Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kartunis lebih berani

Posted: 12 Jul 2014 09:47 AM PDT

Damsyik: Pelukis kartun bertindak lebih pantas memberi reaksi terhadap keganasan terbaru rejim Zionis Israel berbanding pemimpin negara Arab serantau.

Dengan angka kematian sehingga petang semalam (waktu Malaysia) mencecah sekurang-kurangnya 115 orang dan kemarahan masyarakat dunia terus memuncak, pelukis kartun di Timur Tengah tampil menyindir orang awam kerana memikirkan banyak isu lain berbanding penderitaan penduduk Gaza.

Antara isu yang menjadi perhatian ramai di Timur Tengah ialah demam Piala Dunia.

Ketika Israel menjadi sasaran kecaman masyarakat Arab serta AS yang menyokong negara itu, keberkesanan Liga Arab turut dipertikaikan.

Foto

LAKARAN satira Emad Hajjaj

Foto

LAKARAN satira Emad Hajjaj


Kolumnis akhbar The Guardian, Ian Black berkata, kewujudan Liga Arab itu sendiri banyak dipengaruhi oleh konflik di Palestin, namun sehingga kini pertubuhan berkenaan belum membincangkan krisis terbaru itu.


Pelukis kartun Abdullah Jaber 'bertindak' lebih pantas dengan menghasilkan lakaran menunjukkan sebuah kereta kebal Israel mengisi minyak berjenama "Arab Senyap."

Pelukis kartun Mesir, Amr Okasha melukis dua lelaki pejuang jihad sedang berbual.

Seorang daripadanya berkata: "Zionis menyerang Gaza," dan dijawab rakannya - yang memegang bendera hitam Negara Islam Iraq dan Syam: "Kita sedang sibuk. Kita cuma mahu membunuh orang Arab."

Pelukis kartun Jordan, Emad Hajjaj menghasilkan imej seorang penjaga gol dalam bentuk peta Palestin yang bersusah-payah cuba menangkap objek berlogo Zionis.

Hamzeh Hajjaj pula menghasilkan kartun dengan tiga lelaki berbual.

Lelaki pertama berkata: "Saya orang Arab dan menyokong Jerman."

Lelaki kedua pula berkata: "Saya orang Arab dan Brazil."

Akhirnya lelaki ketiga berkata: "Saya orang Arab dan mahu rakyat Arab bangkit daripada tidur."

Kartunis Arab Saudi, Aimantoon memilih imej seorang remaja melahap kentang goreng dan minuman berkarbonat sambil menangis melihat laman sesawang Gaza yang mendapat ribuan "Like."

Seniman Libya pula menggunakan Twitter untuk menyindir: "Jangan bimbang penduduk Gaza. Orang Arab di seluruh dunia sedang menukar gambar profil mereka untuk membantu kalian."

Imej lain yang beredar di media sosial turut menampilkan ketidakseimbangan perhatian diberikan kepada korban keganasan itu - lebih 100 orang penduduk Palestin maut dan tiada kematian di pihak Israel.

Black berkata, reaksi kerajaan Arab juga tidak begitu memberangsangkan, antaranya gara-gara kebencian Arab Saudi dan Mesir kepada gerakan Islam Hamas yang mentadbir Gaza.

Jordan pula mengecam Tel Aviv kerana melakukan 'keganasan tidak bertamadun' ke atas Gaza, namun seperti Mesir, mereka dilihat tidak akan merosakkan perjanjian damai dengan rejim Zionis itu.

Media Syria pula mengutuk Riyadh dan Doha kerana menyokong gerakan menggulingkan Presiden Bashar al-Assad namun tidak berbuat apa-apa bagi membantu Gaza.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Marah bapa, rogol anak

Posted: 12 Jul 2014 09:38 AM PDT

Ranchi, India: Seorang ketua kampung mengarahkan seorang budak perempuan dirogol sebagai hukuman terhadap bapa mangsa membelasah jiran mereka yang cuba mencabul serta menceroboh rumah mereka.

Media semalam melaporkan, bapa mangsa terkejut apabila seorang lelaki mabuk masuk ke rumah mereka pada tengah malam kelmarin untuk mencabul isterinya.

Untuk menyelamatkan keadaan, bapa mangsa membelasah jirannya itu, menyebabkan dia terpaksa melarikan diri.

Jurucakap polis berkata, keesokan harinya lelaki terbabit mengadu kepada ketua kampung di sebuah kawasan petempatan di daerah Bokara di negeri Jharkhand.


Kata jurucakap polis itu, sebagai balasan kerana dibelasah, ketua kampung terbabit membenarkan anak perempuan lelaki itu dirogol.


"Kebenaran itu diberi kononnya sebagai hukuman terhadap bapa mangsa yang bertindak ganas," katanya.

Suspek kemudian mengheret budak perempuan berusia 10 tahun itu dari rumahnya ke belukar berhampiran untuk diperkosa.

Saksi berkata, kejadian itu disaksikan ibu mangsa.

Budak perempuan itu kemudian ditemui ibunya dalam keadaan berlumuran darah kira-kira sejam kemudian.

Jurucakap polis berkata, penduduk kampung tidak campur tangan atau cuba menyelamatkan budak terbabit kerana bimbang mereka pula menjadi sasaran serangan.

"Polis kemudian dimaklumkan mengenai insiden itu dan ketua kampung berkenaan ditangkap," katanya.

Kejadian itu adalah serangan seksual melampau terbaru di India - negara yang mencatatkan kes seumpama sekali setiap 22 minit.

Biro Rekod Jenayah Kebangsaan menyatakan sebanyak 24,923 kes rogol berlaku di seluruh India pada 2012, namun aktivis hak wanita mendakwa realiti di negara itu jauh lebih menggerunkan.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Warga emas sasaran anak, cucu serakah

Posted: 12 Jul 2014 09:37 AM PDT

Mombasa: Ratusan ibu bapa di Kenya dilapor menemui ajal di tangan zuriat sendiri atas pelbagai alasan, termasuk dituduh menjadi ahli sihir dan untuk merebut harta.

Kebanyakan mereka terbunuh akibat digantung, dibakar atau dicekik oleh anak atau cucu masing-masing.

Jika tidak tergamak membunuh sendiri, sesetengah pihak mengupah samseng setempat untuk melakukan perbuatan itu bagi pihak mereka.

Keadaan itu, lapor media semalam, menimbulkan kebimbangan di kalangan pemimpin Kenya.


Siasatan polis di Kilifi, Lamu dan Kwale mendapati golongan warga emas menjadi sasaran ketamakan anak dan cucu yang mahu menguasai harta mereka lebih awal.


Dalam kes tertentu, kata seorang pemimpin tempatan, Teddy Mwambire, ada golongan muda membunuh ibu bapa yang menyara mereka.

"Tanpa ibu bapa, jualan kelapa atau hasil tanaman lain dapat masuk terus ke kantung mereka," katanya.

Minggu lalu portal berita The Standard menemui 19 individu bersembunyi di sebuah rumah di Ganze, Kilifi, bagi mengelak diburu anak sendiri.

Kata Mwambire, seseorang hanya perlukan upah kira-kira RM145 serta seekor kambing untuk merasuah pihak berkuasa bagi mengelak dikenakan tindakan.

Seorang pengurus rumah perlindungan pula berkata, kira-kira 400 warga emas dibunuh di Kilifi sejak empat tahun lalu. — Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Aburizal 'korban' perang pemilu

Posted: 12 Jul 2014 09:36 AM PDT

Jakarta: Tempias daripada 'perang' di antara Joko Widodo (Jokowi) dan Prabowo Subianto untuk merebut jawatan Presiden Indonesia nampaknya terkena Ketua Umum Parti Golkar, Aburizal Bakrie.

Diketahui wujud perpecahan dalam parti itu sejak sebelum pemilihan presiden lagi, kemelut Golkar semakin kronik apabila muncul sebahagian ahli parti itu mendesak Aburizal meletak jawatan sebelum tempoh mandatnya berakhir tahun depan.

Kelmarin golongan muda parti itu secara terbuka mendesak Aburizal menerima hakikat bahawa pasangan Jokowi - Jusuf Kalla memenangi pemilihan itu.

Semalam pengasas Golkar, Suhardiman pula tampil menyatakan dia hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Aburizal.

Tidak cukup dengan itu, pemimpin kanan parti Zainal Bintang mendesak Golkar mengadakan mesyuarat agung luar biasa September ini selepas mendakwa mendapat sokongan dua pertiga cabang parti itu di seluruh negara.


Bagaimanapun Aburizal memberitahu pemberita, belum ada sebarang permohonan rasmi untuk mengadakan mesyuarat berkenaan dan ia hanya boleh dicadangkan badan eksekutif.

Isu itu dibangkitkan ketika kedua-dua regu calon mendakwa memenangi pilihan raya presiden berdasarkan kiraan awal oleh beberapa pusat kiraan undi.

Namun rekod kredibiliti Jokowi memainkan peranan dalam pecahan undi oleh penyokong Golkar.

Pengundian yang dijalankan Rabu lalu menunjukkan 40 peratus individu yang mengundi Golkar dalam pilihan raya umum lalu memberikan undi kepada Jokowi.

Ia berlaku ketika Golkar secara rasmi menyokong Prabowo.


Keputusan Aburizal untuk menyokong Prabowo pada hujung Mei lalu mengejutkan ramai ahli parti itu, lebih-lebih Jokowi dan Jusuf sendiri adalah bekas pemimpin atasan Golkar.

Pakatan pelbagai parti yang dibentuk menyokong Jokowi menguasai 37 peratus atau 207 daripada 560 kerusi parlimen.

Jika Golkar - yang menguasai 91 kerusi - beralih arah membentuk pakatan dengan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang diwakili Jokowi, mereka akan menguasai 53 peratus daripada keseluruhan kerusi.

Pemimpin PDI-P menyambut baik laporan mengenai perkara itu namun menegaskan ia perlu dilakukan bukan dengan niat tersembunyi.

Pakar strategi parti, Indra Piliang berkata, langkah itu bakal memberikan penguasaan yang lebih stabil buat Golkar di parlimen.

"Jika tidak, ia akan menemui jalan buntu dan perkara itu memberi impak buruk pada negara," katanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Empat cedera angkara dendam cinta lama

Posted: 12 Jul 2014 09:36 AM PDT

Pattaya: Dendam cinta lama menjadi punca satu kemalangan motosikal yang mengakibatkan empat orang cedera, termasuk seorang kanak-kanak 4 tahun, awal pagi semalam.

Dalam kejadian di Soi Bongkot di Pattaya, Khun Wirawan, 19, menunggang motosikal bersama teman lelaki barunya, Khun Egapan, 18, apabila mereka bertembung dengan Khun Pugrit, 17.

Pertemuan itu mencetuskan pergaduhan apabila Pugrit berasa tidak puas hati dan mengarahkan rakannya membelasah Egapan.

Egapan dan Wirawan kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal dan dia dikejar Pugrit dan rakannya.

Kejadian jadi lebih tidak terkawal apabila satu daripada motosikal itu bertembung pula dengan motosikal ditunggang seorang wanita - yang tiada kaitan dalam konflik itu - serta anaknya.


Ekoran itu, Egapan dan Wirawan yang turut terjatuh mengalami kecederaan.

Jurucakap polis berkata, Egapan patah tangan tetapi dia bernasib baik kerana tidak menjadi sasaran belasahan Pugrit.

"Kumpulan remaja yang mengejar mangsa melarikan diri sebelum polis tiba," katanya.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Lori terbabas punca sesak 26km

Posted: 12 Jul 2014 09:34 AM PDT

Jakarta: Kesesakan lalu lintas memang bukan perkara luar sudah biasa di kebanyakan bandar di Indonesia, namun apabila ia membabitkan jarak sehingga 26 kilometer pasti sesuatu amat menyeksakan.

Dalam satu kejadian di daerah Cikarang, kemalangan sebuah lori di lebuh raya menghala ke Jakarta mengakibatkan kesesakan teruk pada pengguna jalan raya di kawasan itu.

Menurut seorang petugas pengurusan lebuh raya, Novi, kesesakan bermula dari kawasan Tol Cikarang sehingga Cikarang Utama.

"Kemalangan berlaku kira-kira jam 6.15 pagi (waktu tempatan)," katanya.


Dia berkata lori terbabit terbabas dan melanggar penanda jalan di lorong kanan menyebabkan papan tanda itu roboh.


"Kerja pengalihan terpaksa dilakukan, tetapi ia mengganggu aliran lalu lintas," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Abraham: Saya boleh tangkap presiden

Posted: 12 Jul 2014 09:33 AM PDT

Jakarta: Ketua Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) Indonesia berkata, dia tidak berminat menjadi peguam negara jika ditawari presiden Indonesia tidak lama lagi.

Abraham Samad memberitahu dia lebih selesa menjalankan tugas sebagai Ketua KPK kerana tiada tekanan daripada mana-mana pihak diterima sepanjang menjawat jawatan itu.

"Dengan jawatan Ketua KPK, saya boleh menangkap presiden dan naib presiden jika perlu.

"Ia tidak dapat saya lakukan jika memegang jawatan peguam negara," katanya.

Abraham memberi contoh bagaimana agensi itu memanggil Naib Presiden Boediono dalam perbicaraan kes menyelamatkan Bank Century yang menggemparkan Indonesia baru-baru ini.

"Ketika itu saya menjalankan tugas tanpa rasa takut dan bangga dengan perkara itu.


"Pengalaman itu tidak akan saya peroleh jika saya tidak memegang jawatan berkenaan, malah akan ada halangan psikologi," katanya.

Dia juga memutuskan untuk mengakhiri kerjayanya sebagai Ketua KPK.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

No comments:

Post a Comment