Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Potong gaji!

Posted: 13 Jul 2014 02:47 PM PDT

London: Luis Suarez yang meraih £10 juta (RM54.5 juta) setahun akan berdepan potongan hingga £3 juta (RM16.3 juta) sekiranya terbabit dengan insiden menggigit pemain lawan sepanjang menyarung jersi Barcelona.

Bintang Uruguay itu muncul pemain termahal yang ditandatangani dalam sejarah kelab Catalan itu apabila melengkapkan perpindahan dari Liverpool pada Jumaat lalu dengan bayaran gaji £200,000 (RM1.09 juta) seminggu menerusi perjanjian lima tahun di Nou Camp.


Liverpool menyatakan Barcelona membayar £75 juta (RM408.8 juta) seperti yang mereka mahukan untuk pemain berusia 27 tahun itu, namun kelab La Liga mendakwa angkanya sekitar £61 juta (RM332.5 juta).

Gaji berkenaan menjadikan Suarez pemain keempat termahal di kelab itu selepas Lionel Messi, Neymar dan Andres Iniesta namun dia akan jauh ketinggalan sekiranya mengulangi insiden menggigit yang sudah dilakukannya tiga kali.


Kontrak Suarez di Barca terikat syarat yang menghukumnya dengan keras andai sekali lagi mengulangi perbuatan itu dan akhbar Sunday People Sport difahamkan gajinya akan ditolak 15 hingga 30 peratus.


Barcelona bercadang untuk merayu kepada FIFA terhadap penggantungan empat bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak dan berharap mereka akan berjaya.

Foto

Luis Suarez

Suarez dijangka berada di Barcelona esok dan bersedia untuk diperkenalkan di bangunan L'Auditori sebelum bercuti.


Sumber rapat dengan kelab kelab gergasi Catalan itu memberitahu media tempatan, mereka gembira mendapatkan Suarez dengan harga kurang daripada £80 juta (RM436 juta). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/14

Zainal lega laluan Pahang mudah

Posted: 13 Jul 2014 02:36 PM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan menarik nafas lega selepas selesai undian Piala Malaysia semalam apabila menyaksikan peluang skuad juara bertahan itu untuk melepasi halangan peringkat kumpulan tampak terbuka.

Pahang yang bakal memulakan kempen Piala Malaysia 13 Ogos ini sebagai juara bertahan selepas menundukkan Kelantan 1-0 pada final tahun lalu diundi bersama satu lagi pasukan Liga Super, LionsXII dan dua wakil Liga Perdana, FELDA United dan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) Jika berdasarkan prestasi semasa, LionsXII kurang menyerlah dalam saingan liga musim ini manakala FELDA yang tumpas kepada Pahang pada final Piala FA dilihat mampu memberikan saingan hebat dalam perebutan dua tempat teratas dan JDT II yang beraksi menerusi play-off bolehlah dianggap sebagai pengacau.


Bagaimanapun Zainal yang mengambil alih tugas ditinggalkan rakannya Dollah Salleh pada awal musim ini tetap mengingatkan anak buahnya betapa mereka perlu melipat gandakan usaha jika mahu mengimpikan Piala Malaysia kekal di bumi Pahang.

"Persediaan sudah dijalankan sejak dua minggu lalu dan sebagai penyandang juara kami perlu berusaha lebih kuat. Saya tak nafikan FELDA bagus kerana mereka finalis Piala FA, kami juga pernah tewas kepada Singapura dan kemampuan pasukan JDT II juga tidak boleh dipandang mudah.


"Saya mahu pemain lupakan segala tekanan, bermain mengikut perancangan dan bersiap sedia di setiap perlawanan," katanya selepas berakhir majlis undian Piala Malaysia semalam.


Kumpulan B pula menyaksikan wakil tunggal Liga Perdana yang juga juara 2007 dan 2008, Kedah dihimpit tiga pasukan Liga Super Terengganu, Sarawak dan Perak.

Mungkin persaingan dalam kumpulan itu agak seimbang berbanding apa yang bakal ditempuhi juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (Johor DT) apabila perlu berdepan juara 2010 dan 2012 Kelantan, finalis 2012 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juara 1974 Pulau Pinang yang tampil semula dalam kancah kejohanan berprestij itu.


Selangor yang terlepas kejuaraan liga kepada Johor DT musim ini pasti mahu melupakan kekecewaan dan peluang anak buah Mehmet Durakovic meloloskan diri ke suku akhir terbuka apabila hanya perlu mengatasi halangan juara Liga Perdana Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sime Darby dan T-Team.

"Kumpulan ini tidak mudah kerana PDRM juara Liga Perdana manakala T-Team dan Sime Darby bagus. Kami akan cuba yang terbaik kerana misi kami untuk menang," kata Durakovic.


Selepas berakhir peringkat kumpulan pada 3 September, dua pasukan teratas setiap kumpulan berentap di suku akhir bagi mencari empat pasukan ke separuh akhir sebelum final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 November.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/14

Tak bermakna!

Posted: 13 Jul 2014 02:36 PM PDT

Kuala Lumpur: Kejayaan merangkul anugerah Kasut Emas tidak cukup buat penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel jika dia gagal menghadiahkan trofi buat Selangor musim ini.

Ledakan 16 gol dalam kempen Liga Super melayakkan pemain berusia 29 tahun itu bergelar penjaring terbanyak, namun sumbangannya itu belum cukup untuk membantu skuad Red Giants memenangi liga apabila sekadar menduduki tangga kedua di belakang Johor Darul Ta'zim.


Bagaimanapun Rangel masih berpeluang menebus kehampaan itu apabila buruan Selangor untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia ke-33 bakal bermula 13 Ogos ini.

"Saya amat gembira kerana memenangi anugerah ini, terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu. Bagi saya kemenangan ini menaikkan lagi semangat saya membantu Selangor dalam saingan Piala Malaysia.


"Memang agak kecewa gagal memenangi Liga Super kerana keputusan kurang baik dalam beberapa perlawanan terakhir dan saya harap kami boleh menebus kekecewaan itu. "Saya tidak menetapkan sasaran gol dalam Piala Malaysia, tapi apa yang saya boleh janjikan akan berusaha membantu Selangor muncul juara," katanya selepas selesai undian Piala Malaysia semalam.


Bagi Rangel, dia yakin Selangor mampu melepasi halangan peringkat kumpulan meskipun bakal dicabar hebat Sime Darby, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan T-Team.

Misi sama turut dikongsi penjaring terbanyak Liga Perdana, Edward Junior Wilson yang menyimpan hasrat untuk terus mengganas dalam kempen Piala Malaysia bagi membantu FELDA United melakukan kejutan seperti dilakukan ketika mara ke final Piala FA sebelum tumpas kepada Pahang musim ini.


"Kami boleh layak ke suku akhir dan saya percaya Pahang bakal menjadi pasukan pilihan dalam kumpulan ini. Anda boleh lihat kemampuan kami dalam saingan Piala FA dan sekarang banyak pasukan percaya kami boleh pergi jauh dalam Piala Malaysia.

"Kami berdepan saingan lebih sukar kerana semua pasukan sudah tahu kemampuan FELDA, tapi saya tidak hiraukan pasukan lain sebaliknya matlamat utama adalah untuk menjaringkan gol setiap kali beraksi," katanya yang menyumbat 19 gol dalam saingan liga.


Selain Pahang, FELDA turut bakal bertemu LionsXII dan Johor Darul Ta'zim II dalam Kumpulan A.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/14

MOM tetap enggan ubah sasaran emas

Posted: 13 Jul 2014 02:36 PM PDT

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak bercadang menilai kembali sasaran tujuh pingat emas kontinjen negara ke Sukan Komanwel di Glasgow seperti diumumkan pada Khamis lalu, namun tidak menolak mampu meraih sehingga sembilan emas.

Sasaran tujuh emas berkenaan adalah penurunan kira-kira 41 peratus berbanding catatan tertinggi dalam sejarah yang dilakar kontinjen negara di New Delhi, India empat tahun lalu apabila meraih 12 emas.


"Keputusan menetapkan sasaran ini dilakukan selepas mengadakan perbincangan dengan semua pihak terbabit. Ia tidak akan dibincangkan semula walaupun ada yang berpandangan sasaran berkenaan menurun.

"Sasaran itu ditetapkan berdasarkan potensi dimiliki atlet kita. Seperti Brazil yang memenangi Piala Dunia lima kali namun disebabkan kekurangan pemain berstatus bintang, mereka tewas. "Sasaran kita bukan tidak realistik, tapi kita sudah mengkaji dan membuat penelitian secara terperinci siapa yang akan menang," kata Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi semalam.


Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Wira Mazlan Ahmad menerusi laporan Arena Metro pada Sabtu lalu berkata, sasaran semasa itu dilihat sebagai langkah ke belakang kerana sasaran itu pernah diraih kontinjen negara di Manchester 2002.


Justeru menurutnya, sasaran itu menimbulkan banyak persoalan kerana kontinjen negara jelas tidak berkembang jauh walaupun peruntukan semakin bertambah.

"Kita kehilangan emas dalam beberapa acara kerana kecederaan Datuk Lee Chong Wei dan pengguguran acara berpasangan dalam sukan menembak. Jika kedua-duanya dipertandingkan di Glasgow, sudah pasti dua emas mampu ditambah kerana Chong Wei (pemain nombor satu dunia) manakala acara berpasangan dalam sukan menembak dilihat lebih cerah dimenangi berbanding individu.


"Namun, saya merasakan tidak mustahil untuk kontinjen negara meraih sekurang-kurangnya sembilan emas menerusi beberapa acara seperti boling padang, gimnastik dan terjun menerusi atlet tertentu yang mampu melakukan kejutan," tambahnya.

Kontinjen negara untuk edisi ke-20 Sukan Komanwel akan diketuai Datuk Ong Poh Eng bersama 179 atlet untuk menyertai 14 daripada 17 jenis sukan yang merangkumi 130 acara.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/14

PDRM mampu cabar: Dollah

Posted: 13 Jul 2014 02:36 PM PDT

Kuala Lumpur: Bekas jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dollah Salleh yakin juara Liga Perdana itu mampu melepasi halangan peringkat kumpulan Piala Malaysia walaupun tanpa kehadirannya di tepi padang apabila saingan bermula 13 Ogos ini.

Dollah menandatangani kontrak dua tahun setengah bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengendalikan skuad kebangsaan pada 1 Julai lalu sekali gus menyaksikan beliau terpaksa melepaskan tugasnya dengan skuad The Cops.


Walaupun sudah dilantik menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya, namun beliau masih lagi membantu persiapan PDRM dan hadir pada majlis undian Piala Malaysia semalam.

Menerusi undian itu PDRM diundi bersama juara 32 kali Selangor, Sime Darby dan T-Team dalam Kumpulan D.


"Bagi saya Kumpulan D nampak seimbang, peluang PDRM mara ke pusingan kedua agak cerah. Bukan itu saja, keseluruhan undian bagi kejohanan kali ini nampak sama, tidak ada kumpulan boleh dianggap kumpulan maut.


"Saya sudah serahkan kepada Azman Adnan (penolong jurulatih) untuk mengendalikan pasukan, cuma dalam masa yang singkat ini saya perlu bantu. Saya rasa tidak ada masalah kerana Azman sudah mengikut saya dari awal. Saya sudah terapkan apa yang perlu untuk pasukan," katanya yang pernah membimbing Selangor MPPJ, Selangor dan Pahang menjuarai Piala Malaysia.

Mengulas pelantikan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan termasuk penolongnya, Dollah Salleh yang akan berlepas ke Mekah hari ini bagi menunaikan umrah sudah menyerahkan senarai calon berkenaan kepada FAM untuk penilaian terakhir.


"Saya sudah menyerahkan (senarai nama) kepada Datuk Hamidin (Mohd Amin). FEsok (hari ini) saya akan pergi umrah dan FAM akan umum senarai nama itu esok (hari ini)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/14

The Bos Gaurus lega undian seimbang

Posted: 13 Jul 2014 02:36 PM PDT

Ipoh: Seimbang! Begitulah kata pengurus Perak Datuk Azhar Ahmad mengenai peluang skuad The Bos Gaurus yang diundi satu kumpulan bersama Terengganu, Sarawak dan Kedah pada saingan Piala Malaysia, musim ini.

"Saya yakin saingan kumpulan ini cukup terbuka. Tiada dominasi mana-mana pasukan. Malah, kemampuan setiap pasukan juga hampir sama.


"Pasukan yang bijak menggunakan kesempatan dan peluang akan berjaya," katanya mengenai undian Piala Malaysia edisi ke-88 yang diadakan di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, semalam.

Perak yang menamatkan cabaran Liga Super di kedudukan kesembilan, berjaya mengelak bertemu pasukan ternama seperti Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Selangor dan Pahang.


Sebaliknya anak buah Abu Bakar Fadzim mampu menghela nafas lega apabila akan berentap dengan pencabar yang menduduki kedudukan keenam dan ketujuh Liga Super serta keempat Liga Perdana.


Kecuali Kedah, Perak pernah bertemu Terengganu dan Sarawak dengan mengalahkan kedua-dua pasukan Liga Super itu.

"Kami pernah menang ke atas mereka. Saya percaya ia boleh diulangi. Ini pertandingan dan suasana baru. Saingan Piala Malaysia punyai perbezaan dan kelainan," katanya.


Azhar yakin berdasarkan prestasi semasa Perak, pasukan Seladang berupaya memberi saingan sengit kepada pencabar lain dalam kumpulan itu nanti.

Beliau yakin pengumuman yang akan dibuat hari ini terutama mengenai pelantikan jurulatih import pasukan untuk bekerjasama dengan Abu Bakar akan membawa perubahan drastik kepada pasukan Yob.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/14

No comments:

Post a Comment