Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Atasi kemelut BAM segera

Posted: 08 Jul 2014 11:14 AM PDT

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil tindakan segera terhadap kemelut baru yang dihadapi mereka.

Belum lagi reda mengenai isu Datuk Lee Chong Wei terpaksa menarik diri daripada Sukan Komanwel 2014 Glasgow kini timbul isu jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek yang tidak mahu memimpin pasukan dan pergi ke temasya itu.


"Saya sudah bincang perkara ini dengan Timbalan Presiden BAM Datuk Mohamad Norza Zakaria pagi tadi (semalam) dan saya mahu mereka ambil tindakan," katanya di Majlis Berbuka Malaysia Anjuran Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) semalam.

Sabtu lalu, Rashid mengejutkan apabila memberitahu beliau tidak mahu ke temasya itu. Sambil mengatakan tindakannya tiada kena-mengena dengan penarikan diri Chong Wei, Rashid berkata, keputusannya lebih berpunca kepada rasa tidak puas hati dengan pengurusan BAM.


"Saya dengar ura-ura Rashid tidak puas hati, sebelum jadi teruk saya mahu Norza mengadakan perbincangan dengan barisan jurulatih agar ia dapat ditangani segera.


"Mereka sudah faham kebimbangan saya, dari segi harapan sudah pasti saya harap kemenangan, tapi saya lebih bimbangkan Sukan Komanwel," katanya.

Foto

KHAIRY (dua dari kiri) pada Majlis Berbuka Puasa Anjuran SAM.

Ditanya apakah kebimbangan itu, Khairy berkata, biarlah antara beliau dan BAM saja yang mengetahuinya.


Ketiadaan Chong Wei menyaksikan Chong Wei Feng dan penggantinya, Liew Daren akan menggalas tugas di Sukan Komanwel nanti.

Kecederaan kekejangan otot yang melanda Chong Wei menghalangnya untuk mencipta rekod meraih emas Sukan Komanwel buat kali ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

'Dollah ada strategi'

Posted: 08 Jul 2014 11:01 AM PDT

Kuala Lumpur: "Tugasan pertama (Dollah Salleh) di Piala AFF amat berat, tapi saya yakin beliau mempunyai strategi tersendiri," kata jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan yang menaruh keyakinan tinggi terhadap keupayaan Dollah untuk membimbing skuad kebangsaan.

Zainal dianggap individu yang cukup mengenali Dollah kerana mengharungi pahit-manis bersama ketika bergelar pemain kebangsaan pada 1984-1996 selain kedua-duanya pernah bergandingan mengendalikan kelab Shahzan Muda pada 2008 sebelum beralih kepada Pahang setahun selepas itu.


"Beliau seorang individu yang amat mencintai bola sepak. Pernah menjadi pemain dan tahu apa yang dikehendaki jurulatih. Saya percaya segala pengalaman yang beliau ada akan dicurahkan kepada setiap pemain," kata bekas penyerang kebangsaan itu.

Zainal, 52, kini mengambil alih tugas selaku jurulatih skuad Tok Gajah selepas menjadi penolong kepada Dollah ketika memenangi Piala Malaysia tahun lalu sebelum rakannya itu berpindah menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Kejayaan demi kejayaan diraih Dollah di peringkat domestik termasuk yang terbaru membantu PDRM menjuarai Liga Perdana sekali gus mendorong Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantiknya menjadi ketua jurulatih kebangsaan menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu.


Keputusan FAM menawarkan kontrak dua tahun kepada pengendali berusia 50 tahun itu menyaksikan tradisi jurulatih tempatan bersama skuad kebangsaan diteruskan sejak Norizan Bakar pada 2005-2007, B Sathianathan 2007-2008 dan Rajagobal 2009-2013.

Mendiang Bertalan Bicskei dari Hungary menjadi jurulatih import terakhir yang membimbing Harimau Malaya pada 2004-2005.


Menurut Zainal, beliau menggesa semua rakan sejawat memberikan sokongan kepada Dollah dalam mengharungi misi pertamanya di Piala AFF pada November. depan.

"Rajagobal sudah mencapai beberapa kejayaan sebelum ini dan kali ini giliran Dollah pula. Saya harap semua jurulatih pasukan negeri dan kelab tempatan memberikan sokongan dan bantuan kepadanya kerana ini bukan untuk mencari kejayaan individu tapi negara.


"Dollah pasti memerlukan bantuan jurulatih lain kerana pemain tempatan lebih banyak menghabiskan masa dengan pasukan masing-masing, jadi lebih baik jika mereka saling berkongsi maklumat mengenai pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

'Biar MOM tentu sasaran pingat'

Posted: 08 Jul 2014 11:00 AM PDT

Kuala Lumpur: "Biar Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang umumkan sasaran pingat di Sukan Komanwel Glasgow 2014," kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar walaupun temasya itu hanya tinggal dua minggu untuk dilangsungkan.

Khairy berkata, sasaran yang akan diumumkan MOM membabitkan pandangan semua pihak, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).


"Saya sudah tengok dan bersetuju, ia dibuat selepas perbincangan dengan MOM dan MSN, tidak perlu untuk saya membuat pengumuman," katanya di Majlis Berbuka Puasa Anjuran Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) semalam.

Jelasnya, lebih adil untuk MOM yang mengumumkannya kerana temasya seperti Sukan SEA, Komanwel dan Asia semuanya di bawah seliaan secara rasmi mereka.


"Ini bermakna saya bersetuju bukannya tidak bersetuju mengenai sasaran pingat, kerana perbincangan secara bersama sudah dibuat sebelum itu lagi," katanya.


Ditanya mengenai pemilihan pelumba trek negara, Fatehah Mustapa sebagai pembawa bendera di Sukan Komanwel 2014 Glasgow menggantikan Datuk Lee Chong Wei, Khairy amat bersetuju dengan pemilihan itu.

"Ia pilihan yang bagus, saya amat mengenali Fatehah dan kami pernah berkayuh bersama di Melbourne, tapi agak malang Chong Wei tidak dapat menyertai kontinjen negara.


"Bagaimanapun, dia akan membuat persiapan awal untuk Kejohanan Dunia dan Sukan Asia 2014 Incheon. Ketua Pegawai Eksekutif ISN (Institut Sukan Negara), Datuk Dr Ramlan (Abdul Aziz) meminta Chong Wei berehat buat seketika," katanya.

Mengenai perkembangan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Khairy berkata, beliau menunggu sehingga Panel Penasihat Sukan selesai bermesyuarat esok sebelum menentukan hala tuju.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

Iskandar azam perbaharui rekod

Posted: 08 Jul 2014 10:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Atlet lompat bergalah kebangsaan, Iskandar Alwi mahu memperbaharui rekod kebangsaan pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland yang bermula 23 Julai ini.

Atlet berusia 20 tahun itu berkata, dia tekad mahu melakar kejayaan pada penampilan sulung di Sukan Komanwel meskipun menyedari saingan hebat atlet dari negara Komanwel lain.


Iskandar, pemenang pingat perak Sukan SEA turut memegang rekod kebangsaan dengan catatan 5.15 meter yang dilakukan di Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis pada Mei lalu.

"Saya sebenarnya tidak sangka terpilih pergi ke Sukan Komanwel dan saya lihat prestasi semakin baik sejak tahun lalu.


"Saya tidak akan mensia-siakan peluang beraksi di Sukan Komanwel.


"Kejohanan berprestasi tinggi seperti Sukan Komanwel memberi platform terbaik untuk saya serta atlet muda lain meningkatkan lagi prestasi masing-masing sebab saingan lebih hebat," katanya kepada Bernama.

Iskandar berkata, bersaing di Sukan Komanwel merupakan platform serta pendedahan terbaik untuk mencipta kejayaan di Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dari 19 September hingga 4 Oktober ini.


"Beraksi di Sukan Komanwel dan Sukan Asia memberikan kami (atlet muda) pendedahan terbaik, kami juga dapat belajar mengatasi perasaan gementar dan meningkatkan keyakinan diri apabila bersaing pada kejohanan lain akan datang," katanya.

Selain Iskandar, empat atlet olahraga lain yang akan menyertai Sukan Komanwel kali ini ialah Jackie Wong (tukul besi), Raja Nursheena Raja Azhar (100m Berpagar) dan Yap Sean See dan Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

PPS iktiraf pemimpin lama

Posted: 08 Jul 2014 10:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) masih mengiktiraf kepimpinan lama Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (PESTAK) yang diterajui Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya kerana belum menerima sebarang makluman mengenai pemilihan kepimpinan baru persatuan berkenaan.

Hingga kini Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail berkata, tiada sebarang maklumat diterima yang mengatakan terdapat pemilihan barisan kepimpinan baru PESTAK.


"Biasanya apabila sesebuah persatuan mengadakan mesyuarat agung pemilihan, mereka akan menghantar laporan berkenaan kepada kami dalam tempoh sebulan, namun hingga kini tiada sebarang laporan diberikan. Kami perlukan laporan itu bagi menilai sama ada ia sah atau sebaliknya.

"Hingga kami menerima maklumat mengenai pemilihan itu, jawatankuasa lama tetap dianggap sah. Kami menganggap tiada sebarang perubahan berlaku dalam PESTAK," katanya.


Kepimpinan PESTAK menjadi tumpuan apabila dilihat membuat dua jawatankuasa yang mengendalikan persatuan sekali gus menimbulkan persoalan mengenai barisan kepimpinan yang sah.


Naib Presiden 1 PESTAK Aiman Mohd Noor sebelum ini mendakwa pemilihan pimpinan PESTAK pada pertengahan bulan lalu adalah tidak sah kerana gagal memaklumkan kepada semua ahli gabungannya.

Namun ia disangkal Setiausaha Kehormat PESTAK Syed Husin Syed Abu Bakar yang mengatakan pihaknya sudah mematuhi segala prosedur untuk memilih kepimpinan baru berikutan peletakan jawatan Tengku Zainol Rashid.


"Kami akan cuba mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai perkara sebenar yang berlaku dalam PESTAK bagi mencari jalan penyelesaian," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memecat Aiman sebagai Ahli Majlis, Shapawi berkata, sepatutnya sebarang tindakan tidak boleh dilakukan hingga pihaknya mendapat maklumat lengkap mengenai kesahihan pemilihan pimpinan baru.


Aiman sebelum ini mendakwa beliau tidak lagi menjadi Ahli Majlis apabila dipecat PSM menerusi salah seorang pegawainya dan ia dipercayai berpunca daripada pemilihan kepimpinan PESTAK yang baru.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

MHC tak tetap sasaran pingat

Posted: 08 Jul 2014 10:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas kecewa gagal memenuhi sasaran 10 terbaik dan hanya menduduki tempat ke-12 kempen Piala Dunia bulan lalu, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tampil lebih berhati-hati dengan tidak menetapkan pingat atau kedudukan untuk skuad lelaki dan wanita negara di Sukan Komanwel Glasgow bermula 23 Julai ini.

Dengan mempertaruhkan sebahagian besarnya muka baru kecuali empat tonggak senior iaitu Baljit Singh, S Selvaraju, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin dan Muhammad Razie Abdul Rahim, selebihnya pemain remaja yang diketepikan dari skuad Piala Dunia tempoh hari.


Timbalan Presiden MHC Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, Sukan Komanwel kali ini lebih kepada memberi pendedahan untuk pemain yang diketepikan sebelum ini bagi menunjukkan kebolehan masing-masing dan mencuri tempat dalam skuad Sukan Asia Incheon yang bakal memulakan latihan sebaik saja tamat saingan di Scotland itu.

Menurut Nur Azmi, walaupun tiada sasaran ditetapkan buat pasukan lelaki kebangsaan, pemain tetap dituntut mempersembahkan aksi terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.


"Enam belas pemain yang kami pilih untuk ke Komanwel yang terbaik dan kemungkinan mereka juga bakal beraksi di Incheon, Korea Selatan. "Itupun jika mereka mampu mengetepikan pemain senior lain yang direhatkan dari tugasan ini sebelum kembali menjalani latihan pusat menghadapi Sukan Asia September nanti.


"Sebab itulah, kami tidak meletakkan apa-apa sasaran pingat kerana matlamat utama merebut pingat emas Sukan Asia," katanya ketika ditemui pada sidang media khas di Pejabat MHC di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Sementara itu, ketua jurulatih negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menyifatkan langkah MHC menghantar pasukan kedua bagi menyertai sukan kedua terbesar selepas Olimpik itu amat tepat dalam usaha membentuk sebuah barisan pemain yang mantap demi pembangunan masa depan sukan hoki negara.


"Pemain senoir terlalu keletihan selepas mengharungi tiga kejohanan terbesar sebelum ini seperti Piala Sultan Azlan Shah, CC1 (Cabaran Juara-juara 1) dan Piala Dunia Hoki di Belanda. "Kami menyenaraikan pasukan kedua kerana ingin memberi rehat secukupnya kepada pemain senior agar mereka boleh mendapatkan rehat sebelum bertarung ke pentas lebih penting Sukan Asia yang mana kita mensasarkan meraih emas bagi melayakkan diri secara automatik ke Sukan Olimpik Rio 2016," katanya.

Berdasarkan undian semasa, skuad hoki lelaki negara diletakkan dalam Kumpulan B bersama pasukan ranking kelima Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) England, Kanada dan Trinidad and Tobago. Juara dunia Australia akan dicabar New Zealand, Afrika Selatan dan India dalam Jumpulan A.


Pasukan wanita negara pula berada dalam Kumpulan A bersama Australia, Wales dan tuan rumah Scotland. India, England, Afrika Selatan serta Kanada pula bersaing di Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

SRGC gudang lahir gimnas

Posted: 08 Jul 2014 10:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Demi menarik minat serta keprihatinan melahirkan ahli gimnas masa depan, Kelab Gimnastik Berirama Sarina (SRGC) mengambil inisiatif terpuji menganjurkan Kejohanan Gimnastik SRGC kali ketujuh di Universiti Kolej KDU di Damansara Jaya, baru-baru ini.

Program julung kali dianjurkan dan diiktiraf Persatuan Gimnastik Malaysia (MGF) itu berjaya menarik penyertaan kira-kira 115 gimnas berumur antara empat hingga 17 tahun.


Berusaha melahirkan gimnas berbakat hingga peringkat lebih tinggi, bekas pemenang pingat emas Sukan SEA dan peserta ke Sukan Komanwel, Sarina Sundara Rajah (gambar) menggunakan pengalamannya melatih dan memperkenalkan gimnas di peringkat akar umbi.

"Kami yakin setiap kanak-kanak mempunyai bakat tersendiri dan kami mahu mereka aktif dalam sukan ini. Kami harap mereka menggunakan peluang berlatih di SRGC sebaik mungkin malah bakat peserta kami iktiraf.


"Kami juga mengambil berat disiplin dan membentuk nilai murni dalam jiwa kanak-kanak ini," katanya.


Program itu dihakimi pengadil berpengalaman iaitu Azizah Jaafar, Choong Hong Foi, Usha Rani dan Hazira Hamzah.

Goh Hann Ning muncul juara apabila meraih 8.60 mata mengatasi pencabar terdekat Chan Wenxi dalam acara LGR (bola) B-6 manakala Ho Xinn-Yi menerajui B-7 selepas mengumpul 7.85 mata dan Samaira Marcelle Gomez mengungguli B-10 (8.05 mata).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

Intai Rodriguez

Posted: 08 Jul 2014 10:57 AM PDT

London: Manchester United dilapor sudah membuat tawaran untuk mendapatkan khidmat pertahanan kiri Wolfsburg, Ricardo Rodriguez, tetapi kelab itu masih belum membuat sebarang pengesahan.

Ketika Juventus mahu mendapatkan Patrice Evra, United perlukan pilihan lain untuk bersaing dengan Luke Shaw, tetapi Wolfsburg inginkan lebih dari £15 juta (RM81 juta) untuk Rodriguez yang juga menjadi perhatian Liverpool dan Tottenham.


Dia bermain dengan baik untuk Switzerland di Piala Dunia selepas aksi biasa di Bundesliga musim ini.

United juga berminat mendapatkan beberapa pemain lain, tetapi bimbang untuk meletakkan sebarang harga.


Mereka masih belum membuat sebarang tawaran kepada Arturo Vidal di Juventus, walaupun sudah berada dalam senarai sebelum ini dan begitu juga Angel di Maria yang bakal dijual Real Madrid kerana mahu mendapatkan Radamel Falcao dan James Rodriguez.


Fiorentina pula berminat mendapatkan Marouane Fellaini, tetapi kelab Itali itu tidak bersetuju dengan nilai ditetapkan United.

Mereka menunggu untuk membida Juan Cuadrado yang juga diperhatikan United, tetapi Barcelona menjadi pasukan pilihannya.


Arsenal pula dikatakan akan menjual salah seorang pemain pertahanan kanan dengan tumpuan terarah kepada Carl Jenkinson.

Jurulatih Arsene Wenger sudah kehilangan Bacary Sagna kepada Manchester City, tetapi mengenal pasti Mathieu Debuchy sebagai pengganti.


Pemain skuad bawah 21 England, Jenkinson menarik minat banyak kelab dan Arsenal hanya perlu melengkapkan perpindahannya.


Wenger sebelum ini mahu melepaskan pemain itu sebagai pinjaman dengan Newcastle dan West Ham sudah menunjukkan minat.


Sunderland juga menunjukkan minat, tetapi mereka sudah mendapatkan Billy Jones dari West Bromwich Albion.


Arsenal sudah menyenaraikan beberapa pemain untuk menggantikan Sagna dan mereka juga boleh membuat perubahan dengan mengekalkan Jenkinson jika tidak ada sebarang tawaran terhadap pemain itu.


Mereka juga cuba mendapatkan pemain pertahanan kanan Al Ahly, Ahmed Fathy, pemain Mesir yang sebelum ini pernah bersama Hull City. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

Roma ikat Cole 2 tahun

Posted: 08 Jul 2014 10:35 AM PDT

London: Bekas pertahanan Chelsea, Ashley Cole menyertai kelab Itali, AS Roma kelmarin.

Cole dikaitkan dengan sejumlah kelab Liga Perdana sejak dilepaskan Chelsea penghujung musim lalu, namun pertahanan kiri itu memilih untuk meneruskan karier di Serie A .


Pemain berusia 33 tahun itu menandatangani kontrak dua tahun dengan Roma, yang mengesahkan perpindahannya menerusi laman web rasmi kelab dengan gambar Cole bersebelahan lambang kelab berkenaan.

"Roma berjaya mendapatkan Cole untuk tempoh dua tahun yang berakhir 30 Jun 2016," umum kelab itu.


"Perjanjian turut memberikan hak kepada kelab menambah kontrak di musim akan datang." Cole dan ejennya, Jonathan Barnett terbang ke Itali untuk berbincang mengenai perpindahannya hujung minggu lalu dan pertahanan itu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum ke ibu pejabat Roma di Trigoria untuk menandatangani kontrak yang dilaporkan membolehkan dia mendapat gaji £3.65 juta (RM19.8 juta) setahun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

'Setaraf Pele, Maradona'

Posted: 08 Jul 2014 10:34 AM PDT

London: Alex Ferguson menyanjungi Alfredo Di Stefano dan menyifatkan bekas legenda Real Madrid itu sebagai antara pemain terhebat sepanjang zaman.

Di Stefano meninggal dunia pada usia 88 tahun selepas diserang sakit jantung, Sabtu lalu dan ucapan takziah dari seluruh dunia mula tiba dengan bekas pengurus Manchester United, Ferguson menyingkap kembali kenangan yang pernah mereka lalui bersama.


Di Stefano pernah dinobat Pemain Terbaik Eropah 1957 dan 1959, tetapi kerana aksi ketika itu tidak banyak disiarkan stesen televisyen, kebijaksanaannya sering dilupakan, tetapi Ferguson menganggap mendiang layak diletakkan sebaris dengan Pele, Diego Maradona dan Johan Cruyff.

"Persoalan yang sering ditanya ialah siapakah pemain terhebat," kata Ferguson.


"Senarainya memang sudah ada seperti Cruyff, Maradona dan Pele serta (Ferenc) Puskas dan sepatutnya Di Stefano. Saya yakin mendiang layak.


"Beliau mempunyai keseimbangan yang menakjubkan. Jika anda lihat kembali jaringan dilakukannya pada Piala Eropah menentang Eintracht Frankfurt, ia contoh apa yang disebut keseimbangan.

Foto

DI Stefano memenangi lima Piala Eropah sepanjang mewakili Real.

"Saya sangat sedih mendengar khabar kematiannya. Walaupun beliau sudah berusia 88 tahun, tetapi ia tetap mengejutkan saya. Saya ada mengunjunginya dua tahun lalu, sebelum perlawanan Real Madrid dan beliau kelihatan sihat." Di Stefano menang lima Piala Eropah sepanjang mewakili Real antara 1956 dan 1960, menjaringkan gol dalam semua final termasuk hatrik ketika menewaskan Eintracht Frankfurt, 7-3 di Hampden Park 1960.


"Paling menarik, bukan mudah untuk anda menang besar seperti itu. Justeru, mereka sememangnya pemain yang boleh diangkat sebagai hebat," kata Ferguson.

"Mereka datang ke Hampden Park dan dibelasah 7-3 oleh Real. Saya ketika itu masih bersekolah dan mewakili Queens Park." Kira-kira 23 tahun kemudian, Ferguson yang sudah bergelar pengurus di kelab Aberdeen, bertemu Real yang dikendalikan Di Stefano pada final Piala Pemenang Piala 1983.


Skuad kendalian Ferguson muncul juara, tetapi beliau tetap menghormati gaya serta taktik diamalkan Di Stefano.


"Itulah kenangan terhebat saya, kejayaan Aberdeen mengalahkan Real," kata Ferguson. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

No comments:

Post a Comment