Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Belum dapat ilham'

Posted: 07 Jul 2014 11:28 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih kebangsaan Dollah Salleh mengakui beliau belum mendapat 'ilham' untuk melantik barisan staf kejurulatihan walaupun menyedari masa semakin suntuk untuk melakukan persiapan pasukannya.

Pengendali baru skuad Harimau Malaya itu mula melaporkan diri di Wisma FAM, semalam selepas menandatangani kontrak dua tahun yang ditawarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Selasa lalu.

Cabaran menduduki kerusi panas itu sudah mula dirasai bekas penyerang kebangsaan berusia 50 tahun itu apabila beliau hingga kini masih tercari-cari staf kejurulatihan termasuk penolong jurulatih dan pada masa sama masih membantu latihan pasukan lamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Hari ini (semalam) saya melaporkan diri dan belum memilih panel jurulatih. Setakat ini juga saya masih membantu latihan PDRM dalam bulan puasa ini. Tapi dalam masa terdekat, saya juga mahu menguruskan pasukan kebangsaan dan mencari penolong jurulatih," kata Dollah ketika ditemui Arena Metro semalam.

Foto

DOLLAH (kanan) bersalam dengan Setiausaha Agong FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Foto

DOLLAH masih menunggu jawapan Khairul Azman.


Tambahnya, jika boleh beliau mahu membawa staf kejurulatihan yang bersamanya di PDRM, namun itu tidak boleh dilakukan kerana ia bakal menyulitkan situasi pasukan juara Liga Perdana itu.


"Tidak ada lagi (calon pembantu), saya kabur sekarang. Saya nak kena cari individu seperti Azman Adnan (jurulatih PDRM), Fauzi Pilus (penolong ketua jurulatih PDRM), Abdul Mubin Mokhtar (penolong pengurus PDRM) yang boleh membantu saya. Susah nak dapat orang yang faham dengan kerenah dan kerja saya.

"Saya tidak boleh bawa mereka (menyertai skuad kebangsaan) kerana kalau saya bawa, seperti saya memusnahkan pasukan PDRM," kata Dollah yang berharap dapat mencari penolong jurulatih dalam tempoh seminggu ini.

Bagaimanapun beliau mengesahkan cuba memancing bekas penjaga gol kebangsaan Khairul Azman Mohamed yang kini berkhidmat dengan Johor Darul Ta'zim II, namun hingga kini masih belum mendapat kata putus.

"Memang Khairul salah seorang jurulatih penjaga gol yang saya mahukan. Saya sudah berbincang dengannya, tapi beliau meminta pelepasan daripada JDT II dan saya kena tunggulah," jelasnya.

Dollah yang dilantik bagi menggantikan Datuk K Rajagobal selepas tamat kontrak pada 31 Disember lalu kini mempunyai masa kurang lima bulan untuk mempersiapkan pasukan bagi mengharungi kejohanan Piala AFF pada November.

Sebelum ke kejohanan itu, beliau terlebih dulu bakal menguji pasukannya dalam beberapa siri aksi persahabatan iaitu menentang Tajikistan pada 6 Ogos, Singapura (6 September) dan Jordan (11 Oktober).

"Saya belum membuat sebarang perancangan. Saya tak tahu siapa (pemain) yang saya nak panggil. Perlawanan persahabatan dengan Tajikistan sudah dirancang lebih awal dan saya cuma boleh kumpul pemain dalam tempoh 3-4 hari saja. Jangan harapkan keajaiban, saya cuma akan buat yang terbaik kerana dalam masa yang singkat memang sukar tapi tidak mustahil," kata Dollah yang memenangi kesemua gelaran di peringkat domestik kecuali Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

'Saya tak cakap kosong'

Posted: 07 Jul 2014 11:23 AM PDT

Kuala Lumpur: Naib Presiden 1 Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (PESTAK) Aiman Mohd Noor menegaskan pihaknya tidak bercakap kosong apabila mendakwa pemilihan pucuk pimpinan badan induk negeri itu yang berlangsung pertengahan bulan lalu, tidak sah.

Malah beliau bersedia menghantar bukti kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dalam masa terdekat bagi mengesahkan dakwaan itu.

Aiman berkata, sepucuk surat sudah dihantar ke PPS bulan lalu meminta mereka menyiasat perkara itu dan menjadi orang tengah.

"Selepas pihak yang satu lagi mengadakan pemilihan, kami turut mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan situasi yang melanda PESTAK.

Hasilnya sepucuk surat dihantar kepada PPS bagi memaklumkan perkembangan yang berlaku.

"Namun selepas ini, kami akan menghantar pula bukti kepada PPS bahawa saya dan beberapa ahli jawatankuasa PESTAK yang lain tidak menerima surat panggilan untuk mesyuarat," katanya menepis dakwaan Setiausaha Agong PESTAK, Syed Husin Syen Abu Bakar yang mengatakan semua ahli gabungan sudah dimaklumkan mengenai mesyuarat pemilihan berkenaan.

Sambil mendakwa tujuh atau lapan ahli jawatankuasa PESTAK yang tidak mengetahui mengenai pemilihan pucuk pimpinan baru yang berlangsung bulan lalu, Aiman berkata, pihaknya kini menyediakan bukti berkenaan dan akan dihantar selewat-lewatnya minggu depan.

Perkembangan berkenaan menyebabkan Aiman didakwa kehilangan jawatannya di PESTAK sekali gus kedudukannya sebagai Ahli Majlis PSM turut digugurkan badan induk sepak takraw negara itu.

PESTAK kini dilihat mempunyai dua jawatankuasa bagi mengendalikan persatuan berkenaan sekali gus menimbulkan kekeliruan terutamanya menjelang pucuk pemilihan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang semakin hampir.

Presiden Presiden Kelab Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepak Takraw Malaysia, Rommi Suhendra Norsal menerusi laporan Arena Metro semalam menggesa PSM dan PPS bertindak segera bagi meleraikan kekusutan yang melanda PESTAK agar imej sepak takraw negara tidak terus tercemar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Ujian Tok Gajah

Posted: 07 Jul 2014 11:22 AM PDT

Kuantan: Seramai 24 pemain Pahang akan diberi peluang untuk beraksi pada perlawanan persahabatan bertemu kelab Indonesia, Persija di Stadium Darul Makmur, 19 Julai ini.

Berdasarkan perancangan pengendali Zainal Aibidin Hassan, semua pemain akan diberi peluang memberi tentangan kepada Persija yang dibarisi pemain terbaik Liga Indonesia.

Justeru, bekas pemain kebangsaan itu mahu pemain memanfaatkan sepenuhnya peluang terutama bertemu kelab bertaraf antarabangsa itu yang diharap membantu meningkatkan kualiti permainan semua pemain.

"Bagi saya, peluang keemasan ini perlu digunakan sepenuhnya buat semua pemain untuk membentuk keserasian manakala kelemahan yang ada dapat diperbaiki menjelang saingan Piala Malaysia nanti.

"Aksi persahabatan ini juga antara sebahagian persediaan Pahang untuk mempertahankan Piala Malaysia termasuk menajamkan jentera serangan serta mengukuhkan bahagian tengah dan pertahanan.

"Oleh itu, saya harap semua pemain bersedia untuk berdepan pemain Persija yang memiliki barisan mantap," katanya.

Zainal Abidin juga me ngesahkan beberapa pasukan yang beraksi dalam saingan Piala Malaysia akan menjadi pilihan Pahang untuk bertemu pada aksi persahabatan.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya masih lagi mengadakan perbincangan dan ber harap aksi persahabatan itu dapat diadakan bagi menilai prestasi semasa pemain.

"Dengan mengadakan perlawanan persahabatan dan memberi tumpuan terhadap kecergasan pemain, saya percaya Piala Malaysia akan kekal bersama Pahang," katanya.

Foto

PEMAIN Pahang, G Gopinathan (tengah) antara tonggak pertahan Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Centro Properties anjur larian dalam bangunan

Posted: 07 Jul 2014 11:20 AM PDT

Klang: Centro Properties Group Sdn Bhd menganjurkan larian dalam bangunan yang bakal mencabar mental dan fizikal peserta kerana ia turut membabitkan acara berlumba menaiki tangga bangunan tertinggi di daerah ini.

Bermula di Centro Mall hingga ke bangunan pejabat Centro, dekat sini, larian dikenali 'Larian Menara Centro' (Centro Tower Run) itu akan diadakan pada 23 Ogos ini dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang sekali gus menjadi larian menara pertama diadakan di Selangor.

Pengurus Besar Centro Properties Group Sdn Bhd, Jerry Miranda (gambar) berkata, Larian Menara Centro akan menjadi acara bersama Larian Centro Klang 2014 yang akan diadakan buat kali keenam pada 24 Ogos ini.

Katanya, dalam larian itu, peserta perlu menamatkan larian menaiki 567 anak tangga (90.72 meter) di bangunan setinggi 31 tingkat itu, membabitkan kawasan pusat beli-belah Centro, kawasan pejabat dan juga pangsapuri.

"Penyertaan terhad kepada 500 peserta dan mereka yang berjaya menamatkan larian dalam masa ditetapkan, akan diberi keistimewaan merakam kenangan di puncak bangunan tertinggi Klang ini, selama lima minit.

"Lima pemenang utama akan menerima hadiah trofi, baucar alatan sukan jenama K-Swiss serta baucar makanan Klang Ho Chiak dan Dubu-Dubu.

"Penyertaan awal juga akan menerima potongan harga bagi yuran penyertaan sebanyak RM5 serta baucar RM10 sempena pembukaan gerai makanan Klang Ho Chiak di aras dua, pusat beli-belah Centro.

Tarikh tutup penyertaan hingga 31 Mei ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Sri Mersing cemerlang

Posted: 07 Jul 2014 11:20 AM PDT

Mersing: Selepas mengungguli Kejohanan Bola Sepak Bawah 15 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Mersing sebelum ini, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mersing (SMKSM) muncul pula juara kategori bawah 18 tahun.

Kejuaraan berganda itu dicapai selepas sekolah itu menumpaskan SMK Mersing, 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Mersing.

Dua pemain sekolah berkenaan, Mohammad Khairul Azwa Ammajud, 16, dinobat penjaga gol terbaik perlawanan akhir dan Shahlin Abdil Rahim, 16, sebagai pemain terbaik kejohanan.

Jurulatih SMKSM Rosli Ngadiman berkata, kejayaan yang dicatatkan itu hasil latihan dijalankan selama dua minggu sebelum kejohanan bermula.

Menurutnya, dia mendapat kerjasama dengan semua pihak termasuk pentadbir, guru, ibu bapa dan pemain yang terpilih menyertai kejohanan sejak bermula latihan.

"Kejayaan kami lebih manis apabila dua pemain kami dinobat sebagai penjaga gol terbaik perlawanan akhir dan juga pemain terbaik kejohanan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Teknik Bolasepak (Menengah) MSSD Mersing Amzah Ismail berkata, seramai 20 pemain berbakat pada kejohanan itu dipanggil untuk latihan pusat mewakili daerah.

Menurutnya, beberapa panel pemilih dilantik untuk menilai pemain sepanjang kejohanan bagi diserapkan ke pasukan daerah.

"Seramai 18 pemain akan dipilih mewakili MSSD Mersing ke Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Johor (MSSJ) tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, penjaring gol tunggal perlawanan akhir itu, Muhamad Nazman Mansuri, 17, berkata dia gembira kerana dapat membantu sekolahnya muncul juara kejohanan.

Menurutnya, dia gembira kerana berjaya menjaringkan gol kemenangan sekolahnya dalam perlawanan akhir itu.

"Saya berjanji sekiranya terpilih mewakili MSSD Mersing ke peringkat negeri nanti, saya akan bermain dengan penuh semangat dan memberikan aksi terbaik," katanya.

Pada kejohanan itu, SMK Tenggaroh A terpaksa berpuas hati di tempat ketiga selepas mengalahkan SMK Anjung Batu, 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

MAKSAK NS puas tempat ketiga

Posted: 07 Jul 2014 11:19 AM PDT

Seremban: Pasukan Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota Kerajaan (MAKSAK) Negeri Sembilan tetap bangga biarpun sekadar menduduki tempat ketiga Kejohanan Golf MAKSAK kebangsaan 2014 di Kelab Golf Bangi Selangor, baru-baru ini.

Kejayaan itu pencapaian terbaik pasukan sejak menyertai kejohanan tahunan itu.

Gandingan Datuk Johani Hassan, Kapten Azizul Alias, Shamsul Sulaiman dan Zamri Zakaria, berjaya mempamerkan persembahan mantap untuk memberikan saingan kepada pasukan negeri lain.

Pengurus pasukan Shafie Mohd Noor berkata, kejayaan itu satu sejarah kerana pasukan Negeri Sembilan tidak pernah menduduki tiga tempat terbaik sepanjang menyertai kejohanan berkenaan lebih 10 tahun lalu.

Katanya, hasil perancangan rapi sejak Mac lalu di bawah pimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mat Ali Hassan serta pemilihan pemain membabitkan hampir 160 orang kakitangan awam seluruh negeri, membuahkan hasil membanggakan.

"Malah, latihan intensif turut dijalankan setiap hujung minggu di Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) bagi memantapkan persembahan pemain dan akhirnya berjaya membantu meningkatkan keyakinan mereka.

"Biarpun saingan tampak sengit, tapi hasil prestasi meyakinkan, pasukan Negeri Sembilan berjaya mengumpul keseluruhan 248 mata," katanya.

Sementara itu, Mat Ali yang beraksi bagi kategori VIP menduduki tempat ketujuh manakala Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid menduduki tempat ketiga.

Mat Ali berpuas hati dengan pencapaian pasukan Negeri Sembilan dan berharap mereka meneruskan aksi mantap itu dalam kejohanan lain selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Djokovic masih belum tenang

Posted: 07 Jul 2014 11:18 AM PDT

London: Novak Djokovic mengakui bimbang tidak mampu memenangi kejuaraan Grand Slam lagi, namun dengan kejuaraan Wimbledon kedua berjaya dilengkapkan, pemain baru nombor satu dunia itu kini merancang mengejar Roger Federer dan Rafael Nadal.

Pemain Serbia berusia 27 tahun itu menundukkan Federer 6-7 (7/9), 6-4, 7-6 (7/4), 5-7, 6-4 pada perlawanan akhir kelmarin sekali gus menokok kejuaraannya di Kelab All England pada 2011 dan merangkul kejuaraan utama ketujuh.

Namun dia masih jauh ketinggalan berbanding pemain Switzerland dan Sepanyol itu dari segi kejuaraan Grand Slam dengan Federer mengumpul 17 manakala kejayaan Nadal melakar kemenangan Terbuka Perancis kesembilan bulan lalu membolehkannya mengutip 14 kejuaraan utama.

Berikutnya buat Djokovic adalah Terbuka AS hujung bulan depan yang dimenangi pada 2011, namun sekadar naib juara empat kali pada 2007, 2010, 2012 dan 2013.

Ia bagaikan satu sumpahan apabila Djokovic kalah semua tiga perlawanan akhir Grand Slam terakhir disertainya dan lima daripada enam final.

"Ini final Grand Slam paling istimewa buat saya.

Pada saat ini dalam karier saya, kejayaan menjulang trofi Grand Slam ini amat genting terutamanya selepas kalah beberapa final Grand Slam berturut-turut," ujarnya.

"Saya mula meragui kemampuan sendiri dan kemenangan ini amat diperlukan.

"Saya cuba menggunakan cara terbaik dan meningkatkan keyakinan bagi baki musim ini dan karier saya." Keyakinan berikutan kemenangan epik kelmarin, yang hampir terlepas daripada genggamannya apabila mensia-siakan pendahuluan 5-2 pada set keempat dan kemudian mata penamat, mungkin menjadi pemangkin bagi merangkul lebih banyak kejuaraan utama di bawah bimbingan jurulatih Boris Becker.

Khidmat juara Wimbledon tiga kali itu digunakan sejak Disember lalu dalam usaha membantu Djokovic menghadapi cabaran pada kejuaraan utama.- AFP

Foto

DJOKOVIC mempamerkan trofi kejuaraan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Persediaan terbaik Cabrera

Posted: 07 Jul 2014 11:16 AM PDT

White Sulphur Springs, AS: Bekas juara Masters AS, Angel Cabrera memenangi kejohanan bukan kejuaraan utama kali pertama di bumi Amerika Syarikat (AS), semalam apabila merakam enam bawah par 64 sebelum menjuarai kejohanan Klasik Greenbrier dengan kelebihan dua pukulan.

Pemain Argentina berusia 44 tahun itu menolak masuk par pada lubang ke-18 untuk berakhir dengan 16 bawah par 264 dan mengatasi naib juara, George McNeill pada kejohanan bernilai AS$6.5 juta (RM20.7 juta) dalam Jelajah PGA AS itu.

Cabrera, pemenang dua kejuaraan utama, merangkul kemenangan pertama sejak menjuarai Masters AS 2009.

Kejuaraan utama sulungnya adalah Terbuka AS 2007.

"Saya amat gembira kerana menang," jelas Cabrera.

"Saya bekerja terlalu keras dan memang amat memerlukan kemenangan ini.

"Saya melakukan pukulan dengan mantap dan berjaya menguasai permainan.


Kerja keras saya sejak beberapa minggu lalu berbaloi." Pemain AS, McNeill melakar catatan sepusingan terbaik dengan sembilan bawah par 61 untuk berakhir dengan 14 bawah par.

McNeill juga salah seorang daripada empat pemain yang berjaya layak ke Terbuka British minggu depan.

Cabrera mempunyai reputasi bertindak baik pada kejuaraan utama namun tidak dalam acara Jelajah PGA AS.


Dia kecewa selepas kecundang pada penentuan play-off di tangan pemain Australia, Adam Scott pada Masters tahun lalu.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Vidal sasaran United

Posted: 07 Jul 2014 11:03 AM PDT

London: Manchester United sedia menguji Juventus dengan tawaran pembukaan £30 juta (RM163.7 juta) bagi pemain tengah, Arturo Vidal.

Vidal menjadi sasaran utama pengurus baru Louis van Gaal selepas memastikan khidmat Ander Herrera dengan bayaran £28.4 juta (RM155 juta) dari Athletic Bilbao.

United masih belum membuat tawaran rasmi kepada Juventus, tetapi dipercayai sudah membuat pertanyaan sama ada pemain Chile yang menyerlah di Piala Dunia Brazil sedia untuk berpindah.

United difahamkan teruja dengan isyarat diterima dari kem Vidal dengan peluang perpindahan tampak cerah pada musim panas ini.

Foto

VIDAL dalam radar United.


Juventus menilai Vidal untuk harga £40 juta (RM218.3 juta), tetapi United menaruh harapan tawaran £30 juta (RM163.7 juta) termasuk pemain sayap Portugal, Nani sebagai pertukaran dapat memujuk kelab Itali itu.


Patrice Evra turut menjadi sasaran Juventus, namun United keberatan melepaskan pemain Perancis itu kerana pengalaman dan pengaruhnya di bilik persalinan.

Vidal berada dalam radar United sejak David Moyes mula mencari pasaran untuk menguatkan jentera tengah pada awal tahun dan tawaran United sekali lagi diketepikan Juventus apabila mereka membuat pertanyaan pada musim bunga.

Bagaimanapun Vidal yang menjaringkan 31 gol dalam tempoh dua musim terakhir untuk Juventus, dikatakan sedia untuk berpindah dengan Van Gaal dikatakan sebagai peminatnya kerana cuba mendapatkan pemain Chile itu untuk Bayern Munich daripada Bayer Leverkusen beberapa tahun lalu.-Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

Arsenal setuju harga Sanchez

Posted: 07 Jul 2014 11:01 AM PDT

London: Arsenal secara dasarnya bersetuju dengan harga £34 juta (RM185.6 juta) untuk penyerang antarabangsa Chile, Alexis Sanchez tetapi Barcelona masih menunggu sama ada Juventus boleh menyaingi tawaran berkenaan.

Sanchez sebelum ini memberi gambaran tidak mahu menyertai Liverpool dengan usaha memujuknya menemui jalan buntu walaupun Brendan Rodgers sedia berjumpa pemain itu.
Keengganannya bermakna mereka akan berurusan dengan tunai terus untuk Luis Suarez dari Barcelona.


Manchester City turut menunjukkan minat mereka dengan penyerang Alvaro Negredo menekankan ingin kembali ke Sepanyol.

Liverpool turut membuat tawaran £19.8 juta (RM108.1 juta) untuk bintang Benfica, Lazar Markovic dan rundingan dijalankan dengan wakil penyerang Lille, Divock Origi di Brazil.

Juventus yang menghadapi masalah kewangan pula mahu mengadakan rundingan dengan Paris St Germain dan Manchester City untuk menjual Paul Pogba.

Rakan Pogba di bahagian tengah, Arturo Vidal pula kekal menjadi sasaran Manchester United, tetapi mereka belum lagi mengemukakan tawaran. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

No comments:

Post a Comment