Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Gangsa untuk 'ibu hebat'

Posted: 27 Jul 2014 09:02 AM PDT

Glasgow: Ibu hebat! Begitulah ucapan Dayana Widyan Marhazli, dua tahun, apabila ibunya Nur Suryani Taibi (gambar) memenangi pingat gangsa 10m air rifle Sukan Komanwel kelmarin.

Biarpun masih kecil, Dayana petah bercakap dan dia sangat merindui ibunya lebih-lebih lagi apabila terpaksa berjauhan ketika menyambut Aidil Fitri hari ini.

"Pingat ini untuk dia yang sama-sama menemani saya sewaktu Sukan Olimpik London 2012," kata Suryani di Lapang Sasar Barry Buddon.

Dia mencatatkan 184.4 mata, tewas kepada dua penembak India, Apurui Chandela yang memenangi emas selepas mengumpul 206.7 mata dan perak milik Ayonika Paul, 204.9 mata.

Foto


Menurut pemenang pingat emas Sukan Komanwel New Delhi 2010 itu, kejayaan yang hadir di Glasgow adalah yang pertama selepas bersalin dan membesarkan Dayana.


"Saya berehat agak panjang bagi memberi masa untuk keluarga dan hanya aktif menembak awal tahun ini.

"Malah pemilihan saya ke Glasgow ini sebenarnya lebih kerana bonus berdasarkan kemunculan ramai penembak muda.

"Saya bersyukur pingat gangsa ini hadir beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri dan saya tidak sabar meraikannya bersama keluarga terutama Dayana," katanya.

Suryani menjadi fokus lensa dan media antarabangsa apabila menyertai Sukan Olimpik London dalam keadaan sarat mengandung.

Dia bagaimanapun gagal memenangi sebarang pingat namun semangat dan kegigihannya itu mendapat pujian ramai.

Menurut Suryani lagi, dia kini semakin bersemangat untuk membidik pingat emas apabila acara kegemarannya 50m rifle tiga posisi bermula hari ini.

"Insya-Allah saya akan memberikan saingan sebaik mungkin untuk mendapatkan pingat emas pula selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

Sayu beraya di perantauan

Posted: 27 Jul 2014 08:58 AM PDT

Hari ini masuk hari kedua langit Glasgow mendung sambil diselangi hujan renyai-renyai bermula petang hingga malam.

Hari ini juga, saya berada pada hari terakhir Ramadan yang mulia.

Esok, Syawal hadir dan seluruh umat Islam meraikan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Ini juga kemenangan buat saya yang kali pertama berpuasa di Eropah.

Di Scotland, kami berpuasa 19 jam dan bukan calang-calang orang boleh bertahan apatah lagi hanya beberapa jam selepas berbuka, kami terpaksa menyambung puasa.

Dugaan pula bukan kepalang terutama apabila sampai di penghujung Ramadan, laman Facebook serta sistem pesanan ringkas (sms) kami sarat dengan ucapan dan lagu-lagu raya serta gambar kesesakan lebuh raya seluruh Malaysia yang dimuat naik rakan di tanah air.

Foto

KATRINA Ann (kiri) bersama keluarga memberi kata-kata galakan kepada Farah Ann dan skuad negara di Glasgow.


Serentak itu, kampung halaman memanggil pulang.

Bila jauh di perantauan ini, barulah rasa sunyinya apabila menyambut Aidilfitri di perantauan.


Suasana sibuk ketika balik kampung, berjam-jam sesak diatas jalan raya, lagu raya tak henti di corong radio, bunyi mercun diselangi meriam buluh dan 'hidupnya' kampung dengan lampu pelita di setiap halaman rumah menjadi semakin kerap terbayang di minda.

Di kampung saya - Durian Tunggal, Melaka - petang terakhir puasa biasanya akan ada pesta membeli daging segar dan sarung ketupat.

Orang Melaka panggil 'mantai'.

Waktu beginilah kesempatan berjumpa rakan lama dan siapa tahu terserempak 'buah hati' zaman sekolah dulu.

Dan bila malam, surau dan masjid tidak henti-henti bertakbir raya dan di pagi Syawal, baju melayu sudah siap disediakan dan meja penuh dengan juadah ketupat, rendang dan lemang sebelum beramai-ramai ke masjid.

Begitulah kuatnya panggilan semangat raya ini hinggakan rakan sebilik saya tidak henti memasang lagu-lagu raya dendangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Allahyarham Datuk Ahmad Jais, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Allahyarham Puan Sri Saloma, Allahyarham Datuk Rafeah Buang, Allahyarham Datuk Sharifah Aini serta ramai lagi.

Semakin dekat menyambut Syawal, semakin kuat 'volume'nya.

Dia kemudian termenung panjang kerana kami di sini akan terus bertugas pada pagi Aidilfitri.

Mengambil semangat Hari Raya, kami bercadang memakai baju melayu dan berjalan ke Masjid Utama Glasgow menyusuri laluan pejalan kaki sepanjang Sungai Clyde .

Itu panduan yang diberikan seorang warga Malaysia di sini.

Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Aidilfitri dan maaf zahir batin kepada seluruh keluarga serta saudara mara, rakan sepejabat di Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times, pengamal media lain, rakan-rakan DIB-ITM 82-85 dan semua yang mengenali saya.

Salam dari saya dan jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

Mohd Hafifi kota janji

Posted: 27 Jul 2014 08:52 AM PDT

Kuala Terengganu: Bayangkan 'ma' (ibu) berada di depan menyaksikan Hafifi beraksi dan jangan lupa berselawat sebelum mengangkat bebanan seberat 69 kilogram," itulah kata-kata semangat Noor Rizan Embong, 48, kepada anaknya, Mohd Hafifi Mansor, 25, yang menjadi penyumbang pingat emas pertama negara dalam acara angkat berat di Sukan Komanwel 2014 di Glasgow.

Ketika menghubungi anaknya semalam, Noor Rizan juga menasihatkan Mohd Hafifi agar tidak lupa melaungkan perkataan 'ma' seperti diamalkan pada setiap kali menyertai pertandingan angkat berat sejak berusia 14 tahun.

Bagaimanapun, ibu tunggal enam anak itu terkilan kerana tidak dapat menyaksikan Mohd Hafifi mengangkat bebanan walaupun berjanji menyaksikannya beraksi melalui siaran langsung disiarkan televisyen, kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

"Hafifi sekali lagi menelefon saya mengucapkan terima kasih selepas selesai menjalani ujian doping, dua jam selepas beraksi.


"Dia juga sempat mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri dan memohon keampunan atas kesilapan dilakukannya serta berjanji kepingan kilauan emas pertama negara diperolehi adalah hadiah paling bermakna dan berharga sempena lebaran tahun ini," katanya ketika ditemui di kediamannya di Lorong Pmint Perdana 1, di sini, semalam.


Menurutnya, kejayaan Mohd Hafifi merangkul pingat emas pertama pada pertandingan di pentas antarabangsa pagi semalam adalah hasil ketekunan dan usahanya menjalani latihan.

"Memang dia ada berjanji sesuatu untuk hadiahkan kepada saya sesuatu sebelum ke Glasgow jika menang emas, tetapi yang jelas dia janji bawa pulang pingat emas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

'Skuad campuran' taruhan Kim Swee

Posted: 27 Jul 2014 08:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee menaruh keyakinan tinggi dengan kemampuan anak buahnya memberi saingan di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan, meskipun mempertaruhkan 'skuad campuran'.

Mengikut perancangan, pengendali berusia 43 tahun itu akan menggabungkan 12 pemain skuad Harimau Muda A yang kini beraksi dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Australia dengan 13 pemain Liga Super dan Liga Perdana.

Bagaimanapun, apa yang menyulitkannya masa yang agak singkat untuk mengumpul kesemua pemain sebelum berlepas ke Incheon pada 13 atau 14 September ini.

"Saya hanya boleh kumpul kesemua pemain ketika saingan Piala Malaysia berehat pada 3 September ini.

Dalam sesi latihan itu saya akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan satu pasukan tempatan pada 6 September dan selepas itu kami akan ke China untuk menentang skuad B-23 China di Qingdao pada 10 September sebelum ke Incheon.

"Masa yang ada agak singkat untuk saya mencorak strategi kerana akan menggabungkan pemain Harimau Muda A dan pemain luar termasuk tiga pemain lebih umur 23 tahun," katanya kepada Arena Metro.

Bagaimanapun sedikit melegakan buat Kim Swee kerana kebanyakan pemain luar yang bakal dipanggil menyertai skuad B-23 itu bekas anak didiknya ketika bersama Harimau Muda A.

"Apa yang positif adalah kebanyakan pemain luar bekas pemain Harimau Muda A seperti Wan Zack Haikal (Wan Noor), Mohd Fadhli Shas, Wan Zaharulnizam (Zakaria), A Thamil Arasu, Irfan Fazail, Rozaimi (Abd Rahman) dan Nazmi (Faiz Mansor).

Saya amat mengenali pemain ini kerana pernah bersama saya sebelum ini," katanya.

Namun, apa yang menjadi persoalan tahap kecergasan dalam perlawanan beberapa pemain yang lebih banyak memanaskan kerusi simpanan bersama pasukan masing-masing.

"Walaupun pemain ini pernah bersama saya tapi apa yang merisaukan mereka jarang beraksi, malah ada di antaranya langsung tidak diturunkan dalam perlawanan liga sebelum ini.

Foto

KIM Swee


Saya harap mereka ini masih mempunyai tahap kecergasan yang baik," kata Kim Swee.

Bagi kuota tiga pemain lebih umur, jurulatih itu akan memanggil pemain pertahanan dari Johor Darul Ta'zim Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak dan S Subramaniam, pemain tengah Kelantan, Brendan Gan, penyerang Polis Diraja Malaysia, Bobby Gonzales dan Mohd Nor Farhan Muhammad dari Terengganu bagi sesi pemilihan.

Skuad kendalian Kim Swee diberikan sasaran sekurang-kurangnya menyamai pencapaian 2010 di Guangzhou, China apabila mara ke pusingan kedua dengan menduduki tangga ketiga Kumpulan A sebelum tumpas kepada Iran 1-3.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

Peluang Harimau B tebus hampa

Posted: 27 Jul 2014 08:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad Harimau B kendalian Mohd Razip Ismail berpeluang menebus duka di Liga Singapura (Liga-S) apabila tampil bersaing di Piala Hassanal Bolkiah 2014 yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 23 Ogos ini.

Barisan pemain bawah 21 tahun negara itu mengharungi saingan mengaibkan di Liga-S apabila menghuni tangga tercorot dalam 12 pasukan yang bertanding dengan sekadar mencatatkan tiga kemenangan selepas tampil dalam 18 perlawanan.

Hakikat itu diakui Razip yang mahu pemain mempamerkan kebangkitan apabila bersaing di Brunei dengan Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama tuan rumah yang juga juara bertahan, Brunei selain Vietnam, Singapura dan Kemboja manakala Thailand mengetuai Kumpulan A bersama-sama Myanmar, Laos, Filipina dan Timor-Leste dengan dua pasukan teratas melangkah ke separuh akhir.

"Liga-S sememangnya bukan tahap kami, namun dalam aspek pendedahan sememangnya banyak yang kami terima.

Ia sesuatu yang bagus untuk pemain muda dan saya berharap pengalaman yang mereka timba di Liga-S mampu diterjemahkan ke kejohanan ini.

"FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) belum menetapkan sebarang sasaran, namun saya secara peribadi berharap kami mampu melangkah ke separuh akhir.

Walaupun sukar kerana ini kejohanan antarabangsa pertama skuad ini, jika pemain mampu beraksi dengan baik dan bebas daripada kecederaan, ia mampu direalisasikan," katanya dengan penuh yakin.

Skuad bawah 21 tahun negara tidak mempunyai sebarang kejohanan utama tahun ini selepas kelayakan Piala Asia Bawah 22 yang sepatutnya berlangsung pada pertengahan tahun ini ditunda ke tahun depan.

Mengenai saingan Liga-S, Razip berkata, misinya kini bagi memastikan Harimau Muda B tidak menamatkan kedudukan di kedudukan tercorot dengan pusingan kedua berbaki tiga perlawanan.

"Selepas menamatkan pusingan kedua, kami akan meneruskan saingan pusingan ketiga membabitkan pasukan di kedudukan ketujuh hingga 12.


Jadi misi utama kami mengelak daripada berada di kedudukan tercorot," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

Tak mungkin kami lepas: azman

Posted: 27 Jul 2014 08:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas menamatkan penantian 21 tahun menjulang Piala Malaysia musim lalu, Pahang melaungkan amaran kepada pencabarnya untuk terus mengekalkan mahkota kejuaraan.

Ketua pasukan Mohd Razman Roslan berkata, kesemua rakan sepasukan kini berada dalam keadaan terbaik dan sudah bersedia untuk misi mempertahankan Piala Malaysia bermula 13 Ogos.

Menyedari halangan pertama bakal hadir dari JDT II, Razman bagaimanapun tidak akan membenarkan lawan meraih sebarang mata kerana mahu memastikan mereka mengucup piala berprestij itu.

"Kami akan lakukan apa saja untuk mempertahankan Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Walaupun cabaran kali ini lebih getir berbanding musim lalu, saya percaya pengalaman yang kami miliki akan menjadi aset paling berharga kepada pasukan.

"Bagi saya, LionsXII dan FELDA United bukan calang-calang pasukan, tetapi kami tidak boleh ambil mudah cabaran JDT II.

Saya harap perjalanan Pahang di peringkat kumpulan berjalan lancar," katanya.

Razman, 30, yang sudah merangkul dua gelaran musim ini membabitkan Piala FA dan Piala Sumbangsih, mengingatkan rakan sepasukan berwaspada dan tidak terlalu yakin hingga boleh memakan diri sendiri.


"Usaha untuk mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia amat sukar kerana pasukan lain pasti berusaha untuk merampasnya daripada kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

'Saya tak terdesak'

Posted: 27 Jul 2014 08:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih negara Jamaluddin Hassan masih belum berminat menggunakan khidmat dua tekong, Tunku Nor Azwari Tunku Ishak dan Noor Azman Abd Hamid yang menimba ilmu di Liga Takraw Thailand (TTL) sejak awal tahun ini.

Skuad negara akan mengharungi saingan Piala Raja Thai di Fashion Island, Bangkok menentang pasukan terbaik dunia pada awal bulan depan.

"Saya baru saksikan persembahan Azman di Piala Emas Khir Johari baru-baru ini, namun belum berkesempatan melihat aksi Nor Azwari.

Bagaimanapun saya rasakan tidak perlu untuk memanggil mereka ketika ini kecuali kedua-duanya mampu mempamerkan perubahan ketara.

"Saya fikir cukuplah dengan lapan tekong dalam skuad negara ketika ini.

Kami masih belum terdesak untuk mencari tekong baru," katanya.

Kedua-dua bekas pemain negara itu beraksi bersama Kelab Takraw Phrae (PTC) dari Februari hingga bulan lalu dan menamatkan saingan liga di kedudukan ketujuh daripada 10 pasukan yang bertanding Mengenai saingan di Piala Raja Thailand, Jamaluddin berkata, tiada sasaran khusus ditetapkan kerana tumpuan utama untuk membentuk dan mencari kombinasi mantap menjelang Sukan Asia di Korea Selatan, September ini.

"Kami akan membawa 15 pemain ke kejohanan itu dengan harapan mereka mampu mempamerkan persembahan terbaik apabila kami memberi peluang terutamanya di pentas tertinggi seperti ini," katanya.

Skuad takraw berdepan tekanan hebat untuk meraih emas pada temasya utama terutamanya di Sukan SEA dan Asia selepas kegagalan berterusan.

Kali terakhir skuad negara memenangi emas di Sukan SEA pada edisi 2005 di Filipina manakala di Sukan Asia di Hiroshima, Jepun pada 1990.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

Persediaan tanpa hala tuju

Posted: 27 Jul 2014 08:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Seperti anak ayam kehilangan ibu, itu yang berlaku kepada pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh selepas jurulatih Julian Winn meninggalkan pasukan itu sejak berakhirnya perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 sejak awal Mac lalu.

"Kini kami belum ada jurulatih dan saya akui ia menjejaskan persiapan untuk beraksi dalam beberapa perlumbaan selepas Aidilfitri," katanya.

Pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu mengakui dia hanya berlatih pada waktu malam bersama pelumba lain di negeri itu.

"Saya berlatih untuk mengekalkan prestasi kerana selepas ini akan beraksi di Jelajah Hainan (Oktober) dan Jelajah Jawa Timur (September) namun persiapan ini tanpa jurulatih.

Bagi saya jurulatih terbaik yang pernah dimiliki TSG hanya Sebastien Duclos." Harrif yang juga pelumba pecut bagi acara lebuh raya, mengakui jika ada seorang jurulatih tetap ia sedikit sebanyak mampu menaikkan motivasi pelumba TSG.

"Jika ada jurulatih, sekurang-kurangnya mereka mampu menekan kita untuk menjadi lebih bagus," katanya yang meletakkan sasaran untuk kembali menyerlah di Hainan nanti.

Ini bermakna perlumbaan Jelajah Jawa Timur boleh dianggap persediaan terbaik buatnya, jika menang ia boleh dianggap sebagai bonus.

"Saya akui kini tidak banyak perlumbaan, mungkin lepas Hari Raya ini saya hendak tebus semula di mana-mana kejohanan, saya nekad mahu naik podium.

"Saya tidak puas hati dengan prestasi di LTdL tahun ini, selepas terbabit kemalangan dan ia menjejaskan rentak kayuhan saya.

Saya jadi seperti takut hendak bersaing dalam kelompok besar menuju ke garisan penamat," katanya.

Harrif terbabit dalam kemalangan di peringkat kedua LTdL 2014 dari Sungai Petani ke Taiping dengan dia menduduki tempat ke-30 bagi kedudukan keseluruhan Raja Pecut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

Zaqhwan tunggu tiket wild card

Posted: 27 Jul 2014 08:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba berbakat negara Mohd Zaqhwan Zaidi berharap dapat beraksi menerusi tiket wild card pada saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 24 hingga 26 Oktober.

Zaqhwan yang bernaung di bawah pasukan Givi Honda Yuzy Racing pada saingan Kejuaraan Cup Prix Malaysia berkata, dia sememangnya cukup teruja jika mendapat peluang beraksi pada saingan bertaraf dunia itu, apatah lagi di halaman sendiri.

"Kalau ada peluang untuk beraksi pada saingan MotoGP, sudah tentu saya tidak akan sia-siakan peluang itu.

"Sebab pengalaman beraksi pada kejohanan seperti MotoGP sememangnya memberi banyak pengalaman kepada diri saya sendiri," katanya.

Zaqhwan mengakui pasukannya serta Honda sendiri ada berbincang mengenai perkara itu tetapi tidak secara rasmi.

"Mereka ada nyatakan minat melihat saya beraksi menerusi tiket wild card.

Apapun terpulang kepada pasukan dan Honda.

"Kalau mereka rasa saya layak diberi peluang, saya akan cuba melakukan yang terbaik," katanya.

Zaqhwan antara pelumba cukup berpotensi ketika ini dan berdasarkan pengalamannya beraksi di Cub Prix serta Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), dia dijangka menjadi pilihan utama untuk meraih tiket wild card menerusi kategori Moto2 pada saingan Oktober nanti.

Pada Jun lalu, Zaqhwan mengharumkan nama negara apabila menamatkan perlumbaan Supersports di tempat kesembilan Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) menerusi tiket wild card.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

Rooney wira United

Posted: 27 Jul 2014 08:45 AM PDT

Denver: Wayne Rooney menjaringkan dua gol manakala Juan Mata menambah satu lagi gol untuk membantu Manchester United mengalahkan AS Roma 3-2 pada aksi persahabatan semalam.

Keputusan itu meneruskan rentak kemenangan di bawah kendalian pengurus baru Louis van Gaal selepas mereka mencatat kemenangan besar 7-0 pada perlawanan pertama ke atas Los Angeles Galaxy dalam jelajah pra-musim United di utara Amerika, Rabu lalu.

Pada pertemuan menentang kelab Serie A itu, Roma mendominasi awal babak pertama tetapi Rooney berjaya mencuri tumpuan dengan jaringan pada minit ke-36 apabila merembat masuk bola dari jarak 25 ela selepas mendapat hantaran Mata.

Dua minit kemudian, Rooney mencipta gerakan untuk Mata menyumbat gol kedua dan Rooney menjadikan kedudukan 3-0 menerusi sepakan penalti sebelum babak pertama tamat selepas pemain baru Roma Urby Emanuelson menjatuhkan Danny Welbeck.

Miralem Pjanic menjaringkan gol pertama Roma dengan penuh bergaya pada minit ke-75 apabila membuat sepakan lambung dari jarak jauh untuk menewaskan penjaga gol gantian United Ben Amos.

Francesco Totti menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-89 untuk menghangatkan lagi pertarungan.

Formasi 3-4-1-2 yang diterapkan oleh Van Gaal sekali lagi berkesan dan United bermain dengan bertenaga meskipun di dalam cuaca panas.

"Ia sesuatu yang menarik untuk beraksi selama 45 minit dan ia tambah manis apabila menjaringkan gol jadi saya gembira dengan keputusan itu," kata Rooney.

"Namun apa yang penting untuk kami mendapatkan semula kecergasan...

ia perkara yang perlu kami tingkatkan namun secara keseluruhan kami gembira dengan kemenangan ini." Perlawanan itu menarik minat 54,000 penonton untuk membanjiri stadium Sports Authority Field, gelanggang pasukan NFL Denver Broncos.- AFP

Foto

ROONEY (tengah) kembali mendapat sentuhanA.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

No comments:

Post a Comment