Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Semangat tak luntur

Posted: 17 Jul 2014 10:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Masalah kekurangan gelanggang latihan untuk persiapan Sukan Komanwel 2014 Glasgow tidak melemahkan semangat pemain badminton negara.

Bagaikan satu kebetulan atau ujian, Stadium Juara, Bukit Kiara yang menjadi medan untuk persiapan pemain masih lagi dibelenggu masalah sama iaitu lampu rosak.

Ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek berkata, walaupun ia berlaku ketika temasya semakin hampir bermula, tetapi pemain sudah tidak sabar untuk berjuang di Sukan Komanwel.

"Ini kerana majoriti pemain kecuali Chan Peng Soon, bakal membuat penampilan pertama di Sukan Komanwel," kata bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 Atlanta itu.

Foto


Mengenai masalah Stadium Juara itu, beliau berkata, mereka memang tidak boleh melakukan apa-apa kecuali mengadakan latihan di tempat lain, namun ia perlu diadakan di dua lokasi berlainan.


"Mereka sudah menggantikan lampu yang rosak tapi ia tetap tidak menyala, mungkin ada kerosakan litar pintas dan ia perlu diperiksa satu persatu.

"Masa latihan semua pemain hampir sama, sukar untuk berlatih bersama-sama kerana kekurangan gelanggang di dewan sekitar Lembah Klang," katanya.

Semalam latihan skuad Sukan Komanwel terpaksa diadakan secara berasingan di Majlis Sukan Negara (MSN) dan Dewan Badminton Ara.

Pada masa sama Rashid berkata, tidak ada pemain mengalami kecederaan dan semua bersemangat untuk beraksi bersungguh-sungguh dalam acara berpasukan.

"Kalau mereka dapat menyumbang mata untuk acara berpasukan, sudah pasti mereka berasa yakin dalam acara individu," katanya.

Skuad badminton negara dibarisi Chong Wei Feng, Liew Daren, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon, Goh V Shem, Tee Jing Yi, Woon Khe Wei, Vivian Hoo, Lai Pei Jing dan Lim Yin Loo.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Gagal kejutkan Lin Dan

Posted: 17 Jul 2014 10:03 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang demi seorang wakil negara tumbang di Grand Prix Emas Terbuka Taiwan 2014 termasuk perseorangan negara, Goh Soon Huat yang bernasib malang ketika bertemu jaguh China, Lin Dan seawal pusingan kedua.

Soon Huat gagal melakukan kejutan selepas tumbang 16-21, 16-21 kepada Lin Dan, seterusnya meranapkan harapan untuk sekurang-kurang beraksi di pusingan suku akhir.

Seorang lagi pemain perseorangan, Tan Chun Seang turut tersingkir apabila kalah kepada wakil Jepun, Riichi Takeshita 19-21, 21-19, 12-21.

Hanya beregu bebas, Chow Pak Chuu-Mak Hee Chun yang berjaya mara ke suku akhir selepas mengalahkan Wahyu Nayaka-Ade Yusuf 21-19, 21-12.

Menanti mereka di suku akhir hari ini gandingan Jepun, Hiroyuki Saeki-Ryota Taohata yang menumpaskan satu lagi pasangan negara, Tai An Khang-Woon Mun Choon 21-16, 21-12.

Turut tersingkir gandingan beregu lelaki Chooi Kah Ming-Teo Ee Yi yang tumpas kepada Junhui Li-Liu Yuchen 19-21, 14-21.

Perseorangan wanita, Sannatasah Saniru turut terkandas apabila kalah kepada Hung Ji Hyun dari Korea Selatan yang juga pilihan pertama kejohanan 6-21, 13-21.

Beregu wanita, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pula kecundang kepada pasangan China, Tang Yuanting- Yaqiong Huang 22-24, 19-21.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Sasar tebus duka

Posted: 17 Jul 2014 10:02 AM PDT

Kuala Lumpur: Sejarah hitam meninggalkan bumi India empat tahun lalu tanpa sebarang kilauan emas mahu dipadam skuad boling padang negara pada edisi ke-20 Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland yang memulakan saingan minggu depan.

Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) mendapat liputan meluas apabila diletakkan harapan tinggi susulan kejayaan meraih dua daripada tujuh pingat emas kontinjen negara di Melbourne 2006 hingga mereka menetapkan sasaran empat emas untuk dibawa pulang dari New Delhi, empat tahun lalu, namun sebaliknya yang berlaku.

Mereka sekadar meraih satu perak dan gangsa, prestasi yang amat mengecewakan ketika atlet sukan itu dibarisi pemain berpengalaman menggalas cabaran negara di India.

"Itu (empat tahun lalu) memang sejarah hitam dalam karier kami.

Kali ini kami harap pencapaian lebih baik mampu dilakar dan pulang dengan sekurang-kurangnya dengan satu emas.

"Kami mahu menaikkan kembali nama Malaysia dalam sukan ini selepas kegagalan itu," kata atlet berpengalaman negara, Nor Hashimah Ismail yang membuat penampilan kali kelima di Sukan Komanwel.

Cabaran kali ini digalas lima atlet lelaki diketuai Fairul Izwan Abd Muin, Muhammad Hizlee Abdul Rais, Muhammad Fairuz Abd Jabal, Zulhilmie Redzuan dan Mohd Amir Mohammed Yusof manakala pemenang emas dua Sukan Komanwel, Siti Zalina Ahmad mengetuai atlet wanita bersama Nor Hashimah, Emma Firyana Saroji, Nur Fidrah Noh dan Azlina Arshad.

Taruhan terbaik negara pastinya terarah kepada Siti Zalina yang memburu emas ketiganya dalam acara perseorangan di Sukan Komanwel selepas kejayaan 2002 dan 2006, tetapi peluang atlet wanita lain dalam acara pairs dan triple turut tidak boleh dinafikan.

"Kami antara yang terawal tiba di sini iaitu pada 7 Julai bagi menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan persekitaran.

Foto

ATLET boling padang sedia harumkan nama negara.


Setakat ini semuanya berjalan lancar dan mengikut perancangan, termasuk keadaan di perkampungan sukan yang tidak bermasalah," katanya.

Mengenai cabaran berpuasa di Scotland, atlet berpengalaman itu mengingatkan rakan kontinjen yang bakal tiba di Glasgow agar bersedia dalam aspek mental terutamanya bagi mengharungi Ramadan.

"Mental sememangnya perlu kuat kerana kami di sini berpuasa hingga 19 jam.


Hanya lima jam masa untuk makan bagi menambahkan tenaga.

Setiap atlet perlu bijak menangani situasi ini kerana ia bakal mempengaruhi prestasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

MHC teliti surat penjelasan Dhaarma

Posted: 17 Jul 2014 10:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan meneliti terlebih dulu surat keterangan dihantar Muhammad Dhaarma Raj Abdullah semalam berhubung tindakannya mengkritik badan induk itu secara terbuka di akaun laman sosial Facebook miliknya sebelum mengambil tindakan lebih lanjut.

"Kami sudah terima surat Dhaarma hari ini (semalam) tapi belum melihat lebih lanjut isi kandungannya.

"Sekiranya ada kes, ia akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib (DB) untuk tindakan lanjut," kata Setiausaha Agung MHC Datuk Mohd Johari Abdul Aziz (gambar) ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, surat keterangan jurulatih skuad hoki negara itu juga akan diserahkan kepada Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Meskipun jarang sekali MHC membawa kes sehingga ke DB, namun Johari berkata, apa saja boleh berlaku.

Menerusi status Facebook miliknya, Dhaarma mendakwa pengurusan MHC sangat lemah dan badan induk itu tidak sepatutnya mentadbir seperti orang yang duduk di dalam gua atau di atas pokok.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

'Biarkan Dollah...'

Posted: 17 Jul 2014 09:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Seperti diduga tidak banyak kejutan dalam senarai pilihan pemain jurulatih baru kebangsaan Dollah Salleh yang diumum semalam sekali gus mengundang persepsi sama ada skuad kebangsaan mampu mengorak langkah ke depan atau kekal di tahap sama.

Daripada 23 pemain dipanggil bagi kem latihan pusat 1 Ogos ini, hampir kesemuanya muka lama termasuk empat pemain dipanggil semula iaitu Mohd Muslim Ahmad, Norshahrul Idlan Talaha, R Gopinathan dan S Chanturu.

Alasan masa terlalu singkat mendorong Dollah yang menandatangani kontrak pada 1 Julai lalu, tidak boleh membuat rombakan drastik ke atas pasukannya bagi mengharungi ujian pertama dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Tajikistan, 8 Ogos ini.

Bagi bekas pemain kebangsaan Datuk M Karathu, beliau menganggap pemain dipilih yang terbaik dimiliki negara ketika ini dan berharap Dollah diberi masa untuk menilai setiap pemain bagi membuat sebarang perubahan ke atas skuad Harimau Malaya sebelum ke Kejohanan Piala AFF, November ini.

"Itulah pemain yang kita ada.

Saya percaya pemilihan pemain ini hanya untuk perlawanan dengan Tajikistan dan kemudian Dollah akan membuat penilaian sama ada mahu mengekalkan pemain lama atau memanggil muka baru bagi tugasan antarabangsa selepas itu.

"Mungkin Dollah memilih pemain yang beliau sudah kenal corak permainannya lantaran tidak sempat menilai prestasi pemain kerana dilantik selepas Liga Malaysia berakhir.

Mungkin apabila Piala Malaysia bermula, beliau boleh memilih pemain mengikut prestasi semasa," katanya kepada Arena Metro semalam.

Berdasarkan senarai dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kelmarin, barisan pemain hampir sama digunakan Dollah apabila nama seperti Mohd Safee Sali, Safiq Rahim, S Kunanlan dan Ahmad Fakri Saarani terus diberi peluang.

Mereka perubahan bakal berlaku jika FAM melantik jurulatih asing dan bukannya tempatan, namun persepsi itu disangkal Karathu yang juga bekas jurulatih Perak, Woodlands Wellington FC dan Kelantan.

"Mana-mana jurulatih mahu memilih pemain terbaik untuk menyarung jersi kebangsaan dan begitu juga dengan Dollah.

"Tidak guna memilih muka baru jika prestasinya tidak begitu bagus.

Foto

PENGALAMAN Dollah bimbing pasukan bawahan muncul juara jadi sandaran Harimau Malaya.


Kalau kita guna jurulatih asing, mereka perlu mendapat nasihat orang lain juga, tapi kalau jurulatih tempatan beliau sudah tahu tahap kemampuan seseorang pemain itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Kembali mantap

Posted: 17 Jul 2014 09:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Pertahanan kental negara yang juga pemain Johor Darul Ta'zaim (Johor DT) Mohd Fadhli Shas menyambut baik kehadiran semula Mohd Muslim Ahmad ke pangkuan pasukan kebangsaan selepas pengendali baru Dollah Salleh menyenaraikan semula pemain kelahiran Terengganu itu selepas dua tahun khidmatnya tersisih.

Ternyata kombinasi mantap antara Fadhli dan Muslim amat dinantikan peminat bola sepak tempatan dengan membentuk benteng kukuh hingga menyukarkan penyerang lawan menembusi pertahanan negara.

Hasilnya, dua pertahanan tengah itu cemerlang menghadiahkan dua kejuaraan dalam tempoh dua tahun dengan menjulang Piala AFF pada 2010 dan mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2011.

"Terus terang saya merindui saat bermain dengan dia (Muslim).

Kami berdua sudah lama bergandingan sejak dari zaman pasukan remaja lagi.

"Rasanya sudah dua tahun kami tidak digandingkan bersama.


Bagi saya pemilihan dia ke dalam skuad negara amat tepat dan saya yakin kehadiran nanti dapat memberi banyak pilihan kepada jurulatih," katanya ketika dihubungi, semalam.

Persaingan bagi merebut tempat kesebelasan utama Harimau Malaya kini benar-benar sengit terutama di bahagian pertahanan apabila ramai pemain senior dipanggil semula Dollah menjelang tugasan pertamanya di pentas antarabangsa menentang Tajikistan di tempat lawan, 8 Ogos ini.

Hakikat itu diakui sendiri Fadhli yang turut melihat situasi itu bakal melonjakkan pasukan negara untuk terus mempamerkan peningkatan di pentas lebih tinggi.

"Kali ini ramai pemain pertahanan seperti Mohamad Aidil Zafuan, Asraruddin Putra Omar, Mohd Bunyamin Umar, Zubir Azmi, Mahalli Jazuli dan Muslim.


Apa yang pasti setiap pemain akan memberikan yang terbaik untuk mendapatkan kepercayaan jurulatih.

"Kami akan bersaing secara sihat kerana posisi dan kedudukan setiap pemain dalam pasukan termasuk saya masih belum terjamin sepenuhnya," kata pemain berusia 23 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Hodak tak panik

Posted: 17 Jul 2014 09:26 AM PDT

Johor Bahru: Ketika Johor Darul Ta'zim (Johor DT) begitu rancak membuat persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia bermula 13 Ogos, skuad Harimau Selatan itu terpaksa melupakan seketika kelibat lapan pemain utama kerana menyertai latihan pasukan kebangsaan.

Aidil Zafuan Abd Radzak, Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, Fadhli Shas, Mahalli Jasuli, Asaruddin Putra Omar dan Amri Yahyah akan menjalani latihan bersama skuad kebangsaan kendalian Dollah Salleh dijadual bermula 1 Ogos.

Apapun pengendali skuad Harimau Selatan Bojan Hodak tidak panik tanpa kelibat lapan pemain utama sebaliknya sudah merancang jadual latihan ampuh walaupun tanpa kehadiran mereka yang hanya akan kembali menyertai skuad Johor DT selepas aksi persahabatan menentang Tajikistan di Dushanbe, 8 Ogos ini.

"Memang terganggu sedikit persiapan Piala Malaysia, tapi saya sudah merancang latihan lebih tersusun walaupun tanpa lapan pemain ini.

"Buat masa ini latihan sepanjang Ramadan lebih terarah kepada meningkatkan tahap kecergasan pemain sebelum memulakan latihan taktikal yang bermula pada jam 10 malam dan berakhir dua jam kemudian.

"Saya lega kerana hampir semua pemain bebas daripada kecederaan.

Mereka menjalani latihan seperti biasa kecuali S Subramaniam yang terpaksa menjalani latihan ringan selepas baru pulih daripada kecederaan," katanya.

Hodak juga mengakui kecergasan pemain skuad Harimau Selatan belum berada di tahap memuaskan kerana baru saja memulakan empat sesi latihan termasuk aksi persahabatan menentang Kelantan di Kota Bharu, baru-baru ini.

Johor DT menetapkan sasaran melepasi saingan Kumpulan C selepas diundi bersama naib juara musim lalu, Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pulau Pinang.

Malah Hodak juga yakin dua perlawanan persahabatan yang sudah diatur mampu meningkatkan tahap permainan Johor DT yang sememangnya memerlukan beberapa aksi untuk memantapkan lagi corak taktikal dan tahap kecergasan pemain.

Dua perlawanan persahabatan sudah diatur dengan aksi pertama menentang JDTII pada 21 Julai ini sebelum perlawanan seterusnya berdepan Polis pada 2 Ogos.

Foto

(DARI KIRI) Luciano Figueroa, Subramaniam dan Jorge Pereyra Diaz Perey sedang mencuba baju Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Gopi janji aksi terbaik

Posted: 17 Jul 2014 09:22 AM PDT

Kuantan: Tiada ungkapan lebih sesuai diluahkan pemain lincah Pahang, R Gopinathan melainkan berjanji memberikan persembahan terbaik untuk pasukan kebangsaan selepas tersenarai bersama skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Dollah Salleh.

Justeru, pemain mesra dengan panggilan Gopi itu berjanji membalas kepercayaan Dollah dengan menampilkan aksi terbaik pada perlawanan persahabatan menentang Tajikistan pada 8 Ogos.

"Saya berjanji memberikan yang terbaik bagi membalas jasa jurulatih yang sememangnya begitu masak dengan corak permainan saya.

"Saya percaya beliau mempunyai perancangan tersendiri menyenaraikan saya untuk perlawanan itu," katanya yang kini bebas daripada sebarang kecederaan.

Gopinathan berkata, walaupun lama berehat selepas saingan Liga Super dia yakin rentak permainannya tidak menurun kerana pernah mengalami situasi sama.

Menurutnya, dia beruntung kerana pasukan Pahang giat berlatih seperti biasa sebagai persiapan menjelang kempen Piala Malaysia, bulan depan.

"Saya selesa bersama jurulatih kerana selain pernah melatih Pahang, beliau bijak mengatur strategi, suka bertukar pendapat dan sedia mendengar cadangan pemain," katanya.

Gopinathan berharap ujian pertama bersama skuad kebangsaan berakhir dengan keputusan membanggakan.

Katanya, untuk mencapai impian itu, rakan sepasukan diharap turut tampil dengan semangat jitu dalam usaha melakar kemenangan yang bakal menjadi ukuran menilai prestasi skuad kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Panglima rampas takhta

Posted: 17 Jul 2014 08:54 AM PDT

Kota Tinggi: Rumah Panglima yang juga Rumah Merah muncul juara baru temasya sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Jaafar Albar (SMKTSJA), baru-baru ini.

Rumah Panglima memperoleh 29.59 mata untuk menduduki tangga pertama, meninggalkan Rumah Bendahara (Kuning) yang memperoleh 29.25 mata di tempat kedua.

Rumah Laksamana (Biru) ketiga dengan 21.58 mata dan Rumah Temenggong (Hijau) keempat, 19.59 mata.

Penentuan juara keseluruhan dibuat berdasarkan pungutan mata bagi acara merentas desa, sukantara serta trek dan padang.

Pungutan 23 pingat emas, 19 perak dan 16 gangsa sudah memadai untuk Rumah Panglima muncul juara acara trek dan padang, menewaskan pencabar terdekat, Rumah Bendahara yang memperoleh 21 emas, 15 perak dan 11 gangsa.

Rumah Laksamana dan Temenggong masing-masing menghuni tempat ketiga dan keempat.

Gelaran Olahragawan pula disandang Wan Ahmad Rashdan Wan Mamat dari Rumah Panglima selepas meraih 2 emas dan 2 perak manakala Olahragawati milik Wan Rafishah Wan Haron dari Rumah Bendahara hasil tuaian 5 emas.

Sebelum berlangsungnya temasya sukan tahunan ini, Rumah Bendahara terlebih dulu muncul juara acara merentas desa manakala Rumah Laksamana menjuarai sukantara.


Kategori khemah tercantik dan perbarisan tercantik pula menyaksikan dominasi Rumah Panglima yang membawa tema 'wira panglima, mara berjuang'.

"Kerjasama yang kuat antara pihak pentadbir, guru rumah sukan serta pelajar menjadi faktor utama memastikan temasya kali ini berjalan lancar," kata Setiausaha Sukan SMKTSJA Mohd Rasidi Md Yusop.

Temasya kali ini dirasmikan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKTSJA Omar Uyob.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Luis ikut jejak Costa

Posted: 17 Jul 2014 08:53 AM PDT

London: Kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea semalam mengesahkan mencapai persetujuan untuk menandatangani kontrak bersama pemain pertahanan kiri Brazil, Filipe Luis dari kelab juara Sepanyol, Atletico Madrid.

Luis, 28, dijangka menyertai Chelsea selepas kedua-dua kelab itu bersetuju dengan yuran perpindahan €20 juta (RM85.9 juta) seperti dilapor akhbar Sepanyol, Marca.

"Atletico dan Chelsea bersetuju dengan perpindahan Luis yang kini hanya perlu melalui ujian perubatan dengan kelab Inggeris itu," umum Atletico semalam.

"Pemain bola sepak Brazil itu berbincang dengan kami pada hujung musim lalu mengenai keinginannya menyertai kelab London berkenaan." Chelsea mula mencari pemain bek kiri selepas mereka melepaskan Ashley Cole menerusi perpindahan percuma hujung musim lalu dan Luis yang menyertai Atletico pada 2010 bersedia mengharungi cabaran baru.

"Saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan Atletico, namun saya membuat keputusan ini kerana tawaran itu datang dari Chelsea," kata Luis dalam sidang media di Madrid.

"Pertukaran pasukan memberi harapan baru dan saya bimbang terlalu selesa di sini.

Karier pemain bola sepak terlalu singkat dan saya mahu menamatkannya dengan kejayaan." Luis membantu menyingkirkan Chelsea daripada Liga Juara-Juara musim lalu dan dia menjadi pemain Atletico kedua menyertai kelab utara London itu selepas penyerang Diego Costa melengkapkan perpindahan ke Stamford Bridge, Selasa lalu.

"Saya sangat menyukai kelab Chelsea.

Saya banyak menyaksikan perlawanan Liga Perdana dan anda boleh merasakan sokongan padu penyokong kelab itu," kata Luis yang pernah empat kali mewakili Brazil.

"Ketika kami bermain dalam saingan Liga Juara-Juara, saya berasa selesa di stadium mereka dan apabila mendapat tawaran itu, saya fikir kelab ini yang terbaik untuk diwakili di England." Pemain tengah Tiago Mendes, bekas pemain Chelsea juga dijangka menyertai semula skuad kendalian Jose Mourinho itu selepas kontraknya di Atletico tamat manakala penjaga gol, Thibaut Courtois yang menghabiskan masa tiga musim dipinjamkan di Calderon akan kembali ke Stamford Bridge.

Foto


- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

No comments:

Post a Comment