Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Hilang tiga jari

Posted: 06 Jul 2014 12:24 PM PDT

Kota Bharu: Kelantan merekodkan mangsa pertama mercun selepas lapan hari umat Islam berpuasa apabila seorang remaja berusia 14 tahun putus tiga jari akibat bermain mercun botol dalam kejadian di Kampung Gual Periok, Rantau Panjang, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Mohd Idham Syafiq Mohd Tahir yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok dikejarkan ke Hospital Pasir Mas (HPM) sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Anak ketiga daripada lima beradik yang juga anak yatim itu kini ditempatkan di Wad Chempaka di hospital berkenaan.

Menurut Mohd Idham Syafiq, kejadian berlaku pantas apabila mercun yang dipegangnya tiba-tiba meletup ketika dinyalakan.

Foto

MAZLAN (kanan) melawat mangsa.

Foto

KEADAAN tangan mangsa yang terkena mercun botol.


"Sebelum bermain mercun, saya dan rakan ke lokasi terletak kira-kira satu kilometer (km) dari rumah di Kampung Luar Gual Periok kerana bimbang dimarahi datuk.


"Ketika menyalakan mercun pertama, tiba-tiba ia meletup. Saya kemudian melihat tangan sudah dipenuhi darah sebelum rakan membawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) dengan menunggang motosikal," katanya.

Manakala, datuknya Mohd Rashid Ibrahim, 59, mengakui terkejut apabila tiba-tiba dimaklumkan cucunya itu berada di hospital.

"Saya tiada di rumah ketika kejadian dan hanya diberitahu cucu dimasukkan ke hospital. Setiap kali musim raya, saya selalu mengingatkan dia supaya tidak bermain mercun, tetapi tidak sangka kejadian buruk ini menimpa cucu sendiri," katanya.

Terdahulu, Mohd Idham Syafiq menerima lawatan dan menerima sumbangan daripada Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim kira-kira jam 11.30 pagi.

Sementara itu, Mazlan berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan mengelak daripada bermain mercun terutama kanak-kanak dan remaja.

Katanya, mercun terbabit bukan saja mendatangkan kecederaan parah, tetapi juga boleh menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Bakar isteri nikah seminggu

Posted: 06 Jul 2014 12:20 PM PDT

Kangar: "Abang! Tolong, tolong sayang." Itu jeritan seorang isteri selepas disimbah dengan petrol sebelum dibakar suaminya sendiri akibat cemburu buta di Kampung Abi Padang Machang, di sini, semalam.

Akibat tindakan di luar batas kemanusiaan suaminya pada jam 9.30 pagi itu, tubuh mangsa terbakar 85 peratus dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

Difahamkan, pasangan itu baru seminggu bernikah di negara jiran, namun mangsa yang menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-23 semalam dibakar suami kerana didakwa menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.

Jeritan sayu mangsa, Shafikah Ismail meminta tolong dari dalam bilik didengari nenek kepada suaminya yang ketika itu baru pulang dari pasar.

Foto

LOKASI kejadian wanita dibakar suaminya.


Nenek suspek yang enggan dikenali berkata, mereka sekeluarga sepatutnya mengadakan kenduri kesyukuran sempena hari lahir mangsa ke-23, semalam, tetapi dikejutkan dengan kejadian di luar jangkaan.


Menceritakan kembali kejadian, wanita itu berkata, sejurus mendengar jeritan mangsa dia meluru ke bilik berkenaan dan terkejut melihat badan mangsa sedang terbakar.

"Cucu saya (suspek) juga cuba memadamkan api dengan mengambil air dan mencurahkan ke badan isterinya, dia juga mengalami kecederaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Johor dipercayai melecur hampir keseluruhan badan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan.

"Mereka berkenalan di sebuah kolej swasta di Perak sebelum bertunang setahun lalu dan mendirikan rumah tangga lebih awal dengan bernikah di Thailand, seminggu lalu.

"Saya tidak mengetahui punca kejadian itu kerana mereka berdua dilihat mesra dan tidak mempunyai masalah. Kejadian yang berlaku mengejutkan semua ahli keluarga termasuk ibu dan bapa cucu saya yang bekerja di Langkawi," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

'Memen derita barah sejak Mac'

Posted: 06 Jul 2014 12:18 PM PDT

Shah Alam: "Sepanjang terlantar di hospital, Memen (Rezaiman) sering memaklumkan kepada rakan dan ahli keluarga termasuk saya mengenai keadaan tahap kesihatannya. Mungkin nak beritahu kami arwah ok," kata pelakon, Diana Rafar mengenai anak saudaranya Rezaiman Keiflin, 12.

Allahyarham Rezaiman, anak kedua pelakon Linda Rafar hasil daripada perkahwinan pertama bersama bekas suami Keifli Othman disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, kira-kira jam 5.30 petang kelmarin akibat ketumbuhan kronik dalam perut.

Menurut Diana, anak saudaranya itu mula dimasukkan ke hospital sejak Mac lalu selepas mengadu sakit perut, namun penyakitnya itu dapat dikesan beberapa minggu selepas dimasukkan ke hospital.

"Pada peringkat awal Memen dihantarkan ke HUKM sekitar Mac lalu namun ramai yang tertanya-tanya kerana tidak mengetahui penyakit yang dihidapnya.

Foto

LINDA (kiri) menyiram air mawar di pusara Memen yang meninggal dunia akibat ketumbuhan kronik dalam perut di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, semalam.


"Apabila penyakitnya dapat dikesan, ia sudah terlambat kerana ketika itu, Memen menghidap barah peringkat keempat.


"Bagaimanapun, Memen tidak menderita berterusan kerana kesakitan itu datang secara sekali-sekala. Malah, Memen juga dibenarkan pulang ke rumah dan sering berulang-alik dari rumah ke hospital," katanya ketika ditemui selepas pengebumian anak saudaranya itu di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini, semalam.

Kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga hadir pada majlis pengebumian semalam termasuk rakan artis antaranya Norman Hakim, Memey, Sasha Saidin dan Mazlan Pet Pet.

Katanya, sebelum menghembuskan nafas terakhir, Memen ada mengalami kesakitan dan semalam (kelmarin) keadaan kesihatannya semakin kritikal sehingga menyebabkan beliau terpaksa menggunakan bantuan alat pernafasan.

Tambahnya, kira-kira satu jam selepas mendapat bantuan alat pernafasan, Memen meninggal dunia kira-kira jam 5.30 petang selepas lima bulan menderita.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Tenggelam dek bazar

Posted: 06 Jul 2014 12:14 PM PDT

Kuala Lumpur: "Persiapan kami selama 11 bulan dengan harapan mendapat pulangan setimpal menjelang Ramadan sia-sia. Selepas kawasan ini kami tanam dan baja hingga menjadi tumpuan ramai, akhirnya orang lain datang menuai."

Itu keluhan Pengerusi Peniaga Wisma Yakin Datuk Maiden Kadir Shah mewakili lebih 40 peniaga di Wisma Yakin, Jalan Masjid India di sini, yang berdepan masalah perniagaan mereka setiap kali tiba Ramadan sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, terbaru, gerai penjaja yang membanjiri Jalan Masjid India sempena Ramadan tahun ini bukan saja menghadang premis mereka daripada dilihat orang ramai malah laluan masuk ke premis juga ditutup.

Keadaan itu menyukarkan mereka menerima pelanggan selain menutup ruang untuk kenderaan seperti jentera bomba dan ambulans jika berlaku kecemasan.

"Isu ini timbul setiap tahun dan saya ajukan kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) sejak 2004, malah kami pernah mencadangkan diwujudkan bazar Ramadan di tempat lain seperti Dataran Merdeka yang ada ruang lebih luas, namun mereka menolak.

"Kami tidak mahu bermusuh dengan penjaja kerana mereka juga mencari rezeki, namun apabila kehadiran gerai mereka melitupi Wisma Yakin, ia amat menjejaskan perniagaan kami.

"Tahun sebelum ini, wujud juga masalah sama, tetapi DBKL berbincang lebih awal dengan kami bagi memastikan penganjuran bazar mengambil kira premis perniagaan asal.

"Namun, tahun ini nampaknya suara kami diabaikan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil DBKL di Jalan Raja Laut di sini, kelmarin.

Foto

WISMA Yakin sukar dilihat disebabkan khemah penjaja bazar Ramadan. Gambar kecil, Maiden.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Isteri tak tunggu bersahur petanda ajal

Posted: 06 Jul 2014 12:10 PM PDT

Kepala Batas: "Biasanya isteri akan tunggu kami bersahur, namun pagi tadi (semalam) selepas hidangkan juadah, dia terus masuk ke bilik," kata Anuar Sudin, 35, suami kepada Zarina Husin, 42, yang maut dalam kemalangan di Ekor Kucing, Pinang Tunggal, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Zarina, 42, dan ibunya, Mariam Ismail, 60, maut selepas motosikal ditunggang mereka dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

Menurut Anuar, ketika itu isteri, ibu mentua serta seorang anaknya, Nurul Ain Anuar, 6, dalam perjalanan menziarahi adik bongsu Zarina di Padang Lalang, Kedah.

Anuar berkata, selepas bersahur, dia terdengar perbualan dua beranak itu yang mahu ke Padang Serai kerana Mariam mendakwa dia terlalu rindukan cucunya.

"Mereka keluar dari rumah di Kampung Setol dengan menaiki motosikal dan membawa anak bongsu kami pada jam 8 pagi," katanya yang reda dengan pemergian isteri dan ibu mentuanya.

Menurutnya, anaknya, Nurul Ain tercampak ke dalam belukar berhampiran, namun hanya mengalami kecederaan ringan.

"Saya dimaklumkan anak bongsu saya tercampak ke dalam belukar berhampiran sebelum ditemui orang awam yang terdengar dia menangis.

"Nurul Ain kini masih dalam keadaan trauma dan tidak mengetahui ibu serta neneknya meninggal dunia dalam kemalangan itu," katanya yang ditemui di perkarangan rumah mayat Hospital Kepala Batas (HKB), di sini, semalam.

Menurut Anuar, dia diberitahu mengenai kemalangan yang menimpa isteri dan ibu mentuanya kira-kira jam 9 pagi oleh ibu saudaranya.

"Walaupun sedih mengenangkan keadaan empat anak berusia antara enam dan 14 tahun yang bakal menyambut Aidilfitri tanpa ibu mereka, namun saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim mengesahkan menerima laporan nahas itu.

Menurutnya, motosikal yang ditunggang tiga beranak terbabit dari arah Pinang Tunggal menuju ke Ekor Kucing manakala kereta Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.

"Pemandu kereta itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

No comments:

Post a Comment