Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Penunggang motor maut dirempuh lori

Posted: 01 Jul 2014 04:04 PM PDT

Ipoh: Seorang penunggang motosikal maut selepas kenderaannya dirempuh sebuah lori yang terbabas di Jalan Pasir Puteh, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Lee Boon Ken, 28, maut di tempat kejadian dan pemandu lori turut cedera parah.


Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, pemandu lori terbabit cedera akibat bahagian depan kenderaannya remuk selepas merempuh motosikal mangsa dan merempuh sebatang pokok di tepi jalan.

"Akibat daripada rempuhan kuat itu, penunggang motosikal maut di tempat kejadian dan pemandu lori pula cedera.


"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama bagi menerima rawatan, bagaimanapun identitinya masih belum dikenal pasti setakat ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berpunca dari lori berkenaan yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Simpang Pulai, di sini, yang terbabas lalu memasuki ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa.

Foto

KEADAAN lori yang bertembung motosikal, semalam.

"Siasatan lanjut berhubung kemalangan maut itu masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02

Umi 'pergi' bawa 2 adik

Posted: 01 Jul 2014 03:40 PM PDT

Tanah Merah: "Ketika kami terlupa mengangkat kain di ampaian semalam (kelmarin), Umi terlalu marah dan tidak pernah saya melihat dia berkelakuan garang seperti itu.

"Saya pun tidak tahu mengapa dan tidak sangka, itu kali terakhir kami dapat melihat Umi," kata Ikram Ifi Ubaidullah, 13.

Dia anak kepada Norsuzilawati Husin, 39, yang maut dalam kemalangan bersama dua anak lain, Irfan Azmi Qayyum, 12 dan Iqbal Haris Putra Ubaidullah, 5, selepas kereta dinaiki terbabas dan terhumban ke dalam sungai dalam kejadian di Sungai Rotan Air Tawar, Kampung Panglima Bayu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari itu, ibu kepada tujuh anak yang juga seorang peniaga barang keperluan harian dipercayai membawa anaknya keluar berniaga dan dalam perjalanan dari Tanah Merah ke Jeli.

Foto

ANGGOTA bomba menarik kenderaan mangsa yang terbabas ke Sungai Rotan Air Tawar, semalam.


Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan itu, kereta Proton Iswara Aeroback dinaiki mangsa secara tiba-tiba terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam sungai.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02

Madihah papah ibu kali terakhir

Posted: 01 Jul 2014 03:39 PM PDT

Kota Bharu: "Anak saya sanggup berulang-alik pulang ke rumah untuk menjaga ibunya yang sakit setiap minggu sejak dua tahun lalu," kata Nik Mohd Kamal Husin, 46, bapa kepada Nik Nur Madihah, pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 20A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 lalu.

Ibu Nik Nur Madihah, Mariani Omar, 47, meninggal dunia empat hari lalu kerana menghidap penyakit paru-paru kronik pada jam 6.45 pagi di samping wanita itu dan tiga beradik lain.


Nik Mohd Kamal berkata, Nik Nur Madihah, 23, sanggup pulang ke rumah setiap minggu daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak ke Kota Bharu untuk menjaga ibunya yang sakit, sedikit sebanyak mengganggu fokusnya dalam pelajaran. "Sebelum arwah meninggal dunia, Nik Nur Madihah yang sedang bercuti semester adalah orang terakhir yang sempat memapah arwah masuk ke dalam bilik air dan tidak lama selepas itu arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan mudah dan tenang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan bekas pelajar Sekolah Maahad Muhammadi (Perempuan) itu mendapat 1A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Kesusasteraan Melayu, Geografi, Bahasa Arab Tinggi dan Matematik Tambahan.


Selain itu, anak nelayan itu turut memperoleh 1A bagi mata pelajaran Perdagangan, Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, English for Science and Technology dan serta 2A bagi subjek Biologi.


Kecemerlangan anak jati perkampungan nelayan, Kampung Parang Puting, dekat Pantai Sabak ini turut mendapat perhatian kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) apabila menerima sebuah rumah banglo bernilai RM130,000 di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, di sini.

Selain itu, Nik Mohd Kamal berkata, Nik Nur Madihah yang kini belajar di UIAM dalam jurusan Syariah juga sanggup membuat permohonan memendekkan tempoh pengajian bagi menamatkan pengajian lebih awal untuk menjaga ibunya. "Perancangan awal Nik Nur Madihah mahu memendekkan tempoh pembelajaran daripada empat tahun ke dua tahun setengah kerana mahu menjaga ibunya yang sakit.


"Namun, Tuhan lebih menyayangi arwah dan dia meninggalkan kami buat selama-lamanya sebelum sempat Nik Nur Madihah berbuat demikian dan kami reda dengan pemergiannya," katanya. Menurutnya, Nik Nur Madihah paling terganggu dengan pemergian ibunya itu kerana mereka sangat rapat dan sering berkongsi perasaan susah senang bersama. "Dua tiga hari ini saya lihat emosinya masih terganggu. Saya juga minta buat masa ini, pihak media tidak menemu bual anak saya itu kerana bimbang soalan yang diajukan mengguris perasaannya.

"Saya harap pemergian ibunya ini tidak mengganggu pelajarannya, malah berharap dia dapat buktikan kehilangan orang tercinta ini tidak menghalangnya untuk terus berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02

'Hijrah saya ikhlas'

Posted: 01 Jul 2014 03:37 PM PDT

Kuala Lumpur: "Alhamdulillah akhirnya apa yang saya inginkan selama ini dapat juga direalisasikan dengan sempurna. Walaupun pernah terbit rasa ragu, tapi inilah yang saya ingin dan bersyukur ruang itu diberikan dengan baik untuk saya berhijrah dan bertudung," kata pengacara dan pelakon jelita, Noor Neelofa Mohd Noor, 25, mengenai penampilan terbarunya yang kini bertudung.

Pengacara program Nona dan MeleTop yang popular dengan panggilan Lofa itu turut menyifatkan penghijrahannya adalah ikhlas dan tiada paksaan.

"Bukan atas sebab lain atau sebarang perkara yang membuatkan saya membuat keputusan bertudung, sebaliknya memang sudah lama saya fikirkan soal ini. Tiada pihak yang mencadangkan, jauh sekali memaksa kerana penghijrahan ini ikhlas, peribadi, jujur dan rela.

"Tak perlu saya kongsikan situasi atau apa yang membuatkan saya untuk berubah kerana biarlah ia kekal menjadi peribadi saya," katanya ketika dihubungi, semalam.


Lofa berkata, dia bertudung kerana mengikut kata hati selepas lama berdoa untuk mencari jawapan sama ada untuk berubah kepada imej baru ini atau kekal dengan sebelumnya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02

Perakuan ingkar terhadap Zarina Anjoulie

Posted: 01 Jul 2014 03:37 PM PDT

Kuala Lumpur: Anak lelaki kepada seorang ahli perniagaan memfailkan perakuan ketidakhadiran terhadap pelakon Zarina Anjoulie dan dua yang lain dalam kes saman penipuan ke atas nombor pendaftaran kereta mewah milik bapanya.

Peguam Persekutuan, Nur Aqilah Ishak ketika ditemui berkata, Kevin Shah Kadar Shah selaku plaintif memfailkan perakuan ketidakhadiran terhadap Zarina, K Seng Motor dan seorang individu, Mohd Saibong Mat Salleh yang dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu.


Nur Aqilah berkata, dengan memfailkan notis itu, plaintif boleh mendapatkan penghakiman ingkar terhadap ketiga-tiga defendan berkenaan. Peguam Kevin Shah, J Jeev Anand mengesahkan Zarina gagal memasukkan kehadiran terhadap tuntutan saman itu.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Malaysia yang turut dinamakan sebagai defendan bersetuju menyelesaikan kes saman itu.


Hakim, Datuk Hue Siew Kheng merekodkan penghakiman persetujuan dalam kamarnya, di sini, semalam.


Mengikut terma persetujuan, Pengarah JPJ Selangor (defendan pertama) akan menukar semula nombor pendaftaran WTN 8850 ke atas sebuah motosikal Honda kepada kereta BMW 320I dengan nombor pendaftaran BLP 8858 dalam masa 30 hari daripada perintah dikeluarkan.

Selepas penukaran itu, defendan pertama dengan serta-merta membatalkan pendaftaran motosikal didaftarkan atas nama Kadar Shah Sulaiman (si mati) dan pembatalan itu berkuat kuasa sejak 14 Februari 2012.


Defendan pertama juga akan mengeluarkan satu perakuan pendaftaran baharu untuk kereta BMW terbabit atas nama Kevin Shah sebagai pentadbir harta pusaka si mati.

Dalam pernyataan tuntutannya, Kevin Shah berkata, pada sekitar Mei 2010, bapanya membeli kereta terpakai BMW dengan nombor pendaftaran WTN 8850 didaftarkan atas nama si mati pada 17 Mei 2010 dan dipinjamkan kepada Zarina Anjoulie bagi jangka masa tertentu.


Katanya, ketika mendapatkan kembali milikan kereta itu daripada bank selepas membayar tunggakan ansuran, didapati kereta itu mempunyai nombor pendaftaran BLP 8858 manakala carian di kementerian menunjukkan nombor plat WTN 8850 didaftarkan ke atas sebuah motosikal Honda yang juga dimiliki si mati.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02

No comments:

Post a Comment