Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Sasaran terjejas

Posted: 15 Jul 2014 11:37 AM PDT

Kuala Lumpur: Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diletakkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kepada skuad hoki kebangsaan dengan membawa pulang kilauan emas pada Sukan Asia Incheon September ini, kelihatan agak sukar apabila penyerang sensasi negara Faizal Saari dilapor ingin bersara dari arena antarabangsa.

Bagi ketua jurulatih negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tindakan pemain berusia 23 tahun itu yang mengumumkan persaraan Ahad lalu, akan merugikan negara kerana kelebihan dimiliki Faizal menerusi pukulan derasnya amat ditagih.

"Faizal umpama Lionel Messi yang bermain untuk Argentina. Keupayaan sentuhan pemusnah, kehebatan larian solo dan kepakaran menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti menjadikan dia pemain serba boleh.

"Dia pemain lengkap dan antara yang paling berbakat pernah dilahirkan negara, sekiranya dia tetap dengan pendiriannya ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada usaha meraih emas di Sukan Asia.

Foto

FAIZAL (tengah) umum persaraan, Ahad lalu.


"Saya harap dia mempertimbangkan kembali niatnya itu. Kalau boleh saya mahu dia kembali dan memberi komitmen 100 peratus kerana dia masih muda dan boleh memberi sumbangan kepada pasukan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.


Menerusi pendedahan Arena Metro sebelum ini, Faizal memuat naik gambar surat persaraan ke laman akaun Instagram miliknya sebelum memadam gambar itu.

Alasan yang diberikan pemain kelahiran Kuala Terengganu itu adalah kerana tidak puas hati dengan agihan imbuhan diberikan MHC sebelum ini.

Sementara itu, Dhaarma Raj mengakui kehadiran semula Azlan Misron dalam pasukan adalah suatu perkembangan positif menjelang temasya Sukan Asia.

"Dengan kehadiran semula Azlan dalam latihan, ia memberikan saya banyak pilihan menyusun strategi paling ampuh bagi menghadapi saingan Sukan Asia. Di samping itu, dia antara pemain paling berpengalaman yang boleh membimbing pemain lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

MHC beri amaran keras

Posted: 15 Jul 2014 11:27 AM PDT

Kuala Lumpur: Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang! Itu perumpamaan paling sesuai digambarkan mengenai suasana kecoh menyelubungi kem hoki negara apabila dilaporkan ada beberapa pemain berani bermain tarik-tali dalam isu persaraan.

Bermula dengan tindakan bekas kapten pasukan Piala Dunia di The Hague, Belanda, Azlan Misron secara tiba-tiba mengumumkan penarikan diri daripada mewakili skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, namun tidak sampai seminggu dia membuat pusingan 'U' dengan mengumumkan ingin kembali ke pangkuan pasukan negara.

Terbaru penyerang sensasi negara, Faizal Saari pula menyatakan hasratnya untuk berundur dengan alasan tidak puas hati dengan agihan imbuhan diberikan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Berdasarkan dua situasi panas itu, Timbalan Presiden MHC Datuk Nur Azmi Ahmad tampil memberi amaran keras kepada mana-mana pemain yang sengaja menimbulkan keadaan kelam-kabut di saat pasukan negara bersiap sedia menghadapi Sukan Asia Incheon dengan buruan kilauan emas menjadi idaman.


"Kami akan mengadakan pertemuan dengan Faizal esok (hari ini) untuk mendapatkan kepastian mengenai tindakannya itu, lebih-lebih lagi isu imbuhan kepada pasukan.


"Saya rasa pelik dengan apa yang berlaku, sejak MHC di bawah kepimpinan Tuanku Presiden (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) kebajikan setiap pemain dijaga dengan baik.

"Kepada semua pemain jangan sesuka hati buat perkara seperti ini. Pikullah amanah dan tugas yang diberikan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

7 emas tak cukup

Posted: 15 Jul 2014 11:26 AM PDT

Kuala Lumpur: Ahli Panel Penasihat Sukan (PPS) Datuk Wira Mazlan Ahmad terus mempersoalkan sasaran tujuh pingat emas kontinjen negara ke Sukan Komanwel Glasgow bermula minggu depan, lebih-lebih lagi dengan peruntukan khusus RM15 juta yang diumumkan kerajaan menerusi Bajet 2013.

"Semua perkara dalam sukan, peminat mengharapkan peningkatan. Ia seperti ekonomi negara dengan semua pihak mengharapkan peningkatan. Pada saya sekurang-kurangnya 10 pingat emas seharusnya menjadi buruan kontinjen negara, bukannya tujuh.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sebagai Menteri Kewangan pada pembentangan bajet dua tahun lalu memperuntukkan RM15 juta sebagai persiapan menghadapi beberapa temasya sukan termasuk Sukan Komanwel 2014.

"Jelas peruntukan yang disalurkan mencerminkan harapan rakyat," kata bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu.

Foto

ZOLKPLES guna alasan Chong Wei cedera untuk kurangkan sasaran.


Selain Sukan Komanwel, peruntukan itu juga bagi mempersiapkan atlet negara ke Sukan SEA 2013 di Myanmar, Sukan Para Asean 2013 (Myanmar) dan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan hujung tahun ini.


Jelasnya bukan beliau saja yang tidak senang dengan sasaran tujuh pingat emas itu, namun ada pihak lain yang turut berkongsi pandangan sama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong yang bangkit mempertahankan sasaran tujuh pingat emas, pengurangan lima pingat emas berbanding pencapaian empat tahun lalu di New Delhi, India.

Zolkples menjelaskan ada beberapa faktor perlu diambil kira dalam memutuskan sasaran itu seperti kecederaan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan kekuatan atlet tuan rumah.

Mazlan yang pernah mengetuai MSN dari 1993 hingga 2005 turut mempersoalkan tindakan Zolkples yang membandingkan pencapaian kontinjen negara pada temasya lain.

"Saya hanya memberi pandangan mengenai Sukan Komanwel saja. Ini kerana kita pernah menjadi tuan rumah pada 1998 dan rakyat Malaysia lebih banyak mengetahui dan mengikuti rapat temasya ini berbanding Asia dan Olimpik.

"Benar beliau menyatakan pada 2008, kontinjen negara meraih tujuh emas di Manchester berbanding 10 emas di Kuala Lumpur pada 1998 namun ia hanya kekurangan tiga emas bukannya hingga lima emas seperti yang disasarkan di Glasgow kali ini. Saya sudah bersara selama sembilan tahun dan beranggapan keadaan lebih baik berbanding dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Pengalaman Sea Keong jadi azimat

Posted: 15 Jul 2014 11:23 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengalaman berlatih dan beraksi di Eropah sejak awal tahun ini menjadi bekalan buat pelumba kebangsaan, Loh Sea Keong untuk menyerlah dalam acara lebuh rayapada temasya Sukan Komanwel 2014 Glasgow.

Pelumba yang mewakili pasukan ProTeam, Giant-Shimano itu mengakui persiapannya untuk temasya empat tahun sekali itu dilakukan selama tiga minggu di bawah pemerhatian penolong jurulatih pasukan trek kebangsaan Harnizam Basri dan Graham Seers.

"Bagi Sukan Komanwel ini, saya mengambil cuti sejak akhir bulan lalu, sebelum meneruskan latihan lanjutan di Chiang Mai lebih dua minggu untuk mencari rentak kayuhan," katanya.

Jelas pelumba kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu, bebanan memang amat berat buatnya, namun dia akan menggunakan segala pengalaman termasuk ketika beraksi cemerlang pada Sukan SEA 2013 Myanmar.

"Latihan akan diteruskan di Glasgow selama 10 hari, saya harap dapat melakukan kayuhan seperti di Myanmar tahun lalu dan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) awal bulan lalu.

"Bagaimanapun di Sukan Komanwel, saya akan berdepan beberapa pelumba ternama dari England, Republik Ireland, Scotland, Australia, Afrika Selatan, Kanada dan Hong Kong," kata juara Jelajah Malaysia 2013 itu.

Sea Keong akan bergandingan dengan seorang lagi pelumba kebangsaan, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi pada saingan dijadulan berlangsung 3 Ogos.

Perlumbaan itu akan diadakan di pusat bandar Glasgow dan North Lanarkshire dengan permulaan serta penamat diadakan di Glasgow Green.

Pada Sukan SEA tahun lalu, Sea Keong menduduki tempat keempat walaupun pada satu ketika berada di kedudukan terbaik untuk meraih pingat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Peluang bakat muda pamer kemampuan

Posted: 15 Jul 2014 11:22 AM PDT

Kuala Lumpur: Tempoh permohonan bagi Piala Bakat Shell Advance Asia 2015 akan dibuka tidak lama lagi dan pelumba muda berbakat dijemput membuat permohonan termasuk calon dari Australia dan New Zealand.

Calon pelumba dari Asia, Australia dan New Zealand boleh mula memohon dari 1 Ogos hingga 5 September ini.

Piala Bakat Shell Advance Asia pertandingan pembangunan remaja yang dilancarkan tahun ini bagi menjadi siri perlumbaan sokongan kepada kejuaraan motosikal dunia.

Dianjurkan Dorna, penganjur Kejuaraan MotoGP Dunia dan Kejuaraan Superbike Dunia, selain penganjur bersama Piala Rookie MotoGP Red Bull, pertandingan itu memberi peluang pelumba muda berbakat rantau ini untuk mempamerkan taring.

"Piala Bakat Shell Advance Asia julung kali diadakan tahun ini memberi peluang kepada beberapa pelumba berbakat mempamerkan aksi.

Kami gembira mengembangkan pertandingan 2015 dengan membuka penyertaan pelumba dari Australia dan New Zealand," kata ketua pegawai eksekutif Dorna Sports Carmelo Ezpeleta.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Atlet kanu Terengganu bantu tabung Palestin

Posted: 15 Jul 2014 11:22 AM PDT

Kuala Terengganu: Atlet kanu Terengganu, Nor Azita Ibrahim yang menerima insentif terbanyak daripada kerajaan negeri susulan kejayaan Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis, berhasrat menyumbang sebahagian daripadanya kepada tabung membantu rakyat Palestin.

Nor Azita menerima RM36,000 selepas meraih tujuh emas pada temasya itu.

Turut menerima insentif itu, dua adiknya Nor Azira dan Noor Saibah Syahida dengan jumlah keseluruhan diterima tiga beradik itu mencecah hampir RM100,000.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebelum ini mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM1.58 juta sebagai insentif kepada atlet negeri yang merangkul kejayaan pada SUKMA Perlis Mei lalu.


Terengganu muncul naib juara SUKMA dengan 137 pingat iaitu 51 emas, 55 perak dan 31 gangsa.


Atlet kanu saja menyumbang sembilan emas. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Bicara Shebby: Piala Dunia 2014 terap taktikal penyerang

Posted: 15 Jul 2014 11:17 AM PDT

Kejuaraan dunia yang menjadi milik Jerman tidak boleh dipertikaikan kerana pasukan ini mempamerkan aksi konsisten sejak perlawanan pertama hingga ke perlawanan akhir.

Jerman sebuah pasukan yang mementingkan corak permainan berpasukan tanpa menyekat kehebatan individu pemain.

Pada Piala Dunia kali ini, ada beberapa pemain yang memperagakan prestasi bertaraf dunia. Pilihan saya berdasarkan prestasi serta posisi adalah seperti berikut.

Penjaga gol mempunyai tugas serta tanggungjawab yang tertentu, tetapi pilihan Manuel Neuer sebagai penjaga gawang saya terbatas kepada prestasi sebagai penjaga gol serta pemain pertahanan.


Neuer paling selesa apabila beraksi sebagai pemain pertahanan dengan ketenangan memiliki bola.


Di posisi bek kanan, kapten Jerman Philip Lahm sekali lagi beraksi bertaraf dunia melakukan pertahanan serta menyerang.

Walaupun memulakan aksi Piala Dunia sebagai pemain tengah, dia mengekalkan prestasi bek kanan terbaik di dunia sejak 10 tahun lalu.

Pilihan Marcos Rojo sebagai bek kiri mungkin akan menjadi buah mulut ramai, tetapi pemain ini melakukan tugas dengan sempurna.

Pemain ini mungkin tidak akan menjadi 'pin-up boy', tetapi dia tenang serta berkebolehan di kotak penalti lawan.

Di bahagian bek tengah pula, kita selalu mencari pasangan yang selesa dengan persefahaman jitu dan di sinilah gandingan Mats Hummels yang lasak serta Jerome Boateng yang bijak membaca gerak lawan menjadi tonggak Jerman.

Bayangkan sekiranya Javier Mascherano, Bastian Schweinsteiger serta Sami Khedira berpasangan di bahagian tengah.

Segala-galanya cukup dengan kehadiran tiga pemain bertaraf dunia. Mascherano sebagai komander di bahagian 'defensive third' manakala Schweinsteiger sebagai general di 'middle third' dengan Khedira menjadi penghubung antara 'middle third' dan 'attacking third'.

Tiga pemain yang menjadi asas kejayaan pasukan serta membawa penggalak teristimewa.

Pasukan pilihan ini mencorakkan sistem 4-3-3 dan barisan serangan diketuai Lionel Messi. Messi sudah berubah menjadi penggerak utama pasukan Argentina dan mempamerkan prestasi yang begitu tinggi namun corak permainan Argentina menyekat kebolehannya.

Sistem permainan sempit Argentina tidak memberi ruang kepada Messi melakukan gelecekan atau membuat hantaran ke sayap selepas menarik perhatian pemain pertahanan ke tengah.

Contohnya, hanya pada aksi menentang Belgium, Messi dapat mengumpan bola ke arah Angel di Maria untuk melakukan jaringan.

Penyerang Jerman, Thomas Mueller begitu menyengat beraksi di mana juga posisi serangan dan kebolehan melakukan penyudah memberi kelebihan pemain ini.

James Rodriguez adalah pemain bintang Piala Dunia kali ini sebagai perancang utama. Dia mencorakkan pasukan Colombia.

Dia mencorakkan rentak serta tempo permainan Colombia dan Rodriguez begitu selesa menjaringkan gol.

Pemain bertaraf dunia seperti Rodriguez selalunya kelihatan tenang dalam keadaan kelam-kabut di mana juga sudut padang.

Piala Dunia 2014 yang terbaik dan pujian juga buat jurulatih yang mencorakkan aksi menyerang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Azimat juara

Posted: 15 Jul 2014 11:15 AM PDT

Johor Bahru: Kejuaraan Liga Super yang dimenangi Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada musim ini mencetus inspirasi buat skuad kendalian Bojan Hodak untuk memburu tiket final Piala Malaysia.

Apa tidaknya, jurulatih kelahiran Croatia itu mengidamkan final piala berprestij itu bakal mempertemukan Johor DT dan Kelantan walaupun kedua-dua pasukan diundi dalam Kumpulan C selain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pulau Pinang.

Ini berdasarkan penggamatan Hodak tatkala pada musim lalu, Pahang dan Kelantan yang beraksi dalam kumpulan yang sama mampu melayakkan diri ke final yang berkesudahan Pahang ketika itu dibimbing Dollah Salleh menjulang kejuaraan itu selepas menewaskan Kelantan 1-0 hasil jaringan tunggal Matias Conti.

Apapun, Hodak optimis barisan pemain Johor DT mampu mempamerkan aksi terbaik selepas berjaya melepasi 'bebanan' yang dipikul selama dua musim untuk layak ke Piala AFC pada musim depan.

Foto

PEMAIN Johor DT meraikan kejayaan muncul juara Piala Liga Super.


"Tiada tekanan buat Johor DT kerana kita sudah melepasi sasaran layak ke Piala AFC dan di beri peluang beraksi pada saingan Liga Juara Asia seandai berjaya melepasi perlawanan play-off.


"Saya memang idamkan final Piala Malaysia kelak menyaksikan pertembungan JDT dan Kelantan kerana pada musim lalu Kelantan dan Pahang yang berada dalam kumpulan yang sama beraksi di final dan saya berharap musim ini JDT dan Kelantan di final.

"Apa pun, saya harus berwaspada dengan saingan kumpulan tatkala ATM dan Pulau Pinang akan beri saingan sengit dan pastinya kita tidak mahu keciciran mata dalam setiap perlawanan dalam Kumpulan C," katanya.

Mengulas keputusan seri 1-1 pada aksi perlawanan amal menentang Kelantan, Hodak mengakui kesemua pemain JDT dalam proses untuk kembali memulihkan kecergasan selepas diberi rehat selama hampir dua minggu.

Malah pada aksi itu juga, Hodak tidak menurunkan Luciano Figueroa yang masih berada di Argentina manakala Hariss Harun menjalani latihan bersama skuad kebangsaan Singapura di Austria dan hanya kembali menyertai JDT pada 26 Julai ini.

"Kami ada tempoh sebulan lagi untuk membuat persiapan dan kemungkinan saya sedang mengatur empat atau lima perlawanan persahabatan sebelum saingan Piala Malaysia bermula," kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Alex tekad pertahan trofi

Posted: 15 Jul 2014 11:13 AM PDT

Kuantan: Pemain tengah Pahang Azamuddin Mohd Akil menjelaskan bahawa sebagai pasukan yang dahagakan kejuaraan, Piala Malaysia akan tetap menjadi milik skuad itu musim ini.

Justeru, Azamuddin atau Alex bersama rakan sepasukan akan mempamerkan komitmen tinggi sepanjang saingan peringkat kumpulan.

Pada masa sama, menurutnya, semua pasukan dalam Kumpulan A mempunyai peluang untuk mara ke suku akhir piala berprestij itu.

"Apabila berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik, saya percaya Pahang akan pergi lebih jauh kerana pada pendapat saya, semua pasukan dalam kumpulan ini mempunyai peluang.

"Sebagai juara bertahan, sudah pasti kami mahu meneruskan prestasi terbaik terutama menyekat lawan daripada meraih mata apabila bertemu nanti," katanya di sini, semalam.

Mengenai prestasi semasa, Azamuddin bersama rakan sepasukan sedang giat menjalani latihan sepanjang Ramadan terutama meningkatkan kecergasan dan persefahaman.

"Kami harap prestasi semua pemain berada pada tahap terbaik kerana untuk mempertahankan kejuaraan lebih sukar berbanding memburu kejuaraan," katanya.

Dalam saingan Kumpulan A, Pahang diundi bersama Lions XII, FELDA United FC dan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) II.

Musim ini, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu meraih dua kejuaraan iaitu Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Masa cukup: Affendi

Posted: 15 Jul 2014 11:12 AM PDT

Kota Bharu: Setiap pasukan diberi ruang dan masa mencukupi untuk membuat persediaan bagi menghadapi saingan Piala Malaysia 2014 bermula pertengahan Ogos ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Affendi Hamzah berkata, tempoh sebulan selepas pengundian pada 13 Julai lalu sudah mencukupi bagi pemain dan jurulatih setiap pasukan untuk bersiap sedia.

Malah, setiap pemain dan jurulatih mempunyai tempoh dua minggu untuk menjalani latihan selepas menyambut Aidilfitri sebelum memulakan aksi pertama pada 13 Ogos ini.

"Kami sudah cuba sedaya upaya menyediakan jadual dengan memberi ruang dan masa kepada pasukan mempersiapkan diri bagi menghadapi saingan Piala Malaysia.

Jika dilihat kepada jadual perlawanan, tempoh masa yang diberikan sudah cukup termasuk untuk menyambut Aidilfitri.

"Sebenarnya, jadual perlawanan tidak terlalu padat kerana FAM mengambil kira setiap aspek dan mengkaji sebaik-baiknya jadual Piala Malaysia ini," katanya.

Affendi berkata, FAM juga terpaksa membuat penangguhan pada bulan September ini untuk memberi laluan kepada Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan.

Katanya, penangguhan itu dibuat demi keadilan semua pasukan yang menyertai Piala Malaysia memandangkan ada pemain mewakili negara pada temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

No comments:

Post a Comment