Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Aksi buruk bayangi hidup Scolari

Posted: 12 Jul 2014 10:03 AM PDT

Brasilia: Jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari semalam mengakui tempoh kurang menyenangkan selama enam minggu lalu sama ada dalam atau luar padang akan membayanginya sepanjang hidup.

"Banyak perkara yang berubah dan memberi impak kepada kehidupan saya sama ada lebih baik atau teruk. Dalam tempoh beberapa hari akan datang, saya akan cuba meneruskan kehidupan saya, sesuatu yang saya tinggalkan sejak kebelakangan ini," kata Scolari.

"Saya akan berbincang dengan keluarga mengenai apa yang berlaku dan meneruskan kehidupan secara normal walaupun sudah pasti ia tidak akan sama lagi.

"Tiada yang akan sama seperti sebelum skuad ini dikumpulkan bersama," ujarnya.

Foto


Impian Piala Dunia Brazil berkecai apabila tewas 1-7 kepada Jerman di separuh akhir Rabu di Belo Horizonte dengan Scolari melabelkan hari berkenaan sebagai yang paling teruk dalam hidupnya.


Namun, beliau turut berdepan tragedi luar padang. Beberapa hari sebelum perlawanan pertama Brazil di Piala Dunia bulan lalu, beliau mendapat tahu anak saudaranya terbunuh dalam nahas jalan raya.

Ia hadir selepas beberapa minggu abang iparnya meninggal dalam situasi sama.

Kontrak Scolari sebagai jurulatih Brazil tamat selepas perlawanan awal pagi tadi, walaupun terhadap cadangan Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) mungkin memintanya kekal sehingga penghujung tahun.

"Tugas saya bermula dan berakhir dengan Piala Dunia. Esok (Ahad) adalah penghujungnya," katanya.

"Selepas itu, kita akan lihat apa yang betul dan salah sudah saya lakukan. Tempoh setahun setengah terdapat banyak perkara yang sangat bagus - kita tidak boleh melihat kepada keputusan satu perlawanan saja.

"Kita tidak boleh mengatakan keseluruhan tugas adalah teruk kerana satu keputusan," jelas Scolari yang berkata beliau tidak mempunyai sebarang perbincangan mengenai masa depannya bersama Presiden CBF ketika ini, Jose Maria Marin atau bakal presiden, Marco Polo.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Scolari patut kekal: Del Nero

Posted: 12 Jul 2014 10:01 AM PDT

Sao Paulo: Jurulatih Brazil Luiz Felipe Scolari perlu meneruskan tugas cemerlangnya walaupun tuan rumah dimalukan Jerman pada separuh akhir Piala Dunia, kata pegawai Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) kelmarin.

"Bagi saya, beliau patut kekal," kata bakal Presiden CBF, Marco Polo Del Nero kepada akhbar Estado de Sao Paulo menerusi satu sesi temuramah.

"Apa yang berlaku adalah kesilapan taktikal.

Itulah masalahnya.

Namun kita semua melakukan kesalahan.


Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja," jelasnya merujuk kepada kekalahan memalukan 1-7 Brazil kepada Jerman Rabu lalu.

"Perkara paling penting, beliau sudah melakukan tugas yang bagus.


Kempen dan persediaan bagus.

Asas sudah wujud." Ia adalah kali pertama Del Nero, individu yang akan menjadi ketua CBF April depan menggantikan Jose Maria Marin, bercakap mengenai kekalahan kepada Jerman di Belo Harizonte.

Scolari mengetuai Brazil menjulang Piala Dunia kelima pada 2002, berkata akan melengkapkan laporan persembahan pasukan sejurus berakhirnya perlawanan penentuan tempat ketiga awal pagi tadi menentang Belanda di Brasilia.

Bekas pengurus Portugal itu hanya tewas tiga daripada 28 perlawanan sejak mengendalikan pasukan itu pada November 2012 dan berasakan kekalahan separuh akhir kepada Jerman tidak mampu menggugat rekod bagusnya.

"Saya akan menghantar laporan saya dan biar Presiden Marco Polo dan lembaga pengarah berbincang mengenainya, kita lihat apa yang berlaku dan apa yang mereka rasakan betul dan salah dalam tugas yang saya jalankan," katanya kepada pemberita di Stadium Nasional, Brasilia.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Bicara Shebby: Nilai kualiti bukan emosi

Posted: 12 Jul 2014 10:00 AM PDT

Perlawanan terbesar bola sepak dunia akan berlangsung di Rio de Janeiro awal pagi esok dengan pasukan Jerman bertemu Argentina.

Kedua-dua pasukan ini mempunyai sejarah di antara mereka yang sudah kita maklum.

Final 1986 serta 1990 bermakna kedudukan terikat satu sama dalam mengejar gelaran juara dunia.

Namun apa juga yang berlaku pada perlawanan akhir ini, kita harus memahami kedua-dua pasukan ini sudah muncul juara di hati kalangan ramai.

Kita perlu objektif melihat perlawanan ini sebagai dua pasukan termasyhur di dunia dan bukan menghina pasukan yang akan tewas.

Kita harus bijak menghitung kualiti bola sepak yang dihidangkan dan bukan berkeliaran mengikut emosi media British terutamanya.

Bermacam-macam diperkatakan mengenai pemain individu dan inilah pandangan saya mengenai media Inggeris.

Kelemahan bola sepak di England ketara tetapi media mereka hanya memburukkan pemain asing.

Maka dengan itu, adalah penting kita rakyat Malaysia membuat perhitungan sendiri dan bukan melenting seperti kera kena belacan.

Penjaga gol Argentina, Sergio Romero adalah antara yang terbaik di dunia walaupun tidak beraksi sebagai penjaga gol pilihan di kelab sendiri.

Pertahanan tengah Martin Demichelis membawa pengalaman serta ketenangan ke benteng pertahanan.

Foto

ROMERO gagal mendapat tempat di peringkat kelab.


Dia membuktikan kelebihan berbanding Vincent Kompany dari Belgium atau Thiago Silva dari Brazil.

Penyerang Jerman, Mesut Ozil bertaraf dunia dan satu dunia dapat melihat kemahiran serta kebolehannya tetapi dianggap gagal di England oleh media mereka.

Pemain tengah bertahan terbaik di dunia, Javier Mascherano adalah salah seorang pemain yang mampu mencorak tempo serta rentak permainan.


Ini satu kebolehan luar biasa.

Agak meluat mendengar pendapat dari England mengenai Mascherano.

Di England, pertahanan Jerman, Jerome Boateng dikatakan tidak mampu mencapai tahap beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun dia bijak kerana memahami kebolehan dan maruah sendiri membawa dirinya kembali ke Jerman dan awal pagi esok akan turut beraksi pada perlawanan akhir Piala Dunia 2014.

Sementara itu, persembahan Lionel Messi dikritik ramai tetapi Messi melakukan semampunya untuk beraksi dari perlawanan ke perlawanan.

Kapten Argentina itu sudah menunjukkan kebolehannya mengemudi La Albiceleste ke perlawanan akhir.

Namun pengkritik yang menghentam persembahan Messi faham tiada halangan buat penyerang Barcelona itu menjaringkan hatrik pada setiap perlawanan.

Pendek kata, marilah kita meraikan apa yang sudah dihidangkan dan menyokong apa yang akan dipentaskan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Peluang jadi legenda

Posted: 12 Jul 2014 09:59 AM PDT

Rio de Janeiro: Bintang Argentina Lionel Messi (gambar) tidak akan mempunyai peluang lebih baik berbanding aksi final Piala Dunia awal pagi esok untuk membuktikan dirinya layak duduk sebaris dengan pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman.

Dengan semua jaringan menarik serta lambakan gelaran yang pernah dimenangi sepanjang bersama Barcelona, hanya Piala Dunia yang bakal diiktiraf dan semua pemain yang dianggap hebat, menzahirkan kebolehan masing-masing di kejohanan empat tahun sekali itu.

Bermula dari pemain berusia 17 tahun - Pele pada 1958 hinggalah kepada Andres Iniesta pada 2010, Diego Maradona, Zinedine Zidane dan Ronaldo semuanya menjadikan pentas Piala Dunia sebagai tempat untuk melonjakkan imej masing-masing.

Kehebatan Messi sejak enam musim lalu di Nou Camp tidak boleh diketepikan tetapi selagi dia belum menjulang Piala Dunia, kehebatannya seolah-olah tidak lengkap.

Bintang Brazil ketika Piala Dunia 1970, Roberto Rivellino berkata "Jika Argentina menang, dia akan berada sebaris dengan Pele serta Maradona.

Itu hakikat yang tidak boleh dinafikan." Kehebatan Maradona sendiri sering dikaitkan dengan aksinya di Piala Dunia dan pada usia 27 tahun, Messi tentunya tidak mempunyai peluang lebih baik berbanding kali ini untuk menyerlahkan apa yang ada pada dirinya.

Maradona hampir tidak dapat bergerak selepas dikawal ketat ketika final 1986 menentang Jerman Barat tetapi beliau tetap berjaya membuat umpanan yang menghasilkan gol kemenangan yang disempurnakan Jorge Burruchaga dan aksi seperti itulah yang perlu dilakukan Messi - andai tidak menjaringkan gol, dia perlu menunjukkan kepintarannya.

Bagaimanapun, ketika Messi muncul pemain paling penting Argentina, prestasinya dilihat sedikit menurun sejak kebelakangan ini.

Menyerlah di pusingan kedua menentang Switzerland ketika dia mencipta gerakan untuk membolehkan Angel di Maria meledak gol kemenangan, Messi meneruskan rentak hebatnya menentang Belgium tetapi longlai selepas dirantai Belanda.

Aksinya pada perlawanan menentang Oranje adalah yang ke-92 baginya di peringkat antarabangsa - satu perlawanan melebihi Maradona - tetapi selagi belum memenangi Piala Dunia, tiada apa yang boleh dibanggakan pemain itu.

Sepanjang 91 aksi bersama skuad kebangsaan, Maradona beraksi di empat Piala Dunia dan membawa Argentina mara ke dua final dan menjadikan kejohanan edisi 1986 sebagai miliknya.

Messi pula, seperti yang diperkatakan jurulatih Belanda Louis van Gaal: "Tidak selalu menyinar di peringkat antarabangsa." Justeru, andai Messi tidak menyerlah di final tetapi pasukannya tetap muncul juara, adakah dia boleh mendakwa dirinya sehebat Maradona?- AFP

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Jerman tekad gegar Maracana

Posted: 12 Jul 2014 09:55 AM PDT

Rio de Janeiro: Bukan sekadar mahu melakar sejarah baru dalam sejarah bola sepak negara malah Jerman juga sedia untuk meranapkan segala impian Lionel Messi untuk menjulang Piala Dunia di Stadium Maracana awal pagi esok.

Perlawanan ke-64 di edisi kali ini menemukan dua benua - Eropah dan Amerika Selatan yang disifatkan sebagai pertembungan dua kuasa besar sukan nombor satu dunia itu.

Jerman mahu muncul negara pertama Eropah yang menang Piala Dunia di bumi Amerika Selatan sekali gus bakal menjadi kebanggaan buat generasi akan datang.

Sementara itu, Messi mahu mencari kemenangan yang bakal menutup mulut semua pengkritik yang mencabarnya untuk menjulang Piala Dunia sebagai bukti dia memang setanding dengan Diego Maradona.


Kelebihan tetap memihak kepada Jerman selepas membelasah Brazil 7-1 di separuh akhir tetapi menjelang pertemuan dengan Argentina, mereka berkata kemenangan besar itu sudah dilupakan sama sekali.


Tumpuan Jerman kini terarah ke Stadium Maracana selain peluang untuk merangkul gelaran juara selepas sering tewas sama ada di final atau separuh akhir dalam empat kejohanan utama sebelum ini.

"Kami memang gembira dengan aksi kami ketika menentang Brazil tetapi ia sudah dilupakan sehari kemudian," kata penyerang Jerman Miroslav Klose.

Di semua posisi, Jerman mempunyai kualiti. Manuel Neuer dianggap penjaga gol terbaik ketika ini manakala Mats Hummels cukup mantap di benteng pertahanan. Bastian Schweinsteiger dan Sami Khedira membentuk gandingan berbisa di tengah sekali gus meringankan beban Toni Kroos dan Mesut Ozil.

Thomas Mueller muncul seorang peledak digeruni - lima gol setakat ini - manakala Klose pula sudah muncul penjaring terbanyak Piala Dunia sepanjang zaman. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Grondona idam tambah trofi

Posted: 12 Jul 2014 09:54 AM PDT

Buenos Aires: Julio Grondona - individu berpengaruh dalam bola sepak yang akan duduk di barisan depan bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia adalah pemimpin paling lama menerajui Persatuan Bolasepak Argentina (AFA).

Beliau pasti melihat kemenangan ke atas Jerman sebagai satu lagi kejayaan dalam tempoh empat dekad memimpin bola sepak Argentina yang tidak pernah sunyi daripada pelbagai kontroversi.

Presiden berusia 83 tahun itu berulang kali dikaitkan dengan skandal namun berjaya menepis segala kritikan dan mudah mengekalkan jawatan selaku pemimpin nombor satu AFA setiap empat tahun sejak 1979.

Grondona menganggap "pengurusan sukan" sebagai salah satu hobinya.


Bagaimanapun, sebagai naib presiden kanan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta ketua jawatankuasa kewangan, beliau memainkan peranan penting menguruskan dana badan induk antarabangsa berjumlah berbilion ringgit.


Dengan Argentina mengamalkan pemerintahan diktator ketenteraan dari 1976 hingga 1983, Grondona dilantik sebagai pemimpin AFA oleh Penolong Laksamana Carlos Lacoste yang mengetuai jawatankuasa penganjur Piala Dunia di negara itu dan berjaya menjuarainya pada 1978.

Grondona melakukan reformasi dalam bola sepak negara itu bagi mengekalkan status mereka sebagai antara kuasa besar bola sepak. La Albiceleste memenangi Piala Dunia sekali lagi pada 1986 menentang Jerman Barat, pingat emas Olimpik di Athens 2004 dan Beijing 2008 serta Copa America 1991 dan 1993.

Beliau dikenali sebagai seorang yang lantang dan tidak bimbang mengenai siapakah sasarannya. Beliau juga pernah bergaduh dengan legenda bola sepak Argentina Diego Maradona.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Antara menyerang atau bertahan

Posted: 12 Jul 2014 09:53 AM PDT

Rio de Janeiro: Rakyat Brazil sudah semestinya tidak mahu perjalanan Piala Dunia tamat dalam keadaan begini tetapi perlawanan akhir esok adalah di antara Argentina dan Jerman yang akan memberikan aksi terbaik masing-masing dalam sejarah kejohanan.

Berdasarkan apa yang diberitahu ejennya, ini adalah sentuhan terakhir jurulatih Argentina Alejandro Sabella tidak kira menang atau kalah dan beliau akan meninggalkan tugas sebagai seorang wira jika dapat memenangi perlawanan akhir kali ketiga membabitkan jaguh Eropah dan Amerika Selatan.

Tidak kira sama ada perlawanan itu akan berakhir dengan jumlah jaringan yang banyak seperti aksi akhir 1986 di Mexico City, di mana Argentina menang 3-2 atau pertembungan dahsyat yang menyaksikan Jerman Barat menang 1-0 di Rome, keputusan kali ini memang sukar diramal.

Melihat kepada perlawanan akhir sebelum ini, ia memang sengit apabila kedua-dua pasukan bermain secara bertahan sekali gus menghasilkan jumlah jaringan sedikit sekali gus membuatkan kedua-dua aksi 1986 dan 1990 sebagai garis pemisah untuk perjalanan saingan akhir kali ini.

Enam perlawanan akhir sebelum ini termasuk 1986 menghasilkan 27 gol dengan jaringan keenam berlaku pada 1990 apabila Argentina menjadi pasukan pertama gagal menjaringkan gol di pentas final sedangkan mereka sebelum itu sudah menyumbat lapan gol.

Terdapat pengiraan bahawa jaringan keseluruhan Piala Dunia 2014 yang sudah menghasilkan 167 gol setakat ini mampu untuk memecahkan rekod 171 gol yang dicatat di Piala Dunia 1998 dengan dimenangi pasukan yang kukuh bertahan berbanding rangkaian serangan mantap.

Kedua-dua pasukan mempunyai penjaga gol yang berada di puncak prestasi dengan Manuel Neuer dari Jerman sudah layak digelar yang terbaik di dunia dan Sergio Romero (Argentina) berjaya melupakan kenangan sedih dengan hanya memanaskan bangku simpanan di AS Monaco musim ini kerana sekurang-kurangnya dia sudah menyelamatkan dua sepakan pada penentuan penalti ketika menyingkirkan Belanda Rabu lalu.

Berada di depan Neuer adalah Benedict Hoewedes yang beraksi setiap minit dalam kejohanan ini di posisi pertahanan kiri dan Mats Hummels bersama Jerome Boateng dilihat ampuh di kedudukan pertahanan tengah.

Sejak jurulatih Joachim Loew mengubah kembali kedudukan ketua pasukan Philipp Lahm di posisi pertahanan kanan dari tengah, rangkaian pertahanan mereka dilihat begitu utuh.

Rangkaian pertahanan Argentina juga tidak boleh dipandang sebelah mata.

Mereka belum melepaskan sebarang gol dalam tiga perlawanan berturut-turut sejak mencatat kemenangan 3-2 ke atas Nigeria dalam aksi terakhir Kumpulan F, 25 Jun lalu dan Sabella juga mampu untuk membuat percaturan dengan membariskan pertahanan mantap melalui formasi yang digunakannya sekarang.

Keyakinan dan kehebatan Romero dilihat meningkat sepanjang kejohanan ini manakala pertahanan kanan Pablo Zabaleta, pertahanan tengah Ezequiel Garay dan pemain tengah bertahan Javier Mascherano juga sangat menakjubkan selepas mereka beraksi di setiap minit di Brazil.

Pemain yang tidak perlu diperkenalkan lagi yang bermain sepanjang masa untuk Argentina sudah semestinya Lionel Messi.

Dia yang layak digelar pemain nombor satu dunia dilihat menikmati kejohanan ini dengan baik sekali selepas menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan ketika mengalahkan Bosnia, Iran dan Nigeria namun gagal untuk menambah koleksi jaringan apabila bertemu Switzerland, Belgium dan Belanda di peringkat kalah mati.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Milik siapa?

Posted: 12 Jul 2014 09:51 AM PDT

Rio de Janeiro: Empat pemain Jerman, tiga Argentina serta masing-masing seorang dari Brazil, Colombia dan Belanda disenarai pendek untuk menerima anugerah "Bola Emas" selaku pemain terbaik Piala Dunia.

Antara yang berada dalam senarai 10 pemain terbaik itu adalah pemain pertahanan dari pasukan finalis Piala Dunia Jerman Mats Hummels, pertahanan kanan Philipp Lahm, pemain tengah Toni Kroos dan penyerang Thomas Mueller yang setakat ini sudah meledak lima gol.

Pemain pasukan lawan mereka di final awal pagi esok, Argentina turut tersenarai iaitu pemain sayap Angel Di Maria, pemain tengah Javier Mascherano dan penyerang yang meledak empat gol serta kapten Lionel Messi.

Turut tidak ketinggalan, pemain tengah menyerang Colombia James Rodriguez yang dianggap paling menyerlah di kejohanan ini apabila menjadi penjaring terbanyak setakat ini dengan enam gol untuk membantu pasukannya ke suku akhir sebelum tumpas di tangan Brazil.

Dua lagi pemain yang tersenarai ialah penyerang lincah Belanda Arjen Robben yang menjaringkan tiga gol untuk membawa Belanda melangkah ke separuh akhir serta bintang Brazil Neymar dengan ledakan empat gol sebelum berehat akibat kecederaan.

Badan induk bola sepak antarabangsa, FIFA akan mengumumkan pemenang selepas final awal pagi esok.

Penyerang Uruguay Diego Forlan adalah penerima anugerah pemain terbaik kejohanan di Afrika Selatan empat tahun lalu.

Bagi anugerah "Sarung Tangan Emas" yang dikhaskan untuk penjaga gol terbaik menyaksikan perebutan antara penjaga gawang Jerman Manuel Neuer, Sergio Romero (Argentina) dan Keylor Navas (Costa Rica) yang membawa pasukan dari Amerika Tengah itu ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama.

Anugerah pemain muda terbaik pula menjadi rebutan pemain Perancis Paul Pogba dan Raphael Varane serta Memphis Depay dari Belanda.

- Reuters

Foto

RODRIGUEZ

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

No comments:

Post a Comment