Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Padah lupa padam api dapur

Posted: 16 Jul 2014 11:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat menyelamatkan nyawa empat lelaki warga asing dari terbakar selepas semua mangsa terperangkap di dalam bilik disewa di Jalan Brunei Utara 2, di sini.

Dalam kejadian jam 7.30 malam kelmarin, mangsa berada di tingkat atas bangunan rumah kedai diselamatkan anggota bomba tanpa kecederaan.


Kejadian berlaku ketika kebanyakan mangsa pekerja warga Bangladesh yang menyewa bilik di premis itu menanti waktu berbuka. Kebakaran dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang terlupa memadamkan api selepas memasak di dapur.

Penghuni rumah, Md Shobus Shordar, 35, berkata, kebakaran di tingkat satu bangunan itu menyebabkan perkakas seperti pakaian, televisyen dan peti ais terbakar.


"Kebakaran itu menyebabkan kami panik dan gagal mencari pintu keluar. Mujur anggota bomba dan penyelamat segera membantu," katanya.


Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 7.48 malam.

Foto

RUMAH yang dihuni warga Bangladesh musnah dalam kebakaran menjelang waktu berbuka puasa.

"Dua jentera bomba dan tiga Unit Gerak Cepat Bermotosikal (RIM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, Hang Tuah dan Jalan Tun Razak bergegas ke lokasi kejadian.


"Keempat-empat mangsa yang terperangkap di tingkat satu, dua dan tiga bangunan itu diselamatkan dalam tempoh 15 minit," katanya.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan serius dialami mangsa yang kebanyakannya diberikan bantuan kecemasan oleh pasukan EMRS bomba berikutan mengalami sesak nafas.


"Api dikawal sepenuhnya pada jam 8.22 malam. Punca sebenar kebakaran dan kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Ditawan 6 jam

Posted: 16 Jul 2014 11:45 AM PDT

Kuala Lumpur: Seramai 15 anak kapal warga asing yang bertugas di kapal tangki minyak milik syarikat Malaysia ditawan lanun selama lebih enam jam di Perairan Timur Johor, Laut China Selatan, kelmarin.

Dalam kejadian 11.45 malam itu, kapal yang membawa muatan 2.5 juta metrik minyak gas marin diserang sekumpulan lanun yang membawa senjata api.


Lebih mencemaskan apabila kumpulan lanun terbabit turut merosakkan sistem navigasi, komunikasi dan kawalan jentera utama pada kapal berkenaan bertujuan memastikan kedudukan kapal itu tidak dikesan pihak berkuasa.

Dalam kejadian itu, lebih 60 peratus muatan minyak dirampas dan dipindahkan kumpulan lanun ke kapal lain.


Malah kumpulan lanun turut merompak wang tunai milik anak kapal membabitkan jumlah ribuan ringgit.


Kumpulan lanun itu kemudian bertindak meninggalkan kapal tangki itu menggunakan bot laju selepas melakukan rompakan sekitar jam 6 pagi.

Foto

KAPAL tangki yang ditawan lanun, kelmarin

Difahamkan kapal tangki itu dalam perjalanan dari Singapura ke Sandakan, Sabah dengan membawa tiga anak kapal warga Bangladesh, tiga warga Indonesia dan sembilan warga India.


Pengarah Pengurusan Media Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Komander Ismail Othman berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian serangan lanun itu pada jam 10.30 pagi semalam.

Menurutnya, pihak TLDM mengarahkan kapal KD Terengganu ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.


"KD Terengganu tiba di lokasi kejadian dua jam kemudian dan menghubungi kapal tangki itu menggunakan sistem radio.


"Hasil pemeriksaan mendapati semua anak kapal tangki itu dalam keadaan selamat, tetapi masih terkejut dengan kejadian yang dialami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Mati tatap al-Quran

Posted: 16 Jul 2014 11:41 AM PDT

Alor Setar: "Pagi tadi (semalam) arwah sempat kejutkan saya bersahur dan memang saya hairan kerana arwah tidak pernah berbuat demikian sebelum ini."

Demikian kata Ku Muhammad Luqman Ku Md Akhir, 22, abang kepada Ku Muhammad Iqbal, 14, yang dipercayai meninggal dunia ketika bertadarus al-Quran di surau Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK), Mergong, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.35 pagi, arwah bersama pelajar lelaki dan perempuan serta guru sekolah berkenaan bertadarus al-Quran antara aktiviti setiap hari sejak awal Ramadan sebelum memasuki kelas sesi pagi.

Difahamkan, mangsa dikatakan tiba-tiba rebah ketika bertadarus al-Quran menyebabkan pelajar lain serta guru sekolah itu terkejut dengan kejadian berkenaan.


Ku Muhammad Luqman berkata, sebelum ini arwah tinggal di asrama sekolah berkenaan sejak di tingkatan satu. Bagaimanapun, kini dia berulang-alik dari rumah disebabkan kakaknya yang belajar di tingkatan enam tidak tinggal di asrama sejak Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

'Belum faham erti kehidupan'

Posted: 16 Jul 2014 11:40 AM PDT

Kuala Lumpur: "Ia proses normal untuk seorang kanak-kanak baru kehilangan ibu bapa mereka secara mengejut yang dilihat seolah-olah tidak boleh menerima kematian berkenaan," kata pakar psikologi dan motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad mengulas mengenai anak ketiga Allahyarham Jefri Mohd Zain, 46, dan Noorsalawati Ibrahim, 40, yang seperti 'meracau' berikutan terlalu rindukan pasangan berkenaan.

Muhammad Aidil Jefri, 10, dilaporkan sering meminta telefon daripada ibu saudaranya, Norazma Mohd Zain untuk menelefon ibu bapanya di syurga. Tengku Asmadi berkata, kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah masih tidak memahami lagi mengenai proses kehidupan seperti di mana syurga dan hal berkaitan kematian.


"Menjadi tanggungjawab penjaga mereka memberi kefahaman supaya kanak-kanak itu tidak berada dalam khayalan. "Bagi mereka, ia seolah-olah ibu bapa mereka pergi ke suatu tempat dan akan pulang bila-bila masa," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Menurutnya, bagaimanapun tidak perlu begitu risau dengan keadaan Muhammad Aidil kerana ia akan hilang dengan sendirinya apabila usia mencecah 12 tahun ke atas. "Dalam usia sebegitu kanak-kanak sudah mencapai tahap matang dan boleh berfikir dengan rasional serta sudah tidak beremosi lagi," katanya. Beliau berkata, berbanding dengan dua adik Muhammad Aidil iaitu Nursyamimi, 4, dan Nur Auni Syafia, 3, yang masih kecil dan belum mengerti mengenai kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Wanita 'ganas' terhadap warga emas dikutuk

Posted: 16 Jul 2014 11:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Dalam tempoh 24 jam selepas videonya menjadi viral di Internet, wanita yang didakwa bertindak ganas terhadap seorang lelaki warga emas parkir Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuantan pada Isnin lalu menjadi 'bahan kutuk' warga media sosial termasuk mewujudkan akaun Facebook (FB) khas semata-mata untuk mengecamnya.

Difahamkan, akaun FB milik wanita itu sudah ditutup berikutan menerima kecaman pelbagai pihak namun disebabkan tidak puas hati, ada individu tertentu mewujudkan akaun FB palsu menggunakan nama wanita itu semata-mata mahu memberi 'peluang' pengunjung 'membelasah' dia.


Pemantauan Harian Metro mendapati sekurang-kurangnya terdapat dua akaun FB khas diwujudkan untuk 'membelasah' wanita terbabit yang sudah mendapati lebih 1,000 'likes' dalam tempoh 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

No comments:

Post a Comment