Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bayi 8 bulan antara 3 maut

Posted: 05 Jul 2014 04:00 PM PDT

Parit Buntar: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan antara tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 200.2, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.20 pagi, sebuah lori yang sarat membawa muatan tong gas merempuh belakang sebuah lori simen mengakibatkan pemandu lori simen berkenaan patah kaki.


Isteri pemandu lori simen berkenaan yang cedera meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Taiping manakala bayi perempuan pasangan terbabit meninggal dunia akibat tersepit.

Kelindan lori simen berkenaan juga maut selepas badannya putus dua apbila digilis sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang terbabas akibat melanggar tong gas yang bertaburan di atas jalan raya.


Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Nor Ruziany Noorzamzuri, 19, berasal dari Simpang Ampat, Pulau Pinang dan bayinya, Shahrul Zafran Mohd Sobri.


Kelindan lori simen yang mati itu pula dikenali sebagai V Sivaraja, 49.

Foto

ANTARA kenderaan yng terbabit dalam kemalangan jam 3.20 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, berdasarkan keterangan saksi, kelindan lori simen turun dari lori untuk meninjau keadaan belakang lori itu selepas kenderaan berkenaan dirempuh.


"Sivaraja bagaimanapun digilis Proton Exora yang terbabas. Kemalangan turut menyebabkan sebuah lagi MPV jenis Toyota Wish terbabas namun pemandu bersama tiga penumpang termasuk dua kanak-kanak selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

"Pemandu lori simen dan pemandu Proton Exora yang cedera ringan turut dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan. Mayat ketiga-tiga mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat," katanya.


Bagaimanapun, pemandu lori membawa muatan gas yang hanya dikenali Mohd Sobri masih tidak sedarkan diri selepas cedera parah di kaki.


"Setakat ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kami masih menunggu keterangan daripada pemandu lori membawa muatan gas untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berkaitan kemalangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

2 lelaki dibunuh, perut terburai

Posted: 05 Jul 2014 03:19 PM PDT

Butterworth: Mayat dua lelaki dipercayai warga asing yang mati ditikam, dengan seorang daripadanya dalam keadaan perut terburai, ditemui di landasan kereta api Kampung Jawa, Perai di sini, jam 9.15 pagi semalam.

Selain ditikam berkali-kali di beberapa bahagian badan, polis turut menemui kesan kelaran pada leher seorang daripada mangsa.


Mayat itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum melaporkannya kepada polis.

Sumber polis berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa berusia lingkungan 30-an dan ketika ditemui, kedudukan mayat tidak jauh antara satu dengan lain.


"Mayat pertama ada lapan kesan tikaman di dada, perut, tangan, belakang serta bahu kiri. Mangsa memakai baju biru, seluar coklat dan kasut keselamatan hitam.


"Mangsa kedua memakai kemeja coklat, seluar biru dan kasut keselamatan dikelar di leher selain ditikam di dada, rusuk manakala perutnya terburai," katanya.

Polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dari kerja di sebuah kilang ke asrama berhampiran.


Ia berdasarkan penemuan bekas makanan kosong berhampiran lokasi kedua-dua mangsa. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor mengesahkan berkaitan penemuan mayat berkenaan.

"Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat. Motif kejadian masih disiasat, begitu juga dengan identiti kedua-dua mangsa.


"Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan. Kes pula disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

Hina Nabi: CONCERN buat aduan polis

Posted: 05 Jul 2014 03:11 PM PDT

Kota Kinabalu: Tindakan seorang pemilik akaun memuat naik kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW menerusi laman sosial Facebook miliknya, mendapat reaksi Gabungan Badan Bukan Kerajaan Islam Sabah (CONCERN) apabila yang tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Pengerusinya Sainuri Yahmin menyifatkan individu menggunakan akaun 'David Orok' dianggap keterlaluan dan mampu mencetuskan ketegangan antara kaum.


"Tindakan individu bernama David ini adalah sama sekali tidak benar, palsu dan merendah-rendahkan Nabi Muhammad SAW dan menghina umat Islam di negara ini.

"Malah, dakwaan individu terbabit yang kononnya merujuk kepada al-Quran dan hadis adalah tidak benar dan bercanggah," katanya ketika ditemui.


Sainuri berkata, kenyataan David yang dimuatnaik perkara itu kira-kira jam 12.11 tengah malam, kelmarin, boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.


"Semalam (kelmarin), kami menerima pesanan menerusi laman sosial WhatsApp menunjukkan gambar keratan kenyataan David.

"Enggan menuduh membuta tuli, kami terus memeriksa akaun Facebook milik individu ini dan terbukti ia adalah benar," katanya.


Katanya, CONCERN membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan undang-undang dikenakan sebagai pengajaran kepada pelakunya.

"Siasatan segera perlu dilakukan kerana tindakannya boleh mencetuskan pergaduhan dan perselisihan faham antara masyarakat.


"Memang setiap penduduk di negara ini mempunyai hak bersuara, namun bukan dengan cara yang menyentuh sensitiviti orang berlainan agama," katanya.


Harian Metro difahamkan, David adalah anggota Parti Reformasi Negeri (STAR) dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.


Terdahulu, CONCERN dianggotai 15 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah dan Persatuan Peguam Muslim Sabah.


Sementara itu, kenyataan biadab dimuat naik individu berkenaan turut mendapat perhatian Pergerakan Pemuda UMNO Putatan apabila turut tampil membuat laporan polis.


Ketua Pemuda UMNO Putatan Ir Shahelmey Yahya berkata, tindakan individu itu dikhuatiri akan mencetus perbalahan antara kaum dan agama di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

Kantoi tinggal anak pergi berjudi

Posted: 05 Jul 2014 03:10 PM PDT

Alor Setar: Sepasang suami isteri beragama Islam bukan saja tidak menghormati Ramadan malah sanggup meninggalkan dua anak mereka di rumah semata-mata mahu melepaskan gian bermain judi di sebuah premis judi yang beroperasi di sebuah inap desa di Taman Sri Indah Fasa 4, Lebuh Raya Sultanah Bahiyah di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 1 pagi, sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah diketuai Inspektor Mohd Nasrul Faiz Suaid menyerbu premis judi yang beroperasi secara haram hasil maklumat awam dan risikan.


Lelaki terbabit yang berasal dari Puchong, Selangor manakala isterinya yang berasal dari daerah ini, masing-masing berusia 30-an, ditahan ketika leka bermain mesin yang berunsurkan perjudian pada Ops Dadu.

Pegawai Turus D7 IPK Kedah Asisten Superintendan Mohd Fauzi Yusof berkata, pasangan suami isteri terbabit yang mempunyai tiga anak menyewa sebuah daripada bilik di inap desa berkenaan.


"Dua daripada bilik di inap desa berkenaan itu pula disewa sindiket perjudian. Ketika serbuan, kami dapati 10 pelanggan berusia 19 hingga 30-an sedang leka bermain mesin judi.


"Kami menahan pasangan suami isteri berkenaan dan semakan mendapati lelaki itu pernah ditahan sebelum ini kerana terbabit dalam aktiviti perjudian," katanya.

Menurut beliau, pihaknya merampas seunit komputer kawalan utama, 16 komputer, satu unit jalur lebar dan wang tunai RM54.


Mohd Fauzi berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk diambil keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

Tak sempat melaram baju raya

Posted: 05 Jul 2014 03:10 PM PDT

Jempol: Hasrat seorang lelaki mengambil baju Melayu yang siap dijahit untuk dipakai pada Aidilfitri nanti, tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan, petang kelmarin.

Mohamad Abu Talha Mohamad Ardani, 25, dari FELDA Lui Barat maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Kilometer (KM) 22 Jalan Bahau-Keratong dekat Ladang Geddes, di sini, pada jam 5 petang.

Bapa mangsa, Mohamad Ardani Ngadimon, 55, berkata, anaknya yang bertugas sebagai kakitangan FELDA di FELDA Palong 10 dalam perjalanan pulang ke rumah untuk bercuti hujung minggu.

Katanya, anak keempat daripada sembilan beradik itu mahu mengambil baju Melayu yang ditempah di sebuah kedai jahit di kampungnya.


"Kami sekeluarga menempah baju Melayu dan baju kurung warna sedondon, tetapi baju Melayu arwah siap dulu.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

No comments:

Post a Comment