Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Muka terbakar

Posted: 04 Jul 2014 04:23 PM PDT

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga emas hanya mampu mengerang kesakitan apabila kulit tubuhnya cair dan tercabut sejurus tong gas memasak di dapur rumahnya meletup mendadak petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 60-an itu sempat menyelamatkan diri meskipun disambar api di rumahnya di Jalan Jinjang Utara, di sini.

Kejadian itu turut menyebabkan baju dan seluar dipakai mangsa turut terbakar sebelum mangsa dibantu orang awam yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Seorang jiran mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, dia terdengar bunyi letupan kuat dari rumah lelaki terbabit sebelum melihat api marak membakar kediaman itu.

Foto

ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran di rumah mangsa (duduk).


"Kami segera membantu mangsa iaitu seorang lelaki warga emas yang tinggal bersendirian di rumah itu. Ketika ditemui mangsa sedang menggelupur kesakitan akibat badan dan mukanya terbakar.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

Dipaksa makan sajian basi

Posted: 04 Jul 2014 03:16 PM PDT

Kuala Lumpur: Sudahlah ditipu ejen pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan, sebaik tiba ke negara ini ia mereka turut didera majikan sehingga ada yang tergamak mencurah air panas dan memaksa mereka memakan makanan basi.

Itu nasib dua wanita warga India yang menerima layanan buruk daripada majikan mereka sebaik tiba ke Malaysia selepas mendakwa ditipu oleh ejen pekerjaan selain pasport mereka turut dirampas oleh ejen sebaik mereka tiba di Malaysia.


Menceritakan detik hitam itu, Sweeta, 27, memberitahu pada mulanya dia berasa berat hati untuk datang ke Malaysia bagi mencari rezeki bagaimanapun, demi mencari wang bagi membiayai kehidupan keluarga selain turut ingin mencari wang bagi merawat adik tirinya yang mempunyai masalah mental dia membuat keputusan untuk datang negara ini.

Pertemuan dengan seorang ejen pekerjaan di Selatan India selepas diperkenalkan oleh saudaranya pada enam bulan lalu ternyata bertukar menjadi mimpi ngeri dalam hidupnya.


"Dia (ejen) pekerjaan memberitahu saya akan mendapat kerja dengan gaji yang lumayan sebaik datang ke Malaysia. Saya hanya perlu menjaga kanak-kanak dan diberikan gaji sehingga RM2,000.


"Saya dibawa masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sebelum ejen pekerjaan berjanji akan menukarkan ia kepada pas bekerja selepas saya bekerja beberapa bulan di negara ini. "Namun, semuanya hanya janji tinggal janji apabila sebaik saya tiba ejen terus menghantar saya kepada majikan dan turut merampas pasport saya," katanya kepada Harian Metro selepas berjaya diselamatkan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di sini.

Sweeta memberitahu, dia mula didera dan dilayan seperti binatang oleh majikannya selepas sebulan bekerja di sebuah rumah di ibu negara apabila dia bertanyakan mengenai gajinya.


Gadis malang itu mendakwa, dia sering dipukul dan dipaksa memakan makanan basi oleh majikannya gara-gara lambat menyiapkan kerja rumah selain turut diarah tidur di lantai dapur.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

Mangsa sindiket digesa tampil

Posted: 04 Jul 2014 03:14 PM PDT

Kuala Lumpur: Polis menasihatkan mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa kepada sindiket eksploitasi manusia tampil membuat laporan agar siasatan menyeluruh dapat dijalankan sehingga pihak yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.

Gesaan itu disuarakan Penolong Pengarah Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) Bukit Aman Asisten Komisioner Mohd Zaki Masroh yang meminta mangsa agar segera membuat laporan polis agar pihak bertanggungjawab dapat diberkas.


Beliau berkata, polis sentiasa menjalankan pemantauan dan risikan dari semasa ke semasa berhubung sindiket berkenaan namun maklumat dan laporan mangsa dilihat mampu membantu siasatan polis seterusnya menjadi satu kelebihan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya mereka ini dihadapkan ke mahkamah.

"Saya minta mereka tampil (buat laporan polis), jangan takut. Sekiranya terdapat laporan, siasatan dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Sekiranya mereka tinggal di mana-mana rumah perlindungan, pusat berkenaan boleh tampil membawa mangsa membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Mohd Zaki sebagai mengulas laporan mengenai dua wanita warga India yang menjadi mangsa eksploitasi manusia apabila mereka mendakwa ditipu oleh agensi pekerjaan yang membawa masuk wanita berkenaan untuk bekerja, namun tidak menerima gaji sehingga hampir sembilan bulan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

Cabut lari digertak wanita

Posted: 04 Jul 2014 03:12 PM PDT

Kuala Lumpur: Tindakan berani seorang wanita menggertak dan mengambil gambar dua penjenayah cuba mencuri kenderaan yang menyamar sebagai pekerja agensi tarik kereta menyebabkan suspek melarikan diri.

Dalam kejadian jam 2 petang semalam, mangsa yang berusia 32 tahun hampir dirompak penjenayah ketika berada di kawasan meletak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Selayang, Gombak.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zeti, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang memandu kereta Perodua Kelisa bersendirian untuk membeli barang dapur.

Menurutnya, kereta dipandunya secara tiba-tiba dipintas dan dihadang sebuah kereta Perodua Viva dinaiki dua suspek terbabit.


Dia berkata, dua lelaki yang dianggarkan berusia pertengahan 30-an itu secara tiba-tiba mengarahkannya keluar daripada kenderaan dan menyerahkan kunci kereta.


"Seorang suspek memberitahu bahawa dia ditugaskan pihak bank untuk merampas kereta itu kerana saya gagal membayar ansuran bulanan. "Saya yang terkejut dengan arahan lelaki itu terus mengajaknya berbincang di pintu masuk pasar raya itu. Saya berasa sangsi kerana kereta itu tidak lagi terikat dengan pinjaman bank berikutan semua baki ansuran sudah dijelaskan," katanya ketika ditemui di Balai Polis Sentul di sini, semalam.

Tidak puas hati dengan tindakan suspek yang cuba memperdayakannya, Zeti meminta suspek menunjukkan surat arahan dari bank bagi menarik kereta itu selain memberitahu nama pemilik sebenar kenderaan dipandu.


"Malangnya suspek gagal menunjukkan sebarang bukti dokumen selain memberitahu nama sebenar pemilik kereta ini," katanya, Bagaimanapun, tembelang kedua-dua penjenayah terbongkar apabila seorang suspek berpura-pura menelefon seorang `pegawai bank' dan bertutur dalam bahasa Tamil.

"Dia mendakwa mendapatkan maklumat daripada pegawai bank yang mengarahkan kereta saya ditarik. Namun saya tambah pelik apabila dia memberitahu bahawa pegawai bank itu bernama Faizal sedangkan dia berbual dalam bahasa Tamil.


"Saya kemudian bertindak berani mengeluarkan telefon bimbit dan merakam gambar suspek dan kereta dipandu. Tindakan saya itu menyebabkan penjenayah tersentak seketika," katanya.


Terkejut dengan tindakan mangsa, suspek kemudian terus melarikan diri dari lokasi kejadian.


Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R. Munusamy ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan berkata siasatan lanjut akan dijalankan pihaknya berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

'Saya tak salah'

Posted: 04 Jul 2014 03:08 PM PDT

Ampang: Penyanyi rock terkenal, Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Rozana Misbun di Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini, 2 Jun lalu.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman. Vokalis kumpulan Wings itu yang memakai jaket hitam hadir ke mahkamah dengan jaminan polis ditemani beberapa rakannya, termasuk ahli kumpulan rock terbabit, Joe dan Eddy. Mengikut pertuduhan, dia yang pernah menjadi pelakon utama filem Sembilu didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana, 36, jam 1.30 tengah hari pada 2 Jun lalu di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Klang di sini. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun penjara dan denda jika disabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun, peguam Hazman Harun yang mewakili Awie memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan. Ayuni Izzati kemudian membenarkan penyanyi rock itu diikat jamin RM9,000 dengan dua penjamin selain menetapkan 11 Ogos depan sebagai sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

No comments:

Post a Comment