Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Sebati gaya agresif

Posted: 20 Jul 2014 10:57 AM PDT

Glasgow: Jaguh keirin negara Azizulhasni Awang tidak akan menukar gaya tunggangannya dalam misi memburu pingat emas Sukan Komanwel Glasgow bagi menebus kehampaan empat tahun lalu di New Delhi.

Katanya gaya agak nekad dan berbahaya sudah sebati dengannya dan cara pecutan itu turut digeruni lawan.

"Saya gagal kerana gaya itu dan menang juga dengan gaya itu. Saya tidak akan menukarnya semata-mata mahu elak daripada dibatalkan komisar atau kemalangan.

"Saya dikenali kerana gaya nekad ini dan kerap memenanginya pada siri Piala Dunia. Malah saya senang dengan cara itu. Mungkin orang nampak bahaya, namun pada saya ia cukup berkesan.

Foto

AZIZULHASNI (kiri) bersama Ng bermain biola selepas sidang media di perkampungan sukan.


"Malah ketua jurulatih John Beasley juga mengakui gaya itu adalah senjata utama saya menggerunkan lawan," katanya pada sidang media di Perkampungan Sukan semalam.


Pada temasya di New Delhi, Azizul yang meluncur laju melintasi garisan penamat dibatalkan komisar selepas pecutan di selekoh terakhir dipersalahkan kerana berbahaya. Ekoran itu rakan senegara Josiah Ng diumumkan pemenang pingat emas.

"Sudah tentu saya akan tebus kegagalan di sini. Ia misi utama saya kali ini," katanya.

Azizul akan menyertai tiga acara, pecut, keirin dan pecut berpasukan apabila venue acara berbasikal trek di Velodrom Sir Chris Hoy dibuka Khamis ini.

Ditanya persiapan sebelum ke Glasgow, Azizul atau nama jolokannya Rocket Pocketman mengakui berada dalam keadaan cergas sepenuhnya dengan keupayaan pecutan semakin meningkat.

"Beasley menyiapkan kami dengan kekuatan mental dan fizikal. Insya-Allah jika kena pada strategi, saya akan membawa pulang pingat emas untuk negara," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

'Kita ada harapan emas'

Posted: 20 Jul 2014 10:46 AM PDT

Glasgow: Skuad berbasikal pecut negara diramal memenangi pingat emas, namun ketua jurulatih John Beasley tidak mahu menjanjikan harapan palsu kepada kontinjen negara.

Malaysia berpeluang cerah meraih emas menerusi penyertaan jaguh keirin Azizulhasni Awang, namun dia berdepan tiga gergasi dunia New Zealand, Australia dan Britain.

"Saya yakin Azizul boleh memenangi pingat, tapi pingat apa semua bergantung kepada strategi pada hari perlumbaan.

"Dia kini berada pada tahap terbaik, kecergasan cemerlang dan daya pecutan maksimum.

"Dia boleh menewaskan mana-mana pelumba handalan dunia, tapi ia bergantung kepada keberkesanan strateginya pada hari itu.

"Biarlah Azizul terus fokus tanpa kita beri dia tekanan.

Saya yakin dia tidak akan mengecewakan kami," kata Beasley pada sidang media di Perkampungan Sukan semalam.

Turut hadir pengurus pasukan Datuk Amarjit Singh serta atlet negara antaranya Azizul, Josiah Ng, Rizal Tisin, MOhd Edrus Yunos, Fatehah Mustapha dan Ju Pha Som Net.

Ketua jurulatih kelahiran Australia itu turut yakin dengan kemampuan pelumba lain menghadirkan pingat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Cabaran Ramadan ke-21 jejak kaki di Glasgow

Posted: 20 Jul 2014 10:46 AM PDT

Saya jejak kira-kira jam 9.15 malam. Sejam menunggu di ruang mengambil bagasi kerana dua beg rakan setugas terkandas di London. Malang hari pertama yang jatuh pada malam ke-21 Ramadan.

Cuaca agak sejuk kerana hujan baru saja berhenti namun pemandangan di luar terminal Lapangan Terbang Glasgow seperti baru jam 6.30 petang di Malaysia.

Patutlah waktu berbuka dan masuk Maghrib kira-kira jam 9.30 malam.

Saya tak pasti lagi tepat waktunya kerana hanya mendapat info daripada seorang pramugara Sistem Penerbangan Malaysia dalam penerbangan ke Heathrow, London.

Esoklah saya layar di Internet.

Selepas penerbangan 15 jam, saya hanya mahu cepat sampai ke hotel penginapan.


Mandi, solat dan merebahkan badan.


Dalam usia agak matang sekarang, urat, otot dan pinggang sudah tidak sekebal dulu.

Duduk tanpa banyak bergerak boleh patah pinggang dibuatnya.

Kebetulan laluan teksi yang membawa saya ke pusat bandar melalui kompleks sukan dan di situ juga letaknya Pusat Media Utama (MPC).

Untuk ke sana mendapatkan pas rasmi sudah agak lewat kerana difahamkan hanya dibuka hingga jam 5 petang.

Esoklah jawabnya.

Seorang rakan mencadangkan kami terus makan malam dan bersahur agar tidak perlu keluar hotel penginapan lagi selepas itu.

Kami berjalan kaki.

Elok juga untuk meninjau kawasan sekitar.

Lokasi hotel kami terletak di kawasan baru kerana beberapa hotel bertaraf tiga dan empat bintang berusia kurang dua tahun agak berdekatan.

Ini untuk menampung pelawat yang datang menyaksikan temasya Sukan Komanwel Glasgow dibuka secara rasmi Rabu ini.

Malaysia menghantar 179 atlet yang menyertai 14 daripada 17 acara dipertandingkan.

Sasaran Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hanya tujuh emas saja berbanding 12 dimenangi pada temasya empat tahun lalu di New Delhi.

Berjaya atau tidak sasaran itu bergantung kepada hasil persiapan atlet.

Mahu tuai ganjaran lumayan SHAKAM inilah masanya.

Lagipun Itu tugas persatuan dan kemahuan atlet sendiri.

Sasaran emas itu saya lupakan dulu kerana bau enak nasi briyani kambing dan aroma teh masala.

Rupanya beg dua rakan yang tertinggal di London sudah berada di lobi hotel sebaik kami pulang.

Ceria wajah mereka dan lega juga saya kerana tidak perlu meminjam.

Daripada bentuk saiz badan mereka, baju saya lebih padan berbanding seorang lagi rakan yang agak besar dengan ketinggian lebih enam kaki.

Sangkakan kisah malang berakhir di situ, rupanya malang kedua menjelma tiga jam selepas itu.

Ketika lena, hotel kami dikejutkan dengan bunyi penggera kecemasan.

Semua penghuni diarah keluar.

Dua kenderaan bomba dengan siren kuat sudah berada di depan hotel.

Beberapa anggota bomba bergegas masuk ke dalam hotel membuat pemeriksaan.

Dengan berseluar pendek, mujur saya tak berkain pelikat, kami terpaksa menunggu di luar.

Sejuk bukan kepalang.

Cuma baru saya sedar kalaulah jadi apa-apa, saya memang hilang semuanya.

Komputer riba, dompet dan telefon bimbit semuanya tertinggal dalam bilik.

Lupa langsung.

Rupanya berlaku litar pintas yang mengaktifkan penggera kecemasan.

Syukurlah.

Dan Ramadan yang masuk hari ke-22 benar-benar menguji saya di bumi keberanian pahlawan William Wallace dalam filem Breaveheart lakonan pemenang Oscar Mel Gibson.

Salam dari saya dan jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Bolt, Farah, Wiggins intai pingat emas

Posted: 20 Jul 2014 10:43 AM PDT

Glasgow: Juara Olimpik Usain Bolt, Mo Farah dan Bradley Wiggins antara nama- besar yang berharap dapat melupakan seketika masalah kecederaan masing-masing dan cuba merebut pingat emas pada saingan Sukan Komanwel.

Temasya sukan antara yang terbesar di dunia di Scotland itu akan menyaksikan 4,500 atlet dari 71 negara menyertai 18 acara sukan.

Sebanyak 261 pingat dipertandingkan sepanjang 11 hari temasya termasuk 22 pingat emas untuk sukan Orang Kurang Upaya.

Edisi ke-20 temasya berkenaan akan dirasmikan Ratu Elizabeth II pada awal pagi Khamis ini di Celtic Park.

Tumpuan pastinya terarah kepada Bolt yang mahu memburu emas Komanwel sekali gus menambah enam pingat emas Sukan Olimpik dan lapan emas Kejohanan Dunia.

Bagaimanapun, pelari pecut berusia 27 tahun itu hanya akan beraksi dalam acara 4x100 meter berganti-ganti selepas dia tidak beraksi pada kejohanan pemilihan Jamaica ke Sukan Komanwel akibat kecederaan.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Hajat besar Australia

Posted: 20 Jul 2014 10:43 AM PDT

Sydney: Australia muncul negara terbanyak memenangi pingat pada enam temasya Sukan Komanwel terakhir dan berharap dapat mengulanginya di Glasgow meskipun jumlah pingat dipertandingkan berkurangan.

Australia meraih 178 pingat dengan 74 emas pada Sukan Komanwel di New Delhi 2010, tetapi mereka menjangkakan akan memungut lebih sedikit kerana acara dikurangkan berbanding empat tahun lalu.

Suruhanjaya Sukan Australia yang disokong pihak kerajaan menyasarkan 152 pingat di Glasgow.

Presiden Persatuan Sukan Komanwel Australia Sam Coffa berkata, agak sukar untuk Australia mengatasi jumlah pungutan pingat di Delhi pada edisi kali ini.

"Glasgow hanya menawarkan 261 acara berbanding 272 di Delhi.

Lebih banyak atlet akan beraksi pada acara yang menawarkan kurang pingat.

"Kami juga jangkakan saingan sengit daripada pasukan lain seperti England, Scotland, Wales dan Ireland Utara.

"India juga mungkin mampu meraih lebih banyak pingat hasil menjadi tuan rumah di Delhi sementara negara Afrika dan Caribbean juga mampu memberi saingan sengit," katanya.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Tingkat ranking

Posted: 20 Jul 2014 10:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Pertemuan dengan Tajikistan pada aksi persahabatan antarabangsa 8 Ogos ini bukan sekadar perlawanan ujian buat skuad kebangsaan sebaliknya ia peluang terbaik untuk anak buah Dollah Salleh memperbaiki ranking negara.

Sebaik ranking terbaru dunia dikeluarkan FIFA minggu lalu, Malaysia memperlihatkan sedikit peningkatan apabila menghuni tangga ke-151, meningkat dua anak tangga meskipun tidak beraksi dalam banyak perlawanan bertaraf A tahun ini.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya beraksi ketika seri 0-0 dengan Filipina di Cebu pada 27 April lalu, iaitu perlawanan ketiga bagi 2014 selepas menewaskan Yaman, 2-1 pada pusingan kelayakan Piala Asia dan seri tanpa jaringan dengan Filipina pada pertemuan pertama Mac lalu.

Melihat kepada kedudukan ranking itu pengurus baru pasukan kebangsaan Datu Sudarsono Osman berkata, skuad kendalian Dollah perlu serius dalam setiap perlawanan apatah lagi membabitkan aksi bertaraf A.

"Skuad kebangsaan mempunyai dua objektif utama, mendapatkan keputusan baik untuk memperbaiki ranking dunia serta cuba memenangi setiap pertandingan disertai seperti Piala AFF.

"Memang aksi persahabatan memberi peluang kepada jurulatih untuk menguji pemain, namun kita juga perlu mengambil serius kerana jika gagal, ia boleh menjejaskan ranking," katanya kepada Arena Metro semalam.

Ternyata pendekatan Sudarsono itu yang memenangi kerusi Naib Presiden FAM pada kongres pemilihan Mei lalu itu berbeza dengan pengurusan skuad kebangsaan yang sebelum ini menganggap ranking tidak penting.

Bagaimanapun ujian pertama Dollah bersama pengurusan baru skuad kebangsaan itu bermula dengan aksi persahabatan menentang Tajikistan, pasukan yang menduduki ranking ke-124 dunia.

Kemenangan di gelanggang lawan itu bukan saja dapat melebarkan rekod tanpa kalah dilakar bekas pengendali sementara Datuk Ong Kim Swee setakat ini malah ia mampu melonjak ranking negara ke tangga lebih baik.

Namun ia bukan pertemuan yang mudah kerana pasukan kendalian Mukhsin Mukhamadiev itu tetap mampu menghadirkan ancaman buat anak buah Dollah yang mempunyai masa singkat untuk melakukan persiapan.

"Semua pemain berkumpul pada 1 Ogos dan mereka hanya berlatih empat hari sebelum ke Tajikistan.

Kami terpaksa memanggil kebanyakannya muka-muka lama bagi perlawanan kali ini dan saya harap kami akan mendapat keputusan yang baik di sana nanti," kata Sudarsono.

Foto

PEMAIN Harimau Malaya semakin bersemangat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Pamer prestasi terbaik: Ismail

Posted: 20 Jul 2014 10:37 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali Sime Darby FC Ismail Zakaria memberi peringatan kepada anak buahnya supaya mempamerkan prestasi terbaik bagi memenuhi sasaran separuh akhir yang ditetapkannya dalam kancah Piala Malaysia bermula bulan depan.

Katanya, mereka perlu menyedari mengenai kemungkinan digugurkan pada musim depan andai gagal mempamerkan prestasi baik dalam Piala Malaysia dengan kelab itu diundi dalam Kumpulan D bersama juara 32 kali Piala Malaysia Selangor, juara Liga Perdana PDRM dan T-Team.

"Mereka perlu sedar, tiada tempat untuk mereka musim depan andai tidak mempamerkan aksi mantap kerana sasaran ditetapkan semakin tinggi dan cabaran semakin besar.

Saya mahukan pemain berkualiti musim depan," katanya.

Bagaimanapun Ismail tidak mahu terlalu memberi tekanan dengan fokus dan perancangan utama adalah melepasi saingan peringkat kumpulan terlebih dulu.

"Saya pasti pemain sudah mendapat keyakinan untuk bersaing kerana menamatkan saingan di kedudukan kelima Liga Super.

Piala Malaysia satu persaingan yang berbeza dengan kami lebih selesa kekal sebagai pasukan underdog.

"Setiap pasukan dalam kumpulan ini berpeluang cerah melangkah ke suku akhir terutamanya Selangor dan PDRM.


Malah Piala Malaysia mempunyai situasi unik dengan pasukan yang tidak mempamerkan aksi baik dalam kancah liga biasanya mempamerkan kebangkitan," jelasnya.

Pada saingan Piala Malaysia musim lalu, SDFC melangkah ke suku akhir selepas melakar kejutan pada peringkat kumpulan apabila menyingkirkan pasukan pilihan, Selangor untuk mengiringi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) namun gagal ke separuh akhir apabila tewas kepada Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Fokus komunikasi

Posted: 20 Jul 2014 10:37 AM PDT

Kuala Lumpur: Dua aksi pemanas badan bagi menghadapi saingan Piala Malaysia bulan depan, seolah-olah memberi 1,001 petunjuk kepada pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan kelemahan ketara pasukannya sebelum turun membuat perhitungan bertemu Pulau Pinang di halaman sendiri 13 Ogos ini.

Menurut Sathianathan, 58, menyatakan, masalah komunikasi menjadi punca kelonggaran di bahagian pertahanan dan menjadi perkara penting diberi keutamaan mempersiapkan barisan mantap.

"Malam kelmarin, saya dapat melihat benteng pertahanan ATM sekali lagi gagal menunjukkan disiplin bertahan yang sebenar.

Mereka kerap melakukan kesilapan mudah ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

"Komunikasi antara pemain pertahanan tengah dan penjaga gol juga kurang baik dan ini amat merisaukan saya kerana jika tidak segera dibaiki kemungkinan nasib malang Liga Super berulang sekali lagi dalam Piala Malaysia.

"Saya akan tekankan lebih kepada aspek bertahan bagi baki beberapa minggu ini, di samping jentera serangan juga saya harap bijak merebut peluang dan tidak mensia-siakannya," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Pada aksi persahabatan di Stadium Mini Tentera Udara Subang kelmarin, ATM seri 1-1 dengan Perak selepas mengatasi Harimau Muda B 2-0 sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Enrique mula cemerlang

Posted: 20 Jul 2014 10:36 AM PDT

Huelva, Sepanyol: Jurulatih baru Barcelona, Luis Enrique meraih kemenangan 1-0 pada perlawanan sulung kendaliannya awal pagi semalam, aksi persahabatan pramusim menentang kelab divisyen dua, Recreativo de Huelva.

Tanpa bintang serangan Lionel Messi, Neymar dan pemain baru Luis Suarez, Enrique memberi peluang kepada pemain gantian dan pemain muda pasukan B, seperti Joan Roman, 21, yang menyumbat gol kemenangan Barca pada minit ke-65.

Penyerang Barcelona yang kembali ke pasukan utama Gerard Deulofeu, 20, mencipta gol tunggal itu apabila rembatan kencangnya ditampan penjaga gol Huelva, Dani Sotres namun Roman mudah menampan masuk dari jarak dekat.

Barcelona menguasai hampir keseluruhan permainan berbanding tuan rumah dari wilayah Andalusia itu namun gagal menemui sasaran pada babak pertama.

Pada babak kedua Enrique membawa masuk beberapa pemain termasuk Deulofeu yang kembali ke kelab itu selepas beraksi selama semusim secara pinjaman di Everton.

Selain percubaannya diselamatkan, dia turut kecewa apabila tendangannya terkena palang dua minit sebelum tamat selepas menerima lorongan Ibrahim Afellay.

Penjaga gol baru kelab Catalunya itu, pemain kebangsaan Jerman, Marc-Andre ter Stegen, turut beraksi julung kali buat Barcelona pada babak kedua.

Enrique merombak skuadnya selepas musim hambar yang menyaksikan Barcelona gagal mempertahankan kejuaraan liga Sepanyol.

Barcelona juga mengucapkan selamat tinggal kepada pemain berpengalaman seperti Carles Puyol, penjaga gol Victor Valdes dan pemain tengah Cesc Fabregas selain membeli beberapa muka baru.

Ia termasuk dua penjaga gol baru, Ter Stegen dan Claudio Bravo serta pemain tengah Croatia, Ivan Rakitic.

Bintang Argentina, Messi dan penyerang Brazil, Neymar kini bercuti selepas mewakili negara pada Piala Dunia.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Langkah kiri

Posted: 20 Jul 2014 10:35 AM PDT

London: Emre Can (gambar) mengalami kecederaan betis pada penampilan pertama bersama Liverpool yang menyaksikan pemain tengah Jerman itu dikeluarkan ketika pasukan itu menewaskan Preston 2-1 dalam aksi persahabatan, awal pagi semalam.

Can yang berhijrah ke Anfield dari Bayer Leverkusen dengan harga £10 juta (RM54.3 juta) awal bulan ini, tampil buat kali pertama di Deepdale namun penampilan sulung pemain berusia 20 tahun itu tidak bertahan lama apabila dikeluarkan selepas 20 minit kerana kekejangan otot betis.

Dia turut terlepas aksi persahabatan pada pertengahan minggu lalu menentang kelab Denmark, Brondby dengan mengadu masalah kecil buku lali namun disahkan cergas untuk tampil menentang kelab Liga Satu kendalian Simon Grayson itu.

Bagaimanapun selepas berlaku pelanggaran pada peringkat awal, dia digantikan Jordon Ibe.

Can kini akan dinilai sama ada cergas untuk terbang ke Amerika Syarikat bagi persediaan pramusim Liverpool seterusnya.

Kecederaan itu membayangi penampilan sulung penyerang England, Rickie Lambert bersama Reds, yang membantu kelab kendalian Brendan Rodgers bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan.

Lambert yang menyokong Reds sejak kanak-kanak, merealisasikan cita-citanya meninggalkan Southampton ke Anfield Jun lalu dan beraksi 45 minit di Deepdale sebelum digantikan pada masa kecederaan.

Philippe Coutinho, Fabio Borini, Joe Allen, Martin Skrtel dan Jon Flanagan turut tersenarai dalam kesebelasan Liverpool namun Preston mendahului hasil jaringan Josh Brownhill.

Bagaimanapun Liverpool meledak dua jaringan dalam tempoh tiga minit pada babak kedua apabila Suso melakukan sepakan lencong pada minit ke-74 disusuli sepakan Kristoffer Peterson yang meledak jaringan kemenangan.

Satu lagi aksi persahabatan menyaksikan Chelsea bangkit untuk menewaskan kelab kerdil Liga Dua, AFC Wimbledon 3-2 hasil dua jaringan kapten John Terry.

- AFP

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

No comments:

Post a Comment