Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kereta baru seminggu

Posted: 25 Jul 2014 12:20 PM PDT

Kota Bharu: Kurang seminggu digunakan, kereta mewah Audi S5 milik pelakon dan usahawan Fizo Omar sudah 'dicium' kenderaan lain apabila terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 69.7 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Kuala Krai, petang kelmarin.

Ketika kejadian, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 29, tidak memandu kereta itu sebaliknya dipandu adik bongsu Wan Normimi Adila, 19, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Selising, Pasir Puteh, dekat sini.

Turut berada dalam kereta itu ibunya Hasnah Jidin, 54, dan pembantu peribadi Fizo Rosdi Razak.

Fizo berkata, dia sangat terkejut diberitahu ahli keluarganya terbabit dalam kemalangan itu yang turut membabitkan empat kenderaan serentak.

Foto

KEADAAN kereta dipandu Wan Normimi yang terbabit nahas dekat Kuala Krai.


"Saya sedang bermesyuarat bersama pekerja syarikat di Kuala Lumpur dan menerima panggilan telefon daripada pembantu memberitahu mereka terbabit dalam kemalangan.


"Terkejut saya dibuatnya apatah lagi ada empat kenderaan terbabit, namun saya bersyukur sebaik diberitahu mama, adik dan pembantu selamat serta tidak cedera, melainkan lebam pada badan kerana beg udara terbuka dan dihempap beg pakaian.

"Cuma mama dan adik masih lagi trauma dengan kejadian yang berlaku. Mereka terkejut kerana tidak pernah berdepan kejadian begini, terutama apabila beg udara sudah terbuka dan mereka gagal keluar daripada kereta hingga perlu dibantu orang awam," katanya.

Kejadian jam 1.15 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika Wan Normimi cuba mengelak kereta yang keluar daripada simpang secara tiba-tiba sebelum bertembung dengan van dari arah bertentangan dan kereta Proton Iswara dipandu Lim Lee Lin, 31.

Akibat pertembungan itu, kereta Lim berpusing sebelum dilanggar kereta Proton Wira dari arah belakang menyebabkan dia tersepit di tempat duduk pemandu dan parah di kepala.

Mengulas lanjut, suami kepada anak pengasas tudung Fareeda, Mawar Abdul Karim, 25, itu berkata, tidak mahu memikirkan mengenai kos pembaikan kereta itu yang mungkin menelan belanja sehingga RM17,000.

"Ia memang kereta baru yang saya gunakan tidak sampai seminggu. Saya beli sebagai hadiah kepada diri sendiri sempena gaji pertama saya sebagai usahawan.

"Tetapi, kejadian sudah berlaku. Yang penting sekali ahli keluarga saya selamat kerana kereta yang rosak boleh dibaiki, ada insurans, tapi ahli keluarga tiada galang ganti.

"Saya melihat kejadian ini ada hikmahnya apabila keluarga kami berkumpul lebih awal di rumah mama apabila semua adik beradik saya pulang sejak malam tadi (semalam)," katanya yang tiba tengah malam semalam menaiki kapal terbang bersama isterinya.

Fizo berkata, akan melawat Lim yang cedera dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta, di sini.

Aktor filem Kongsi itu turut menasihati pengguna jalan raya berhati-hati ketika memandu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku, sekali gus boleh membahayakan nyawa pengguna lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

JPJ berpakaian preman

Posted: 25 Jul 2014 12:19 PM PDT

Shah Alam: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menempatkan lebih ramai anggotanya yang berpakaian preman di beberapa lokasi untuk memastikan pemandu mematuhi undang-undang dan tidak melanggar peraturan jalan raya sepanjang Ramadan sehingga Aidilfitri ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Yusoff Ayob berkata, anggota JPJ akan ditempatkan di setiap 30 kilometer laluan dikenal pasti bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan sekali gus mengelakkan kemalangan.

"Anggota JPJ dengan bantuan 500 Skuad Muda JPJ akan ditempatkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan yang terpilih.

"Kami tidak akan melakukan sekatan jalan raya, tetapi menggunakan kaedah penyamaran dan saman untuk melihat jika ada kesalahan dilakukan pengguna jalan raya seperti melanggar lampu merah serta memotong barisan," katanya ketika ditemui selepas Ops Hari Raya di Jalan Banting-Klang, semalam.

Menurutnya, anggota yang bertugas akan memerhati dan memberi peringatan kepada pengguna agar mematuhi peraturan jalan raya, tidak memandu laju, memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit.

"Begitu juga dengan penyamaran sebagai penumpang ekspres, anggota kami akan memantau pemandu bas ekspres dan apabila tiba ke destinasi dituju, pemandu bas akan disaman jika melakukan kesalahan di sepanjang perjalanan.

"Lebih daripada 100 lokasi di jalan Persekutuan seluruh negara akan dipantau anggota JPJ sempena kempen keselamatan jalan raya menjelang sambutan Aidilfitri nanti," katanya.

Selain itu, 1,800 anggota dan pegawai JPJ seluruh negara akan ditugaskan untuk kempen keselamatan jalan raya yang bermula 21 Julai sempena musim perayaan ini.

"Setiap kali menjelang musim perayaan 1.5 juta kenderaan berada atas jalan raya dan kita akan menggerakkan anggota agar dapat mengurangkan kadar kemalangan," katanya.

Foto

YUSOFF (dua dari kanan) bersama anggota melakukan pemeriksaan pada penungggang motorsikal pada operasi hari raya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Terpengaruh tawaran pinjaman lesap RM13,000

Posted: 25 Jul 2014 12:18 PM PDT

Kuala Lumpur: Terpengaruh dengan tawaran pinjaman RM80,000 kononnya diuruskan seorang wanita di Amerika Syarikat menyebabkan seorang lelaki kerugian RM13,000 selepas membuat bayaran sebagai 'syarat' pinjaman.

Lelaki berusia 28 tahun itu pada mulanya mengenali seorang wanita Mei lalu yang menawarkan peluang pinjaman kewangan dan suspek mendakwa sepupunya yang berada di Amerika Syarikat menguruskan perniagaan pinjaman kepada mereka yang ingin membuka perniagaan.

Selepas dua bulan bukan saja pinjaman tidak diperoleh malah wang miliknya yang diberikan kepada suspek turut lesap menyebabkan dia tampil membuat laporan di Balai Polis USJ8, kelmarin untuk tindakan selanjutnya.

Suspek turut memberikan alamat emel sepupunya dan meminta mangsa berhubung dengan wanita itu untuk mengetahui maklumat lebih lanjut berkaitan tawaran itu.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju dan berurusan melalui e-mel.

Dia yang tertarik dengan tawaran itu kemudian bersetuju sebelum wanita yang mendakwa berada di Amerika Syarikat itu meminta mangsa berurusan dengan sepupunya pula.

"Lelaki terbabit kemudian berjumpa semula dengan suspek sebelum dia diarahkan memasukkan wang diminta ke dalam akaun bank diberikan," katanya.

Sumber berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa terus memasukkan wang diminta itu secara berperingkat di sebuah bank di Subang Jaya sebanyak RM13,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Usahawan lapor polis Fizz gagal lunas hutang

Posted: 25 Jul 2014 11:52 AM PDT

Kuala Lumpur: "Nampaknya saya terpaksa membuat laporan polis dan mendedahkan perangai dia pada media sebab dah lama saya bertolak-ansur. Tapi, dia memberi alasan dan mengelak daripada melunaskan hutangnya."

Demikian luahan seorang usahawan dikenali sebagai Linda, 36, yang kesal dengan sikap lepas tangan pelakon popular, Fizz Fairuz kerana gagal membayar semula wang berjumlah RM15,000 yang dipinjam pada Oktober tahun lalu.

Linda berkata, keputusan membuat laporan polis dan mendedahkan perkara itu adalah jalan terakhir untuk mendapatkan semula wangnya selepas pelbagai usaha dan rundingan dibuat dengan pelakon filem Mat Tudung itu menemui kegagalan.

"Bagi saya mudah saja, tak perlu ubah-ubah cakap dan canang itu dan ini di merata tempat.

Sekarang, bayar saja semula hutang saya.

"Dia berjanji untuk bayar semula antara April hingga Jun lalu, tapi hingga kini, dia mendiamkan diri dan mengelak.

"Saya sudah bagi peluang kepadanya secara baik tapi nampaknya dia yang nak perkara ini dibesarkan," katanya ketika dihubungi di sini, petang semalam.

Difahamkan, Fizz meminjam RM15,000 daripada Linda akhir Oktober tahun lalu dengan alasan membuat pengubahsuaian rumah ibunya di Pahang.

Atas hubungan persahabatan dan memahami kesempitan wang dihadapi Fizz, Linda bersetuju meminjamkan wang itu.

Suami kepada pelakon Almy Nadia itu berjanji membayar semula wang Linda April hingga Jun lalu selepas dia menerima bayarannya sebagai pengajar di Akademi Fantasia 2013, namun sehingga minggu lalu Fizz berdiam diri.

Minggu lalu, Fizz menerusi pesanan mesej kepada Linda mendakwa dia sudah memulangkan semua duit itu kepada pihak ketiga yang juga rakan Linda dan tidak mahu diganggu lagi.

Linda yang masih tidak menerima wang dijanjikan itu mengesyaki satu pakatan berlaku antara Fizz dengan pihak ketiga, sekali gus membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini, Ahad lalu.

Difahamkan juga, Linda yang juga seorang usahawan terkenal sering membantu golongan artis yang kesempitan wang, namun tidak pernah menghadapi masalah mendapatkan semula wangnya kecuali daripada Fizz.

  Katanya, sikap pelakon itu yang mendiamkan diri dan sukar dihubungi menimbulkan syak wasangka kepadanya untuk membawa perkara itu ke tengah.

"Sebenarnya saya pun tak nak kecoh hal ini sebab niat ketika itu membantu dia ubah suai rumah emaknya.

Tapi, bila jadi macam ini, saya terkilan dengan sikapnya.

"Saya bagi peluang kalau tak mampu bayar sekali gus, boleh ansur-ansur, tapi itu pun dia perdaya saya.


Tak berkatlah dia buat rumah emaknya dan canang itu dan ini, tapi wang saya dia mengelak nak bayar," katanya.

Bagaimanapun, Fizz yang dihubungi enggan memberikan sebarang komen dan tidak mahu ambil melayan dakwaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Hilversum suram

Posted: 25 Jul 2014 11:51 AM PDT

Hilversum (Belanda): Lampu anjung dihidupkan dan pintu depan dipenuhi pelbagai jambangan bunga mawar dan lilin selain terdapat hiasan batu-bata putih yang disusun menjadi bentuk hati di laluan masuk.

Bagaimanapun, rumah itu sunyi dan tidak berpenghuni kerana pemiliknya, keluarga Smallenburg yang terdiri daripada pasangan suami isteri dan dua anak mereka terkorban dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17.  Pasangan Smallenburg, Charles dan Therese Brouwer bersama anak mereka Werther dan Carlijn dari daerah ini menaiki pesawat malang itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas akibat ditembak jatuh di timur Ukraine, Khamis minggu lalu.

Berikutan tragedi itu, suasana dan keadaan seluruh bandar yang mempunyai kira-kira 85,000 penduduk itu kelihatan suram dan seolah-olah turut bersedih dengan tragedi yang meragut 298 nyawa itu.

"Mengejutkan.

Ia mimpi ngeri dan perkara paling menyedihkan kepada setiap individu di bandar ini termasuk saya," kata Paderi Julius Dresme, Ketua Gereja St Vitus di Hilversum.

Dresme membuka gereja Sabtu lalu untuk memberi peluang kepada orang ramai menzahirkan perasaan sedih mereka termasuk memberi kata-kata dan penghormatan terakhir selain ucapan takziah dan bacaan doa kepada mangsa, ahli keluarga dan teman rapat mereka.

Menurutnya, selain keratan akhbar dan jambangan bunga, mereka turut menurunkan tandatangan pada buku dan meletakkan kertas ucapan di gereja berkenaan sebagai tanda memperingati tragedi yang mengorbankan 193 penumpang warga Belanda.

"Seluruh dunia tahu mengenai tragedi itu dan mereka adalah mangsa," kata Dresme ketika ditemui di gereja berkenaan.

Sementara itu, di rumah Schansman beberapa kilometer dari situ, rakan-rakan dan keluarga tidak henti-henti datang pada hujung minggu untuk meratapi kehilangan Quinn Schansman, penumpang yang mempunyai dua warganegara iaitu Belanda dan Amerika Syarikat.

Mereka mengadakan pertemuan di kawasan rumah berkenaan dan mengadakan upacara menghidupkan lilin putih sebagai tanda mengingati mangsa.

Tragedi itu juga memberi kesan kepada penerbit America Tonight Nicole Grether yang pernah belajar di sebuah sekolah tinggi di Hilversum.

"Saya tahu melalui status Facebook yang dimuat naik seorang rakan yang menceritakan segala-galanya mengenai pesawat berkenaan dan terkejut apabila melihat wajah seorang daripada mangsa ialahrakan baik saya, Pim De Kuijer," katanya.

Seorang remaja dari Comenius College, sebuah sekolah tinggi di Hilversum juga mengetahui mengenai tragedi itu melalui Facebook yang turut mengorbankan dua pelajar sekolah berkenaan, Zeger Van Heijningen and Chris Allen bersama kedua ibu bapa mereka.

Marianna Fuchs berkata, Allen baru saja menyambut kelahirannya yang ke-16, malah sebelum dia disahkan maut dalam nahas itu, status Facebook miliknya dihujani dengan ucapan kelahiran dan doa.

"Dia dilihat terlalu gembira dan tidak pernah seperti itu.

Selang beberapa hari kemudian, kami menerima berita kematian yang sungguh menyedihkan ini," katanya.

Foto

KERETA membawa mayat seorang mangsa nahas MH17 tiba di Hilversum.


- America Tonight.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

No comments:

Post a Comment