung malu aksi dirakam

Posted: 14 Jul 2014 03:14 PM PDT

Kuala Terengganu: Seorang pekerja salun rambut bukan saja menanggung kesakitan apabila dibelasah tanpa sebab, tetapi turut menanggung malu apabila aksinya dipukul dirakam dalam kejadian berhampiran sebuah salun rambut di Jalan Sultan Sulaiman, di sini, Khamis lalu.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku jam 12.30 tengah hari ketika remaja perempuan berusia 17 tahun berada di tempat kerjanya sebelum didatangi seorang perempuan yang memanggilnya supaya mengikutinya ke sebuah lorong kecil berhampiran kedai mangsa.


Katanya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa akur dengan arahan wanita terbabit dan sebaik sampai di lokasi yang dimaksudnya, wanita terbabit menuduh mangsa menfitnahnya.

"Terkejut dengan tuduhan itu, mangsa menafikan dakwaan itu dan tindakan itu menyebabkan suspek naik angin sebelum memukul mangsa menggunakan topi keledar.


"Belum sempat mangsa berbuat apa-apa, seorang lagi rakan suspek muncul sebelum tiba-tiba menyepak dan memukul mangsa beberapa kali," katanya.


Sumber berkata, selain dibelasah, mangsa mendakwa seorang lagi rakan suspek turut merakam aksi dia dibelasah tanpa menghiraukan rayuan mangsa yang minta dilepaskan.

Katanya, selepas puas membelasah mangsa, semua suspek beredar meninggalkan mangsa yang sedang kesakitan.


"Sebelum beredar, suspek turut mengugut akan memukul mangsa lagi sambil mengingatkan perkara itu belum selesai lagi menyebabkan mangsa ketakutan," katanya.

Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.


Difahamkan, lima suspek berusia 18 hingga 30-an yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu ditahan polis beberapa jam selepas laporan dibuat bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

Atap bocor, dinding berlubang

Posted: 14 Jul 2014 03:13 PM PDT

Bachok: "Kami juga mahu rumah yang selesa dan tidak berlubang atau atap bocor seperti ini. Tetapi apakan daya, kami tak mampu," kata Hamidah Awang Chik, 45, ibu tunggal yang menetap bersama tiga anak perempuan di Kampung Pengkalan Petah, dekat sini.

Menurutnya, kesusahan dialami terutama selepas kematian suami Januari lalu akibat sakit jantung menyebabkan mereka sekeluarga reda menghuni kediaman yang semakin hari semakin uzur.


Katanya, dengan pendapatan sebagai tukang sapu sebanyak RM500 selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM300, tidak mencukupi untuknya membaik pulih rumah mereka.

"Setiap bulan gaji dan wang bantuan diterima digunakan untuk membeli barang keperluan rumah, belanja persekolahan anak dan membayar bil air dan elektrik, apatah lagi saya masih menanggung tiga anak perempuan berusia sembilan hingga 17 tahun yang masih bersekolah.


"Sebab itu juga atap yang bocor, dinding berlubang dan lantai yang tidak sekata tidak dapat kami baiki kerana tidak cukup wang," katanya ketika ditemui di rumahnya.


Hamidah berkata, meskipun dia mempunyai dua anak lelaki Ahmad Adli Ya, 22, dan Mohd Fairudin Ya, 19, yang sudah bekerja dan menyumbang untuk membantu keluarga, pendapatan kedua-duanya tidak seberapa.

"Adli bekerja sebagai tukang paip di Melaka, manakala Fairudin pula kelindan lori ais. Kedua-duanya tidak mempunyai pendapatan tinggi menyebabkan apa yang diberi sekadar menampung keperluan kami di sini.


"Jika sebelum ini suami ada dapat meringankan beban keluarga, kini semuanya tertakluk di bahu saya. Kerana kesempitan ini kami masih menggunakan dapur kayu untuk memasak.

"Dengan atap yang bocor dan dinding berlubang menyebabkan rumah kami dipenuh air setiap kali hujan, begitu jugalah dapur kayu," katanya berharap ada pihak yang sudi membantu.


Katanya, sebelum ini pernah meminta bantuan zink daripada pihak berkuasa, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

'Erna, abang selamat'

Posted: 14 Jul 2014 03:12 PM PDT

Kota Kinabalu: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Konstabel Zakiah Aliep, 26, ada menghubungi isterinya dan memaklumkan dia dalam keadaan selamat kurang 24 jam selepas dilarikan lapan lelaki ala komando di Water Bungalow Resort, Pulau Mabul, Semporna, Sabtu lalu.

Khalid berkata, panggilan telefon berkenaan diterima oleh isteri Zakiah, Sharifah Erna Berson, 22, pada jam 9.30 malam, kelmarin.

Menurutnya, panggilan telefon itu bertujuan memaklumkan Zakiah dalam keadaan selamat, namun masih dikawal oleh penculik berkenaan.

"Saya mengesahkan Zakiah ada menghubungi isterinya menyatakan dia selamat meskipun dikawal oleh penculik terbabit.


"Bagaimanapun, lokasi di mana Zakiah disembunyikan masih belum diketahui," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

No comments:

Post a Comment