Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Buru tiket final

Posted: 09 Jul 2014 11:21 AM PDT

Kelana Jaya: Selepas gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFF dua tahun lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempertaruhkan sentuhan magis Dollah Salleh untuk membawa skuad Harimau Malaya sekurang-kurangnya layak ke final kejohanan itu hujung tahun ini.

Sasaran itu tampak sukar buat Dollah yang baru dilantik selaku ketua jurulatih kebangsaan minggu lalu memandangkan bekas pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mempunyai masa kurang lima bulan untuk membuat persiapan pada kejohanan yang dianjur bersama Singapura dan Vietnam.


"Dengan masa yang singkat, sasaran yang ditetapkan agak sukar tapi apapun saya akan cuba yang terbaik," kata pengendali itu pada sidang media semalam.

Memandangkan reputasi hebat Dollah, 50, di peringkat domestik dengan tiga gelaran Piala Malaysia bersama MPPJ, Selangor dan Pahang, harapan cukup tinggi disandarkan kepadanya untuk mengulangi kejayaan 2010 apabila Malaysia merangkul kejuaraan Piala AFF di bawah kendalian Datuk K Rajagobal.


Sebagai persiapan awal, Dollah yang menandatangani kontrak dua setengah tahun akan mengumpul pemain dalam kem pertama pada 5 Ogos ini sebelum turun beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Tajikistan empat hari selepas itu.


Bekas penyerang kebangsaan itu menyatakan, beliau mungkin mengekalkan 70 peratus pemain lama manakala muka baru akan dipilih berdasarkan prestasi dalam kempen Piala Malaysia bermula bulan depan.

Foto

PEMAIN Harimau Malaya menjulang trofi Piala AFF 2010 di bawah kendalian Rajagobal.

"Saya akan memantau prestasi pemain, tapi saya mungkin mengekalkan 60 hingga 70 peratus pemain lama dan selebihnya kami akan menilai pemain yang menonjol dalam saingan Piala Malaysia. Menentang Tajikistan saya hanya mempunyai masa empat hari selepas hari raya untuk menyiapkan pasukan.


"Kerana masa yang singkat ini, saya akan gunakan pemain sedia ada tapi bagi perlawanan seterusnya kami mempunyai masa untuk mencari pemain lain," katanya yang akan mengumumkan barisan staf kejurulatihan skuad kebangsaan Isnin ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan mereka tidak membayar sebarang pampasan kepada PDRM bagi menebus baki kontrak Dollah hingga November ini.


"Tidak ada pampasan kepada PDRM dan perbincangan dengan PDRM sudah selesai. Sebagai syarat Dollah akan membantu PDRM hingga mereka mendapat pengganti. Saya percaya sebelum Piala Malaysia bermula PDRM akan memperoleh pengganti beliau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

Sedia sahut cabaran

Posted: 09 Jul 2014 11:00 AM PDT

Kelana Jaya: Pengurus pasukan kebangsaan Datu Sudarsono Osman mengakui Harimau Malaya bukan lagi pasukan terbaik di rantau ini, namun beliau bersedia menyahut cabaran untuk menjadikan pasukan itu kembali disegani.

Beliau yang tampil sebagai muka baru dalam pengurusan Harimau Malaya, mengambil alih tugas Datuk Subahan Kamal selepas memenangi jawatan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Kongres FAM, Mei lalu percaya Harimau Malaya akan bangkit.


"Saya sukakan cabaran. Bagi saya ini peluang terbaik untuk saya terbabit secara langsung bersama skuad kebangsaan. Ini tugas mencabar kerana kita bukan lagi pasukan terbaik rantau ini, namun harapan yang diletakkan oleh peminat sangat tinggi," kata Sudarsono kepada pemberita dalam sidang media di Wisma FAM semalam.

Sudarsono, Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak percaya kehadiran Dollah Salleh untuk mengendalikan Harimau Malaya mampu menyuntik harapan baru termasuk misi memburu kejuaraan di Piala AFF hujung tahun ini.


"Saya harap gabungan baru ini mencetus kejayaan kepada pasukan kebangsaan. Memang harapan peminat sangat tinggi, namun tanggungjawab kami untuk berusaha sekurang-kurangnya layak ke final (Piala AFF)," katanya.


Tugasan pertama skuad kebangsaan bermula dengan aksi persahabatan menentang Tajikistan pada 8 Ogos ini dan Jordan pada 11 Oktober sebelum mengharungi kejohanan Piala AFF.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

Sasaran pingat belum putus

Posted: 09 Jul 2014 11:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Chef-de-Mission negara ke Sukan Komanwel 2014, Datuk Ong Poh Eng masih berteka-teki dengan sasaran sebenar kontinjen negara ke temasya di Glasgow, Scotland namun sudah menetapkan tanda aras yang perlu dicapai.

Sasaran rasmi hanya akan diumumkan pada majlis penyerahan bendera yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini, namun Poh Eng pada dasarnya mahu kontinjen negara menyumbangkan sekurang-kurangnya tujuh pingat emas pada temasya dari 23 Julai hingga 3 Ogos ini.


"Saya percaya kami perlu memenangi sekurang-kurangnya tujuh pingat emas untuk menyamai pencapaian di Manchester (2002) dan Melbourne (2006). "Namun untuk memenangi 12 pingat emas atau lebih agak mustahil. Kami tidak mahu memberikan tekanan yang tidak sepatutnya kepada atlet negara yang bersaing di Glasgow," katanya selepas menghadiri majlis penajaan Bata Malaysia kepada kontinjen negara, semalam.

Namun beliau berkata, mereka tidak boleh bersikap negatif kerana dalam sukan, tiada perkara yang mustahil dan atlet negara tidak seharusnya berputus asa.


Pada 2010 di New Delhi, kontinjen negara mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan di Sukan Komanwel dengan meraih 12 pingat emas sekali gus mengatasi pencapaian 10 emas ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 1998.


Bagaimanapun persiapan kontinjen negara kali ini terjejas terutamanya dalam sukan badminton apabila jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek enggan ke Glasgow selain kecederaan pemain utama negara, Datuk Lee Chong Wei.

Foto

PENGURUS kanan Bata, Datuk James Selvaraj (kanan) menghulur tajaan kasut sukan kepada Poh Eng (tengah) untuk kegunaan atlet pada Sukan Komanwel.

"Setiap persatuan pasti mempunyai masalah tersendiri, saya tidak mahu masuk campur, namun saya harap ia dapat diselesaikan. "Saya percaya pemain dan pegawai persatuan adalah individu yang matang serta mampu menyelesaikannya. Walaupun mempunyai pandangan yang berbeza, keutamaan adalah mewakili Malaysia," katanya.


Sementara itu Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim turut mengakui sumbangan pingat emas badminton mungkin berkurangan kali ini berbanding empat tahun lalu apabila pemain badminton negara menyumbangkan empat daripada 12 emas dimenangi kontinjen negara.

"Untuk meraih 12 emas kali ini sukar. Badminton memberikan kita empat emas di Delhi, namun saya fikir kali ini kita hanya mampu menang dua saja. "Begitu juga dalam acara skuasy, tiada jaminan emas menerusi Datuk Nicol Ann David kerana dia perlu menewaskan Laura Massaro yang beraksi di laman sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

Tanggungjawab tiup semangat Fatehah

Posted: 09 Jul 2014 10:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Tugas sebagai pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Komanwel 2014 Glasgow akan meniupkan lagi semangat pelumba berbasikal trek wanita negara, Fatehah Mustapa menghadiahkan pingat buat kontinjen Malaysia.

Fatehah yang menggantikan tugas Datuk Lee Chong Wei (gambar), mengakui sangat gembira dan berbesar hati diberi tanggungjawab itu sebagai wakil atlet lain yang akan membawa tanggungjawab negara di temasya itu.


"Ini kali pertama sepanjang karier saya diberi tanggungjawab seperti ini, sebelum ini baik di Sukan Malaysia (SUKMA) serta kejohanan lain saya tidak pernah mendapat peluang seperti ini," kata pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu.

Sebelum ini tanggungjawab itu diberikan kepada Chong Wei, namun pemain badminton nombor satu dunia itu terpaksa menarik diri beraksi di Glasgow kerana mengalami kecederaan otot.


"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terbabit dalam pemilihan ini.


"Setidak-tidaknya ia memberi semangat untuk saya menghadiahkan pingat buat negara," kata pelumba berusia 25 tahun itu.

Fatehah menyasarkan untuk me raih pingat dalam acara 500 meter ujian masa, namun perlu mengatasi cabaran pelumba dari Australia (Anna Meares), England (Jessica Varnish dan Victoria Williamson) dan New Zealand.


"Setakat ini sudah banyak peningkatan selepas saya berehat lama kerana mengalami kecederaan pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2014 di Astana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

MHC nilai pencapaian skuad hoki negara

Posted: 09 Jul 2014 10:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Satu jawatankuasa penilaian prestasi ditubuhkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bagi menilai pencapaian skuad hoki lelaki yang menduduki tangga tercorot pada Piala Dunia di The Hague, Belanda, dua bulan lalu.

Timbalan Presiden MHC Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, proses penilaian itu bagaimanapun satu proses biasa kepada mana-mana pasukan bagi menganalisis kesilapan dan kelemahan untuk diperbaiki bagi menghadapi kejohanan seterusnya.


Ketika sasaran terdekat mahu merebut slot automatik ke saingan Sukan Olimpik Rio 2016, anak didik Muhammad Dhaarma Raj Abdullah nyata tiada pilihan lain dengan misi utama harus membawa pulang pingat emas dari Sukan Asia di Incheon September ini.

"Saya ingin maklumkan, MHC sudah mewujudkan satu Jawatankuasa Penilaian Prestasi yang dilantik Presiden (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) dan dipengerusi Datuk R Yogeswaran.


"Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi menganalisis keperluan pasukan menjelang Sukan Asia di Incheon. Walaupun pasukan negara hanya menamatkan aksi di tangga terakhir pada Piala Dunia, tapi kami perlu berlaku adil kepada pasukan kerana selepas 12 tahun, kami berjaya layak kembali ke kejohanan sebesar itu.


"Lebih penting, ramai pemain mula mendapat perhatian pasukan kelab di Eropah. Dengan adanya jawatankuasa ini, kami akan mengenal pasti sebarang kekurangan untuk diperbaiki bagi menghadapi Sukan Asia kerana kami mahu layak secara automatik ke Olimpik," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Lapan lagi ahli dalam jawatankuasa itu adalah Nur Azmi, Datuk Poon Fook Loke, Datuk Au Soon Koon, Rama Krishnan, M P Haridass, Datuk Seri Zolkples Embong, Datuk Dr Ramlan Aziz dan Ariffin Ghani.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

Arena FM ungguli saingan 9 sebelah

Posted: 09 Jul 2014 10:58 AM PDT

Masjid Tanah: Kelab Sukan dan Rekreasi Arena FM muncul juara Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) selepas menewaskan Combat FC, 1-0 pada aksi final di Kolej Universiti Islam Melaka, Kuala Sungai Baru, baru-baru ini.

Kejayaan itu membolehkan pasukan itu meraih RM1,000 sekali gus mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan di Putrajaya.


Selaku naib juara, Combat FC meraih RM700 manakala tempat ketiga milik pasukan Old Boys (RM500).

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan Negeri Datuk Ab Rahaman Ab Karim.


Hadir sama, Timbalan Naib Canselor KUIM Profesor Madya Datuk Dr Baharudin Puteh, Pengarah Cawangan Penggalakan dan Kemajuan Sukan Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara Abdul Ghani Abd Rahman dan Pengarah JBS Melaka Shamsul Musa.


Kejohanan anjuran bersama Arena FM, Kelab Bola Sepak MBFA dan Kelab Bola Sepak Hat FAM itu turut membabitkan saingan bagi daerah Jasin dan Melaka Tengah.

Sebanyak 48 pasukan menyertai kejohanan itu dengan juara setiap saingan mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan.


Ab Rahaman berkata, kejohanan itu salah satu usaha JBS menggalakkan masyarakat akar umbi bergiat aktif dan meningkatkan penyertaan dalam sukan khususnya bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

Bekas pemain pamer bisa

Posted: 09 Jul 2014 10:58 AM PDT

Melaka: Pasukan Marine Castle dari Singapura berjaya menewaskan Pilihan Melaka, 3-2 pada perlawanan persahabatan bola sepak veteran di Stadium Hang Tuah, baru-baru ini.

Skuad dari Kota Singa itu tidak menghadapi masalah menggegar gawang tuan rumah pada awal saingan untuk mendahului dua gol.


Namun Pilihan Melaka yang turut dibarisi bekas pemain Kuala Lumpur era 80-an, Yahya Ibrahim bangkit menyamakan kedudukan sebelum pelawat menambah jaringan kemenangan pada saat akhir.

Kapten Marine Castle Abd Rahman Abdullah berkata, perlawanan amat sengit namun jaringan awal diperoleh membantu kemenangan pasukannya.


"Kami sering mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Johor, Melaka dan Kuala Lumpur.


"Selepas ini kami akan menanti kunjungan Melaka yang akan mengadakan perlawanan ulangan di Singapura.

"Kami difahamkan beberapa bekas pemain kebangsaan termasuk Ramli Junit akan turut serta pada perlawanan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

Everton ikat Barry

Posted: 09 Jul 2014 10:48 AM PDT

London: Everton sudah mengikat Gareth Barry menerusi kontrak tiga tahun selepas pemain tengah England itu menghabiskan musim lalu secara pinjaman dari Manchester City.

Barry yang membuat 37 kemunculan selain menjaringkan tiga gol untuk Everton, muncul pemain pertama dibeli pengurus Roberto Martinez.


Pemain berusia 33 tahun itu yang tamat kontrak bersama City bulan lalu, membantu Everton menduduki tangga kelima selain mengumpul mata terbanyak sejak menyertai Liga Perdana Inggeris.

"Saya banyak belajar dari Martinez. Everton mempunyai kelompok pemain yang hebat dan peminat mereka juga luar biasa. Semua yang berkaitan dengan Everton menyeronokkan," kata Barry dalam laman Twitter kelab itu.


"Saya gembira semuanya sudah selesai dan akan menghabiskan beberapa tahun lagi di Everton," kata pemain tengah itu.


"Apabila anda sekadar dipinjamkan, perasaannya tidak serupa dengan menjadi pemain tetap. Musim lalu saya seronok, tapi selepas menjadi pemain rasmi Everton, saya bertambah gembira." Di bawah bimbingan Martinez, Everton mendapat banyak pujian dan pengendali Sepanyol itu percaya Barry mampu melaksanakan corak permainan yang sudah dirancang.

"Dia akan menyesuaikan diri dengan baik di Everton," kata Martinez. "Ia kaedah yang baik untuk memulakan musim." Barry memulakan kariernya bersama Brighton, tetapi turut pernah mengukir nama dengan Aston Villa. Dia mewakili England 53 kali. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

Sanchez, Debuchy bakal warnai Arsenal

Posted: 09 Jul 2014 10:46 AM PDT

London: Kelab Liga Perdana Inggeris Arsenal sudah hampir pasti mendapat khidmat pemain sayap Chile Alexis Sanchez (gambar), 25, yang sebelum ini beraksi bersama Barcelona.

Pengurus Arsene Wenger memberitahu talkSPORT, Gunners dijangka melengkapkan perpindahan itu dalam masa terdekat.


Sementara itu, bekas pemain tengah England yang kini bertugas sebagai pengulas sukan, Stan Collymore memuat naik komen dalam laman Twitter dengan berkata: "Sanchez akan menyertai Arsenal esok dengan bayaran perpindahan €35 juta (RM151 juta) dan kontrak empat tahun." Selain itu, Arsenal turut yakin dapat melengkapkan perpindahan pemain Newcastle serta pertahanan antarabangsa Perancis, Mathieu Debuchy pada minggu ini.

Difahamkan, Barcelona terpaksa menjual Sanchez selepas mereka mahu mengumpul dana untuk membeli penggempur Liverpool serta Uruguay, Luis Suarez.


Bagaimanapun, hingga kini Arsenal masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai perpindahan kedua-dua pemain itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

Selamat tinggal Azzurri

Posted: 09 Jul 2014 10:45 AM PDT

Rome: Cesare Prandelli mengucapkan selamat tinggal kepada Persekutuan Bolasepak Itali susulan pengumuman rasminya sebagai jurulatih Galatasaray.

Prandelli meletak jawatan selepas Itali tersingkir pada peringkat kumpulan di Piala Dunia Brazil walaupun masih berbaki dua tahun dalam kontraknya. Jurulatih berusia 56 tahun itu kemudian menerima tawaran untuk mengendalikan kelab gergasi Turki, Gala dan diperkenalkan di Istanbul semalam.


"Banyak perkara yang berlaku dalam tempoh empat tahun," tulis Prandelli menerusi laman web persekutuan. "Anda berjumpa dengan ramai orang dan mencipta banyak ikatan ketika melaksanakan sesuatu projek.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada setiap orang yang menemani, menasihati dan menyokong perjalanan saya ini. Mustahil untuk mengucapkan terima kasih secara individu kerana jumlahnya amat ramai.


"Saya akan melakukannya dengan beberapa baris ayat ini: Memang istimewa untuk bekerjasama dengan anda dan saya sentiasa bangga. Saya tahu betapa sayang dan semangatnya anda demi jersi Azzurri.


"Saya perlu ucapkan terima kasih secara khusus buat Presiden Giancarlo Abete, individu utama sepanjang tempoh saya menjadi jurulatih. Beliau sentiasa tahu untuk menyatakan sesuatu pada saat yang tepat kepada saya.

"Saya harap pengalaman kami, sama ada positif atau negatif, boleh menjadi titik permulaan bola sepak negara ini bagi mengembalikan maruah dan rasa hormat yang sepatutnya." Prandelli melatih Roma dan Fiorentina sebelum menggantikan Marcello Lippi menguruskan skuad kebangsaan pada 2010. Beliau membawa Azzurri ke final Euro 2012, tewas kepada Sepanyol, dan menamatkan saingan di tempat ketiga Piala Konfederasi tahun lalu.


Galatasaray melantik jurulatih baru selepas berpisah dengan pakar taktikal dari Itali, Roberto Mancini bulan lalu. Mancini membawa Gala menduduki tempat kedua Super Lig, di belakang Fenerbahce, dan turut memenangi Piala Turki namun meninggalkan kelab itu walaupun kontraknya masih berbaki sembilan bulan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

No comments:

Post a Comment