Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Mana boleh lepas!'

Posted: 02 Jul 2014 12:06 PM PDT

Kuala Lumpur: "Untuk melepaskan mereka berdua (Faizal dan Fitri) suatu perkara mustahil dan tidak akan berlaku!"

Itu maklum balas tegas pengurus kelab hoki Terengganu HT Mohd Saberi Salleh yang tetap tidak akan melepaskan adik beradik Mohd Faizal dan Mohd Fitri Saari bagi menyertai kelab divisyen satu Belanda yang bakal membuka tirai pada 24 Oktober ini.

Meskipun begitu, Saberi Salleh yang juga Setiausaha Agung Persatuan Hoki Lelaki Negeri Terengganu berkata, masih ada ruang perbincangan boleh dilakukan jika benar kelab Eropah itu bersungguh-sungguh mendapatkan khidmat pemain kelahiran Kelantan itu.

"Kami mengambil mereka berdua untuk bermain bersama kami sejak tahun lalu dan pihak Terengganu HT melayan mereka secara profesional. Kami juga sudah membuat banyak pelaburan di samping turut membayar gaji penuh mengikut perjanjian.

Foto

FITRI mendapat tawaran bermain dengan kelab Eropah.


"Pada dasarnya, kontrak Fitri dan abangnya sudah disambung dua tahun lagi awal tahun ini bersama kami dan jelas dalam perjanjian dengan kami, mereka tidak boleh pergi ke mana-mana atau mengadakan rundingan secara sendiri termasuklah kelab dari Belanda itu.


"Kami hingga ke hari ini tidak menerima sebarang permohonan daripada MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) atau kelab itu, jika betul mahukan mereka datanglah berjumpa kami secara profesional.

"Tapi rasanya mustahil untuk melepaskan mereka ketika ini, melainkan selepas kontrak mereka tamat pada penghujung 2015. Apapun, masih ada ruang perbincangan boleh dilakukan dengan syarat keputusan itu dipersetujui kedua-dua pihak," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, kelab berpangkalan di Liga Belanda dilapor berminat mendapatkan sentuhan Faizal dan Fitri Saari selepas memperagakan aksi bertenaga sepanjang saingan Hoki Piala Dunia di The Hague Belanda, Mei lalu.

Malah, difahamkan kelab itu menawarkan kontrak semusim kepada Fitri dan abangnya, namun impian pemain berusia 21 tahun itu untuk berkelana di Eropah terpaksa dilupakan.

Dalam perkembangan sama, Saberi turut mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang mengkritik Terengganu HT apabila dikatakan kelab itu cuba menghalang pemain beraksi di luar negara.

"Sebenarnya itu bukan salah kami, sepatutnya mereka (MHC) perlu perbetulkan semula jadual liga tempatan supaya tidak bertembung dengan liga di luar negara.

"Liga Hoki Malaysia cuma berjalan selama dua bulan saja, jika mereka boleh merangka kembali jadual, saya rasa mana-mana pemain pun boleh bermain untuk kelab lain di luar negara asalkan jadual liga tidak bertembung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

'Pincang tanpa kelibat Dollah'

Posted: 02 Jul 2014 12:03 PM PDT

Kuala Lumpur: Persiapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghadapi Piala Malaysia bermula 19 Ogos ini bakal terjejas jika mereka terpaksa melepaskan jurulatih Dollah Salleh kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat ini.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak PDRM Datuk Muhammad Fuad Abu Zarin, pihaknya sudah menerima surat rasmi daripada badan induk itu yang mahu melantik Dollah sebagai ketua jurulatih kebangsaan semalam dan pihaknya akan mengadakan perbincangan bagi mendapatkan persetujuan bersama.

"FAM sudah menghantar surat dan mahu kami membuat keputusan, perkara ini masih lagi di peringkat perbincangan. Namun lambat atau cepat, Dollah pasti akan menyertai skuad kebangsaan kerana nampaknya beliau berminat untuk pergi.

"Perkara ini akan dibincangkan bersama menteri (Datuk Seri Dr Zahid Hamidi) kerana ini membabitkan soal kontrak Dollah bersama PDRM. Memang sebelum ini apabila ada khabar angin mengenai pelantikan Dollah kami sudah berbincang, tapi bukanlah secara serius," katanya kepada Arena Metro semalam.

Foto

DOLLAH (kanan) ketika meraikan jaringan anak buahnya pada aksi Liga Perdana.


Dollah, 50, yang masih mempunyai baki kontrak hingga November dengan pasukan juara Liga Perdana itu menyatakan kesediaan untuk menerima tawaran kontrak dua tahun bagi membimbing Harimau Malaya, namun dengan syarat mendapat pelepasan majikannya terlebih dulu.


Walaupun memahami tugasan negara lebih penting, PDRM turut merasai keperitan apabila terpaksa melepaskan jurulatih mereka sedangkan misi untuk merebut kejuaraan Piala Malaysia bakal bermula bulan depan.

"Kalau boleh biarlah beliau pergi selepas tamat Piala Malaysia kerana bukan mudah untuk kami mencari pengganti pada pertengahan musim ini. Kalau Dollah tiada bersama pasukan ini, susahlah kami malah situasi sekarang dalam pasukan, pemain juga macam terkejut dengan berita ini," katanya.

Dollah, bekas penyerang kebangsaan mendapat perhatian apabila namanya diumumkan FAM selepas mesyuarat Exco pada Sabtu lalu bagi mengisi jawatan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu.

Beliau dianggap calon paling sesuai untuk membimbing Harimau Malaya bagi mengharungi Kejohanan Piala AFF hujung tahun ini selepas FAM mengetepikan calon jurulatih import dari Jerman Wolfgang Sidka dan Gert Engels.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

Seladang pertaruh bakat muda

Posted: 02 Jul 2014 12:02 PM PDT

Ipoh: Sekurang-kurang lapan hingga 10 pemain skuad Piala Presiden Perak berpeluang menimba pengalaman apabila diserap dalam skuad utama The Bos Gaurus bagi menghadapi kempen Piala Malaysia bermula selepas Aidilfitri.

Jurulatih Seladang Abu Bakar Fadzim berkata, mereka membabitkan pemain utama pasukan bimbingan Mohd Syamsol Saad yang menumpaskan Pahang 3-2 di Kuantan untuk menjulang Piala Presiden serta muncul juara sukan Malaysia (SUKMA) Perlis.

"Mereka pernah beraksi di Liga Super lalu walaupun didaftarkan bersama skuad Piala Presiden," katanya.

Abu Bakar yang lebih mesra dengan panggilan Burn berkata, persiapan Perak bagi menghadapi kempen piala berprestij itu bermula petang ini. Sebelum ini pemain dibenarkan berehat selepas perlawanan terakhir liga bertemu Pahang pada 25 Jun lalu.

Foto

WEIGANG serasi bersama Perak.


Katanya, sesi latihan seperti biasa akan dijalankan pada sebelah petang sepanjang Ramadan, diikuti perlawanan pemanas badan.


Abu Bakar yang menimba banyak pengalaman pada musim pertama mengendalikan pasukan Liga Super bersyukur Perak mampu kekal dalam saingan liga elit itu selepas membuat penamat cemerlang di penghujung musim untuk menduduki tempat kesembilan daripada liga 12 pasukan liga.

"Semua ini berkat kesungguhan pemain yang tidak pernah putus asa walaupun menghadapi situasi mencabar.

"Saya yakin keadaan ini membuatkan mereka semakin matang bagi menangani cabaran Piala Malaysia," katanya.

Abu Bakar juga berterima kasih kepada 'sifu' Karl Heinz Weigang yang banyak memberi nasihat dan bimbingan sepanjang tempoh dua bulan menjadi penasihat teknikal pasukan.

"Nampaknya Weigang serasi dengan Perak kerana ketika mengendalikan Johor, beliau kurang berjaya berbanding apabila bersama kami.

"Kini terpulang kepada Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) selaku majikan untuk memutuskan apa yang difikirkan baik untuk pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

Jalaluddin intai tempat

Posted: 02 Jul 2014 12:00 PM PDT

Kuantan: Pemain paling senior Pahang, Jalaluddin Jaafar percaya kelibatnya akan dapat disaksikan dalam saingan Piala Malaysia berbanding hanya diletakkan sebagai pemain simpanan pada aksi Liga Super dan Piala FA musim ini.

Justeru, pemain kelahiran Pekan, Pahang itu akan berusaha menambat hati pengendali Tok Gajah Zainal Abidin Hassan bagi memastikan namanya tersenarai dalam kesebelasan utama.

Bagi merealisasikan impian itu, Jalaluddin berkata, dia tidak akan mengecewakan Zainal Abidin terutama dalam membantu memperkasakan jentera pertahanan.

"Memang diakui musim ini saya lebih banyak diturunkan sebagai gantian, tapi saya tetap berharap dapat berada dalam kesebelasan utama pada saingan Piala Malaysia," katanya.

Ditanya peluang Pahang mempertahankan piala berprestij itu musim ini, Jalaluddin berkata, dengan menerapkan disiplin tinggi dan fokus terhadap setiap perlawanan, gelaran juara boleh menjadi milik skuad Tok gajah.

"Pada masa sama, sokongan padu peminat yang selama ini tidak putus-putus memberikan suntikan moral akan membantu memotivasikan kami.

"Jika segala-galanya mengikut percaturan, kami mampu mengulanginya sekali lagi musim ini," katanya.

Musim ini, Pahang sudah merangkul dua gelaran, juara Piala FA dan Piala Sumbangsih manakala skuad kendalian Zainal Abidin menduduki tempat ketiga saingan Liga Super.

Foto

JALALUDDIN (kiri) idam kesebelasan utama Tok Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

Pecat tak sah!

Posted: 02 Jul 2014 11:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kembali mendapat perhatian apabila Naib Presiden 1 Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (PESTAK) Aiman Mohd Noor mendakwa beliau secara tidak sah dipecat sebagai Ahli Majlis badan induk berkenaan, baru-baru ini.

Aiman mendakwa pemecatannya sebagai Ahli Majlis PSM dimaklumkan seorang pegawai badan berkenaan bulan lalu melalui pengumuman menerusi aplikasi Whatsapp kepada barisan kepimpinan badan induk itu.

"Saya terkejut dan malu apabila diperlakukan sedemikian apabila pegawai berkenaan menyatakan saya bukan lagi Ahli Majlis PSM.

Apakah pegawai berkenaan mempunyai kuasa mengumumkan pemecatan saya sebagai Ahli Majlis PSM tanpa sebarang alasan.


Saya hairan adakah PSM mempunyai kuasa untuk memecat Ahli Majlis yang dipilih persatuan negeri.

"Saya tidak tahu sama ada pengumuman itu dilakukan atas dasar peribadi individu terbabit atau didalangi pihak tertentu," katanya yang menegaskan beliau tetap Ahli Majlis yang sah.

Difahamkan pemecatan Aiman berlaku susulan pemilihan kepimpinan baru dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) PESTAK bulan lalu, namun Aiman mendakwa ia berlangsung secara tidak sah kerana tidak dimaklumkan kepada semua gabungan di peringkat negeri.

"Malah saya sendiri sebagai Naib Presiden 1 tidak mengetahui dan dimaklumkan mengenai AGM berkenaan.


Saya sudah mengemukakan permohonan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) untuk menyiasat perkara ini," jelasnya.

Malah Aiman melihat pemecatannya tidak mempunyai kaitan dengan pemilihan PSM yang diarah berlangsung sebelum Ogos kerana setiap ahli majlis mempunyai kuasa untuk mengundi dan memilih kepimpinan baru.

PESTAK pada awal tahun ini mendesak pengurusan semasa PSM berundur kerana gagal menghormati ahli gabungan di samping membuat keputusan sesuka hati dengan membelakangkan banyak pihak.

Bagaimanapun mereka kemudiannya memohon maaf.

Kepimpinan PSM menjadi tumpuan susulan kegagalan berterusan skuad negara di pentas antarabangsa dengan kerusi nombor satu yang kini disandang Datuk Ahmad Ismail sejak 2003 dijangka dicabar Timbalan Presiden PSM Mohd Shapian Ali pada pemilihan kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

Wei Feng idam final Komanwel

Posted: 02 Jul 2014 11:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Malaysia mampu meraih kemenangan satu-dua dalam acara badminton perseorangan lelaki di Sukan Komanwel 2014 Glasgow andai Chong Wei Feng (gambar) mampu beraksi cemerlang seperti Piala Thomas, Mei lalu.

Malah pemain kelahiran Alor Setar itu sendiri meletakkan sasaran mara hingga ke perlawanan akhir dan mungkin akan berlaku pertemuan sesama sendiri menentang pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

"Saya rasa tempoh tiga minggu sudah cukup untuk membuat persiapan menjelang Sukan Komanwel," katanya pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) skuad Piala Thomas 2014, kelmarin.

Kata Wei Feng, selepas pulang dari New Delhi, dia beraksi di Siri Super Terbuka Jepun dan Siri Super Premier Terbuka Indonesia dan terkandas di pusingan kedua pada kedua-dua kejohanan, namun langsung tidak menghalang semangatnya.

"Saya akan cuba membuatkan rakyat Malaysia gembira di Komanwel selepas diberi kepercayaan mewakili negara.

"Prestasi saya sangat baik di Piala Thomas dan saya cuba mengulanginya malah ketika di Terbuka Jepun saya berjaya menumpaskan pemain lebih bagus, Son Wan Ho dari Korea Selatan," katanya.

Pemain nombor 17 dunia itu, mengakui dia kini cuba membina keyakinan peringkat demi peringkat.

Ditanya siapakah pencabar di Glasgow, Wei Feng berkata, dua pemain perseorangan India, Kashyap Parupalli dan K Srikanth perlu diberi perhatian.

"Pemain lain mungkin Rajiv Ouseph dari England dan juga Singapura, Derek Wong Zi Liang," katanya yang turut perlu bersedia bagi acara beregu jika diperlukan bagi acara berpasukan.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

Cheh Chang tumpu Olimpik

Posted: 02 Jul 2014 11:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen Ogos ini tidak berada dalam senarai jurulatih beregu lelaki negara, Pang Cheh Chang malah beliau mempunyai sasaran lebih besar iaitu Sukan Olimpik 2016 Rio.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, beliau tidak bimbang dengan eksperimen yang dilakukannya sekarang iaitu sering menukar pasangan beregu lelaki, yang boleh menjejaskan persefahaman pemain yang sudah melayakkan diri ke kejohanan itu.

"Ia memerlukan jumlah kutipan mata tinggi untuk ke Sukan Olimpik dan sekarang bila digabung dengan mata Piala Thomas serta beberapa kejohanan lain, saya sudah membuat pengiraan bagaimana untuk memastikan pemain kita layak beraksi di Rio de Janeiro," katanya.

Jelasnya, awal tahun depan kejohanan utama hanya bermula pada Mac dan selepas itu beliau hanya mempunyai dua tahun untuk memastikan beregu lelaki bukan saja layak, tapi beraksi cemerlang di Olimpik.

"Bagi mencapai apa yang saya sasarkan itu, ia perlu bermula dari sekarang, selepas Kejohanan Dunia ini misi saya adalah memastikan pemain mengumpul mata untuk ke Olimpik.

"Empat pemain Tan Boon Heong, Hoon Thien How, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, malah Lim Khim Wah berpeluang untuk beraksi di Olimpik, sekurang-kurangnya saya perlu mempunyai tiga pasangan beregu lelaki.

"Ini sangat penting untuk mempunyai empat atau lima pemain yang mantap kalau ada seorang yang cedera teruk masih ada pemain yang kompetitif boleh beraksi.

"Setakat ini permainan mereka sangat bagus cuma masih belum menang kejohanan saja, mereka perlu bersaing untuk menjadi pasangan beregu lelaki utama, pemain lawan juga sudah nampak mereka mampu memberi tekanan," Cheh Chang berkata, sebelum ini pasangan lawan mudah memungut mata, tapi kini tidak lagi semudah dulu, malah ada yang bergelut untuk menang.

"Cuma kini Khim Wah agak kurang konsisten, permainannya ada naik dan turun dan saya mahu dia bersaing dan melihat bekas pasangannya sekarang, V Shem yang mendapat gandingan lebih baik.

"Saya mahu dia jadi macam Hendra Setiawan yang sentiasa memberikan yang terbaik ketika bergandingan dengan pemain lebih muda, Mohammad Ahsan dan cuba untuk mara serta memenangi pingat Sukan Olimpik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

'Kami rasa dihargai'

Posted: 02 Jul 2014 11:52 AM PDT

Johor Bahru: Biarpun menyaksikan perlawanan di skrin gergasi, sorakan kira-kira 200 pengunjung di Restoran Singgah Selalu tidak kurang hebatnya, bagaikan berada di gelanggang Piala Dunia 2014 di Brazil.

Tetapi berbanding di Brazil, mereka yang hadir di Restoran Singgah Selalu berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menerusi Sorak Goool! Harian Metro.

Lebih menarik, ada di antara mereka berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah dengan sekadar menyertai aktiviti yang diadakan sejak jam 10 malam.

Juruteknik, Arshad Sulaiman, 32, berkata, dia bersama beberapa rakan sepejabat tidak melepaskan peluang untuk hadir bagi memeriahkan acara berkenaan.

Menurutnya, dia yang menyokong Argentina tertarik apabila dimaklumkan berkaitan penganjuran acara berkenaan yang turut menyiarkan perlawanan Albicelestes menentang Switzerland.

"Berikutan penganjuran aktiviti ini, suasana menjadi lebih hangat kerana di sini (Restoran Singgah Selalu), sebahagian besarnya penyokong Switzerland.

"Sebagai penyokong, kami rasa dihargai menerusi penganjuran acara seumpama ini kerana menemukan peminat kedua-dua pasukan.

"Saya juga berjaya memenangi hadiah berbentuk barangan daripada pihak penaja kerana dapat menjawab soalan kuiz dengan tepat," katanya.

Hadir sama memeriahkan acara berkenaan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar.

Mustapa berkata, acara berkenaan secara tidak langsung mengeratkan hubungan akhbar yang mempunyai lebih tiga juta pembaca dengan peminat bola sepak di Johor.

"Hari ini saya gembira kerana dapat bersama peminat bola sepak dan penyokong Johor Darul Ta'zim yang saya melihat rata-rata begitu bersemangat memberikan sokongan.

"Acara seumpama ini akan diteruskan pada masa depan dan saya berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakannya," katanya.

Bagi memeriahkan acara berkenaan, Restoran Singgah Selalu bukan saja dihiasi dengan kain rentang malah menyajikan 60 hidangan istimewa untuk bersahur termasuk makanan tradisional masyarakat Johor.

Selain itu, peminat bola sepak juga mengambil kesempatan untuk bergambar selfie bersama artis tempatan Tomok yang turut menyaksikan perlawanan berkenaan.

Sorak Goool! Harian Metro bertujuan memberi peluang kepada pembaca akhbar itu untuk turut merasai demam Piala Dunia dengan menonton perlawanan di beberapa restoran terpilih di sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Johor.

Program ini mendapat tajaan utama daripada Milo dengan U Mobile bertindak sebagai rakan penaja.

Orang ramai yang menyertai pelbagai acara disediakan juga berpeluang memenangi hadiah menarik seperti hamper daripada Avon, Loreal, baucar Courts dan barangan elektrik.

Foto

PESERTA menjawab soalan kuiz.

Foto

PENGUNJUNG pamer kebolehan menimbang bola.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

Pilihan juara teringkir

Posted: 02 Jul 2014 11:49 AM PDT

London: Impian Rafael Nadal menakluk Wimbledon lenyap di tangan pemain remaja berusia 19 tahun yang tidak mustahil bakal menggegar arena tenis satu hari nanti.

Maria Sharapova pula terlalu banyak melakukan kesilapan dan akhirnya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan yang pernah melonjakkan namanya selaku juara itu.

Bagaimanapun, insiden paling tidak boleh dilupakan ialah pasangan adik beradik, Serena dan Venus Williams gagal menamatkan saingan dalam acara beregu dan mengambil keputusan untuk berhenti selepas set ketiga gara-gara dilanda demam.

Kejayaan paling dicemburui kelmarin pastinya kemenangan pemain ranking ke-144 dunia, Nick Kyrgios dari Australia yang melakukan 37 ace untuk menumpaskan Nadal 7-6 (5), 5-7, 7-6 (5), 6-3 sekali gus layak ke suku akhir.

Foto

KYRGIOS meraikan kejayaan membenam Nadal.


"Saya fokus penuh terhadap perlawanan ini," kata Kyrgios. "Anda perlu yakin mampu menang dan ia perlu ditanam sejak mula. Itulah yang saya amalkan.


"Saya bermain dengan cemerlang di gelanggang rumput pada masa ini."
Wimbledon adalah kejohanan utama kelima Kyrgios yang memperoleh tiket 'wild card'. Kyrgios muncul pemain lelaki pertama layak ke suku akhir Wimbledon pada penyertaan sulung.

"Kita selalu bertanya, siapakah yang bakal menewaskan pemain hebat sekarang dan saya rasa kita sudah mendapat jawapannya," kata juara tujuh kali, John McEnroe.

"Kyrgios muda, dia tidak perlu bimbangkan apa-apa," kata bapa saudara dan juga jurulatih Nadal, Toni. "Ia sama seperti ketika Boris Becker menang di sini. Ketika itu dia berusia 17 tahun dan mempunyai servis hebat. Dia mampu menewaskan sesiapa saja. Sama dengan Kyrgios. Dia bermain agresif tanpa ragu."

Nadal, juara 2008 dan 2010 tewas buat kali ketiga kepada pemain ranking lebih rendah. Dua tahun lalu, dia tewas pada pusingan kedua di tangan pemain ranking ke-100, Lukas Rosol. Tahun lalu, dia disingkir seawal pusingan pertama oleh pemain nombor 135 dunia, Steve Darcis.

"Di gelanggang rumput, anda pasti menghadapi hari yang sukar apabila lawan memutuskan untuk memukul setiap bola dengan kencang," kata Nadal.

Kyrgios yang menewaskan pemain pilihan ke-13, Richard Gasquet pada pusingan kedua langsung tidak menunjukkan rasa gementar ketika berdepan Nadal.

Malah dia kelihatan gembira dengan tumpuan yang diperolehnya di gelanggang tengah. Bintang muda ini bakal bertemu pilihan kelapan dari Kanada, Milos Raonic di suku akhir.

Bagi acara wanita, Angelique Kerber mengatasi Maria 7-6 (4), 4-6, 6-4.
Pada perlawanan itu, Maria melakukan 49 kesilapan, lebih 38 berbanding kesilapan dilakukan lawannya dari Jerman itu.

"Saya sudah berusaha keras, tapi melakukan terlalu banyak kesilapan. Saya cuba mempertahankannya hingga hujung permainan tetapi gagal," kata Maria.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

Barca pikat Suarez

Posted: 02 Jul 2014 11:36 AM PDT

London: Pegawai Barcelona akan bertemu pucuk pimpinan Liverpool di London hari ini untuk memulakan perbincangan proses perpindahan penyerang Uruguay, Luis Suarez.

Barcelona dilihat kelab paling sesuai untuk membeli bintang berusia 27 tahun itu yang tidak dapat beraksi di Piala Dunia selepas dihukum gantung sembilan perlawanan selain dilarang menyertai aktiviti bola sepak selama empat bulan kerana menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini.

Mesyuarat antara pegawai kelab Merseyside itu dan delegasi diketuai pengarah pengurusan bola sepak Barcelona Raul Sanllehi dijangka berkisar kepada agenda perpindahan penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim lalu itu.

Dalam usaha mendapatkan Suarez, kelab Sepanyol itu perlu menepati klausa ditetapkan iaitu £70 juta (RM384.9 juta).

Jika Liverpool memilih membenarkan Suarez pergi, penyerang Barcelona dari Chile, Alexis Sanchez mungkin menjadi buruan bagi menggantikan kekosongan di barisan depan.

Selepas menafikan dia menggigit Chiellini ketika kemenangan 1-0 Uruguay di Natal pada 24 Jun, Suarez mengeluarkan kenyataan mengaku kesilapannya dan berazam tidak mengulangi perbuatan itu.

Pengarah sukan Barcelona Andoni Zubizarreta memulakan khabar angin berhubung perpindahan Suarez ke kelab Catalan itu dengan memuji keikhlasan pemain itu yang berani mengakui kesilapannya.

Sepanjang aksi kelayakan sebelum ke Brazil, Suarez menjaringkan 11 gol dalam 16 perlawanan manakala di Liverpool, 31 gol yang dihasilkannya membolehkan kelab Anfield itu menduduki tangga kedua liga.

Suarez turut menamatkan musim lalu dengan gelaran pemenang anugerah Kasut Emas Eropah serta Pemain Terbaik Tahunan hasil undian Persatuan Pemain Bolasepak Profesional dan Persatuan Penulis Bolasepak.-Reuters

Foto

SUAREZ bakal ubah angin bersama gergasi Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/03

No comments:

Post a Comment