Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kiki dibebaskan

Posted: 18 Jul 2014 12:19 PM PDT

Kuantan: Selepas lebih lima jam ditahan untuk soal siasat, wanita yang mencetuskan kontroversi kerana membuli seorang warga emas di parkir kenderaan berhampiran Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, pada Isnin lalu dibebaskan dengan jaminan polis.

Siti Fairrah Ashykin Kamaruddin, 30, dibebaskan lewat malam kelmarin selepas ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.


Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, polis membebaskannya selepas berpuas hati dengan keterangan diberikan dan dia memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses berkenaan.

"Kita berpuas hati dengan keterangan diberikannya dan dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis lewat malam semalam (kelmarin).


"Siasatan kes ini dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan harta benda dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Siti Fairrah hadir bersama ibu bapa dan ahli keluarganya di IPD Kuantan pada jam 4 petang kelmarin bagi memberikan kenyataan berhubung insiden berkenaan.

Foto

KIKI (kiri) tiba di IPD Kuantan untuk memberi keterangan.

Abdul Aziz berkata, polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan dengan mengambil keterangan beberapa saksi lagi termasuk orang awam dan anggota polis.


"Siasatan lanjut masih dijalankan, tetapi buat masa ini, kita membebaskan dulu wanita terbabit selepas berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan.

"Namun, kita akan merujuk kepada kepada timbalan pendakwa raya untuk sebarang perubahan seksyen berikutan tindakan wanita itu membuang pengunci stereng yang menjadi bahan bukti dalam kes terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Warga asing dibunuh kejam

Posted: 18 Jul 2014 12:01 PM PDT

Bukit Mertajam: Seorang lelaki warga asing dipercayai dibunuh dengan kejam apabila dikatakan dihentak menggunakan benda tumpul dan ditikam dengan pisau sebelum mayatnya ditemui di sebuah tapak pembinaan di Alma, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mayat lelaki warga Myanmar itu ditemui penyelia tapak pembinaan berkenaan dalam keadaan telentang dan berlumuran darah di atas jalan di tapak pembinaan itu.


Sumber berkata, mangsa dikenali Myint Kyaw, 36, dan ketika ditemui mayatnya memakai kain pelikat dan baju T dengan kesan kecederaan di muka dipercayai akibat dihentak menggunakan benda tumpul selain kesan tikaman di dada kiri.

"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, kami menemui dua senjata tajam termasuk sebilah pisau pemotong daging dan sebilah pisau panjang serta sebatang kayu dengan kesan darah dipercayai digunakan dalam kejadian itu.


"Kami tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh dalam rumah kongsi yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi mayatnya ditemui dan dipercayai diseret keluar dari rumah kongsi berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Tembak guna BUK

Posted: 18 Jul 2014 11:18 AM PDT

Peluru berpandu permukaan ke udara (SAM) yang didakwa menembak jatuh pesawat MH17 adalah jenis BUK rekaan Russia dan bukan pelancar roket mudah alih.

Penganalisis ketenteraan Rick Francona berkata kepada pihak CNN, pelancar peluru berpandu mudah alih yang digunakan puak pemberontak boleh diketepikan disebabkan senjata ini tidak mampu mencapai jarak ketinggian 30,000 kaki (10,000 meter) bersamaan dengan altitud ketinggian pesawat MH17 ketika itu.

Bekas Leftenan Kolonel Tentera Udara Amerika Syarikat itu berkata, pelancar peluru berpandu mudah alih hanya mampu mencapai ketinggian 15,000 kaki.

"Ini menunjukkan peluru berpandu permukaan ke udara atau peluru berpandu udara ke udara digunakan bagi menembak pesawat MH17.


"Saya fikir peluru berpandu permukaan ke udara mungkin tekaan terbaik sekarang," katanya sambil menambah bahawa sistem SAM berada sempadan Ukraine.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Obama gesa genjatan senjata

Posted: 18 Jul 2014 11:17 AM PDT

Washington: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menggesa gencatan senjata diadakan di Ukraine bagi memastikan siasatan bebas dapat dijalankan berhubung insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh di kawasan timur dikuasai pemberontak di negara berkenaan.

AFP melaporkan, Obama bersama pemimpin dunia menggesa siasatan antarabangsa yang boleh dipercayai dan bebas diadakan untuk menentukan punca-punca kejadian itu yang berpotensi mencetuskan krisis Timur-Barat sejak Perang Dingin. "Ia adalah penting untuk siasatan antarabangsa yang menyeluruh, boleh dipercayai dan bebas dijalankan secepat yang mungkin," kata jurucakap White House, Josh Earnest melalui kenyataan rasmi dikeluarkan.


"Kami menggesa semua pihak berkenaan iaitu Russia, puak pemisah pro-Russia dan Ukraine untuk menyokong gencatan senjata segera bagi memastikan akses selamat dan penuh menuju ke lokasi kemalangan," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

181 mayat ditemui

Posted: 18 Jul 2014 11:16 AM PDT

Kiev: Sebanyak 181 mayat daripada 298 orang termasuk kru yang menaiki penerbangan MH17 sudah dijumpai pasukan pencari di kawasan ladang bunga matahari dan perkampungan kecil di timur Ukraine.

AP melaporkan, pasukan pencari kecemasan, polis dan pekerja pencari gali secara sukarela melakukan pencarian di kawasan berkenaan sejak pesawat berkenaan terhempas malam Khamis.


Selepas pesawat berkenaan terhempas, serpihan dan bangkainya tersebar luas ke dua perkampungan di timur Ukraine iaitu Rozsypne dan Hrabove.

Bagaimanapun, pasukan pencari terpaksa berjaga-jaga sepanjang berada di kawasan berkenaan berikutan sukar dan berbahaya akibat suasana genting di kawasan itu.


Jalan utama dari bandar terbesar di kawasan itu, Donetsk yang menghala ke kawasan nahas pula dikawal rapi dan pasukan pencari perlu menjalani pemeriksaan dokumen di lima pos kawalan yang dikawal pasukan pemisah sebelum sampai di kawasan nahas.


Meskipun, nahas berkenaan baru berlaku, masih lagi kedengaran bunyi letupan peluru berpandu di kawasan berdekatan hingga ke Jumaat pagi. Dalam kawasan ladang bunga matahari di sekitar Rozsypne yang terletak 40 kilometer dari sempadan Russia, beberapa mayat ditemui di sebalik tumbuhan yang tinggi itu dan ada yang masih berpakaian sut lengkap.

Di Hrabove pula yang terletak beberapa kilometer dari Rozsypne, mayat ditemui ditandakan dengan kain perca merah atau putih. Wakil Menteri Luar Ukraine Andriy Sybiga berkata, sebanyak 181 mayat sudah ditemui pasukan pencari kecemasan tempatan dan semua mayat itu akan dibawa ke bandar yang dikawal kerajaan, Kharkiv yang terletak 270 kilometer di utara untuk tujuan pengecaman.


Antara barang yang ditemui di lokasi kejadian adalah jam tangan, telefon bimbit yang rosak, pasport dan pas perjalanan yang mempunyai kesan terbakar, sehelai baju-T tertulis 'I Love Amsterdam' dan sebuah buku panduan pelancongan ke Bali.

Kokpit penerbangan MH17 dan satu turbinnya pula ditemui satu kilometer dari lokasi terhempas manakala ekornya pula ditemui 10 kilometer jauh dari lokasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

No comments:

Post a Comment