Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Khutbah pertama 'Khalifah Ibrahim'

Posted: 06 Jul 2014 09:58 AM PDT

Baghdad: Dakwaan pelbagai pihak yang menyatakan khalifah yang dilantik Daulah Islam (IS) bersembunyi dan takut untuk tampil di khalayak ramai disangkal dengan kemunculannya menyampaikan khutbah Jumaat di sebuah masjid minggu lalu.

Abu Bakar al-Baghdadi yang memimpin IS berpakaian serba hitam dan menyampaikan khutbah itu di Masjid Besar Mosul pada solat Jumaat pertama dalam bulan Ramadan beberapa hari selepas dilantik memimpin kerajaan khalifah yang dibentuk kumpulan berkenaan.

Rakaman video menunjukkan dia berkhutbah tersebar luas selepas dimuatnaik ke Internet oleh kumpulan berkenaan.

Melalui khutbahnya, Abu Bakar menyeru umat Islam di seluruh dunia menyatakan Bai'ah (janji taat setia) kepada kerajaan khalifah yang dibentuk seperti yang sudah dilakukan beberapa kumpulan di serata dunia.

Foto

ABU Bakar al-Baghdadi atau Khalifah Ibrahim menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Besar Mosul, kelmarin.

Foto

ABU Bakar al-Baghdadi


Dia juga memuji kejayaan yang diperoleh 14,000 pejuang kumpulan itu di sekitar Iraq dan Syria.


Tindakan yang dilakukan itu dilihat menggambarkan keberanian Abu Bakar di sebalik usaha untuk menangkap dan membunuhnya.

Kerajaan Syiah Iraq melalui jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Saad Maan bagaimanapun menafikan ketulenan video berdurasi 21 minit itu.

"Kami sudah melakukan analisis ke atas video berkenaan dan mendapati ia palsu," katanya.

Menurutnya, Abu Bakar cedera akibat serangan udara yang dilancarkan tentera negara itu dan kini dirawat.

Namun Saad enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan ia masih belum dapat disahkan.

Sehingga kelmarin, hanya dua imej yang dikenalpasti sebagai Abu Bakar.

Ia dirakamkan sekurang-kurangnya empat tahun lalu oleh tentera Amerika Syarikat (AS) ketika dia berada dalam tahanan.

Ketika memimpin IS atau sebelum ini dikenali kumpulan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIS) pada 2010, dia melarang gambarnya dirakam.

Menurut pakar, dia juga bertemu sekutu rapatnya dalam keadaan muka bertutup kerana bimbang dengan kehadiran perisik.

Abu Bakar dipercayai dilahirkan di bandar Samarra di Iraq pada 1971 dan menyertai peperangan menentang pencerobohan AS untuk untuk menggulingkan Saddam Hussein di Iraq pada 2003.

Selepas dibebaskan, dia mengetuai IS yang pada waktu itu hampir berkubur.
Dia berjaya mengembalikan kegemilangan kumpulan itu.

Tahun lalu, kumpulan berkenaan menyertai peperangan di Syria dalam usaha menggulingkan rejim Presiden Bashar al-Assad.

Abu Bakar juga memutuskan hubungan IS dengan Al-Qaeda selepas perjuangan mereka tidak lagi sehaluan.

Melalui khutbahnya Jumaat lalu, Abu Bakar berkata: "Aku adalah pemimpin kamu. Namun, aku bukanlah yang terbaik antara kamu. Jadi jika kamu melihat aku betul, bantulah aku dan jika aku salah, nasihat dan betulkan aku. Taatlah kepadaku selagi aku taat kepada Allah."

Video klip itu juga memaparkan namanya sebagai 'Khalifah Ibrahim' berdasarkan nama yang digunakan ketika IS mengisytiharkan penubuhan pemerintahan khalifah pada 29 Jun lalu.

Sementara itu, ulama terkenal dunia, Syeikh Yusuf Al-Qardhawi berkata, pembentukan kerajaan khalifah oleh kumpulan berkenaan yang terkenal kerana kekejaman dan fahaman radikal mereka tidak menguntungkan umat Islam.

"Gelaran khalifah hanya boleh diberikan oleh seluruh negara Islam, bukan oleh satu kumpulan," kata ulama itu.

IS terkenal kerana kekejamannya terhadap musuh mereka dan semalam timbul gambar menunjukkan pejuangnya memusnahkan beberapa masjid dan tempat suci milik Sunni dan juga Islam di sekitar Mosul.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Terlalu sopan

Posted: 06 Jul 2014 09:52 AM PDT

Cubaan seorang ibu mengusik anak perempuannya dengan menghadiahkan sepasang seluar dalam lelaki untuk hari jadinya tidak menjadi apabila kanak-kanak itu - yang dididik supaya sentiasa berhemah dan berbudi bahasa - sebaliknya mengucapkan terima kasih dengan penuh keikhlasan.

Dalam video yang dimuat naik ke YouTube, Jessi Eaton dilihat memberi anaknya hadiah yang dibalut cantik namun apabila dibuka sebenarnya sepasang seluar dalam lelaki bersaiz besar.

"Wah! Cantiknya!' reaksi si cilik itu sambil menyimpan semula kertas bungkusan dengan penuh berhati-hati.

"Apakah itu?" tanya ibunya dengan nada menyakat.

Foto

ANAK Jessi menyeluk dalam beg hadiah dan mengeluarkan seluar dalam lelaki bersaiz besar.

Foto

'SAYA sukakannya!'

Foto

JESSI berkata anaknya memberi reaksi sama untuk semua hadiah diterima.


"Seluar! Cantiknya... Saya sukakannya! Ini hadiah yang sangat istimewa," jawab pula anaknya dengan ikhlas dan tidak langsung menunjukkan kekecewaan dengan hadiah diterimanya itu.


Malah, dia terus memakai seluar berkenaan seperti selendang.

Jessi yang tidak sampai hati meneruskan usikan itu terus memeluk anaknya itu sebelum memberikan hadiahnya yang sebenar. Dia kemudian memuat naik video yang diberi tajuk 'Cuba memberi 'hadiah' buruk kepada anak saya.'

"Saya sebenarnya tidak terkejut dengan reaksinya kerana itulah reaksi sama diberikan setiap kali menerima hadiah," kata Jessi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Tahan lelaki berpakaian aneh

Posted: 06 Jul 2014 09:41 AM PDT

Makkah: Pihak berkuasa keselamatan di Masjidil Haram minggu lalu menahan seorang lelaki berusia 40 tahun kerana memakai pakaian aneh dan luar biasa.

Jurucakap polis, Leftenan Kol Atti Al-Qurashi berkata individu itu ditahan ketika memasuki masjid berkenaan pada Selasa lalu memakai pakaian lain daripada yang lain menyebabkan ramai jemaah berkumpul di sekelilingnya untuk mengambil gambar.

Ia menyebabkan kesesakan dan mengganggu jemaah lain untuk beribadah.

Menurut Atti, lelaki berkenaan enggan untuk menukar pakaian yang bersesuaian malah turut datang ke masjid pada keesokannya dengan pakaian yang sama.

Foto

LELAKI yang berpakaian aneh ditahan di luar Masjidil Haram.


Ia menyebabkan anggota keselamatan menahan lelaki berkenaan dan merujuk kesnya kepada Biro Siasatan dan Pendakwaan untuk tindakan lanjut. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Lelaki campak 1 juta yuan

Posted: 06 Jul 2014 09:36 AM PDT

Beijing: Gambar seorang lelaki yang mencampakkan wang kertas sebanyak 1 juta yuan (RM503,000) ketika bertengkar dengan dengan bekas kekasihnya di sebuah hospital di Harbin tersebar meluas di Weibo, laman sosial utama di China.

Lelaki yang sudah berkahwin itu dilaporkan mencampakkan wang berkenaan pada bekas kekasihnya, jururawat di hospital berkenaan, kerana terlalu marah apabila wanita itu menerima kereta BMW daripada teman lelaki barunya.

Sumber yang tidak dikenali memberitahu wartawan, pasangan berkenaan bertengkar di depan unit kecemasan selama beberapa minit sebelum lelaki itu bertindak demikian.
Pergaduhan itu dileraikan oleh pengawal keselamatan.

Foto

GAMBAR menunjukkan wang sebanyaj 1 juta yuan bertaburan di hospital di Harbin.

Bagaimanapun, apa yang terjadi dengan wang itu tidak diketahui. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Tak sedar kahwin saudara sesusuan

Posted: 06 Jul 2014 09:34 AM PDT

Riyadh: Seorang wanita terkejut apabila mendapat tahu dia berkahwin dengan saudara susuannya sejak 50 tahun lalu malah mempunyai lapan anak hasil perkahwinan itu sebelum suaminya meninggal dunia.

Wanita itu hanya dimaklumkan pernah berkongsi ibu susuan sama dengan suaminya itu selepas kematian lelaki berkenaan.

Akhbar Okaz melaporkan, wanita berkenaan pada mulanya tidak mempercayai perkara itu dan kembali ke kampung kelahiran suaminya untuk menyiasat. Saudara-mara suaminya kemudian mengesahkan dia dan suaminya sebenarnya mahram.

Wanita itu dilaporkan berkata: "Saya terkejut dan sedih dengan berita ini, namun semuanya berlaku dengan izin Tuhan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Jokowi menang di luar negara

Posted: 06 Jul 2014 09:33 AM PDT

Jakarta: Jentera pilihan raya gandingan Joko 'Jokowi' Widodo dan Jusuf Kalla mendakwa berjaya memperoleh majoriti undi dalam Pilihan Raya Presiden 2014 Indonesia yang diadakan di Arab Saudi.

Proses pengundian bagi rakyat Indonesia di luar negara di luar negara dijalankan pada 4 hingga 6 Julai sebelum tarikh pilihan raya sebenar Rabu ini.

Berdasarkan hasil tinjauan yang dilakukan jentera pilihan raya, Jokowi dan Jusuf memperoleh 81 peratus undi di Arab Saudi manakala gandingan Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa memperoleh 14 peratus sementara sebanyak lima peratus undi rosak.

Jokowi ketika ditemui di Jakarta berkata, dia gembira dengan keputusan itu namun masih menunggu keputusan rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) "Saya gembira dengan keputusan itu.

Di dalam atau di luar negara mereka tetap warga negara Indonesia.

"Kita tunggu keputusan penuh selepas 9 Julai nanti," katanya.

Jusuf juga meluahkan kegembiraannya dengan keputusan itu.

"Kalau keputusan di luar negara sudah begitu, saya yakin keputusan undian di sini juga akan memihak kepada kami," katanya.

Menurutnya, selain di Arab Saudi, mereka juga mendapat laporan mengenai kemenangan yang diperoleh daripada pengundian yang dijalankan di Qatar dan China.

Jusuf berkata, kemenangan itu adalah hasil kempen yang berkesan di laman sosial yang mampu diakses di seluruh dunia dan kempen negatif yang tersebar tidak dapat mempengaruhi rakyat.-Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Tidak percaya hasil 'kiraan undi'

Posted: 06 Jul 2014 09:32 AM PDT

Jakarta: Jentera pilihan raya Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa tidak mempercayai hasil kiraan 'exit poll' yang berlangsung di luar negara.

Laporan itu yang kini tersebar luas di dalam kalangan orang ramai menunjukkan keputusan pengundian rakyat Indonesia untuk Pilihan Raya Presiden 2014 menyebelahi Joko Widodo dan Jusuf Kalla.

Jurucakap jentera pilihan raya Prabowo dan Hatta, Tantowi Yahya berkata perkara itu masih belum disahkan dan tidak boleh dijadikan sandaran untuk melihat keputusan akhir.

"Mungkin itu adalah jangkaan sendiri untuk menyenangkan hati mereka. Saya juga boleh melakukan perkara sama," katanya.


Menurutnya, pihaknya masih menunggu keputusan rasmi pengundian itu.


"Jangan menganggap hasil kiraan 'exit poll' itu keputusan rasmi.

"Nantikan keputusan sebenar dikeluarkan.

"Sudah bimbang pihak yang kini mendakwa menang akan mendakwa berlaku penipuan apabila keputusan sebenar diumumkan," katanya.

Tantowi yakin gandingan Prabowo dan Hatta akan memperoleh kemenangan dalam pengundian di Malaysia kerana calon presiden itu memberi lebih perhatian kepada warga Indonesia yang bekerja di negara jiran itu.

Dia juga yakin mereka akan menang dalam pemilihan yang dilangsungkan di Arab Saudi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Jokowi berlepas ke Tanah Suci

Posted: 06 Jul 2014 09:32 AM PDT

Jakarta: Calon presiden Indonesia, Joko 'Jokowi' Widodo berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah semalam dan dijangka pulang sehari sebelum pengundian berlangsung pada 9 Julai.

Antara yang turut serta mengiringi Jokowi menunaikan umrah adalah isteri dan dua anaknya selain bekas Ketua Nahdlatul Ulama, Hasyim Muzadi dan beberapa individu lain.

Jurucakap jentera pilihan raya Jokowi dan Jusuf, Anies Baswedan yang turut bersamanya ke Tanah Suci berkata inisiatif itu adalah rancangan calon presiden itu sendiri.

Pada mulanya, Jokowi dan jentera pilihan rayanya tidak mahu menghebohkan mengenai perkara itu namun kerana bimbang tiada waktu terluang selepas pilihan raya pada 9 Julai, perkara itu diumumkan kepada orang ramai.

"Ibadah ini tidak berunsur politik dan kami mengharapkan doa daripada rakyat agar semuanya berjalan lancar," kata Anies.

Dalam satu sidang akhbar, ketua rombongan itu, Usamah Hisyam berkata, dia memastikan semua perbelanjaan menunaikan umrah adalah daripada dana peribadi dan selepas menjalankan kempen ke seluruh negara, ini adalah masa untuk Jokowi menyerahkan segala ketentuan kepada Allah.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Polis tak halang rusuhan

Posted: 06 Jul 2014 09:31 AM PDT

Mandalay: Masyarakat Islam Myanmar menuduh polis yang berada di tempat kejadian tidak mengambil sebarang tindakan ketika pelampau Buddha merusuh dan membakar sebuah sekolah serta bangunan lain pada Sabtu.

Perusuh yang sesetengahnya membawa senjata bertindak ganas di Mandalay selepas pengebumian seorang penganut Buddha yang menjadi mangsa pergolakan agama di negara itu.

Sebuah sekolah dan asrama yang terletak di kawasan masyarakat Muslim di pinggir bandar berkenaan hangus.

"Lebih 70 anggota polis berada di kawasan itu pada masa kejadian namun tidak mengambil sebarang tindakan," kata saksi kejadian, Win Naing.


Menurutnya, perusuh bersenjatakan kayu, besi paip dan gergaji.


Ketika kejadian dipercayai, tiada pelajar berada di sekolah itu.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Keganasan yang berlaku sejak beberapa hari lalu berpunca daripada tuduhan rogol.

Dua orang terbunuh manakala 14 lagi cedera dalam keganasan berkenaan.
"Polis boleh menghentikan rusuhan itu namun mereka tidak berbuat demikian," kata seorang ahli majlis dialog antara agama di bandar itu, Zaw Zaw Latt.

Polis bagaimanapun memberikan alasan mereka tidak meletakkan pasukan keselamatan tambahan di situ kerana tidak menyangka keganasan akan tercetus.

"Kami tidak menghalang perusuh itu kerana menyangka mereka mengambil bahagian dalam pengebumian yang berlangsung," kata jurucakap polis, Ye Htut.

Sekurang-kurangnya 250 orang terbunuh dalam konflik membabitkan penganut Buddha dan Muslim yang memberi impak kepada perubahan politik Myanmar sejak beberapa tahun lalu.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

Puluhan Arab Israel ditahan

Posted: 06 Jul 2014 09:29 AM PDT

Baitulmaqdis: Polis Israel semalam menahan puluhan penduduk dalam tempoh semalaman selepas rusuhan ganas meletus di beberapa bandar Arab di Israel berhubung kematian seorang remaja Palestin.

Pada masa sama, pihak tentera menjalankan 10 serangan udara di Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan roket berterusan di selatan Israel oleh pejuang Hamas.

Keganasan meletus selepas seorang remaja diculik dan dibunuh Rabu lalu menimbulkan kemarahan dan merebak ke beberapa bandar Arab di Israel, kelmarin.

Laporan awal bedah siasat menunjukkan remaja berusia 16 tahun itu dibakar hidup-hidup.

Ramai penduduk Palestin percaya pembunuhan itu bermotifkan dendam selepas tiga remaja Israel diculik dan dibunuh di Tebing Barat, bulan lalu.

"Kira-kira 35 orang ditahan semalaman dengan hampir separuh daripada mereka di bawah umur," kata jurucakap polis Luba Samri.

Daripada jumlah itu, 22 ditahan di sekitar bandar Nazareth, kawasan paling ramai penduduk Arab di Israel.

Luba berkata, selebihnya ditahan di Taibe di utara dan kawasan sekitar Umm el Fahm - kubu kuat pejuang Islam di timur laut Tel Aviv yang turut menyaksikan pertempuran pada Sabtu.

"Kami membantah provokasi dilakukan orang Israel secara online. Mereka berkata 'matilah orang Arab,'" kata seorang penunjuk perasaan di Qalansuwa kepada radio tentera Israel.

Sementara itu, polis Israel mengesahkan sudah memulakan siasatan dalaman berhubung dakwaan keganasan polis berikutan penyebaran video yang menunjukkan polis pengawal sempadan membelasah seorang tahanan yang digari.

Video itu disebarkan selepas berita mengenai seorang remaja Palestin berusia 15 tahun yang juga warga Amerika Syarikat (AS) dipukul teruk ketika dalam tahanan polis di timur Baitulmaqdis yang dikecam hebat Jabatan Negara AS.

Sementara itu, pejuang Hamas melepaskan 15 roket dan tembakan mortar ke arah Israel dengan dua daripadanya menyasarkan bandar Beersheva.

Ini kali pertama bandar itu menjadi sasaran sejak operasi besar-besaran tentera di Gaza pada 2012.

Tentera udara Israel kemudian melancarkan serangan balas.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07

No comments:

Post a Comment