Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Otak tersembul

Posted: 12 Jul 2014 11:23 AM PDT

Dungun: "Saya menggigil ketakutan apabila melihat otak tersembul di kepalanya," kata Ramli Omar, 53, yang menyaksikan rakannya maut ditimpa pokok di kawasan pembalakan di Kampung Rantau Panjang, Jerangau, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, Hamiro Ramli, 33, dari Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan menebang balak apabila tiba-tiba pokok tumbang lalu menghempapnya.

Ramli yang bekerja sebagai pemandu jentolak berkata, ketika kejadian, hanya dia dan mangsa berada di kawasan atas bukit itu, manakala rakan setugas lain bekerja di kawasan bawah bukit.

"Mangsa ketika itu menebang sebatang pokok besar manakala saya berada di atas jentolak dan bersedia menarik pokok ditebang mangsa.

Foto

MAYAT Hamiro di lokasi kejadian.


"Sebaik pokok besar ditebang itu mula tumbang, arwah berlari untuk menjauhkan diri. Bagaimanapun, sebatang pokok berhampiran turut tumbang lalu menimpa mangsa," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun, semalam.


Katanya, melihat kejadian itu, dia turun dari jentolak untuk melihat keadaan mangsa, tetapi ketika itu mangsa meninggal dunia dalam keadaan otak tersembul dan patah tangan kanan.

Seorang lagi rakan mangsa, Syukri Yunus, 35, berkata, ketika berehat tengah hari kelmarin, arwah berkelakuan pelik apabila naik ke beberapa kawasan berbukit di tempat kerja untuk mencari isyarat telefon.

"Saya bertanya dia buat apa dan dia jawab mahu cari isyarat telefon kerana teringin benar bercakap dengan isteri dan anaknya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

'Putus jua akhirnya'

Posted: 12 Jul 2014 11:19 AM PDT

Shah Alam: Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir tiga jam selepas kakinya tersepit sebelum putus apabila lori dipandunya terbalik di Kilometer 3.5 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berdekatan susur keluar ke Setia Alam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, Muhammad Shah Musa, 40, dilihat masih dalam keadaan sedar ketika operasi menyelamat dijalankan pihak bomba, malah tabah menghadapi saat getir sepanjang tempoh tiga jam pasukan penyelamat berusaha mengeluarkannya dari lori itu.

Bagaimanapun, usaha menyelamatkan kaki kanannya akhirnya gagal selepas mangsa tidak dapat menahan kesakitan selain usaha menyelamat yang terbatas.

Lori membawa minyak sawit itu dalam perjalanan dari Pahang menuju ke Pelabuhan Klang, dipercayai terbabas ketika tiba di lokasi kejadian sebelum melanggar penghadang di kiri jalan lalu terbalik.

Foto

ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan Muhammad Shah yang tersepit selepas lori yang dipandunya terbalik di Lebuhraya Lembah Klang Baru dekat susur keluar ke Setia Alam, kelmarin.

Foto

ANGGOTA penyelamat membawa cebisan kaki Muhammad Shah.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan jam 10.15 malam dan bergegas ke tempat kejadian.


"Hasil pemeriksaan awal mendapati kaki kanan mangsa tersepit di antara besi penghadang dengan badan lori dan hampir terputus. Usaha mengeluarkan mangsa memakan masa kerana mangsa masih dalam keadaan sedar.

"Pihak bomba cuba mengelak mangsa menjadi lebih trauma, malah usaha mengeluarkannya menjadi lebih sukar memandangkan besi penghadang jalan tidak dapat dipotong menggunakan alat pemotong," katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Sekeluarga disamun tiga lelaki bersenjata parang

Posted: 12 Jul 2014 11:10 AM PDT

Rompin: Tujuh beranak, termasuk seorang warga emas, melalui detik cemas apabila disamun tiga lelaki bersenjata parang dan kayu di rumah mereka di Penempatan Rompin utama Tebu Hitam, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 pagi, semua mangsa yang berusia empat hingga 66 tahun kerugian lebih RM7,200 apabila pelbagai barangan berharga dilarikan suspek, dipercayai warga Indonesia, yang memecah masuk rumah dengan mengumpil pintu belakang.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, tiga suspek berusia 30-an meluru masuk ke dalam bilik utama yang menempatkan sepasang suami isteri di tingkat atas.

"Suami isteri itu diikat menggunakan dawai dan diarah ke bilik tingkat bawah sebelum mengikat pula empat anak pasangan terbabit serta seorang warga emas lalu mengumpul semua mangsa di dalam satu bilik.


"Ketiga-tiga suspek mengambil masa setengah jam untuk menggeledah rumah mangsa serta melarikan barangan berharga, termasuk dua cincin, anting-anting, loket emas, tiga jam tangan berjenama, tiga telefon bimbit, al-Quran digital dan wang tunai kira-kira RM1,700," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Menurutnya, selepas mengambil barangan berharga, semua suspek yang memakai topeng dan bersarung tangan melarikan diri menerusi pintu belakang.

"Mereka melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Perodua Kembara serta dua motosikal yang dipercayai dicuri untuk melakukan jenayah," katanya.

Johari berkata, mangsa berjaya membuka ikatan sejam kemudian sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk melaporkan kejadian.

"Kita menghantar anggota untuk melakukan siasatan terperinci dan setakat ini kita menjumpai dawai serta cap jari dipercayai milik suspek dan kemungkinan mereka masih berada dalam daerah ini.

"Justeru, kita akan melakukan sekatan jalan raya serta siasatan terperinci bagi menahan semua suspek dalam tempoh terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Cinta 13 anak

Posted: 12 Jul 2014 11:09 AM PDT

Pasir Mas: "Walaupun susah, saya dan isteri tidak akan serah zuriat kami kepada orang lain," kata Abdul Ghani Che Omar, 48, bapa kepada 13 anak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherang Tok Rong, di sini, semalam.

Abdul Ghani berkata, dia dan isterinya Azimah Musa, 38, tidak akan melepaskan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada semua anaknya berusia dua hingga 19 tahun.

Katanya, semua anaknya dianggap sebagai amanah dan rezeki daripada Allah SWT.

"Pernah ada beberapa orang, termasuk dari Kuala Lumpur, datang mahu menjadikan anak kami sebagai anak angkat dengan menawarkan rumah dan kenderaan, namun kami tolak dengan baik.

"Biarlah susah sekalipun, kami akan tetap menjaga mereka mengikut kemampuan dan jika diberi rezeki untuk tambah anak lagi, kami terima," katanya.

Menurut Abdul Ghani, untuk menyara hidup, dia membantu isterinya berniaga serunding dengan pendapatan sebanyak RM500 sebulan.

"Dulu saya berkerja sebagai tukang rumah tetapi selepas menghidap penyakit kencing manis kronik dua tahun lalu, saya tidak boleh melakukan kerja berat dan terpaksa membantu isteri berniaga serunding secara kecil-kecilan.

"Dengan pendapatan tidak seberapa, kami hanya menjalani kehidupan sederhana tidak seperti keluarga lain dan saya bersyukur semua anak memahami kesusahan dialami," katanya.

Seramai 11 daripada 13 anak Abdul Ghani masih bersekolah termasuk anak sulungnya Nornaizatul Asma, 19, yang menuntut di Politeknik di Shah Alam dalam jurusan Diploma Teknologi Berasaskan Kayu.

Abdul Ghani berkata, walaupun hidup dalam kesusahan, dia tidak pernah mengambil jalan mudah dengan meminjam wang kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

"Sayatidak akan meminjam wang daripada orang lain kerana bimbang tidak mampu membayarnya semula.

"Saya juga bersyukur kerana turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM2,000 sebagai modal untuk memulakan perniagaan," katanya.

Ditanya mengenai persiapan sambutan Aidilfitri, Abdul Ghani berkata, seperti tahun sebelum ini mereka menyambutnya secara sederhana dan belum membuat persediaan.

"Bagaimanapun, pakaian baru tetap akan disediakan kepada anak dan dibeli mengikut kemampuan," katanya.

Sesiapa yang mahu membantu boleh menghubungi Azimah di talian 0199024184.

Foto

ABDUL Ghani (dua dari kiri) melihat gelagat anaknya mencuba baju untuk persiapan Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

Air pasang besar gemparkan penduduk

Posted: 12 Jul 2014 11:07 AM PDT

Arau: "Emak balik rumah sekarang, saya takut sebab air laut masuk rumah kita," kata Muhd Yaqin Yahya, 14, ketika menghubungi ibunya Siti Halimah Ahmad, 42, apabila rumah mereka ditenggelami air sedalam 0.3 meter akibat fenomena air pasang besar di Kampung Sungai Padang, Sanglang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, rumah keluarga Muhd Yaqin antara enam kediaman di kampung itu dinaiki air berikutan terletak kira-kira 10 meter dari pantai.

Muhd Yaqin berkata, ketika kejadian, dia mengulangkaji pelajaran di rumah seorang diri sementara ibunya ke pasar di Pekan Simpang Empat.

Menurutnya, sebelum itu dia terdengar angin bertiup kencang serta ombak menghempas tebing batu di tepi pantai jam 10 pagi.

"Saya ketakutan kerana tiada sesiapa di rumah manakala air laut pula mula melimpah masuk, menyebabkan saya panik lalu menghubungi ibu kerana khuatir tidak dapat menyelamatkan barangan serta dokumen penting.

"Pada masa sama, saya hanya mampu berdoa supaya tiada kejadian buruk berlaku berikutan ini kejadian kedua tetapi tidak seteruk sebelum ini," katanya ketika ditemui di kediamannya.

Siti Halimah berkata, dia turut berdoa supaya anaknya selamat ketika fenomena itu melanda.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka anaknya bergurau, namun mengubah fikiran selepas mendapati Muhd Yaqin menangis selain terdengar bunyi ketukan kuat.

"Saya terus pulang ke rumah tanpa sempat membeli keperluan memasak juadah berbuka puasa dan bersyukur tiada perkara buruk menimpa Muhd Yaqin.

"Hanya rumah dimasuki air namun saya bimbang kerana berdasarkan pengalaman dua tahun lalu, paras air naik semula selepas surut," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Perlis Penolong Penguasa Bomba Md Azlan Jamaluddin yang mengetuai operasi ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.46 pagi sebelum dua jentera bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, tinjauan mendapati fenomena air pasang besar berlaku di sepanjang Jalan Kuala Sungai Padang ke jeti feri Kuala Perlis dan pihaknya turut membantu memindahkan perkakasan di enam rumah dimasuki air di Kampung Sungai Padang, Sanglang.

"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Kami masih memantau situasi ini selain laluan tepi pantai sepanjang 14 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Perlis hingga Kuala Sanglang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Meteorologi Perlis Mohd Khalil Abd Aziz ketika dihubungi berkata, fenomena air pasang besar yang berlaku dua kali dalam tempoh 24 jam berpunca akibat daya tarikan graviti bulan yang memberi kesan terhadap paras air laut di bumi.

"Fenomena air pasang besar biasanya berlaku apabila bulan penuh kerana ketika itu jarak antara bulan dan bumi adalah paling hampir berbanding orbit biasa, menyebabkan kesan maksimum berlaku terhadap paras air laut," katanya.

Foto

PARAS air laut meningkat kerana fenomena pasang besar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13

No comments:

Post a Comment