Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Potong tangan

Posted: 08 Jul 2014 11:04 AM PDT

Kota Bharu: "Belum sempat saya lempar, tiba-tiba mercun itu meletup dan saya mula merasa tangan kanan kebas serta darah keluar mencurah-curah," kata Abu Bakar Nasir, 17, yang kudung tangan kanan gara-gara mercun bola yang ditemuinya di tepi jalan, Sabtu lalu.

Kejadian berlaku jam 8.30 malam ketika pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiang Chandi, dekat Lubok Jong, Pasir Mas itu dalam perjalanan ke Masjid Tiang Chandi yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya untuk menunaikan solat Tarawih.

Abu Bakar berkata, ketika berjalan dia menemui mercun bola yang masih elok di tepi jalan dan mengutipnya sebelum membakar sumbu mercun itu menggunakan mancis.
"Saya pegang mercun itu menggunakan tangan kanan, namun sebaik api dinyalakan ia terus meletup sebelum sempat saya melemparnya.

Foto

ZALUZI (dua dari kiri) melawat Abu Bakar yang kehilangan pergelangan tangan kanan akibat bermain mercun sambil ditemani Che Limah (kiri).

"Dalam keadaan tangan berdarah, saya berlari semula ke rumah dan dibawa ke Hospital Lati, Pasir Mas oleh mak dan ayah untuk rawatan sebelum kes dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

"Keesokan harinya doktor memberitahu tangan saya hancur dengan tapak tangan dan empat jari hilang menyebabkan pergelangan tangan terpaksa dipotong," katanya ketika ditemui di HRPZ II di sini, semalam.

Terdahulu Abu Bakar menerima kunjungan jemaah Ahli Lembaga Pelawat HRPZ II diketuai Pengerusinya Zaluzi Sulaiman yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa yang menyampaikan sumbangan berbentuk hamper makanan dan duit raya kepada 23 pesakit.

Menyesal dengan perbuatannya, anak kelima daripada tujuh beradik itu memberitahu reda dan membiasakan diri dengan kecacatan dialaminya, apatah lagi dia bakal berdepan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada September.

Sementara itu, ibu Abu Bakar, Che Limah Haron, 45, berkata, tidak menduga bunyi letupan kuat yang didengari berdekatan masjid berpunca daripada tindakan anak lelakinya.

"Saya terkejut apabila mendapati tangannya cedera teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

MRT Corp nafi projek penyebab banjir

Posted: 08 Jul 2014 10:59 AM PDT

Kuala Lumpur: MRT Corp semalam menafikan dakwaan banjir kilat yang kerap berlaku di Jalan Sultan dan Jalan Petaling, di sini berpunca daripada pembinaan dua stesen Mass Rapid Transit (MRT) berdekatan.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awamnya Amir Mahmood Razak sebaliknya menjelaskan banjir itu mungkin berpunca akibat sistem peparitan awam tersumbat dengan mendapan, mungkin daripada tapak binaan lain bersebelahan tapak binaan MRT.

"Longkang yang mengalirkan air semasa hujan lebat, dipenuhi mendapan dan keladak dengan kebanyakannya hanya mengalirkan air pada kapasiti satu pertiga akibat purata dua pertiga longkang dipenuhi mendapan yang menyekat aliran air," katanya selepas tinjauan media kira-kira dua jam di tapak pembinaan stesen MRT Merdeka dan Pasar Seni di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Perhubungan Awam dan Komunikasi MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) Dr Bhavani Krishna Iyer dan beberapa wakil MGKT.

Foto

PETUGAS media diberi penerangan oleh wakil MRT Corp di Stesen Pasar Seni, semalam.


Amir berkata, baru-baru ini beberapa individu mendakwa tapak binaan MRT merupakan punca masalah banjir di kawasan itu, termasuk ada individu menerusi twitter mendesak pihak MRT menjawab dakwaan itu.


Dalam perkembangan sama, Dr Bhavani menegaskan tapak stesen MRT Merdeka terletak di tapak lebih tinggi dan bercerun menurun ke arah Jalan Hang Tuah dan bukannya ke arah Jalan Petaling dan Jalan Sultan, dengan itu tidak mungkin air dari tapak itu akan mengalir ke jalan berkenaan dan menyebabkan banjir.

"Sementara, tapak Pasar Seni teletak di bahagian bawah cerun di lokasi bertentangan iaitu tempat berlakunya banjir," katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

Jerat skim pasti untung

Posted: 08 Jul 2014 10:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang pembantu kedai emas di Kepong di sini, dikesan licik menipu dan melarikan puluhan jongkong emas bernilai RM200,000 dari ramai mangsa wanita selepas mendakwa boleh menggandakan emas berkenaan.

Suspek yang berusia 30-an itu didakwa menawarkan skim pelaburan 'pasti untung' kepada mangsa dengan menjanjikan pulangan jongkong emas dalam tempoh kurang dua bulan.

Sehingga kini suspek sudah menipu lebih 10 pelanggan dalam urusan jual beli jongkong emas sebelum menghilangkan diri.

Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Sherry, 40, berkata dia kerugian jongkong emas bernilai RM15,000 selepas ditipu wanita terbabit pada Mei lalu.


Menurutnya, kejadian bermula apabila dia mengunjungi kedai emas yang beroperasi di Kepong itu untuk membeli jongkong emas.


"Ketika itu saya dilayan seorang wanita yang bekerja di kedai emas itu. Saya menyatakan hasrat untuk membeli jongkong emas dan dia melayan saya dengan cukup mesra.

"Malah dia membantu saya untuk proses membeli satu jongkong emas dengan harga RM15,000. Saya berhajat membeli emas itu untuk simpanan peribadi," katanya.

Dia yang keluar dari premis itu selepas selesai membeli jongkong emas bagaimanapun dihampiri oleh wanita sama di hadapan kedai berkenaan.

"Wanita itu secara peribadi menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan lebih 100 peratus melalui skim pelaburan emas.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

Singgah Sentul

Posted: 08 Jul 2014 10:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Akhbar Harian Metro meneruskan lagi aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) menerusi Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2014 yang bakal diadakan di Masjid Amru Ibni Al 'As di Bandar Baru Sentul, di sini, pada Sabtu dan Ahad ini.

Kira-kira 1,000 penerima bantuan yang terdiri daripada anak yatim dan keluarga susah di sekitar Lembah Klang turut diraikan dalam TKHM kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Amru Ibni Al 'As Abdul Razak Hussain berkata, pihaknya tidak sabar menunggu ketibaan Harian Metro mengadakan aktiviti kemasyarakatan di masjid itu.

"Saya percaya dengan kehadiran Harian Metro, penduduk setempat akan turut serta dalam aktiviti yang dijalankan seterusnya dapat mendekatkan diri dengan masjid.

"Jemputan khas iaitu Datuk Mohd Zawawi Yusoh yang akan bersama penduduk dalam pelbagai aktiviti keagamaan juga menambah rasa keseronokan kami nanti," katanya, semalam.

Antara aktiviti yang akan diadakan pada program berkenaan tadarus Al-Quran, qiamullail, pertandingan mewarna kanak-kanak, sesi pemeriksaan kesihatan percuma dan banyak lagi.

Abdul Razak berkata, penganjuran tadarus Al-Quran dan Qiamullail yang diadakan bakal menarik lebih ramai golongan belia untuk mengimarahkan masjid itu.

"Bersempena bulan Ramadan ini juga, saya percaya lebih ramai yang akan menghadiri ceramah yang diberikan oleh jemputan khas.

"Akan menghebahkan mengenai TKHM selepas solat Jumaat sekaligus berharap lebih ramai penduduk setempat dapat menghadiri program kebajikan kali ini," katanya.

TKHM kali ini juga akan dihadiri Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Berhad Ab Latif Ab Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

Ifa Raziah selamat dibedah

Posted: 08 Jul 2014 10:55 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Ifa Raziah, 38, selamat menjalani pembedahan bagi membuang ketulan di kedua-dua belah payudaranya di sebuah hospital swasta di sini, malam semalam.

Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha berkata, ketulan itu mula dikesan pada 2011 dan dalam tempoh itu dia hanya mendapatkan rawatan biasa di hospital.

"Sebelum ini apabila rasa sakit, saya makan ubat yang diberikan doktor. Kesakitan akibat ketulan itu amat terasa jika saya penat bekerja atau 'stres'.

"Bagaimanapun, saya terpaksa terus bertahan kerana sibuk dengan aktiviti seni.

Foto

IFA Raziah selepas menjalani pembedahan.


"Jika saya melakukan pembedahan, saya memerlukan rehat panjang. Bagaimanapun, saya sering mendapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor. Namun, kebelakangan ini kesakitan itu semakin kerap menyerang dan saya mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan pada Ramadan ini," katanya ketika ditemui di wad hospital berkenaan, di sini, semalam.


Ifa dimasukkan ke hospital kira-kira jam 10 pagi kelmarin dan menjalani pembedahan selama lapan jam malam semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

No comments:

Post a Comment