Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pitam disengat tebuan

Posted: 27 Jul 2014 10:08 AM PDT

Kuala Pilah: Kegembiraan seorang remaja pulang berhari raya di kampung bertukar tragedi apabila dia cedera disengat seekor tebuan tanah, di rumah neneknya di Kampung Beting Ulu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, Mohd Amir Zakwan Asmuni, 15, sedang memotong rumput untuk persiapan Aidilfitri.

Bapa saudaranya, Mohd Jefri Pakemen, 37, berkata, dia melihat Amir membersihkan halaman rumah dan tiba-tiba Amir memberitahu kepalanya disengat.

"Saya terkejut diberitahu dia disengat lalu saya memeriksa kepalanya. Amir kemudian pitam dan dikejarkan ke klinik berhampiran," katanya.

Foto

ANGGOTA bomba memusnahkan sarang tebuan di dalam almari pakaian.


Menurutnya, hasil pemeriksaan dia menemui ratusan tebuan tanah dari dalam sebuah bilik tidur yang dipercayai terbang keluar melalui tingkap dan salah seekor menyengat kepala anak saudaranya.


"Rumah itu tidak dihuni tiga bulan sejak ibu, Siti Suraini, 82, menunaikan umrah. Sekembali dari menunaikan umrah, ibu terus menetap di rumah saya di Bangi, Selangor. Aidilfitri kali ini kami sekeluarga bercadang menyambutnya di kampung," katanya mereka sekeluarga baru tiba di rumah ibunya itu, pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

'Tiada istilah raya buat saya'

Posted: 27 Jul 2014 10:04 AM PDT

Alor Gajah: "Tiada lagi pelukan, ciuman dan huluran tangan daripada arwah untuk memohon maaf pada pagi Syawal," luah Maimon Sarpan, 74, ibu kepada ketua pramugara pesawat penerbangan MH17 Mohd Ghafar Abu Bakar, 54.

Bagi Maimon, Aidilfitri kali ini tidak lagi bermakna apabila anaknya itu terkorban ketika bertugas dalam nahas tragik yang turut mengorbankan 297 nyawa selepas pesawat berkenaan dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine.

Menurutnya, tragedi itu juga pasti membuatkannya merindui sikap manja, jenaka dan gelak tawa arwah setiap kali ketika berkumpul bersama ahli keluarga pada Aidilfitri di kediamannya di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah, di sini.

"Tiada istilah raya buat saya tahun ini, sunyi sepi...alam membisu. Selalu jika arwah ada, dia yang menjadi 'budak-budak' kerana bermain bunga api dengan anaknya.

Foto

MAIMON sedih terkenangkan Mohd Ghafar (gambar kecil) yang terkorban dalam nahas MH17.


"Sudah menjadi kebiasaan arwah dan keluarganya akan pulang selepas menziarahi pusara anak ketiga mereka di pagi Aidilfitri dan rumah ini menjadi lebih ceria dengan kepulangan mereka," katanya.


Menurutnya, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, dia tidak mempunyai semangat membuat sebarang persiapan raya sejak dari awal Ramadan termasuk membeli pakaian atau membuat kuih.

Katanya, dia juga tidak menyangka permohonan maaf Mohd Ghafar kerana tidak dapat beraya bersamanya Aidilfitri ini disebabkan tugas menjadi kenyataan selepas pesawat dinaiki terbabit nahas berkenaan.

"Aidilfitri ini adalah tahun pertama arwah tidak dapat beraya dengan saya, tetapi tidak sangka rupanya tidak dapat menyambut Syawal bersamanya buat selama-lamanya.

"Jika kebiasaannya saya membuat kuit tart kerana anak termasuk arwah suka memakannya, tidak tahu kenapa walapun tepung sudah dibeli sebelum tragedi itu lagi saya berasa berat hati untuk membuatnya," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

Gaza pilu sambut Aidilfitri

Posted: 27 Jul 2014 09:47 AM PDT

Tiada istilah Aidilfitri untuk rakyat Gaza pada tahun ini. Kehilangan lebih 800 rakyat Palestin yang gugur syahid selepas tercetusnya Perang 10 Ramadan sudah cukup menggambarkan betapa perit hari raya kali ini untuk warga Palestin.

Suasana hari raya juga tidak kelihatan di Palestin, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya yang masih meriah dengan kerlipan lampu serta ketawa riang kanak-kanak kecil menjelang takbir raya yang berkumandang hari ini.

Aidilfitri di Palestin pada tahun ini dilinangi air mata anak-anak kecil Palestin yang kehilangan orang dicintai, berikutan kemanusiaan sudah tercabul sejak tercetusnya perang ini dan yang tinggal hanya luka kesedihan akibat tindakan tidak prikemanusiaan tentera Israel yang membedil Bandar Gaza tanpa belas kasihan.

Biarpun berlakunya genjatan senjata sementara antara Hamas dan Israel bertujuan untuk menghormati Aidilfitri, namun keadaannya pasti tidak sama. Rakyat Palestin tiada 'nafsu' untuk merayakannya kerana sudah terlalu banyak kehilangan.

Foto

ASAP serangan bom menyelubungi ruang angkasa Gaza, semalam. Israel kembali menyerang awal semalam selepas Hamas didakwa mencabuli gencatan senjata dengan melancarkan misil.


Jika di Malaysia, anak-anak kecil sedang girang bergembira bersama sanak saudara menyambut Aidilfitri, namun keadaannya sangat berbeza di Palestin dan kanak-kanak kecil di sini hanya mengharapkan keamanan. selain linangan air mata yang bercucuran.


Ini suasana Palestin ketika ini. Saya turut bersedih dengan setiap kehilangan, setiap gugurnya rakyat Palestin dan setiap terhakisnya kemanusiaan yang jelas terlihat sepanjang Perang 10 Ramadan ini.

Saya sememangnya bersedih bukan kerana berkongsi kesedihan dengan mereka, tetapi saya turut merasa kehilangan apabila beberapa rakan karib saya turut gugur dalam menegakkan satu perjuangan yang dipanggil keadilan.

Ahmad Bala'wi dan Ali Seyam. Itu antara dua nama yang juga sahabat saya yang gugur syahid. Mereka dekat di hati saya, mereka kerap saya temui, berbual mesra, bergurau senda, bercerita perihal Palestin dan perjuangan. Namun mereka sudah tiada, sudah mengadap Allah Yang Esa.

Jauh di sudut hati saya, mereka amat dirindui, bukan saja kepada saya, malah kepada rakyat Palestin kerana biarpun negara mereka ditindas, dikoyak-koyak oleh rejim Zionis, namun hati mereka seputih salju.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

Insiden penuh hikmah

Posted: 27 Jul 2014 09:43 AM PDT

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu umat Islam di Malaysia mengambil iktibar daripada beberapa tragedi yang melanda negara mutakhir ini termasuk nasib malang menimpa rakyat Palestin.

Beliau berkata, semua ujian dan rintangan yang kebetulan berlaku dalam bulan Ramadan itu memberi pengajaran berguna mengenai keperluan membina kekuatan dan ketahanan umat Islam negara ini dalam menempuh pelbagai cabaran.

Malah, katanya, ia juga penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara Islam contoh yang progresif dan berdaya maju.

Perdana Menteri ketika menyampaikan Perutusan Aidilfitri 2014 mengingatkan umat Islam akan kepentingan kesatuan dan sentiasa berpadu dengan mengukuhkan ukhuwah Islamiah yakni persaudaraan yang tulen antara sesama Islam.

"Dengan itu, barulah umat Islam akan disegani, tidak dilihat lemah atau mudah diperkotak-katikkan oleh mereka yang lain," katanya.

Ucapan Perdana Menteri disiarkan secara langsung di televisyen tempatan.

Najib turut melahirkan rasa syukur kerana usul tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, diluluskan sebulat suara oleh semua wakil rakyat termasuk pembangkang pada persidangan khas Dewan Rakyat, Rabu lalu.

"Keputusan ini satu permulaan yang baik, untuk kita sebagai umat dan rakyat Malaysia, bertaut hati, dengan mengukuhkan solidariti sebagai satu negara, 1Malaysia," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri juga menyeru umat Islam mengambil iktibar akan ikhtiar yang sudah diambil dalam mempertegak dan mempertinggikan syiar agama, sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Beliau menarik perhatian di Malaysia, amalan Islam dipraktikkan dalam kerangka Maqasid Syariah melalui pendekatan wasatiyyah yang, sekali gus menolak fahaman ekstremisme dan liberalisme yang tidak selari dengan ajaran Islam.

Najib mengambil contoh penubuhan Lembaga Tabung Haji, institusi kewangan dan perbankan Islam selain institusi dan lembaga zakat di negeri-negeri sebagai antara langkah Malaysia menuruti syariat Islam.

Beliau dalam pada itu menekankan kepentingan membangunkan ilmu, kemahiran teknologi dan inovasi serta nilai insaniah demi kemaslahatan umat Islam di negara ini.

"Kita dapat saksikan kesungguhan kerajaan melakukan pengislahan demi pengislahan dalam aspek meningkatkan pendidikan dan modal insan rakyat supaya mampu bersaing dan setanding dengan negara maju lain.

"Antara nilai kejayaan itu seperti itqan yakni tekun, taa'wun iaitu budaya tolong menolong, berhikmah atau bijaksana dan amalan istiqamah serta taqwa.

Semua nilai ini sangat mustahak, dalam usaha kita mencapai status negara maju menjelang tahun 2020," katanya.

Justeru, beliau menyarankan semua umat Islam di negara ini sentiasa bertransformasi, bersiap siaga, melihat jauh ke hadapan dan membina harapan demi kemakmuran bersama.

Perdana Menteri sekali lagi merakamkan takziah dan balasungkawa serta kesedihan yang amat mendalam kepada semua mangsa korban tragedi MH17 termasuk anggota keluarga mereka.


"Sudah tentu, saya amat merasai serta tidak sanggup membayangkan betapa luluhnya hati mereka apabila bangun di pagi hari raya tanpa orang yang tersayang.

"Lantaran itu, banyakkan bersabar dan reda dengan ketentuan Ilahi.


Pastinya, banyak hikmah boleh dipelajari daripada peristiwa tragik ini," katanya.

Bagi pihak kerajaan, Najib merakamkan penghargaan atas sokongan pemimpin dan masyarakat dunia yang bersimpati dan menghulur bantuan kepada Malaysia bagi menghadapi insiden malang penerbangan MH370 dan MH17.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau tidak sesekali melupakan jasa dan anggota pasukan keselamatan sama ada yang masih bertugas di perbatasan mahupun yang sudah meninggal dunia.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia menghentikan segala sengketa dan menggalakkan amalan ziarah-menziarahi.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

Raya hanya berkurung

Posted: 27 Jul 2014 09:30 AM PDT

Gua Musang: "Sejak peristiwa itu Aidilitri saya hanyalah dengan berkurung di dalam rumah. Semuanya kerana wajah saya yang tidak lagi seperti dulu lagi," kata Nor Ain Abdul Aziz, 20, yang baru dua tahun pulih daripada melecur akibat disimbah cuka getah oleh bapa tirinya lima tahun lalu.

Bagaimanapun, gadis malang itu yang tinggal di Kampung Baru Mutiara, Aring 1, dekat sini, tidak berpeluang menjadi seperti dulu apabila wajahnya mengalami kecacatan akibat melecur dan kedua-dua matanya buta meskipun berulang kali menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Katanya, dia cuba melupakan peristiwa pahit itu namun adakalanya gagal mengawal perasaan apabila terkenang tindakan kejam bapa tiri yang turut merosakkan masa depannya.

"Ketika kejadian saya baru berusia 15 tahun dan belajar di tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Chiku namun sudah berdepan insiden itu yang menyebabkan saya menderita hampir seumur hidup.

Foto

NOR Ain (dua dari kanan) dikunjungi Zamzani yang menyampaikan sumbangan raya di rumahnya.


"Saya juga tidak tahu apa yang saya harus lakukan untuk masa depan saya dengan keadaan begini. Mungkin juga saya berkurung saja di rumah kerana tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

No comments:

Post a Comment